Michelin Malaysia baru-baru ini melancarkan tayar Michelin Primacy 5 yang direka untuk kenderaan penumpang dan crossover, sama ada dikuasakan oleh enjin ICE atau motor elektrik.
Menggantikan model terdahulu iaitu Primacy 4, tayar baharu ini menjanjikan prestasi lebih hebat serta kesan terhadap alam sekitar yang lebih rendah.
Berikut adalah antara kelebihan Michelin Primacy 5:
- Corak bunga tayar baharu dengan teknologi Michelin Silent Rib Gen-3 yang mengurangkan gegaran dan bunyi dengan signifikan untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih lancar, senyap, selesa, dan santai.
- 24% lebih jarak perjalanan berbanding jenama premium lain hasil daripada peningkatan 10% nisbah lowong (void ratio) berbanding model sebelumnya.
- Tepi alur sisi juga dioptimumkan bagi membantu mengekalkan prestasi cengkaman lebih lama di permukaan jalan basah.
- Ciri-ciri tersebut digabungkan pula dengan teknologi MaxTouch, yang memaksimumkan sentuhan dengan jalan raya dan mengagihkan daya pecutan, brek, dan selekoh secara sekata.
- Jarak brek 8% lebih pendek ketika baharu dan 13% lebih pendek apabila haus berbanding jenama premium lain. Ini dicapai melalui Functional Elastomers 3.0 yang digabungkan dengan teknologi Michelin EverGrip dan Michelin EverTread untuk mengoptimumkan penyaliran air.
- Serasi dengan EV kerana menggunakan sebatian getah bunga tayar berprestasi tinggi yang mengurangkan rintangan gelinciran sebanyak 13% untuk meningkatkan kecekapan tenaga.
Selain menawarkan peningkatan dari segi prestasi, keselamatan dan keselesaan, tayar Michelin Primacy 5 juga lebih mesra alam. Rintangan gelinciran ditambah baik 5%, manakala jangka hayatnya meningkat 18%, membolehkan tayar digunakan sehingga mencapai had minimum kedalaman bunga tayar yang ditetapkan. Daripada segi reka bentuk, kesan alam sekitar tayar ini telah dikurangkan sebanyak 6%.
Di Malaysia, Michelin Primacy 5 boleh didapati menerusi rangkaian pengedar sah Michelin. Ia ditawarkan dalam 25 saiz (daripada 16 hingga 19 inci), dengan harga bermula daripada RM477 hingga RM1,026. Semua tayar bersaiz 18 inci dan ke atas dilengkapi dengan reka bentuk dinding sisi estetika yang menonjol, dengan kemasan lingkaran penuh jalur baldu.