Tag Archives: mild hybrid

Volvo XC90 facelift didedahkan secara rasmi, tawar jarak pandu lebih 800 km

Kali terakhir Volvo XC90 dikemas kini adalah sekitar 2019. Kini, lima tahun kemudian, SUV flagship itu mendapat satu lagi facelift yang menyaksikannya mengadaptasi elemen reka bentuk daripada model-model elektriknya.

Seperti yang boleh dilihat, XC90 mempunyai gril dan lampu LED baharu dengan signatur DRL yang lebih tajam. Bampar depan turut diberi sentuhan segar dengan liang udara menegak dan lubang ambilan udara yang lebih lebar.

Bentuk lampu belakang tidak berubah namun ia diberikan penampilan lebih bergaya menerusi corak baharu.

Untuk ruang dalaman, Volvo menjadikannya lebih praktikal hasil daripada maklum balas pemilik XC90 yang sedia ada. Konsol tengah kini mempunyai ruang storan dan pemegang cawan tambahan, manakala pengecas tanpa wayar ditempatkan di belakang terowong tengah.

Selain itu, XC90 mendapat skrin sentuh lebih besar berukuran 11.2 inci yang mempunyai gambar lebih tajam dan terang dengan ketumpatan piksel yang lebih tinggi sebanyak 21%.

Turut disertakan adalah sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity yang dikatakan dapat menghasilkan kualiti bunyi seakan dewan konsert atau kelab jazz.

XC90 akan terus ditawarkan dalam varian hibrid plug-in yang dikenali sebagai T8. Ia menggabungkan enjin petrol dan sebuah motor elektrik yang menawarkan jarak pandu sejauh lebih 800 km.

Volvo turut menawarkan varian mild hybrid petrol B5 dan B6 yang menampilkan bateri litium ion 48v dan starter/generator yang dikatakan dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 15% dalam pemanduan dunia sebenar.

Untuk sistem suspensi pula, syarikat itu berkata setiap peredam individu kini dapat menyesuaikan secara mekanikal mengikut keadaan permukaan jalan semasa untuk meningkatkan keselesaan dan kestabilan.

Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan sistem suspensi udara yang bekerja bersama sistem casis aktif yang berupaya memantau kereta, jalan dan pemandu 500 kali sesaat untuk memberikan pemanduan yang paling selesa.

Sistem suspensi ini boleh diturunkan sehingga 20 mm dan dinaikkan sehingga 40 mm, sekali gus memudahkan penumpang keluar masuk, menghasilkan aerodinamik lebih baik serta meningkatkan jarak lega tanah untuk pemanduan off-road.

Akhir sekali, Volvo turut menambah bahan penebat pada bahagian-bahagian tertentu bagi mengurangkan bunyi angin dan tayar di dalam kabin.

Toyota Hilux mild hybrid 48V masuk pasaran Australia bermula Mac

TOYOTA Hilux Hybrid 48V, yang dilancarkan di Eropah pada Disember tahun lalu, kini telah pun diperkenalkan di Australia menerusi versi facelift.

Sama seperti model pasaran Eropah, Hilux facelift untuk negara Down Under itu menggabungkan enjin turbodiesel 2.8-liter empat silinder sedia ada dengan teknologi mild hybrid yang terdiri daripada penjana motor, bateri 48 volt dan penukar DC/DC.

Menurut Toyota, teknologi tersebut memberikan Hilux sistem Stop/Start, membantu menjadikan enjin lebih lancar serta meningkatkan kecekapan bahan api kira-kira 6 hingga 10 peratus, bergantung kepada varian.

Untuk pasaran Australia, teknologi mild hybrid 48V itu disertakan secara standard pada varian 4X4 Rogue dan SR5 double cab automatik, dan ditawarkan secara opsyen untuk 4X4 SR double cab.

Selain itu, semua varian mild hybrid turut dilengkapi dengan sistem Multi-Terrain Select yang menawarkan enam mod pemanduan.

Bagaimanapun, tidak seperti di Eropah, Hilux facelift Australia diberikan penampilan lebih segar. Gril oktagon telah direka semula, manakala bampar hadapan kini kelihatan lebih menonjol dengan liang berbentuk trapezoid dan perumah lampu kabus baharu.

Sesetengah varian juga mendapat gril bercorak sarang lebah dan peredam tailgate.

Dari segi kelengkapan, semua varian SR double cab automatik kini menampilkan enam sensor parkir (dua di hadapan, empat d belakang), manakala varian SR5, Rogue dan GR Sport mendapat pad pengecas wayarles dan dua port USB-C.

Hilux facelift akan tiba di bilik pameran Toyota di seluruh Australia bermula Mac ini, dengan harga jualan antara AUD54,130 hingga AUD71,530 (RM167,800 hingga RM221,739) untuk varian-varian mild hybrid.

Toyota Hilux dapat enjin mild hybrid 48V di Eropah

BERMULA tahun hadapan, Toyota Hilux untuk pasaran Eropah akan ditawarkan dengan pilihan enjin mild hybrid 48V yang dikatakan lebih cekap dan menawarkan pemanduan lebih lancar.

Dikenali sebagai Hilux Hybrid 48V, model ini menampilkan gabungan enjin turbodiesel 2.8 liter dan sistem mild hybrid 48V yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 16 PS dan 65 Nm untuk kuasa pecutan yang lebih baik.

Seperti Hilux Rogue, enjin turbodiesel berkenaan menghasilkan 204 PS pada 3,400 rpm dan 500 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm.

Dalam sistem ini, enjin tersebut akan memacu sebuah penjana motor kompak menggunakan sistem tali sawat. Penjana motor kompak itu kemudiannya akan mengecas bateri lithium 48V seberat 7.6 kg yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang.

Seperti sistem hibrid Toyota, bateri tersebut akan dicas menerusi sistem brek janaan semula semasa nyahpecutan. Apabila sudah penuh, bateri itu akan menyalurkan kuasa tambahan kepada enjin menerusi motor penjana untuk membantu pecutan.

Menurut Toyota, kuasa tambahan tersebut membolehkan Hilux menghadapi permukaan yang mencabar dengan lebih mudah, sementara brek janaan semula pula membantu kenderaan menuruni bukit dengan lebih selamat.

Penaja motor itu direka khusus untuk penggunaan yang lasak manakala enjin itu pula dinaik taraf dengan belt tensioner baharu dan tali sawat yang lebih kuat.

Ditambah pula dengan sistem henti-mula, Toyota mendakwa Hilux Hybrid 48V mampu meningkatkan kecekapan bahan api sebanyak 5 peratus jika dibandingkan dengan trenkuasa diesel biasa.

Walaupun dipacu trenkuasa yang telah dielektrifikasi, Hilux Hybrid 48V masih mampu menggalas tugas sebagai sebuah trak pikap sebenar. Penggunaan sistem hibrid nampaknya tidak menjejaskan kapasiti tunda dan muatan, yang masing-masing kekal pada 3,500 kg dan 1,000 kg.

Untuk pemanduan off-road pula, ia mempunyai jarak lega tanah 310 mm, sudut mendekat 29 darjah dan sudut pelepasan 26 darjah. Trak ini juga mampu meredah air setinggi 700 mm kerana semua komponen berkaitan sistem mild hybrid adalah kalis air.

Hilux Hybrid 48V didatangkan dengan sistem keselamatan Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA), Adaptive Cruise Control (ACC), Road Sign Assist (RSA), Adaptive High Beam (AHB) dan lain-lain.

Proton X90 berasap: Punca dari kabel grounding, bukan bateri mild hybrid 48v

PROTON telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai jumpaan mereka dari siasatan berkenaan kes kebakaran melibatkan sebuah X90 bulan lepas. Video itu telah tular dan tersebar di media sosial.

Kini, pengeluar nasional itu telah mengenal pasti bahawa sambungan grounding menjadi punca kebakaran. Mereka juga mengingatkan kepada pemilik bahawa bateri mild hybrid 48volt bukan punca kebakaran itu.

Proton berkara pemilik-pemilik X90 akan dihubungi secara terus oleh pihak pengedar 3S dan 4S bagi membawa kenderaan mereka untuk pemeriksaan. Jika perlu, kerja-kerja pemulihan akan dijalankan oleh pusat servis itu bagi membendung sebarang risiko lain.

Pemilik-pemilik juga boleh menghubungi pusat 3S/4S terdekat atau talian 1-800-88-8398 untuk maklumat lanjut.

Selain itu, Proton dan para vendor juga telah mengambil langkah “untuk meningkatkan kawalan proses bekalan” dan membuat pemeriksaan di kilang pemasangan X90.

Berikut adalah kenyataan penuh dari pihak Proton di Facebook:

Proton X90 rasmi dilancar, NEV pertama, harga dari RM124k

PROTON X90 akhirnya dilancarkan, serentak dengan sambutan ulang tahun ke-40 pengeluar kereta nasional itu. X90 merupakan SUV tujuh atau enam tempat duduk dan ianya merupakan kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama Proton.

Seperti dilaporkan sebelum ini, X90 ditawarkan dengan empat varian, dan harga masing-masing seperti berikut:

X90 1.5 TGDI BSG Standard: RM123,800
X90 1.5 TGDI BSG Executive: RM130,800
X90 1.5 TGDI BSG Premium: RM144,800
X90 1.5 TGDI BSG Flagship: RM152,800

Seperti pada namanya, Proton X90 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter turbo TGDi seperti terdapat pada X70 dan X50, tetapi enjin ini mendapat padanan Electric Motor Synergy (EMS) 48volt, iaitu suatu sistem mild hybrid. Ini yang menyebabkan X90 mendapat penarafan NEV.

Sistem mild hybrid itu merangkumi enam komponen utama iaitu motor Belt-Starter Generator (BSG) 48V, penukar DCDC, bateri litium-ion, sistem pengurusan bateri, sistem brek pemulihan dan sistem kawalan modul hibrid.

X90 akan guna sistem operasi Atlas seperti X50 dan X70

Secara sendirinya, enjin 1.5 TGDi menjana 177PS dan 255Nm namun apabila digabungkan dengan 13PS dan 45Nm yang dibekalkan oleh EMS, ia menghasilkan output keseluruhan setinggi 190PS dan 300Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi dwi-klac 7-kelajuan.

Reka bentuk luaran X90 tidak jauh berbeza dengan model asal iaitu Geely Haoyue cuma ia menampilkan elemen-elemen Proton yang tersendiri seperti pin krom pada bahagian gril dan tulisan ‘PROTON’ pada tailgate. Perkara yang sama juga boleh dikatakan untuk ruang dalaman model ini.

Dari segi kelengkapan, SUV ini didatangkan dengan lampu DRL LED, lampu isyarat berjujukan dan rim 19-inci. Di dalam, anda akan menemui balutan kulit Nappa serta skrin sentuh infohibur berukuran 12.3-inci dan kluster insutrmen digital 10-inci.

Selain itu, terdapat juga tujuh pengecas USB, satu pengecas wayarles, pendingin hawa dua zon dengan corong untuk setiap barisan tempat duduk, ciri pelarasan dan ventilasi tempat duduk, serta penapis udara N95 G-Clean.

Bagi sistem bantuan pemandu (ADAS) pula, X90 akan didatangkan dengan 14 ciri termasuk tiga ciri baharu iaitu Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Traffic Sign Information. Auto Park Assist, kamera 360 darjah dengan paparan 3D dan Tyre Pressure Monitoring System turut disertakan.

Seperti disenaraikan di atas tadi, Proton X90 ditawarkan pada harga antara RM123,800 hingga RM152,800, atas jalan tanpa insurans.

Kesemua X90 turut hadir dengan pakej seperti berikut:

Jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan
Pakej data 5-tahun
Kos upah servis percuma 6 kali
Kadar faedah serendah 2.1 peratus
Program Insurans Proton