Tag Archives: MINI Malaysia

MINI Countryman S ALL4 versi CKD dilancarkan – harga anggaran RM259k

MINI Malaysia memperluaskan lagi penawaran penawarannya dalam pasaran tempatan menerusi pelancaran MINI Countryman S ALL4 baharu versi pemasangan tempatan.

Ciri reka bentuk unik Countryman S ALL4 terletak pada profilnya yang menegak, lebar antara tayar yang ditingkatkan, overhang yang pendek, bonet yang kompak, dan jarak roda yang ditingkatkan dan dipadankan dengan tayar yang besar.

Ia didatangkan dengan lampu hadapan LED dengan bantuan pancaran tinggi dan tiga lampu utama boleh laras, rim 20 inci Windmill dua tona dan lampu belakang LED. Terdapat enam warna untuk dipilih iaitu Smokey Green, Slate Blue, Chili Red, Melting Silver, Nanuq White dan Blazing Blue.

Seperti Countryman SE ALL4 yang dilancarkan tahun lalu, ruang dalaman model ini dilengkapi dengan Favoured Trim yang merangkumi upholsteri tekstil yang diperbuat daripada fabrik poliester kitar semula dua tona melalui proses tenunan.

Dari segi kelengkapan, terdapat paparan head-up di belakang stereng, paparan OLED bulat berukuran 240 mm, tempat duduk sport John Cooper Works dengan balutan kulit vegan, Comfort Package Plus, cermin pandang belakang dalaman dengan fungsi anti silau automatik, pelapik bumbung antrasit, dan sistem audio Harman Kardon 365 W dengan 12 pembesar suara.

Menurut MINI, kedua-dua tempat duduk hadapan boleh dilaras menggunakan elektrik, dengan fungsi memori dan urutan untuk tempat duduk pemandu.

Penumpang hadapan menikmati hampir 3 cm tambahan lebar di bahagian bahu dan siku berbanding model sebelumnya, manakala tempat duduk belakang pula menawarkan tahap keselesaan yang lebih baik dengan tambahan 2.5 cm lebar bahu.

Selain itu, Setiap tempat duduk belakang boleh digelongsorkan dan dilaraskan secara individu ke enam posisi, termasuk sehingga kecondongan 12 darjah. Untuk kapasiti bagasi, terdapat ruang 505 liter yang boleh diperluaskan sehingga 1530 liter.

Memacu Countryman S ALL4 adalah enjin turbo 2.0-liter yang menghasilkan 204 hp dan 300 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem ALL4 All-Wheel-Drive, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 228 km/j.

Countryman S ALL4 didatangkan standard dengan Driving Assistant yang merangkumi ciri-ciri seperti Lane Change Warning, Lane Departure Warning, Speed Limit Info & Manual Speed Limit Assist, Cruise Control dengan fungsi brek, Front Collision Warning, Evasion Assistant, Rear Crossing Traffic Warning, Rear-end Collison Prevention dan Exit Warning.

Turut disertakan adalah Parking Assistant Plus, yang merangkumi Park Assist, Reversing Assistant sehingga 50 meter, Active Park Distance Control, Rear Panorama View, Parking View, Remote 3D View, BMW Drive Recorder dan Anti-Theft Recorder.

Pelanggan juga boleh mendapatkan Driving Assistant Plus yang membawakan Active Cruise Control dengan Stop & Go, Steering and Lane Control Assistant, serta Manual and Automatic Speed Limit Assistant.

Anggaran harga jualan bagi Countryman S ALL4 Baharu CKD adalah RM259,000 termasuk SST (atas jalan, tanpa insurans) atau RM270,000 dengan pakej waranti dan servis lanjutan.

MINI Cooper S 5-Door dengan enjin petrol 204 hp, harga anggaran dari RM293k

Selain pelancaran model crossover elektrik MINI Aceman, MINI Malaysia dalam masa yang sama mempertontonkan sebuah lagi model baharu, MINI Cooper S 5-Door.

Dengan dimensi yang lebih besar (+160 mm) dengan jarak roda yang lebih panjang (+72 mm), Cooper S 5-Door menawarkan alternatif yang lebih praktikal dan verstatil berbanding model Cooper 3-Door.

Ia juga turut mengekalkan karakter sporti yang wujud pada model tiga pintu itu.

Bahagian luar menampilkan struktur bonet jenis clamshell, unit lampu LED berbentuk bulat, jeriji oktagon, rim aloi bersaiz 18 inci, lampu belakang bentuk segi tiga serta antena radio sengat lebah klasik.

Sama seperti Aceman, Cooper S 5-Door ini menampilkan rekaan dalaman yang mementingkan penggunaan bahan kitar semula yang lebih mesra alam.

Ciri yang wujud termasuklah roda stereng sports, skrin tengah berbentuk bulat OLED 240 mm, sistem pencahayaan ambien, skrin paparan head-up, dan tidak ketinggalan sistem audio keliling Harman Kardon.

MINI Cooper S 5-Door menyediakan ciri keselamatan termaju secara standard merangkumi fungsi seperti Penukaran Lorong, Amaran Keluar Lorong, Amaran Pelanggaran Hadapan, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Kawalan Jelajah Aktif serta fungsi Parking Assistant Plus.

Dari segi kuasa, MINI Cooper S 5-Door digerakkan oleh enjin 2.0 liter TwinPower Turbo menghasilkan 204 hp, dengan keupayaan memecut sepantas 6.8 saat dari pegun ke 100 km/j.

Dinamik pemanduan MINI Cooper S 5-Door ini dipertingkatkan dengan talaan terhadap casis, sistem suspensi dan stereng yang lebih jitu, diikuti dengan mod pemanduan GO-KART untuk pengalaman yang lebih sporti.

Harga anggaran jualan MINI Cooper S 5-Door ini bermula dari RM293,000, tidak termasuk pakej servis dan jaminan tambahan bernilai RM10,400.

MINI Aceman rasmi, crossover elektrik 218 hp/330 Nm, jarak gerak 406 km, dari RM213,888

MINI Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model crossover elektrik terbaharu, MINI Aceman untuk pasaran tempatan.

Dari segi saiz, MINI Aceman diposisikan di tengah-tengah antara model MINI Cooper dan MINI Countryman, namun masih mengekalkan ciri pengendalian ala go-kart, terima kasih kepada titik graviti yang rendah.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik tunggal berkuasa 218 hp/330 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat.

Pek bateri 54.2 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 406 km untuk sekali cas penuh (data WLTP), menjadikannya sesuai untuk kegunaan dalam bandar dan pemanduan hujung minggu.

MINI Aceman menyokong pengecasan AC 11 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 95 kW di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

Crossover elektrik ini turut dilengkapi dengan sistem automatic battery preconditioning untuk memastikan prestasi pengecasan yang optimum dan membolehkan pengguna menetapkan masa pengecasan mengikut keperluan.

Dari segi luaran, MINI Aceman tampil dengan struktur jeriji oktagon, lampu utama LED bersegi, rim bersaiz 19 inci, rel bumbung, serta plastik pelindung badan yang menghiasi gerbang roda.

Masuk ke dalam kabin, MINI Aceman membawakan skrin bulat OLED 240 mm yang dikuasakan oleh MINI Operating System 9, penggunaan bahan upholsteri kitar semula, skrin paparan head-up, dan sistem bunyi keliling Harman Kardon.

MINI Aceman turut menyediakan mod pemanduan GO-KART, di mana pendikit menjadi lebih responsif untuk pemanduan yang lebih sporti.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah Amaran Penukaran Lorong, Informasi Halaju, Amaran Pelanggaran Hadapan dengan intervensi brek, serta ciri Parking Assistant Plus yang merangkumi fungsi seperti Active Park Distance Control, Reversing Assist Camera dan Remote 3D View.

Harga jualan MINI Aceman bermula dari RM213,888 dengan ansuran bulanan serendah RM2,311 menerusi pembiayaan Easy Drive berdasarkan pinjaman 75 peratus untuk tempoh lima tahun.

MINI Aceman ini akan turut dipamerkan dalam siri jelajah MINI Roadshows di seluruh negara, bermula di The Exchange TRX dari 9 hingga 13 Oktober ini.

 

MINI Countryman Roof Art Edition tampil karya seni Jared Lim – RM264,888

MINI Malaysia telah melancarkan MINI Countryman Roof Art Edition yang menampilkan gubahan unik oleh artis tempatan bernama Jared Lim, juga dikenali sebagai ‘Professional Crayon’.

Seperti yang boleh dilihat, bahagian bumbung crossover ini dihiasi dengan karya seni bertemakan dedaun yang dihasilkan sendiri oleh Jared.

Menurut MINI, karya seni itu “mempamerkan bunga-bunga Malaysia sambil menonjolkan aneka elemen klasik yang mencorak jenama MINI.”

Gubahan itu juga menampilkan logo sayap MINI yang menjelma melalui gelombang dan sulaman flora Malaysia. Di tengah, objek hati persis permatan merangkapkan motif Union Jack, manakala bunga raya di antara rimbunan dedaun melambangkan pengalaman berharga yang menanti seorang pengembara.

Dari segi kelengkapan, model ini tampil dengan MINI ALL4 Exterior Optic yang merangkumi elemen-elemen dekoratif di bampar, sump guard dalam aluminium matte dan lampu hadapan LED automatik dengan fungsi membelok.

Turut disertakan adalah Piano Black Exterior Optic dengan kemasan hitam berkilat di sekitar lampu hadapan dan belakang, gril radiator dan sisi. Ciri Comfort Access dengan Easy Opener dan tailgate automatik turut tersedia.

Di dalam, terdapat kokpit MINI Yours Illuminated dalam warna Shaded Silver, bingkai pintu berwarna Dark Silver, trim Hazy Grey, pelapik bumbung Satellite Grey, upholsteri kulit Cross Punch dalam warna Carbon Black dan stereng yang dibalut kulit Walknappa.

Selain itu, anda akan menemui kluster instrumen digital lima inci, skrin sentuh 8.8 inci dengan navigasi, paparan head-up dan sistem audio HiFi Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.

Kuasa dibekalkan oleh enjin 2.0-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 192 hp dan 280 Nm. Dengan transmisi automatik sport tujuh kelajuan, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 226 km/j.

Countryman Roof Art Edition boleh didapati dalam tiga warna iaitu British Racing Green, Chilli Red dan Island Blue, namun ia akan ditawarkan dalam jumlah yang terhad bagi mengekalkan keeksklusifannya.

Harga jualan bermula dari RM264,888 bersama waranti tanpa had perbatuan selama empat tahun dan servis berjadual percuma.

MINIfest 2023 acara terpaling MINI! Kereta, makanan, gaya hidup, hiburan

MINI baru-baru ini mengadakan acara MINIfest 2023 di Sentul Depot pada Sabtu, 22 Julai. Dengan tema ‘Big Love, Big Fun’, MINIfest 2023 telah membariskan pelbagai aktiviti dan hiburan, di samping pameran kenderaan MINI yang bersejarah.

Para pemilik atau dipanggil ‘warga MINIacs’ tanpa mengira usia dapat menjiwai semangat MINI dan mencipta memori yang bermakna melalui minat mereka ke atas jenama ini.

Lebih 2,300 warga MINIacs telah berhimpun di Sentul Depot untuk menikmati aktiviti- aktiviti seperti pameran MINI, sesi pandu uji yang eksklusif, dan jualan aneka barangan yang kreatif dan lestari.

Bagi mereka yang mendahagakan cabaran, pelbagai permainan karnival yang popular juga telah disediakan di perkarangan ini.

Antaranya adalah MINI Slingshot, dimana para peserta telah dilancarkan ke udara di mana mereka dapat menyaksikan acara ini dari satu sudut yang lebih menarik.

Para pengunjung juga telah membanjiri MINI Car Boot Sale untuk membawa pulang aneka barangan perhiasan, sementara pelbagai rakan jenama dan vendor tempatan mengambil peluang untuk menawarkan aneka kraf dan seni yang menarik, termasuk barangan fesyen serta aksesori rekreasi yang unik.

Juga memeriahkan festival tersebut ialah booth MINI yang menawarkan aneka barangan eksklusif buat para peminat MINI, di samping stesen pengubahsuaian yang membolehkan pelanggan memperibadikan barangan MINI kesukaan mereka.

Menerusi kerjasama dengan Modle.play, para keluarga dan anak-anak kecil juga dapat menyertai dua bengkel menarik yang dirumus khas untuk mereka, di samping ruang permainan kanak-kanak yang lengkap dengan aneka mainan yang diperbuat daripada kayu.

Kanak-kanak dilihat seronok membina jentera MINI yang dikuasakan oleh bateri, manakala di bengkel yang satu lagi, mereka dapat mencungkil kreativiti masing-masing menerusi aktiviti mencipta rantai kunci dan barangan kemas MINI.

Bukan itu sahaja, para hadirin juga dapat menyaksikan penciptaan seni mural, memberi singkapan kepada artis yang akan berkolaborasi dengan MINI untuk sesi RoofArt Special Edition yang menampilkan jentera-jentera Countryman.

Terkenal dengan karya seninya yang unik dan bersemarak, artis mural ini telah menghasilkan sebuah mural berdasarkan perspektif artistiknya terhadap acara tersebut, merangkap semangat yang menghidupkan suasana MINIFest.

Di samping itu, para hadirin turut dihiburkan dengan lagu-lagu daripada para artis Merdekarya, menambah lagi seri dan warna pada suasana festival tersebut.

Bagi memuaskan selera para pengunjung, MINIFest turut membariskan 14 vendor makanan yang popular dari Tiffin at the Yard, di mana aneka makanan khas bertema MINI telah disajikan buat warga MINIacs.

Di antara pelbagai aktiviti dan pengalaman yang disediakan di acara ini, yang menjadi tumpuan utama ialah MINI Garage, di mana para pengunjung telah berpeluang untuk menelusuri sejarah dan evolusi jenama MINI yang mengagumkan.

Pameran ini membolehkan pengunjung meneroka legasi kenderaan MINI serta transformasinya yang inovatif dari detik ia diasaskan, dipersembahkan melalui peragaan jentera MINI Classic, MINI 3-Door R53, MINI 3-Door R56, MINI Coupe R58, MINI Countryman R60, dan MINI Paceman JCW R61.

Linnet Yew, Ketua MINI Malaysia berkongsi, “Kami teruja kerana MINIfest 2023 sekali lagi dapat menghimpunkan warga MINIacs dari pelbagai latar belakang untuk menghidupkan semangat jenama MINI yang unik.

“Tema Big Love, Big Fun sememangnya merangkapkan semangat yang mewarnai acara ini seperti yang dijulang oleh MINI, bagi mencorak sebuah komuniti yang sihat, terdiri daripada para individu yang berkongsi semangat pengembaraan yang sama.”

Lebih 200 warga MINIac serikan acara jelajah MINIscape 2022

Setelah tiga tahun menyepi, acara komuniti yang mengumpulkan peminat MINI dari seluruh pelosok negara iaitu MINIscape kembali dianjurkan oleh MINI Malaysia baru-baru ini.

Untuk tahun ini, acara jelajah dari Kuala Lumpur ke Perak itu telah disertai oleh lebih 200 warga MINIac. Pengembaraan bermula di Marina Putrajaya, di mana 90 buah kenderaan MINI telah berkumpul sebelum memulakan konvoi ke DoubleTree by Hilton Damai Laut.

Linnet Yew, Ketua MINI Malaysia berkata MINIscape 2022 merupakan tanda penghargaan syarikat ke atas kesetiaan yang dipamerkan oleh warga MINIac.

“Komuniti MINIac sejak sekian lama melambangkan siapa kami sebenarnya sebagai sebuah jenama dan telah menjadi sumber ilham bagi apa yang kami lakukan buat para pelanggan kami di dalam negara. Komuniti ini berdorongkan Big Love serta semangat ke atas pengembaraan yang mengujakan; mereka terus memberi sokongan yang padu termasuk di kala pandemik, justeru kami berbesar hati untuk terus membekalkan keseronokan kepada mereka,” katanya.

MINIscape 2022 telah menawarkan warga MINIac dan insan-insan kesayangan mereka sebuah pengalaman yang sarat dengan aktiviti-aktiviti menarik, bermula dengan aktiviti Treasure Hunt sepanjang perjalanan mereka ke Damai Laut.

Setelah tiba ke destinasi, para tetamu bebas untuk menikmati pelbagai aktiviti rekreasi yang dirancang oleh MINI Malaysia termasuk dayung berdiri, menunggang ATV, berbasikal dan berlayar bot tunda.

Bukan itu sahaja, warga MINIac juga disambut dengan sesi makan malam merangkap karnival dengan aneka permainan retro seperti Rodeo Bull, Power Slam dan Straight Shooter, antara lainnya.

Untuk menyerikan lagi malam tersebut, para tetamu dihiburkan oleh ahli silap mata, penjugel, aneka persembahan karnival, dan juga persembahan muzik.