Tag Archives: minimalis

“Kereta, bukan telefon”: VW kembalikan semula butang kawalan fizikal

Setelah beberapa tahun, Volkswagen akhirnya mengakui pendekatan minimalis yang dibuat pada kabin kenderaan mereka merupakan satu kesilapan besar.

Pendekatan minimalis yang dimaksudkan itu ialah dengan menyumbat segala fungsi kawalan kenderaan ke dalam skrin sentuh tengah dan membuang terus butang kawalan fizikal daripada kabin.

Dalam satu laporan oleh Autocar, ketua unit rekaan VW Andreas Mindt mengakui kesilapan tersebut dan berjanji akan mengubah semula pendekatan yang telah dibuat sebelum ini.

“Bermula model ID.2all dan seterusnya, kami akan mengembalikan semula butang kawalan fizikal untuk lima fungsi paling penting – volum audio, kawalan suhu untuk kedua-dua belah pemandu & penumpang, kawalan tiupan angin, dan lampu kecemasan – di bawah skrin utama.

“Fungsi ini akan diwujudkan semula pada setiap kenderaan yang kami hasilkan. Kali ini kami tidak akan mengulang kembali kesilapan ini.

“Pada roda stereng, kami juga akan mengembalikan semula butang fizikal. Ia ada maklum balas, ia pengalaman sebenar, dan orang akan menyukai ciri ini.

“Sejujurnya, ia adalah sebuah kereta, bukan sebuah telefon,” ujarnya lagi.

 

Langkah yang diambil oleh VW ini adalah tambahan kepada syarat keperluan yang ditetapkan oleh Euro NCAP, di mana bermula tahun 2026 sesebuah kenderaan tidak akan mencapai penarafan maksimum lima bintang sekiranya tidak mempunyai kawalan fizikal untuk fungsi hon, penyeka kaca, isyarat membelok, lampu kecemasan dan SOS.

Sejak pendekatan minimalis ini dipelopori oleh Tesla, lebih banyak pengeluar yang cuba untuk mengikut trend tersebut dengan menawarkan susun atur kabin yang lebih ringkas – bermakna pemandu perlu bergantung sepenuhnya kepada skrin untuk mengubah sesuatu tetapan yang diperlukan terutama ketika memandu.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila terdapat model kenderaan yang tidak langsung mempunyai tuil fizikal untuk fungsi lampu isyarat membelok, penyeka kaca dan transmisi.

Malah demi penjimatan kos, ada pengeluar yang sanggup mengalihkan suis tingkap ke bahagian konsol tengah. Ya, nampak minimalis tapi menyusahkan pengguna di kemudian hari.