Bermula 7 April ini, kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin bagi Kenderaan Motor) 2024 dalam usahanya untuk mengekang penjualan minyak enjin kenderaan motor tiruan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata dengan perintah baharu ini, pengguna boleh mengenal pasti penjualan minyak enjin kenderaan motor yang tulen sekali gus membanteras penjualan minyak tiruan yang boleh membawa risiko keselamatan serta kemalangan jalan raya.
“Perintah ini juga akan dapat melindungi kepentingan syarikat pengeluar produk minyak enjin kenderaan motor dengan mengekang risiko penghasilan produk-produk tidak tulen oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Armizan berkata mana-mana produk minyak enjin sama ada dihasilkan dalam negara mahupun diimport, perlu mendapat perakuan tulen menerusi SIRIM QAS International Sdn Bhd yang dilantik sebagai pihak bertanggungjawab memperaku dan mengeluarkan label pematuhan produk bagi tujuan itu.
Kerajaan memberi tempoh enam bulan kepada syarikat pengeluar untuk mematuhi arahan berkenaan dengan perintah pewartaan bermula pada 11 Oktober 2024.
“KPDN dengan kerjasama SIRIM telah menganjurkan program penglibatan sejak 2022 melibatkan hampir semua pemain utama dalam industri minyak enjin kenderaan bermotor di negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat pengimport, pengedar, [atau] penjual yang menjual produk yang tidak disahkan dan tidak mempunyai label pematuhan yang sah,” kata Armizan.
IDEA untuk mengisi minyak pelincir kereta ke dalam enjin motosikal bukanlah baharu. Kadang-kala kita hantar kereta untuk servis dan bengkel memulangkan lebihan minyak pelincir baharu di dalam botol, dan kita terfikir mungkin boleh guna untuk motosikal di rumah.
Gred minyak pelincir kedua-duanya sama, sebagai contoh kereta kita menggunakan minyak bergred 10W-30, dan motosikal kita pun sama.
Kelikatan suhu sejuk dan panas (mengikut piawaian SAE) dah sama, dua-dua pun tuang dalam enjin. Boleh?
Jawapan mudah ialah tidak boleh.
Tugas dan fungsi berbeza
Sebab utama kenapa tidak boleh ialah kerana dari segi tugasan. Minyak pelincir kereta dan motosikal mempunyai tugas yang sangat berbeza.
Untuk kereta, tugas minyak pelincir hanyalah untuk mengalas dua permukaan dalam enjin yang bersentuhan. Tujuan supaya komponen tidak calar dan tidak rosak.
Jika anda perasan, kereta moden sekarang menggunakan kelikatan minyak yang rendah. Sebagai contoh, Perodua Bezza menggunakan minyak bergred 0W-20, ini dikira minyak yang nipis.
Sebabnya ialah kereta zaman sekarang ditala untuk jimat minyak dan mengurangkan pencemaran udara. Minyak nipis memudahkan komponen bergerak, dan suhu enjin juga tidak tinggi macam kereta prestasi. Jadi, okey sahaja untuk pemanduan harian.
Minyak takkan menjadi terlalu panas atau cair walaupun kelikatannya rendah.
Minyak berbeza untuk sistem berbeza
Kemudian, kereta mempunyai minyak lain, sebagai contoh minyak transmisi atau kotak gear, yang sangat berbeza dari minyak enjin. Kemudian dalam sistem penyejuk ada cecair lain iaitu coolant.
Untuk kereta, sistem berbeza akan menggunakan cecair berbeza yang khusus. Minyak pelincir enjin tidak boleh digunakan dalam transmisi dan begitu juga sebaliknya.
Minyak lebih kritikal untuk motosikal
Untuk motosikal pula – terutamanya yang cc kecil – minyak enjin direka untuk lebih dari satu tugas. Minyak inilah yang melancarkan dan melindungi enjin, minyak yang sama juga diguna dalam transmisi, dan ia juga yang sejukkan enjin.
Motosikal juga biasanya rev pada tahap lebih tinggi. Enjin lebih panas, jadi perlukan gred lebih likat. Secara ringkasnya, minyak pelincir motosikal lebih kritikal, tugas lebih keras.
Saiz enjin juga lebih kecil, maka ruang untuk laluan minyak pun lebih sempit. Kerana itu anda lihat syarat atau kelayakan untuk minyak pelincir enjin kereta dan motosikal cukup berbeza.
Untuk fungsi dan tugasan khas, maka formula juga berbeza.
Sebagai contoh, walaupun kelikatan yang sama, minyak pelincir kereta mempunyai agen friction modifier. Jika dituang dalam enjin motosikal, klac boleh slip atau tergelincir, menyebabkan pemanduan tidak efisyen. Lebih buruk lagi, boleh merosakkan komponen transmisi motosikal.
Jadi, sekarang anda faham kenapa minyak pelincir kereta dan motosikal berbeza, dan kenapa tidak boleh suka-suka dituang ke tempat yang tidak betul. Janganlah kita risikokan enjin kita semata-mata untuk jimat.
Paling mudah adalah rujuk buku manual kerata atau motosikal kita. Ada simpan lagi tak? Buku manual memberikan panduan paling tepat untuk jentera kita.
Untuk motosikal biasanya ada spesifikasi lebih khusus yang tiada pada kereta. Sebagai contoh 4T untuk enjin empat-lejang, JASO MA untuk sistem klac basah, atau JASO MB untuk skuter.
Semoga artikel ini bermanfaat! Jika anda bersembang dengan rakan di kedai kopi tentang bab ini, kongsikan artikel ini untuk lebih kefahaman.
Castrol memperkenalkan program insurans percuma baharu khas untuk anda penunggang motosikal. Inisiatif ini merupakan salah satu komitmen Castrol terhadap keselamatan dan kesejahteraan penunggang motosikal.
Program ini dibangunkan dengan kerjasama MCIS Life, Zensung, dan Standard Chartered bagi memberikan ketenangan minda kepada penunggang motosikal.
Setiap pembelian produk Castrol Activ atau Castrol Activ Essential dari bengkel Castrol yang sah atau kedai dalam talian rasmi Castrol, anda akan layak mendapat perlindungan insurans percuma secara automatik.
Proses permohonannya mudah, seperti berikut:
Beli Castrol Activ atau Castrol Activ Essential daripada kedai Castrol yang sah atau kedai e-dagang rasmi Castrol.
Imbas kod QR kedai yang mengambil bahagian atau guna kod yang disertakan semasa pembelian dalam talian.
Muat naik resit pembelian dan berikan butiran yang diperlukan (nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon mudah alih, dan e-mel) melalui portal Castrol Protect, yang dikuasakan oleh MCIS Life dan Zensung.
Dalam hanya beberapa minit, polisi insurans akan dikeluarkan, memberikan perlindungan percuma selama sebulan untuk kematian atau hilang upaya kekal penuh akibat kemalangan (sehingga RM4,000) dan perbelanjaan pengebumian (sehingga RM1,000), dengan jumlah keseluruhan RM5,000.
Anda juga boleh memegang sehingga tiga polisi aktif pada satu masa bagi memaksimumkan perlindungan mereka.
“Di Castrol, kami komited untuk menyediakan penunggang motosikal dengan produk dan pengalaman yang terbaik,” kata Mike Zhang.
SHELL Malaysia baru-baru ini melancarkan rangkaian minyak enjin neutral karbon pertamanya untuk pasaran tempatan. Ia terdiri daripada tiga produk iaitu Shell Helix Power 5W-40, Helix Power 0W-40 dan Helix Protect 0W-30.
Rangkaian minyak enjin terbaru itu kini boleh didapati di bengkel-bengkel Shell yang terlibat dan bengkel-bengkel bebas lain, dengan harga runcit RM280 di Semenanjung Malaysia untuk pek empat liter dan RM 280.80 di Sabah dan Sarawak.
Menurut Shell, pelancaran ini adalah bukti salah satu komitmen syarikat dalam membantu mengurangkan pelepasan karbon bersama-sama dengan pelanggannya, sejajar dengan aspirasinya untuk menjadi perniagaan tenaga pelepasan sifar bersih pada 2050.
“Shell Malaysia berbesar hati kerana dapat menyediakan pelbagai solusi tenaga rendah karbon kepada pelanggan kami, daripada pengecasan kenderaan elektrik dan biobahan api, dan kini pelincir karbon neutral,” kata Dato Ivan Tan, Pengerusi Shell Malaysia.
Tambah Shell lagi, produk Helix Power 5W terbaru merupakan initisiatif tambahan usaha syarikat yang sedia ada bagi mengurangkan tahap intensiti karbon secara bertanggungjawab di dalam operasi minyak dan gas, dan pelaburan dalam sumber tenaga rendah karbon.
Sementara itu, Nyon Kam Yew, Pengurus Besar, Perniagaan Shell Lubricant Malaysia & Singapura berkata minyak enjin ini diformulasi menggunakan Teknologi Shell PurePlus, yang dihasilkan daripada 99.5% minyak asas tulen daripada gas asli, serta dipercayai dan disyorkan oleh Scuderia Ferrari.
Minyak enjin Helix Power 5W-40 merupakan penambahan baharu untuk keluarga Shell Helix. Ia direka khas untuk kenderaan berkuasa dan berprestasi tinggi, dan sesuai untuk kebanyakan kereta penumpang moden yang menggunakan petrol dan diesel.
Sempena pelancaran ini, pengguna akan mendapat sebuah speaker Bluetooth percuma dengan setiap pembelian pek empat liter Helix Power 0W-40, Helix Power 5W-40, atau Helix Protect 0W-30 di mana-mana kedai terlibat, selagi stok masih ada.
Bagi memastikan keaslian produk sebelum pembelian, pelanggan digalakkan mencari logo “Untuk Pasaran Malaysia” di bahagian hadapan label botol.
KINI terdapat satu jenama baharu untuk minyak pelincir kenderaan anda, iaitu MOL Lubricants. Merupakan satu pengeluar bendalir pelincir dari Hungary dengan lebih 115 tahun pengalaman, MOL Lubricants kini secara rasmi dilancarkan di Malaysia dengan kerjasama pengedarnya, Oily Lubricants Malaysia Sdn. Bhd.
Pelancaran ini adalah sebahagian dari inisiatif MOL untuk mengukuhkan kehadiran mereka di Asia. Dengan kerjasama Oily Lubricants Malaysia, produk-produk premium MOL akan mula ditawarkan bermula September 2022 merangkumi pelincir untuk sektor pengangkutan, servis automotif rasmi dan bebas, sektor pertanian, serta sektor industri.
Menurut Harsanyi Zsolt, Pengurus Jualan Eksport MOL Lubricants, “Kerana formulanya yang maju, produk-produk MOL memberikan prestasi tinggi dan perlindungan ‘wear and tear’ yang baik, yang akan menjanjikan ketahanan serta jangka hayat komponen yang panjang.
“Ia juga akan mengurangkan keperluan penyelenggaraan,” tambahnya.
Sementara itu, Nagy Zsuzsanna, Pakar Jualan Eksport MOL Lubricants semasa dalam pembentangannya berkata, “Portfolio produk MOL merangkumi hampir 800 produk pelincir berkualiti tinggi untuk kenderaan penumpang, motosikal, kenderaan komersial, pertanian, dan industri.”
Khas untuk anda yang mencari rangkaian pelincir kenderaan penumpang, MOL Lubricants mempunyai minyak enjin Botond (gred rendah), Essence (gred sederhana), dan Dynamic (gred tinggi premium).
Minyak enjin sintetik penuh boleh didapati dari rangkaian Essence dan Dynamic, tetapi Dynamic lebih memfokus kepada pelincir OEM bagi jenama-jenama terkemuka Eropah seperti BMW, Renault, Audi, Skoda, SEAT, dan Fiat.
Spesifikasi yang ditawarkan termasuklah 5W-20, 5W-30, 5W-40, dan 10W-40 dan kesemuanya menepati piawaian API SN. Harga adalah antara RM250 hingga RM295 untuk botol 4-liter dan kami difahamkan kesemua minyak enjin ini adalah diimport sepenuhnya.
Bagi pusat servis dan bengkel-bengkel, MOL Lubricants menawarkan ganjaran khas bagi mereka yang mendapatkan bekalan minyak enjin selama enam bulan.
Pengurus Jualan Oily Lubricants Malaysia, Nicholas Oh berkata: “Kami akan menawarkan ganjaran bagi bengkel dan pusat servis yang mendapatkan bekalan selama enam bulan.
“Kami juga mensasarkan untuk melantik 100 bengkel pengedar dalam masa terdekat ini,” tambahnya.
Pelancaran MOL Lubricants itu turut dihadiri oleh wakil-wakil dari kedutaan Hungary di Malaysia.
BERITA baik untuk pemilik Proton dan peminat R3, kerana anda kini boleh memiliki rangkaian produk serta minyak enjin premium jenama itu.
Ya, Proton telah melancarkan beberapa produk rasmi R3 untuk anda dan kereta anda. Ia dipasarkan oleh Proton Global Services (PGS) iaitu sebuah anak syarikat Proton Edar.
Gambar oleh: Proton Motorsports
Jenama R3 (Race Rally Research) cukup sinonim dengan motorsport atau sukan perlumbaan sejak ia mula ditubuhkan pada 2003.
R3 telah memenangi perlumbaan ketahanan Sepang 1000km (5 kali) dan FIA Asia Pacific Rally Championship (8 kali) selain membawakan produk-produk prestasi untuk pengguna.
Rangkaian produk baharu ini adalah untuk menyambung semula legasi nama ini dan anda boleh membelinya melalui R3 Corner yang akan disediakan di Proton Centre of Excellence (COE) dan cawangan-cawangan pengedar terpilih seluruh negara.
Cawangan pertama yang dilantik dalam kerjasama ini adalah Setia Gemilang Auto Sdn Bhd, Shah Alam, Selangor.
Buat masa ini, anda boleh mendapatkan barangan R3 seperti baju kemeja-T dan polo serta topi dengan harga antara RM49 hingga RM60 sehelai.
Untuk kereta anda, terdapat dua pilihan minyak enjin premium R3 (sintetik penuh 5W-30 dan semi-sintetik 10W-30) masing-masing berharga RM208 dan RM158 berserta penapis bahan api R3.
Minyak-minyak pelincir ini dibangunkan dari minyak Etro+ oleh Petronas dan direka untuk melindungi enjin dari haba berlebihan serta mengawal suhu untuk perlindungan komponen dan menjaga prestasi.
Menurut Proton, selepas ini lebih banyak lagi cawangan-cawangan pengedar 3S dan 4S seluruh negara akan dilantik untuk pengedaran dan jualan rangkaian produk R3 baharu ini.
Honda Malaysia memperkenalkan barisan minyak enjin baharu mereka dengan SP Grade, dikatakan untuk lebih prestasi dan perlindungan.
Minyak gred SP ini akan menggantikan barisan minyak enjin SN yang digunakan sebelum ini. Menurut Honda juga, minyak enjin SP baharu ini juga lebih sesuai menepati keperluan enjin-enjin moden dalam model terkini.
Barisan minyak enjin SN Grade sedia ada: SN 10W-30 (mineral), SN 5W-30 (semi-sintetik), SN 0W-20 (sintetik penuh)
Barisan minyak enjin SP Grade baharu: SP 10W-30 (mineral), SP 5W-30 (semi-sintetik), SP 0W-20 (sintetik penuh)
Walaubagaimanapun, minyak enjin SN 0W-30 sintetik penuh akan dikekalkan khas untuk enjin prestasi tinggi seperti K20C1 VTEC Turbo pada Honda Civic Type-R FK8.
Minyak SP Grade diformulasikan untuk kebanyakan enjin-enjin petrol dan turbo serta diakui oleh Honda Research & Development (R&D).
Ia juga menepati semua standard terkini oleh American Petroleum Institute (API) dan memberi perlindungan lebih terhadap low-speed pre-ignition (LSPI) iaitu situasi pembakaran tidak normal yang boleh merosakkan enjin.
Minyak SP Grade ini juga telah dirumus untuk memberi perlindungan pada timing chain dan memanjangkan jangka hayatnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai barisan minyak enjin baharu ini, hubungi 1-800-88-2020 atau layari www.honda.com.my.
TITISAN minyak berwarna hitam pekat dari bahagian bawah kenderaan bukan sahaja ‘menyakitkan’ mata malah, mengotorkan permukaan lantai.
Terdapat pelbagai faktor berlaku situasi ini dan antaranya disebabkan kebocoran minyak power steering atau oil power steering.
Apakah punca berlaku masalah ini?
Ada macam-macam sebab berlaku kebocoran oil power steering. Salah satu punca adalah kerena berlaku kerosakan pada Seal Steering Rack.
Kerosakan seal
Seal memainkan peranan sangat penting. Ia mencegah daripada berlaku kebocoran minyak terdapat pada oil power steering.
Justeru, seal yang bermasalah seperti berlaku keretakan akan menyebabkan ‘tumpahan’ oil power steering.
Kebiasaannya, agak sukar untuk mengesan sama ada berlaku kerosakan pada seal terutama ketika kenderaan sedang di parkir.
Bagaimanapun, tumpahan minyak akan berlaku dengan sangat ‘ligat’ ketika kenderaan sedang bergerak.
Ini pasti menyukarkan anda untuk mengetahui sama ada berlaku tumpahan minyak atau sebaliknya.
Maka, jalan terbaik adalah sentiasa melakukan pemeriksaan berkala dan pastikan menukar komponen yang rosak bagi mengelak berlaku masalah di masa depan.
Selain itu, anda juga dinasihati menukar seluruh set power steering jika ia mengalami kerosakan teruk sekaligus, mengelak berlaku masalah di bahagian lain.
Masalah hos power steering
Kepanasan enjin berpanjangan boleh menyebabkan berlaku kerosakan pada hos power steering.
Antara kerosakan hos power steering termasuk berlaku rekahan kecil atau pecah sehingga menyebabkan kebocoran minyak.
Tanda kebocoran minyak mungkin tidak terlalu kelihatan. Namun, anda perlu peka dengan situasi ini.
Hal ini kerana titisan kecil juga antara tanda berlaku kebocoran oil power steering.
Spring clamp makin kendur
Setiap power steering akan dipasang dengan spring clamps.
Spring clamps yang dimamah usia akan menyebabkan ia menjadi semakin kendur dan sekaligus berlaku kebocoran minyak.
Kedudukan spring yang tidak berada pada keadaan sepatutnya juga akan menyebabkan masalah besar kepada pemilik kenderaan.
Itu antara tiga punca berlaku kebocoran oil power steering.
Anda yang mempunyai maklumat lanjut atau ingin berkongsi pandangan sila layari akaun media sosial EnGear!