Tag Archives: Miss Asia

Miss Asia (Asia Tenggara) 2024 terima Proton S70

Proton baru-baru ini telah menyerahkan sebuah Proton S70 kepada Miss Asia (Asia Tenggara) 2024 iaitu Janice Chian Yan Tong dalam satu majlis yang didadakan di ibu pejabat Pusat Kecemerlangan (COE) Proton.

Gadis berusia 24 tahun yang berasal dari Ipoh itu telah dinobatkan sebagai pemenang mahkota berprestij itu setelah mengalahkan 16 finalis lain.

“Proton berbesar hati untuk menghadiahkan sebuah Proton S70 kepada pemenang Miss Asia (Asia Tenggara) 2024 sebagai hadiah utama dan ganjaran atas kemenangannya. Pertandingan berprestij ini melambangkan kecemerlangan, cita-cita dan keyakinan, yang merupakan nilai-nilai yang selaras dengan nilai korporat kami,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Selepas memandu uji kereta baharunya buat kali pertama, Janice berkata dia kagum dengan pengendalian, ciri-ciri pintar dan reka bentuk anggun sedan tersebut.

“Proton S70 memenuhi semua keperluan saya daripada kuasa yang mengagumkan, gaya yang sofistikated, keselamatan, sehinggalah teknologi moden. Ia adalah kereta yang benar-benar menonjol dalam kelasnya,” kata Janice.

Dilancarkan ke pasaran November 2023, S70 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter turbo tiga silinder yang menghasilkan 150 PS dan 226 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan.

Harga jualan bermula dari RM73,800 untuk Executive, RM79,800 untuk Premium, RM89,800 untuk Flagship dan RM94,800 untuk Flagship X.