Tag Archives: Mitsubishi Motors Malaysia

Mitsubishi Motors Malaysia catat peningkatan jualan 36.3% pada 2022

PRESTASI jualan keseluruhan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) terus menyaksikan pertumbuhan apabila syarikat itu merekodkan jualan tertinggi sebanyak 24,017 unit dari Januari hingga Disember 2022.

Menurut MMM, angka tersebut 37.3 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Secara keseluruhan, syarikat itu menduduki tangga ketiga jualan jenama automotif bukan nasional dengan bahagian pasaran sebanyak 3.3 peratus.

MMM dalam satu kenyataan berkata prestasi memberangsangkan itu disumbangkan oleh Mitsubishi Xpander yang mencatatkan pretasi terbaiknya dengan 14,316 unit terjual sepanjang tahun lalu, naik 93.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Salah sebuah keluaran Mitsubishi yang terbaharu iaitu model Xpander. - Foto ihsan Mitsubishi

Dengan prestasi tersebut, crossover tujuh tempat duduk itu juga menyumbang 59.6 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan MMM.

Bagi Triton pula, jualan trak pikap itu meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada 9,697 unit, sekaligus menyumbang 40.4 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan syarikat itu. Ini membolehkan Triton menduduki tangga kedua dalam segmen trak pikap walaupun berdepan cabaran sengit daripada jenama-jenama lain.

Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Shinya Ikeda berkata pihaknya berbangga dan berterima kasih kepada semua pelanggan Mitsubishi atas sokongan yang tidak berbelah bagi.

Triton Rally Car

“Salah satu pencapaian penting kami tahun ini adalah trak pikap Triton yang mencapai jualan ke-100,000 di Malaysia sejak penubuhan MMM pada 2005.

“Dari segi produk, akhir tahun lalu pasukan Mitsubishi RALLIART Triton muncul pemenang keseluruhan walaupun menjadi peserta kali pertama Asia Cross Country Rally (AXCR) pada November. Triton Rally Car dibina berasaskan model produksi dengan hanya beberapa modifikasi ke atas berat dan keselamatan untuk pertandingan itu,” tambah beliau.

Ikeda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan niaga MMM atas sokongan mereka. Tahun lalu, 91 peratus wakil pengedar Mitsubishi menaik taraf outlet masing-masing dengan indetiti viusal (VI) baharu untuk pengalaman pemilikan yang lebih baik.

Pemilik Mitsubishi Triton ke-100,000 dapat diesel percuma bernilai RM27,000

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) baru-baru ini meraikan kejayaan mencatat jualan yang ke-100,000 unit bagi Mitsubishi Triton di pasaran Malaysia.

Sejak penubuhan syarikat pada 2005, trak pikap Triton telah menjadi asas bagi perniagaan Mitsubishi Motors dan memberikan manfaat kepada pelanggan dari segi pengendalian, prestasi, keselamatan dan harga jualan kompetitif bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza.

Tahun lalu, Triton mengekalkan pegangan pasarannya sebanyak 22 peratus walaupun berdepan pandemik dan saingan sengit daripada pesaing-pesaingnya. Jualan trak pikap itu mencecah 9,268 unit pada 2021, menunjukkan peningkatan sebanyak 34 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagi meraikan kejayaan bermakna ini, MMM menghadiahkan diesel percuma untuk 100,000 km bernilai RM27,000 kepada pemilik Triton yang ke-100,000 iaitu Muhammad Faerus.

Bersempena dengan sambutan ini juga, Mitsubishi Motors akan mengadakan peraduan ‘100,000 Triton Ambitions’ bermula 14 September ini yang terbuka kepada semua pemilik Triton.

Mereka yang berminat hanya perlu mengisi borang kaji selidik peraduan dan menghantar sekeping gambar untuk salah satu atau keempat-empat kategori berikut:

  • The Stylo King – aktiviti riadah yang paling tidak dapat dilupakan dengan Triton
  • Tough Champ – pengalaman paling sukar dengan Triton
  • Extreme Adventurer – perjalanan jarak jauh yang paling tidak dapat dilupakan dengan Triton
  • Mod Hero – Triton yang dimodifikasi yang paling cool

Pemenang dari setiap kategori akan membawa pulang diesel untuk 25,000 km bernilai RM7,000 setiap satu.

Mitsubishi Motors Malaysia buka pusat 3S di Rawang

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM), bersama wakil pengedar rasmi Lofty Ambition (Rawang) Sdn Bhd, baru-baru ini telah melancarkan pusat 3S Mitsubishi Motors baharu yang terletak di Rawang.

Ia merupakan cawangan Mitsubishi Motors keempat yang dikendalikan oleh Lofty Ambition, selepas cawangan Ipoh, Taiping dan Sitiawan. Ia juga merupakan cawangan Mitsubishi Motors yang ke-16 di Lembah Klang.

Beralamat di Jalan Millenium, Pusat Perniagaan Rawang Millenium, cawangan baharu ini ditempatkan di tiga lot kedai dan kawasan berkeluasan 4,000 kaki persegi. Ia menampilkan identiti jenama Mitsubishi Motors yang selaras dengan slogan global ‘Drive Your Ambition’.

Di samping sebuah pusat servis yang serba lengkap dengan peralatan terkini, cawangan ini juga mempunyai ruang rehat dengan sambungan Wifi bagi memastikan keselesaan pelanggan. Waktu operasi adalah dari Isnin hingga Sabtu dari 9 pagi hingga 6 petang dan Ahad dari 11 pagi hingga 4 petang.

“Mitsubishi Motors dan Lofty Ambition telah menjadi rakan kongsi perniagaan sejak 2014 dan dalam tempoh lapan tahun ini, Lofty Ambition telah menubuhkan empat bilik pameran Mitsubishi. Ini menunjukkan keyakinan syarikat terhadap jenama Mitsubishi, dan komitmen untuk mengukuhkan lagi kehadiran Mitsubishi di Malaysia,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

Beliau menambah, “Bilik pameran baharu ini adalah untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan di Lembah Klang kerana kami melihat potensi besar untuk pertumbuhan perniagaan, terutamanya bagi trak pikap Triton dan crossover tujuh tempat duduk Xpander.”

Mengenai prestasi jualan syarikat, Shinya berkata sepanjang separuh pertama 2022, MMM berjaya menjual sebanyak 12,261 kenderaan, menunjukkan peningkatan sebanyak 63 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Perkongsian pasaran MMM ketika ini adalah 4 peratus, membolehkan syarikat itu mengekalkan kedudukan di tangga tiga teratas bagi jenama bukan nasional di Malaysia.