Tag Archives: mitsubishi triton

Mitsubishi Malaysia anjur festival “Drive Your Ambition” di Miri pada 18-19 Januari ini

Berita baik buat para peminat Mitsubishi di Miri, Sarawak.

Ini kerana Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan penganjuran festival “Drive Your Ambition” yang akan berlangsung pada 18-19 Januari 2025 bertempat di ParkCity Eastwood, Miri bermula jam 10.00 pagi hingga 6 petang.

Pengunjung boleh merasai sendiri kehebatan sistem Super Select 4WD-II dan tujuh mod pemanduan yang ada pada Triton menerusi sesi pandu uji menempuh pelbagai jenis laluan lasak berhalangan termasuklah side traverse, harungan air, pendakian bukit, laluan berlumpur serta laluan artikulasi.

Untuk peminat trak pikap kabin tunggal, terdapat Triton Single Cab yang sarat dengan muatan satu tan kelapa sawit yang boleh dipandu uji menempuh laluan berhalangan yang disediakan.

MMM masih lagi menawarkan promosi menarik untuk model Triton seperti Diesel Rewards dan pakej servis percuma 2-tahun.

Pengunjung yang menempah trak pikap Triton serba baharu di lokasi festival akan menerima kotak penyejuk Naturehike bernilai RM150, manakala mereka yang menyertai sesi pandu uji berhalangan Triton akan mendapat barangan menarik seperti bangku Naturehike dan beg tote Triton.

Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang disusun untuk seisi keluarga, serta persembahan artis tempatan seperti Dabra Sia pada 18 Januari dan Azam Pitt pada hari berikutnya.

Mitsubishi Triton raih anugerah rekaan terbaik Japan COTY 2024-2025

Mitsubishi Motors Corporation (MMC) mengumumkan trak pikap Mitsubishi Triton telah berjaya merangkul anugerah rekaan terbaik Japan Car of the Year (COTY) 2024-2025.

Ini merupakan kali kedua Mitsubishi Motors meraih anugerah tersebut selepas kejayaan yang sama dicatatkan oleh kei car Mitsubishi Delica pada JCOTY edisi 2023-2024.

Para juri sepakat memilik Mitsubishi Triton kerana ia memberikan imej model pacuan empat roda (4WD) yang menggalakkan para elanggan untuk meneroka gaya hidup baharu.

Generasi keenam Mitsubishi Triton telah pun selamat dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan Oktober yang lalu, dengan lima varian tersedia termasuklah varian kabin tunggal.

Triton serba baharu ini bukan sahaja mendapat imej ‘Beast Mode’, ia juga turut mendapat manfaat daripada platform, enjin, tetapan suspensi serba baharu, serta rekaan kabin yang mengutamakan imej yang moden dan praktikal dalam masa yang sama.

Perincian berkenaan Mitsubishi Triton anda boleh baca pada pautan dibawah:

Mitsubishi Triton 2025, platform & enjin baharu, lima varian, dari RM102k

Mitsubishi Triton 2025, lima perkara baru yang kami jumpa – Pandu Uji Ringkas

Mitsubishi Triton 2025, platform & enjin baharu, lima varian, dari RM102k

Mitsubishi Motors Malaysia selesai melancarkan trak pikap generasi baharu Mitsubishi Triton untuk pasaran tempatan.

Ia boleh didapati dalam lima varian utama, terdiri daripada empat varian kabin berkembar dan satu varian kabin tunggal yang dikhaskan untuk kerja-kerja berat.

Menggunakan platform serba baharu yang lebih tegar, Triton 2025 menawarkan ukuran dimensi yang lebih besar, dengan panjang 5,360 mm (+55 mm), lebar 1,930 mm (+115 mm), tinggi 1,815 mm (+35 mm) dan jarak antara roda 3,130 mm (+130 mm).

Secara standard, Triton didatangkan dengan suspensi jenis double wishbone di depan, diikuti spring dedaun di belakang yang dibantu dengan talaan untuk aspek pengendalian dan keselesaan yang lebih baik.

Selain platform baharu, Triton juga hadir dengan enjin diesel baharu MIVEC kod 4N16, dengan kuasa 181 hp @ 3,500 rpm dan daya kilas 430 Nm @ 2,250-2,500 rpm.

Varian tertinggi Athlete mendapat tetapan turbo dua tahap dengan piawaian Euro 5, dengan kuasa setinggi 204 PS @ 3,500 rpm dan daya kilas 470 Nm @ 1,500-2,750 rpm.

Selain itu, varian Athlete turut mendapat sistem stereng elektronik (EPS) dan juga sistem 4WD Super Selec II yang menawarkan sehingga tujuh mod pemanduan (Normal, Eco, Gravel, Sand, Mud, Snow, Rock).

Hanya dua varian terendah (termasuk varian kabin tunggal) dilengkapi dengan kotak gear manual enam kelajuan, manakala selebihnya hadir dengan kotak gear automatik 6-kelajuan.

Triton baharu kini menampilkan bahasa rekaan Dynamic Shield yang dipertingkatkan dengan pendekatan “Beast Mode”.

Ciri luaran termasuklah lampu utama LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED, rim 18 inci (16 inci untuk varian rendah), diikuti dengan grafik berbentuk T pada lampu belakang.

Ruang kabin pula menggunakan konsep Horizontal Axis yang lebih moden, menampilkan meter analog, skrin MID LCD tujuh inci, skrin sentuh tengah dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto, enam pembesar suara kawalan iklim dua zon, corong penyejuk udara untuk penumpang baris kedua, tempat duduk balutan leatherette premium, roda stereng balutan kulit, serta tombol gear balutan kulit.

Varian asas mendapat sistem audio yang lebih ringkas dengan 4 pembesar suara, tempat duduk fabrik, diikuti dengan roda stereng dan tombol gear urethane.

Dari segi keselamatan, Mitsubishi Triton mendapat sehingga tujuh beg udara, ABS, EBD, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Kestabilan Aktif, Bantuan Menurun Cerun (HDC), serta kelengkapan keselamatan termaju seperti Sistem Mitigasi Pelanggaran Hadapan, Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Amaran Titik Buta (BSM), Amaran Penukaran Lorong (LCA), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Bantuan Suluhan Tinggi (AHB).

Untuk pasaran tempatan, harga jualan Mitsubishi Triton 2025 adalah seperti berikut:
Triton Single Cab (MT) – RM101,980
Triton GL (MT) – RM114,980
Triton GL (AT) – RM116,980
Triton Premium (AT) – RM145,980
Triton Athlete (AT) – RM165,980

Secara standard, Mitsubishi Triton 2025 datang dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau had perbatuan 200,000 km (yang mana tiba dahulu), kecuali Mitsubishi Triton Athlete yang hadir dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun, sah untuk pendaftaran sehingga 31 Disember 2024 sahaja.

Mitsubishi Triton Single Cab 2025

Mitsubishi Triton 2024, tempahan kini dibuka, lima varian, harga dari RM102,000

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini secara rasmi membuka tempahan bagi model trak pikap generasi keenam Mitsubishi Triton 2024.

Ditawarkan dalam lima varian, harga jualan anggaran Mitsubishi Triton bermula dari RM102,000 untuk varian Single Cab, dan dari RM170,000 untuk varian Triton Athlete.

Mitsubishi Triton serba baharu membawakan beberapa perubahan yang besar dari segi luaran dan dalaman.


Ia kini menampilkan bahasa rekaan baharu Beast Mode, enjin diesel baharu 2.4 liter turbo (4N16) yang mampu menjana kuasa 184 PS/350 Nm (Single Cab), atau setinggi 204 PS/470 Nm untuk varian tertinggi.

Triton baharu juga datang dengan casis mega rangka yang dibangunkan baharu menawarkan ketahanan dan kelasakan, serta saiz badan yang lebih besar berbanding model terdahulu.

Sistem suspensi baharu juga kini menawarkan kestabilan pengendalian dan keselesaan pemanduan, diikuti dengan sistem pacuan empat roda Super Select-II dan tujuh mod pemanduan.


Aspek keselamatan trak pikap ini telah ditambah baik dengan fungsi Active Yaw Control, dan kelengkapan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS).

Ia juga turut menawarkan kemudahan serba moden seperti slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta pelbagai ruang storan barangan tersedia di dalam ruang kabin.

Akhir sekali, untuk mereka yang mahukan kuda kerja, Triton Single Cab menawarkan dek kargo yang paling besar di dalam segmennya, dengan dimensi 2,340 mm lebar dan 1,580 mm panjang.

Bagi 500 orang pertama yang membuat tempahan trak pikap Mitsubishi Triton 2024 akan menerima kotak storan boleh lipat sebesar 60 liter bernilai RM450.

AXCR 2024: Team Mitsubishi Ralliart tampilkan Delica Mini sebagai kereta sokongan

Mitsubishi Motors menerusi pasukan Mitsubishi Ralliart menyasarkan gelaran juara dalam perlumbaan Asia Cross Country Rally 2024 (AXCR 2024) yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 17 Ogos ini.

Dalam pertandingan yang akan diadakan di kawasan tengah dan selatan Thailand, pasukan Mitsubishi Ralliart akan menampilkan sehingga empat buah jentera pikap Triton generasi baharu, diikuti pasukan kereta sokongan yang terdiri daripada Delica D:5, Outlander PHEV dan kei car Delica Mini!

Jentera Triton tersebut telah pun diuji prestasinya menerusi ujian ketahanan sejauh 800 km atas jalan biasa dan laluan off-road pada lewat Jun yang lalu, diikuti sesi ‘shakedown’ pada 6 Ogos yang lepas untuk memastikan ia berada dalam keadaan yang optimum untuk pertandingan tahun ini.

Menurut pengarah pasukan Hiroshi Masuoka, “selain menaik taraf prestasi pemanduan dan lebar bunga tayar, kami juga turut menambah baik suspensi belakang dengan menggunakan kepakaran yang diperoleh daripada bekas pemenang Rali Dakar, iaitu Pajero.

“Penambahbaikan juga telah dibuat pada kekuatan asalnya, seperti pengendalian atas laluan yang ekstrem supaya jentera rali yang digunakan kali ini dapat memberikan prestasi yang kami harapkan.

Seperti yang disebutkan tadi, pasukan Mitsubishi Ralliart akan menampilkan empat buah minivan Delica D:5, SUV Outlander PHEV dan sebuah kei car Delica Mini sebagai kereta sokongan.

Salah satu daripada empat unit Delica D:5 tersebut akan digunakan sendiri oleh pengarah pasukan Hiroshi Masuoka untuk pemeriksaan laluan yang akan digunakan oleh jentera rali, di mana ia dilengkapi dengan suspensi khas yang meninggikan jarak lega bumi sebanyak 20 mm.

Kesemua kereta sokongan Mitsubishi Ralliart tersebut dilengkapi dengan rim aloi Work CRAG T-GRABICII (rim Work Emotion M8R untuk Outlender PHEV), serta balutan tayar off-road Yokohama GEOLANDER.

Selain itu, kesemua enam kereta sokongan akan menampilkan grafik badan yang sama seperti jentera rali Triton.

Sebanyak 67 buah jentera akan bersaing dalam pertandingan AXCR tahun ini, terdiri daripada 46 dalam kategori auto, 19 dalam kategori motosikal dan 2 kategori sidecar.

Acara pembukaan akan diadakan pada 11 Ogos di tengah-tengah kawasan Surat Thani, selatan Thailand, dan berakhir di Skywalk Kanchanaburi pada 17 Ogos.

 

Ironman 4×4 lancar aksesori off-road khusus untuk Mitsubishi Triton

Di Australia, bull bar merupakan antara aksesori wajib yang dipadankan pada trak pikap masing-masing.

Populariti aksesori tersebut mendorong pengeluar barangan off-road terkemuka, Ironman 4×4 tampil melancarkan sehingga tiga rekaan yang berbeza, khusus untuk para pemilik trak pikap Mitsubishi Triton.

Tiga rekaan bull bar yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

1. Commercial – bull bar ‘aras mula’ yang menawarkan beberapa titik pelekap untuk memuatkan kelengkapan tertentu.

2. Deluxe – bull bar yang lebih lengkap dengan ciri seperti lampu LED tambahan, titik pemulihan, serta cagak khas untuk antena.

3. Raid – bull bar yang lebih ringkas tanpa batang besi perlindungan untuk unit lampu utama dan hud.

Kesemua bull bar yang ditawarkan itu diperbuat daripada bahan yang digelar sebagai powder-coated steel, dan masih lagi berupaya mengekalkan segala ciri keselamatan yang telah wujud pada trak pikap tersebut.

 

Ironman 4×4 turut menawarkan penambahan fender lebar khusus untuk geng trak pikap bertayar besar, bar pelindung untuk bahagian belakang, serta kit naik taraf suspensi yang menawarkan konfigurasi gas nitro atau sel busa, serta tetapan untuk tugas ringan, tugas sederhana atau tugas berat.

Di pasaran Australia, anda boleh mendapatkan aksesori Ironman 4×4 bermula seawal Julai 2024 dengan harga yang tertera seperti berikut:

Fender flare – AU$499 (RM1,559)
Bar pelindung belakang  – AU$1,411 (RM4,409)
Bull bar Commercial – AU$1,934 (RM6,043)
Bull bar Raid – AU$2,299 (RM7,183)
Bull bar Deluxe – AU$2,561 (RM8,002)
Kit suspensi – bermula dari AU$2,184-3,008 (RM6,824-RM9,398)

Mitsubishi Triton terima penarafan lima bintang ASEAN NCAP

MITSUBISHI mengumumkan bahawa trak pikap Triton serba baharu telah menerima penarafan keselamatan lima bintang dalam Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Apa yang menarik, Triton generasi keenam itu merupakan trak pikap pertama yang diuji di bawah protokol penilaian 2021-2025.

Menurut laporan rasmi ASEAN NCAP, trak pikap tersebut mendapat markah keseluruhan sebanyak 74.71 mata, melayakannya mendapat penarafan lima bintang.

Jumlah mata keseluruhan yang dicapai adalah daripada empat kategori penilaian iaitu kategori penilaian iaitu perlindungan penumpang dewasa (AOP), perlindungan penumpang kanak-kanak (COP), bantuan keselamatan (SA) dan keselamatan penunggang motosikal (MS).

Dalam kategori AOP, Triton mencapai 32.52 mata daripada 40 mata keseluruhan, manakala dalam kategori COP pula ia mendapat 17.54 mata daripada 20. Untuk kategori BA dan MS pula, model itu meraih 14.44 mata daripada 20 dan 10.22 mata daripada 20.

Semua varian Triton dilengkapi dengan tiga beg udara, Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Stability Control (ESC), Seat Belt Reminder System (SBR) untuk pemandu dan penumpang hadapan, dan teknologi Pedestrian Protection.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan beberapa teknologi bantuan keselamatan yang disertakan secara standard atau pilihan.

Ini termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB) City, AEB Inter-Urban, AEB Pedestrian, Lane Departure Warning, Forward Collision Warning, Blind Spot Detection (BSD) dan Auto High Beam (AHB). Sesetengah varian juga didatangkan standard dengan tujuh beg udara dan SBR untuk penumpang belakang.

Triton Tuners Club Malaysia jayakan AGM, sumbang pusat pengumpulan sampah bergerak

BARU-baru ini, bandar Kuantan menjadi lokasi bagi kelab Triton Tuners Club Malaysia (TTCM) menjayakan mesyuarat tahunan mereka yang ke-11.

Acara yang diadakan pada 10 hingga 13 November bertempat di De Rhu Beach Resort, Balok itu menghimpunkan pemilik Mitsubishi Triton dan ahli kelab dari seluruh Semenanjung Malaysia.

Hari pertama pada petang Jumaat menyaksikan ketibaan lebih 100 kenderaan peserta secara berperingkat memasuki perkarangan hotel.

Di hari kedua, acara dipenuhi dengan aktiviti seperti sukaneka Telematch Hari Keluarga, program CSR dengan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar pantai, dan sumbangan TTCM berupa pusat pengumpulan sampah dan kitar semula bergerak.

Program kemuncak ialah Annual Grand Meeting (AGM) yang dibuat di dewan bertutup untuk ahli-ahli berdaftar. Agenda mesyuarat kali ini termasuklah hala tuju kelab, lantikan ahli jawatan kuasa baharu, dan sesi bergambar sebelum persiapan makan malam.

Menurut Muhammad Farid bin Ayob, Presiden TTCM, kelab ini merupakan organisasi berdaftar dengan ROS dengan jumlah keahlian melebihi 300 orang sejak ditubuhkan pada 2010.

Beliau juga menyatakan pengharagaan kepada semua ahli dan peserta yang terlibat dalam acara kali ini, dan berharap semangat kerjasama serta setia kawan sesame ahli dapat dikekalkan.

Hari kedua ditamatkan dengan makan malam, penyampaian hadiah sukaneka, dan sesi cabutan bertuah yang menawarkan set rim suka dan tayar Yokohama. Ia dimenangi oleh Abdullah Sani dan disampaikan oleh CEO Mitsubishi Motors Malaysia sendiri, Shinya Ikeda sebagai tetamu khas.

Antara aktiviti dan sumbangan TTCM terhadap masyarakat sebelum ini adalah seperti misi bantuan banjir, lawatan amal ke rumah anak-anak yatim dan orang tua, dan menjadi kenderaan sokongan kepada korporat serta agensi kerajaan.

Teks dan gambar: Raziman Sipico

Ini dia Mitsubishi Triton serba baharu! 2024 baru masuk Malaysia

INILAH dia tuan-tuan dan puan-puan, pencabar terbaharu dalam segmen trak pikap, iaitu Mitsubishi Triton serba baharu kini dilancarkan. Ia membuat pelancaran global di Thailand dan dijangka tiba ke pasaran kita tahun depan.

Triton atau L200 di sesetengah pasaran kini dalam generasi keenam, dan menampilkan rekaan segar sepenuhnya. Sebelum itu, sedikit info dimana ia mendapat ruang kargo belakang yang lebih kukuh dengan penggunaan bingkai selain terdapat anak tangga tambahan untuk lebih praktikaliti.

Penawaran varian akan berbeza mengikut pasaran, tetapi varian tinggi didatangkan dengan gril depan berwarna badan, digabungkan dengan kemasan titanium gelap pada beberapa panel lain.

Selain dari warna Yamabuki Orange Metallic ini, Triton serba baharu boleh didapati dengan warna Blade Silver Metallic, White Diamond, Solid White, Jet Black Mica, dan Graphite Gray Metallic.

Mitsubishi Triton baharu ini dilengkapi dengan Super Select 4WD-II dan Easy Select 4WD, merangkumi limited-slip differential dengan agihan 40:60 untuk depan dan belakang.

Terdapat mod 2H (RWD), 4H (4WD), 4HLc (4WD dengan differential tengah dikunci), dan 4LLc (4WD low-range dengan differential dikunci). Mod pemanduan pula terdiri dari Normal, Eco, Gravel, Snow, Mud, Sand, dan Rock.

Suspensi juga telah ditambah baik, dimana double-wishbone belakang mendapat spring dedaun lebih ringan. Model dengan Super Select 4WD juga dilengkapi dengan Active Yaw Control (AYC) untuk memastikan selekoh dapat diambil dengan baik, sistem ini menggunakan fungsi brek individu di tayar depan.

Untuk enjin pula, Triton 2023 mendapat unit 2.4-liter diesel baharu, dengan output 148hp/330Nm, 181hp/430Nm, dan 201hp/470Nm. Transmisi pula boleh dipilih antara automatik 6-kelajuan atau manual 6-kelajuan.

Ruang dalaman juga menerima pembaharuan, walaupun masih terdapat meter analog. Kawalan pendingin hawa berasingan di bawah skrin infotainmen, menggunakan dua tombol berpusing. Penukaran antara 2WD dengan 4WD juga mudah, dengan hanya butang di konsol tengah.

Berminat? Mitsubishi Triton baharu ini hanya akan memasuki pasaran Malaysia hujung tahun depan. Terlalu lambat? Kami yakin ramai yang menunggu, pasti menarik jika dapat tiba ke sini dalam separuh masa pertama 2024. Sementara itu, jemput cuci mata dengan galeri di bawah: