Tag Archives: MLFF

PLUS mula uji sistem tol tanpa palang April ini

Laman berita The Edge melaporkan syarikat konsesi lebuh raya PLUS Expressways Bhd akan memulakan ujian rintis sistem tol tanpa palang tersendiri, bermula April ini.

Sistem aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) yang dibangunkan sendiri itu bertujuan untuk mengelakkan salah guna dan eksploitasi keuntungan semasa pelaksanaannya.

Selain itu, syarikat tersebut akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengenakan penalti terhadap pengguna yang culas membayar tunggakan tol.

Menurut seorang eksekutif industri, objektif kerjasama dengan JPJ adalah untuk memastikan pengguna yang masih mempunyai tunggakan bayaran tol untuk melunaskan hutang sebelum dibenarkan memperbaharui cukai jalan.

The Edge turut melaporkan pihak PLUS mempunyai kelebihan tersendiri, di mana syarikat tersebut memiliki subsidiari Teras Teknologi Sdn Bhd yang kini menyediakan sistem pembayaran tol elektronik kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya lain.

Selain PLUS, antara syarikat konsesi lebuh raya yang sudah memulakan ujian rintis sistem MLFF termasuklah Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), serta Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR).

Kerajaan buka permintaan untuk cadangan (RFP) bagi kurangkan kos projek MLFF

KERAJAAN pusat bercadang mengeluarkan permintaan untuk cadangan (RFP) sebagai pendekatan alternatif bagi projek Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) bernilai RM3.46 bilion, lapor The Edge.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kos projek itu. Tambah beliau lagi, kementerian telah pun mengumumkan hasratnya untuk mengeluarkan RFP.

“Kami telah mengumumkan bahawa kami akan mengeluarkan RFP sebagai ‘Pelan B’. Pada masa yang sama, kami memberi masa sehingga Disember untuk syarikat yang terlibat dalam projek cadangan MLFF,” kata Ahmad.

Belia berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Roslan Hashim (Perikatan Nasional-Kulim Bandar Baru), yang ingin tahu status terkini projek MLFF.

MLFF merupakan sistem tanpa palang yang direka untuk menggantikan sistem kutipan tol berpalang sedia ada. Sistem berkenaan menggunakan gantri yang dilengkapi dengan peranti pengenalan frekuensi radio (RFID) dan sistem pengecaman plat nombor automatik (ANPR) untuk membuat kutipan tol.

Sistem MLFF yang dicadangkan dianggarkan menelan belanja RM3.46 bilion untuk 33 lebuh raya di Malaysia.

Tahun lalu, sebanyak 32 syarikat konsesi tol lebuh raya menentang langkah kerajaan melantik sebuah syarikat berkaitan YTL Holdings Bhd untuk membangunkan sistem tanpa palang itu kerana kekurangan rekod prestasi entiti swasta itu.

Bukan itu sahaja, syarikat-syarikat itu juga bimbang pengambilalihan kutipan tol oleh pihak ketiga akan mengakibatkan ketirisan.

Pada Februari tahun ini, FMT melaporkan bahawa Berjaya Group Bhd telah mengadakan mesyuarat dengan wakil 32 syarikat konsesi tol lebuh raya bagi mendapatkan maklum balas sebelum mengemukakan cadangan terakhirnya kepada Kementerian Kerja Raya.

Minggu lalu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan bahawa rundingan untuk sistem MLFF sedang berjalan, dengan beberapa peringkat masih belum dimuktamadkan sebelum keputusan dicapai.

Berjaya Group bida pasang sistem tol tanpa palang

BERJAYA Group Bhd dipercayai dipercayai sedang mendapatkan sokongan daripada syarikat konsesi lebuh raya dalam bidaan untuk memasang sistem tanpa palang di plaza tol, lapor Free Malaysia Today (FMT).

Menurut sumber yang dipetik oleh FMT, cadangan itu dibuat selepas 32 syarikat konsesi tol lebuh raya menentang langkah kerajaan melantik unit YTL Holdings Bhd bagi menghasilkan sistem tanpa palang itu.

Menurut sumber itu, eksekutif kanan Berjaya telah mengadakan mesyuarat dengan wakil 32 syarikat konsesi untuk menjelaskan perkara yang mereka fikirkan dan mendapatkan maklum balas mereka sebelum mengemukakan cadangan terakhirnya kepada Kementerian Kerja Raya.

Tawaran Berjaya itu dikatakan lebih menarik berbanding cadangan sebelum ini yang masih dalam pertimbangan kerajaan.

“Pada asasnya, rancangan mereka adalah apa yang kami mahu, untuk membenarkan syarikat lebuh raya membina pondok tol aliran bebas pelbagai lorong manakala Berjaya atau syarikat lain menyediakan perkhidmatan kutipan tol.

“Di bawah rancangan ini, syarikat konsesi akan mendapat pendapatan mereka pada hari berikutnya, seperti yang diamalkan sekarang,” kata sumber itu.

Tambah sumber itu lagi, syarikat konsesi juga mencadangkan syarikat yang menyediakan perkhidmatan kutipan tol itu akan menjaga kebocoran pendapatan yang timbul apabila pondok tol berpalang dibuang.

“Kami tidak mahu terperangkap dengan mengesan pemandu yang memandu lalu tanpa membayar,” katanya.

Sistem pembayaran terbuka dilaksana di 5 lebuh raya selewatnya September 2023

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexandar Nanti Linggi mengumumkan bahawa sistem kutipan tol baharu akan dilancarkan September ini bagi membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit.

Sistem baharu ini akan dilaksanakan di lima lebuh raya iaitu Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Jambatan Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan, Nanta berkata kementeriannya sedang dalam proses peralihan kepada sistem aliran bebas pelbagai Lorong (MLFF).

“Sejak awal tahun ini, saya sudah mengarahkan perancangan serta perbincangan bersama pihak-pihak terlibat serta syarikat konsesi lebuhraya diadakan bagi mengorak langkah ke arah pelaksanaan open payment system (sistem pembayaran terbuka).

“Hasil perbincangan ini, sukacita ingin saya memaklumkan bahawa beberapa lebuhraya akan melaksanakan open payment system selewat-lewatnya pada September 2023,” katanya di Facebook.

Menurut beliau lagi, Proof of Concept (POC) MLFF akan dilaksanakan sebelum penghujung Oktober 2023 bagi tujuan penilaian seblum ini dilaksanakan di kesemua lebuh raya di Malaysia.

Nanta berkata lokasi POC masih dalam rundingan dan berjanji pelaksanaan sepenuhnya MLFF akan dijalankan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.

Plaza tol ERP di Singapura. Gambar oleh: Malay Mail

Langkah ini dilihat akan membuka peluang kepada lebih ramai penyedia kemudahan eWallet untuk turut serta, selain menghapuskan monopoli oleh pihak Touch N Go (TnG).

Katanya lagi, persaingan sihat antara pemain industri akan membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuh raya untuk membuat pembayaran tol.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata monopoli TnG terhadap pembayaran tol lebuh raya akan dikaji semula.