Tag Archives: MMM

Mitsubishi Malaysia tawar promosi istimewa sepanjang KLIMS 2024

Mitsubishi Motors Malaysia menyediakan promosi istimewa sepanjang tempoh penganjuran acara pameran Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024) dari 5-11 Disember 2024.

Rakyat Malaysia boleh berkunjung ke reruai Mitsubishi Motors Malaysia yang terletak di Level 2, di mana MMM akan mempamerkan tema “Drive Your Ambition” yang menggambarkan komitmen jenama itu terhadap inovasi, cabaran dan nilai berpusatkan pelanggan.

Selain itu, pelanggan yang menempah dan mendaftarkan Mitsubishi Triton atau Xpander serba baharu di reruai MMM atau mana-mana pusat pameran MMM akan menerima pakej berupa subsidi bahan api dan pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun.

Menurut CEO MMM, Ikeda Shinya berkata, “kami mahu menawarkan bahan api kepada para pelanggan kami untuk pergi lebih jauh, memastikan mereka dapat sampai ke destinasi tanpa perlu risau semasa musim perayaan akhir tahun.

“Tambahan pula, kami mahu menyediakan pakej penyelenggaraan percuma, memberikan ketenangan minda kepada para pelanggan dan membolehkan mereka menikmati pengalaman pemilikan bebas masalah.

Selain daripada pameran model terbaharu, MMM juga akan mempamerkan pelbagai aksesori tulen untuk model Triton dan Xpander yang dapat memenuhi keperluan gaya hidup para pelanggan Mitsubishi Motors.

MMM juga mengumumkan pelancaran program pajakan kenderaan MAX Leasing menerusi kerjasama dengan ALD MHC Mobility Services Malaysia.

Program ini menyediakan alternatif yang lebih terurus kepada pembelian kenderaan secara langsung dengan kadar faedah yang lebih stabil dan jaringan servis yang menyeluruh bagi menyokong pertumbuhan pajakan kenderaan.

 

Mitsubishi Triton 2024, tempahan kini dibuka, lima varian, harga dari RM102,000

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini secara rasmi membuka tempahan bagi model trak pikap generasi keenam Mitsubishi Triton 2024.

Ditawarkan dalam lima varian, harga jualan anggaran Mitsubishi Triton bermula dari RM102,000 untuk varian Single Cab, dan dari RM170,000 untuk varian Triton Athlete.

Mitsubishi Triton serba baharu membawakan beberapa perubahan yang besar dari segi luaran dan dalaman.


Ia kini menampilkan bahasa rekaan baharu Beast Mode, enjin diesel baharu 2.4 liter turbo (4N16) yang mampu menjana kuasa 184 PS/350 Nm (Single Cab), atau setinggi 204 PS/470 Nm untuk varian tertinggi.

Triton baharu juga datang dengan casis mega rangka yang dibangunkan baharu menawarkan ketahanan dan kelasakan, serta saiz badan yang lebih besar berbanding model terdahulu.

Sistem suspensi baharu juga kini menawarkan kestabilan pengendalian dan keselesaan pemanduan, diikuti dengan sistem pacuan empat roda Super Select-II dan tujuh mod pemanduan.


Aspek keselamatan trak pikap ini telah ditambah baik dengan fungsi Active Yaw Control, dan kelengkapan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS).

Ia juga turut menawarkan kemudahan serba moden seperti slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta pelbagai ruang storan barangan tersedia di dalam ruang kabin.

Akhir sekali, untuk mereka yang mahukan kuda kerja, Triton Single Cab menawarkan dek kargo yang paling besar di dalam segmennya, dengan dimensi 2,340 mm lebar dan 1,580 mm panjang.

Bagi 500 orang pertama yang membuat tempahan trak pikap Mitsubishi Triton 2024 akan menerima kotak storan boleh lipat sebesar 60 liter bernilai RM450.

Mitsubishi Xpander capai 40,000 unit pengeluaran dalam tempoh 4 tahun

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) hari ini mengumumkan bahawa pengeluaran Xpander di Malaysia telah mencapai 40,000 unit.

MPV tujuh tempat duduk itu dilancarkan ke pasaran tempatan pada November 2020.

Bagi meraikan pencapaian ini, MMM telah melancarkan kempen untuk mencari pemilik Xpander yang ke-40,000. Pemenang akan membawa pulang hadiah utama baucar perjalanan bernilai RM10,000 di destinasi pilihan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Shinya Ikeda berkata pencapaian jualan unit ke-40,000 adalah bukti kepercayaan dan kesetiaan pelanggan mereka.

“Sejak pengenalan Xpander ke jalan raya di Malaysia pada 2020, MPV yang dipasang secara tempatan itu telah menawan pelanggan dengan reka bentuk bergaya, pengendalian yang baik dan pemanduan yang unggul,” tambah Ikeda.

Menurut MMM, Xpander berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai MPV bukan nasional No.1 di Malaysia bagi separuh pertama tahun ini iaitu dari Januari hingga Jun 2024.

Dari 13 hingga 28 Julai 2024, wakil pengedar MMM akan mengadakan promosi di bilik pameran masing-masing di mana pengunjung berpeluang menikmati rebat istimewa dan bonus.

Mitsubishi Motors Malaysia lancar program kereta terpakai Max Certified

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) telah melancarkan program kereta terpakainya tersendiri yang menawarkan pengalaman pembelian kereta terpakai jenama Mitsubishi yang mudah kepada pelanggan.

Dikenali sebagai Max Certified, program ini membolehkan pelanggan mencari pelbagai kereta Mitsubishi pra-milik di semua pengedar MMM di seluruh negara dan menukar beli kereta Mitsubishi sedia ada mereka dengan yang baru.

Pelanggan yang ingin membeli kereta Mitsubishi terpakai di bawah program ini tidak perlu risau kerana semua kenderaan telah menjalani pemeriksaan menyeluruh 150 poin yang dilakukan oleh pakar Mitsubishi yang terlatih.

Bukan itu sahaja, semua kereta yang dijual di bawah program ini juga didatangkan dengan jaminan selama 12 bulan yang merangkumi pembaikan dan/atau penggantian enjin, transmisi, stereng dan komponen elektrik disebabkan kerosakan mekanikal.

Semua kereta pra-milik Mitsubishi di bawah program Max Certified berusia tujuh tahun dan ke bawah, dengan perbatuan tidak melebihi 180,000 km ketika jual beli.

Ia juga dilengkapi dengan alat ganti tulen dari pusat servis MMM yang bertauliah, bebas dari kemalangan besar dan kerosakan banjir, serta didatangkan dengan rekod servis lengkap.

Tidak cukup dengan itu, pelanggan juga akan menerima e-baucar servis bernilai RM500 yang boleh ditebus di semua pusat servis MMM semasa melakukan penyelenggaraan berkala.

Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM berkata program Max Certified menggunakan pendekatan holistik bagi meningkatkan pengekalan pelanggan dan memastikan mereka membeli semua model Mitsubishi yang lain.

“Sementara MMM terus berusaha untuk memperkenalkan model baharu kepada rakyat Malaysia, kami juga berharga dapat menawarkan platform yang mudah untuk diakses dan dipercayai kepada mereka yang ingin membeli kereta Mitsubishi terpakai,” katanya.

Mitsubishi Motors Malaysia catat peningkatan jualan 36.3% pada 2022

PRESTASI jualan keseluruhan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) terus menyaksikan pertumbuhan apabila syarikat itu merekodkan jualan tertinggi sebanyak 24,017 unit dari Januari hingga Disember 2022.

Menurut MMM, angka tersebut 37.3 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Secara keseluruhan, syarikat itu menduduki tangga ketiga jualan jenama automotif bukan nasional dengan bahagian pasaran sebanyak 3.3 peratus.

MMM dalam satu kenyataan berkata prestasi memberangsangkan itu disumbangkan oleh Mitsubishi Xpander yang mencatatkan pretasi terbaiknya dengan 14,316 unit terjual sepanjang tahun lalu, naik 93.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dengan prestasi tersebut, crossover tujuh tempat duduk itu juga menyumbang 59.6 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan MMM.

Bagi Triton pula, jualan trak pikap itu meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada 9,697 unit, sekaligus menyumbang 40.4 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan syarikat itu. Ini membolehkan Triton menduduki tangga kedua dalam segmen trak pikap walaupun berdepan cabaran sengit daripada jenama-jenama lain.

Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Shinya Ikeda berkata pihaknya berbangga dan berterima kasih kepada semua pelanggan Mitsubishi atas sokongan yang tidak berbelah bagi.

Triton Rally Car

“Salah satu pencapaian penting kami tahun ini adalah trak pikap Triton yang mencapai jualan ke-100,000 di Malaysia sejak penubuhan MMM pada 2005.

“Dari segi produk, akhir tahun lalu pasukan Mitsubishi RALLIART Triton muncul pemenang keseluruhan walaupun menjadi peserta kali pertama Asia Cross Country Rally (AXCR) pada November. Triton Rally Car dibina berasaskan model produksi dengan hanya beberapa modifikasi ke atas berat dan keselamatan untuk pertandingan itu,” tambah beliau.

Ikeda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan niaga MMM atas sokongan mereka. Tahun lalu, 91 peratus wakil pengedar Mitsubishi menaik taraf outlet masing-masing dengan indetiti viusal (VI) baharu untuk pengalaman pemilikan yang lebih baik.