Tag Archives: MODA

Moda Sporter S, skuter 250 cc terpaling sporti – tunggang uji

Biarpun kita baru sahaja memasuki bulan keempat tahun 2025, para peminat skuter mungkin sudah rambang mata dengan kehadiran pelbagai jenis model yang ada di pasaran.

Lebih-lebih lagi, segmen skuter 250 cc kini sangat meriah dengan skuter buatan Jepun, China, dan tidak ketinggalan jenama tempatan seperti Modenas.

Salah satu daripadanya ialah Moda Sporter S.

Ya, Moda Sporter S merupakan antara skuter yang cukup mencuri tumpuan di atas jalan raya.

Untuk pengetahuan, Moda merupakan jenama tempatan yang dimiliki oleh AFY Mobility Industries, syarikat sama yang memegang hak jenama motosikal Suzuki di sini

Dilancarkan sejak beberapa bulan lepas, Moda Sporter S nyata mampu menjadi satu alternatif skuter yang terpaling sporti rakyat Malaysia boleh beli.

Kami diberikan peluang untuk membawa pulang skuter ini untuk tempoh masa yang agak lama, dan berikut merupakan ulasan kami:

 

1. Rupa paras

Reka bentuk skuter Sporter S ini mengingatkan penulis pada superbike jenama ternama di pasaran yang sememangnya mempunyai golongan pengikut yang agak besar dan tersendiri.

Bukti yang paling jelas, terang dan nyata sudah tentu sekali muka depan yang menampilkan unit lampu berkembar.

Jika dilihat dari jarak jauh, anda mungkin akan menyangka Sporter S ini sebuah superbike yang bisu.

Lampu LED tersebut memberikan prestasi pencahayaan yang agak terang untuk tunggangan pada waktu malam, cuma penulis rasa bahagian belakang skuter ini boleh dikemaskan dengan pendekatan yang lebih baik dan senonoh

Posisi lampu membelok belakang agak pelik, dan penulis dapati nyalaan lampu belakang juga malap ketika tunggangan pada waktu siang.

Mujur skuter ini dilengkapi dengan lampu nyalaan siang (DRL) jenis LED yang cukup terang dan lampu membelok hadapan yang agak tinggi menjadikannya mudah untuk dikesan oleh pengguna jalan raya yang lain.

Skrin penghadang angin juga boleh dilaraskan ketinggiannya secara manual.

Selain itu, rekaan lantai skuter ini juga agak luas untuk memudahkan penunggang memposisikan kaki mengikut keperluan.

Sejujurnya, kami rasakan paparan meter 6.2 inci itu amat jelas dan mudah untuk dibaca, lengkap dengan dua pilihan paparan sama ada mod gelap ataupun cerah.

Cuma ada beberapa info penting dipaparkan menggunakan saiz fon huruf yang agak kecil yang sukar untuk dibaca terutama ketika sedang menunggang.

Beberapa ikon notifikasi penting diletakkan pada skrin berasingan, jadi meter digital itu tadi tidaklah jadi terlalu serabut.

Untuk pasaran Malaysia, terdapat dua pilihan warna dua tona ditawarkan, iaitu merah/putih dan juga kelabu/hijau.

 

2. Kuasa

Moda Sporter S ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 244 cc menghasilkan 24.8 hp @ 8,500rpm dan 22.5 Nm @6,500 rpm

Dalam banyak-banyak skuter mesra lesen B2 yang pernah diuji sebelum ini, Moda Sporter S merupakan antara skuter yang cukup lincah dan pantas bergerak dari keadaan pegun.

Pecutannya lancar, boleh dirasai dan dinikmati dengan baik, sangat sesuai untuk golongan rider yang gemar memulas pendikit sehingga habis saat lampu merah bertukar hijau.

Dipadankan pula dengan tangki bahan api 13 liter, skuter ini dengan senang boleh cecah jarak tunggangan melebihi 250 km.

Ya, tidak dapat dinafikan ia sebuah skuter yang sporti, dan dalam masa yang sama menawarkan kadar penggunaan bahan api yang cukup baik

 

3. Pengalaman menunggang

Pada hemat penulis, skuter ini boleh saja ditunggang dengan santai, namun boleh berubah watak menjadi skuter yang terpaling sporti.

Anda harus berterima kasih kepada pendikit yang cukup responsif terhadap arahan tangan kanan, diikuti tetapan suspensi fork hadapan jenis terbalik, dan penyerap hentak berkembar dengan larasan pra-beban.

Berdasarkan tunggangan awal di Sepang tempoh hari, penulis mendapati tetapan sistem suspensi belakang agak keras.

Tetapan tersebut sememangnya sesuai untuk meleper di selekoh, namun boleh mendatangkan kesakitan punggung apabila berdepan dengan jalan yang tidak rata.

Untuk tunggangan kali kedua, penulis mengubah tetapan suspensi belakang supaya rasa lebih selesa, terutama ketika membawa pembonceng (isteri tersayang) di belakang.

Ya, walaupun dengan tetapan yang lebih lembut, pembonceng belakang masih lagi mengadu rasa tidak selesa – mungkin sebab sudah terbiasa dengan tetapan gantungan yang lebih lembut.

Namun untuk tunggangan bersendirian, penulis kira ia sudah lebih daripada memadai untuk menikmati tunggangan yang seronok di laluan berselekoh, dan dalam masa yang sama menyerap segala kekasaran untuk memberikan perlindungan sewajarnya kepada otot punggung dan tulang belakang.

Sebut pasal pelana, penulis harus berterima kasih kepada Moda kerana menawarkan kusyen yang cukup empuk dan selesa untuk tempoh tunggangan yang sederhana lama.

Akhir sekali, Moda Sporter S ini didatangkan dengan tetapan brek cakera depan berkembar saiz 260 mm dan belakang 240 mm.

Penulis kira, tetapan brek yang wujud pada Sporter S ini cukup sesuai untuk kegunaan di Malaysia, terutama ketika berdepan dengan situasi kecemasan.

Dibantu pula dengan sistem brek ABS dua saluran, sistem brek standard ini memberikan lebih keyakinan kepada penunggang untuk memberhentikan pergerakan skuter ini dalam keadaan yang lebih terkawal.

 

4. Ciri yang amat dihargai

Selain daripada apa yang disebutkan di atas, skuter Moda Sporter S ini ada membawakan ciri canggih yang memudahkan urusan.

Seperti contoh, terdapat sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) terbina, jadi penunggang akan lebih sentiasa berwaspada dengan perubahan yang tidak dijangka sepanjang perjalanan.

Ruang storan bawah pelana cuma sebesar 10 liter, jadi ia hanya sesuai untuk meletakkan barangan penting seperti baju hujan dan dokumen penting.

Sayang sekali, helmet saiz penuh tidak sesuai untuk dimuatkan dan anda mungkin perlu memasang kotak storan tambahan di belakang.

Terdapat juga dua ruang storan kecil di bahagian hadapan untuk meletakkan peranti pintar, siap dengan slot pengecasan jenis USB.

Penulis amat hargai susunan butang fungsi yang mudah dioperasikan dan lengkap dengan bantuan pencahayaan yang  menampakkan skuter ini lebih mahal dan rasa premium.

Seperkara yang penulis rasakan Moda Sporter S ini sesuai dipertimbangkan ialah saiznya yang tidak terlalu lebar, sangat sesuai untuk kegunaan di dalam bandar yang sibuk, seperti Kuala Lumpur.

Terima kasih kepada cermin sisi yang diposisikan lebih tinggi, penulis juga tidak perlu risau kemungkinan tercalarkan kereta lain ketika sedang mencelah di tengah-tengah trafik

Ia juga boleh dilipat untuk memudahkan urusan ketika sedang memasuki kawasan parkir motosikal di pusat membeli belah yang rata-ratanya kecil dan sempit.

Tayar standard Timsun yang dibekalkan dari kilang itu memberikan cengkaman yang diperlukan baik di atas jalan lurus mahupun di laluan yang berliku.

Prestasi di atas jalan basah juga tidak mengecewakan, dan kami kira untuk tunggangan agresif di dalam litar juga tidak memberikan sebarang masalah.

 

5. Kekurangan

Ada beberapa perkara yang kami rasa boleh ditambah baik oleh pihak Moda untuk skuter Sporter S ini

Yang pertama ialah cermin sisi yang bergegar teruk walaupun pada kelajuan bawah 100 km/j yang menyukarkan kami untuk melihat kelibat kenderaan yang datang dari arah belakang.

Selain itu, sudut larasan cermin ini juga tidak terlalu besar.

Yang kedua, walaupun diberikan tempat pemijak kaki yang luas, ia tidak diseimbangkan dengan sudut tempat meletak kaki depan yang lebih selesa.

Ia dirasakan terlalu tegak, jadi agak sukar untuk mencapai kedudukan tunggangan yang lebih selesa terutama untuk mereka yang gemar melakukan tunggangan jarak jauh.

Yang ketiga, skuter ini memang boleh pergi dengan lebih laju, cuma pada kelajuan melebihi had lebuh raya kebangsaan penulis dapat rasakan tunggangan yang tidak stabil, disebabkan bar hendal yang rasa agak ringan.

 

Kesimpulan

Moda Sporter S merupakan sebuah skuter terpaling sporti yang boleh dibeli di pasaran pada ketika ini.

Dengan harga jualan cuma dari RM17,888, ia menawarkan satu pakej yang hampir sempurna untuk para peminat skuter bergaya dan pantas tanpa memberikan kesan besar kepada bajet bulanan.

Syabas kepada pihak Moda Malaysia kerana menghasilkan sebuah produk yang mampu membuatkan penulis tersenyum gembira.

 

Spesifikasi Moda Sporter S

Enjin: 244 cc silinder tunggal, sejukan cecair
Kuasa: 24.8 hp @ 8,500rpm dan 22.5 Nm @6,500 rpm
Suspensi: Fork hadapan jenis terbalik (USD), penyerap hentak berkembar dengan larasan pra-beban
Brek: Rotor berkembar 260 mm depan, rotor tunggal 240 mm belakang, ABS dua-saluran
Tangki bahan api: 13 liter
Ciri keselamatan: Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

MODA Sporter-S adalah skuter maxi jenama tempatan – RM17,888

Mdua Motor Sdn. Bhd., anak syarikat kepada AFY Mobility Industries (AMI) hari ini telah melancarkan sebuah jenama motosikal tempatan baharu yang dikenali sebagai MODA.

Produk pertama MODA yang dilancarkan ke pasaran tempatan merupakan skuter maxi Sporter-S yang berharga RM17,888.

Boleh didapati dalam warna Sporty Red dan Meteor Grey, Sporter-S dikuasakan oleh enjin silinder tunggal bersesaran 250 cc dengan teknologi suntikan bahan api elektronik (EFI) Bosch.

Hasilnya, enjin tersebut mampu menghasilkan 24.8 hp pada 8,500 rpm dan 22.5 Nm pada 6,500 rpm, serta mematuhi piawaian emisi Euro 4.

Skuter ini mempunyai jarak roda berukuran 1,538 mm dan jarak lega tanah 165 mm, manakala beratnya adalah 186 kg. Bahan api disimpan di dalam tangki berkapasiti 13 liter.

Dari segi kelengkapan, Sporter-S didatangkan dengan lampu LED pada bahagian depan dan belakang, penghadang angin boleh laras, cermin sisi boleh lipat dan ruang simpanan bawah tempat duduk sebesar 10 liter.

Selain itu, terdapat paparan warna TFT berukuran 6.2 inci dengan sambungan Bluetooth dan aplikasi Carbit Ride, port pengecas USB dan sistem Keyless Smart Key.

Untuk suspensi, Sporter-S menggunakan fork terbalik (USD) di depan. dan penyerap hentak berkembar di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada brek cakera berkembar berukuran 260 mm di depan, brek cakera tunggal 240 mm di belakang.

Turut disertakan adalah ABS dwi saluran dan Traction Control System (TCS) yang memastikan kestabilan semasa membelok.