Tag Archives: MODENAS

Dominar 400, ada rahsia Modenas lupa maklum kepada pengguna?

NAMA Modenas Dominar 400 makin dikenali dalam kalangan ‘kaki motor’ sejak ia diperkenalkan pada tahun 2018.

Tahun lalu, Modenas telah melakukan penambahbaikan terhadap beberapa fungsi pada model ini sekaligus menjadikan ia bertambah ‘mantul’.

Baru-baru ini Engear berpeluang menunggang uji motosikal keluaran Modenas tersebut dan ternyata prestasi yang dipersembahkan amat luar biasa!

Nak tahu apa yang menarik tentang motosikal ini? Jom check it out!

Menarik tentang Modenas Dominar 400

Foto ihsan Modenas

Tidak dinafikan sudah terlalu banyak review dilakukan membabitkan model Modenas Dominar 400.

Namun, kali ini bukan kuasa atau ketahanan enjin yang Engear ingin huraikan tetapi lebih tertumpu kepada fungsi elektronik.

Apa yang kami maksudkan adalah mengenai satu fungsi menarik pada instrument panel yang tidak dihebahkan oleh Modenas kepada pelanggannya.

Boleh disifatkan agak teliti mengenai keselamatan, Modenas mewujudkan satu sistem yang memberi maklumat mengenai kedudukan tongkat motosikal berkenaan.

Contohnya, jika tongkat motosikal terlupa dinaikkan, akan terdapat tanda amaran pada instrument panel yang jelas boleh dilihat oleh penunggang.

Hal ini secara tidak langsung mampu mengelak sebarang kemalangan akibat tidak menaikkan tongkat motosikal.

Sementara itu, Modenas turut memperkenalkan sistem yang memberi maklumat kepada penunggang mengenai kedudukan sistem kill switch.

Apa yang dimaksudkan adalah penunggang akan dimaklumkan sama ada sistem kill switch berada pada kedudukan “on” atau ‘off”.

Mungkin kedengaran agak biasa namun, perlu diingat bahawa tidak banyak syarikat pengeluar motosikal yang peka mengenai fungsi yang diperkenalkan oleh Modenas ini.

Spesifikasi lain pada Dominar 400

Foto ihsan Modenas

Model baharu Dominar 400 mempunyai dua pilihan warna baharu iaitu Savanna Green dan Charcoal Black.

Dijual pada harga kurang RM14,00 (tidak termasuk cukai dan insuran), motosikal ini sangat ekonomi dan mampu milik bagi kebanyakan individu.

Antara ciri naik taraf menarik Dominar kali ini adalah komponen fork dengan penyerap hadapan terbalik yang menggantikan fork teleskopik konvensional pada model terdahulu.

Berikut antara ciri menarik lain terdapat pada Dominar 400:-

  • Dua paparan meter LCD memaparkan maklumat gear, kelajuan, jarak perjalanan, jam, rpm dan tahap minyak
  • Lampu hadapan automatik “LED mosaic”
  • Sistem klac Assist and Slipper
  • Brek ABS two-channel

Terdapat banyak lagi maklumat yang kami ingin sampaikan kepada anda.

Untuk informasi lanjut sila tonton video yang kami sediakan ini…chiow!

5 motosikal paling “mantul” dalam carta Engear sepanjang 2021

TAHUN 2021 menyaksikan pelbagai model motosikal sama ada berkuasa tinggi atau dalam kategori “kapcai” telah diperkenal oleh kebanyakan pengeluar.

Rata-rata pengeluar dilihat begitu kompetitif dengan menghasilkan jentera berkualiti sesuai dengan minat serta cita rasa pengguna.

Jadi, bersempena kita bakal memasuki tahun baharu tidak lama lagi, Engear ingin throwback lima motosikal dirasakan teramat “mantul” sepanjang tahun 2021.

Jom terus membaca!

Yamaha R15M si adik R1M?

Tidak dapat dinafikan nama Yamaha bukan calang-calang dalam industri pengeluaran motosikal dunia.

Yamaha bukan sahaja menghasilkan motosikal “biasa-biasa” malah, turut mempelopori jentera berkuasa tinggi yang tersangat “mantul”.

Pada tahun ini, salah satu motosikal keluaran Yamaha berjaya mencuri perhatian Engear adalah model R15M.

Terdapat dua sebab mengapa R15M ini menarik perhatian Engear iaitu reka bentuk seakan “abang sulong” R1M dan fungsi quickshifter pada sistem gear.

Apa yang dilakukan Yamaha ini adalah bijak bagi menarik minat pelanggan yang tidak mampu mendapatkan model R1M.

Justeru, Yamaha menghasilkan jentera berkuasa rendah (155 cc) tetapi menyerupai rupa paras ala model R1M.

Selain itu, penggunaan quickshifter yang kebiasaan ada pada jentera berkuasa tinggi sedikit sebanyak menyerlahkan lagi kelebihan terdapat pada model ini.

MT-09 serba baharu

Masih dengan jentera keluaran Yamaha yang mana kali ini model MT-09 baharu menarik perhatian Engear.

Model naked keluaran Yamaha ini bukan sahaja memiliki rupa paras “garang” tetapi lebih penting harganya yang boleh dianggap sangat berbaloi.

Dijual pada harga RM54,998 jentera ini memiliki pelbagai fungsi menarik yang ditambah baik oleh Yamaha berbanding model sebelumnya.

Selain itu, enjin MT-09 2021 ini juga direka dengan mematuhi standard Euro 5.

Suzuki GSX S750 memang berbaloi

Suzuki GSX S750 dengan enjin 4-stroke liquid-cooled 4-cylinder DOHC memang tersangat berbaloi untuk dimiliki.

Setelah krew Engear menguji jentera ini, tidak keterlaluan mengatakan motosikal ini boleh menandingi mana-mana superbike 1000 cc lain.

Apa yang menarik jentera ini mempunyai saiz radiator agak kecil namun, mampu melakukan ‘kerja’ penyejukkan sangat efisyen.

Sementara itu, hasil ujian tunggangan dibuat terhadap motosikal ini mendapati sistem Suzuki’s Advanced Traction Control tersangat berfungsi dengan baik.

Ia memberikan satu pengalaman luar biasa bagi sebuah motosikal naked apatah lagi harganya hanya sekitar RM44,000 sahaja!

Belum terlambat jika anda ingin mendapatkan jentera ini pada tahun 2022 nanti…

Dominar D400 2021 pilihan ramai

Syarikat pengeluar motosikal iaitu Modenas sekali lagi berjaya “menggegarkan” pasaran tempatan dengan kemunculan model Dominar D400 terbaharu.

Kali ini, Modenas memberi beberapa suntikan pembaharuan bermula daripada warna badan sehingga aspek teknikal.

Menawarkan dua warna badan baharu iaitu Savanna Green dan Charcoal Black, teknologi klac assist and slipper antara yang menarik untuk diperkatakan.

Sistem ini membantu melancarkan pertukaran gear secara mengejut sekaligus amat penting untuk keselesaan dan keselamatan penunggang.

Dominar D400 juga didatangkan dengan lampu hadapan automatic jenis “LED mosaic” yang mampu memberikan pencahayaan lebih jelas pada waktu malam.

Menurut Modenas, lampu ini memberikan jarak penglihatan penunggang sejauh 1.5 kilometer.

Makanya, untuk harga sekitar RM14,000, apa lagi anda mahu?

KTM RC 8C laku keras

Jentera terpaling “mantul” pada tahun 2021 pada pendapat Engear adalah KTM RC 8C yang dilancarkan pada awal bulan Julai lalu.

Apa yang menarik, kesemua 100 unit dilancarkan habis terjual dalam masa kurang dari lima minit!

Mendapat kemasan badan ala MotoGP, jentera ini dijual pada harga sekitar RM178,400.

Harga ini tidak keterlaluan jika dibandingkan dengan motosikal berkuasa tinggi lain memandangkan badannya diperbuat daripada glass reinforced plastic.

Selain itu, jentera ini juga diperkukuh dengan Kevlar serta lengkap dengan winglet aerodinamik.

Bagaimana pula dengan kuasa enjin? KTM RC 8C mencatatkan kuasa enjin 126hp dan 101Nm tork!

Itu antara lima motosikal paling mantul yang Engear rasakan sangat berbaloi bukan sahaja daripada prestasi malah, sesuai dengan harganya…

Jika anda ada senarai motosikal “mantul” sepanjang 2021, sila tinggalkan komen di platform media sosial kami.

Chiow!

Modenas lancar kempen baiki motosikal, bantu pelanggan terjejas banjir

BENCANA banjir melanda dua negeri iaitu Selangor dan Pahang mendapat perhatian Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd atau Modenas.

Modenas dalam satu kenyataan memaklumkan sedia membantu pemilik motosikal keluaran syarikat itu dengan menawarkan perkhidmatan membaiki jentera rosak akibat banjir.

Program dikenali sebagai “Kempen Servis Prihatin Modenas” bermula hari ini sehingga 31 Disember 2021.

“Syarikat bersedia untuk menyediakan perkhidmatan kepada pemilik untuk membaiki motosikal mereka supaya dapat berfungsi seperti sediakala.

“Kempen akan bermula pada hari ini hingga 31 Disember 2021 di Pusat Servis Modenas terpilih,” memetik kenyataan dikeluarkan Modenas, hari ini.

Pusat Servis Modenas terlibat dengan kempen ini adalah Pusat Servis Modenas Shah Alam, Selangor dan Pusat Servis Modenas Kuantan, Pahang.

Antara perkhidmatan percuma ditawarkan termasuk caj upah kerja untuk baik pulih biasa, pemeriksaan dan pembersihan motosikal.

Modenas turut memberi diskaun sehingga 25 peratus untuk alat ganti, diskaun 15 peratus untuk alat ganti skuter dan diskaun 70 peratus bagi caj buruh melibatkan servis “overhaul”.

Untuk maklumat lanjut, pemilik motosikal yang terjejas boleh menghubungi pusat servis Modenas atau hubungi 1-800-880-181 atau WhatsApp di 019-570 8135.

Modenas Dominar D400 lepasi cabaran 1,600 kilometer, terbukti lasak

KETAHANAN Modenas Dominar D400 tidak dapat disangkal apabila jentera itu berjaya menempuh cabaran konvoi sepanjang 1,600 kilometer.

Konvoi dianjurkan pada bulan lalu itu mengambil masa hanya dalam tempoh 24 jam dengan penyertaan 10 peserta termasuk para wartawan.

Modenas berkata, cabaran ini bukan sahaja menguji ketahanan jentera Dominar D400 tetapi turut memberi ruang syarikat itu terus bekerjasama dengan pihak media.

Foto ihsan Facebook/Modenas

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Roslan Roskan turut berharap program seumpama itu diteruskan di masa depan.

“Saya percaya ia kali pertama bagi mana-mana pengeluar motorsikal menganjurkan acara seperti ini secara rasmi.

“Modenas mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyahut cabaran…kami berharap dapat menganjurkan lagi acara seperti ini dengan model motosikal Modenas lain,” katanya.

Pada 18 November lalu, Modenas menerusi kerjasama syarikat Petron Malaysia menganjurkan program Cabaran 1,600 KM Modenas Dominar D400.

Cabaran pada masa sama menguji ketahanan mental dan fizikal peserta selain melihat keupayaan Modenas Dominar D400.

Foto ihsan Facebook/Modenas

Secara keseluruhan, konvoi menempuh perjalanan sejauh 1,619 kilometer hanya dalam tempoh masa 23 jam 8 minit.

Konvoi bermula dari Petron Subang Jaya menuju ke kilang Modenas dekat Gurun, Kedah dengan jarak perjalanan lebih 399 kilometer.

Perjalanan kemudian diteruskan ke Jerteh melalui Banjaran Titiwangsa dan kawasan hutan simpan Royal Belum dengan jarak 315 kilometer.

Selepas berehat di Jerteh, konvoi diteruskan ke Kijal, Terengganu yang memakan jarak perjalanan lebih 234 kilometer.

Selepas tiba di Terengganu, peserta meneruskan lagi konvoi ke Mersing sebelum tiba di Simpang Renggam, Johor dengan jarak perjalanan 533 kilometer.

Walaupun kepenatan, kesemua peserta meneruskan lagi perjalanan ke Melaka dan terus menuju ke Kuala Lumpur bagi menamatkan cabaran.

Kami di Engear mengucapkan tahniah dan syabas buat penganjur kerana berjaya menganjurkan program seperti ini dan diharap ia diteruskan lagi pada masa depan.

Jadi, adakah anda sudah bersedia untuk memiliki sebuah Modenas Dominar D400?

Tunggang uji: Modenas NS200 sebuah naked bike dengan nilai terbaik?

MODENAS Pulsar NS200 bukanlah motosikal baharu dalam pasaran, tetapi ia telah menerima facelift untuk 2021.

Dan baru-baru ini Engear dijemput untuk mengujinya di litar. Walaupun sesi tunggang uji itu agak singkat, namun kami dapat belajar banyak mengenai naked bike ini dan memperoleh beberapa input penting.

Pulsar NS200 2021 dijual pada harga RM9,655 dan mendapat tiga warna baharu iaitu Plasma Blue, Burnt Red dan Pewter Grey.

Dengan lebih 8,000 unit terjual, ia antara yang paling popular dalam segmennya. Memang berbaloi sangatkah Pulsar NS200 ini pada harga bawah RM10k?

Semasa tunggang uji di litar, Mr Rocket mulanya tidak berapa gemar idea naked bike di litar. Tambahan pula litar di HB Karting di Batu 3, Shah Alam agak kecil, kurang sesuai dengan naked bike yang mempunyai bar hendal lebar.

Namun selepas memecut keluar selekoh, Mr Rocket mula seronok, “Ada pickup,” katanya.

Tork pada rpm rendah tidaklah begitu kuat, tapi jika ditukar tayar kepada yang lebih agresif, mungkin akan lebih seronok ditunggang.

Tetapi pada masa yang sama, Mr Rocket kata walaupun gearnya agak sporti dengan nisbah pendek, tayar belakang masih bertahan dan tiada tanda-tanda slip atau tergelincir semasa memecut dan menukar gear.

Oh ya, paling penting pada NS200 sekarang ialah ia dilengkapi ABS, jadi pasti memberikan kita lebih keyakinan untuk menunggang dan ‘push’ ke had dinamiknya.

Dari segi spesifikasi, Modenas Pulsar NS200 dikuasakan oleh enjin 199.5cc SOHC dengan teknologi Triple Spark yang mempunyai tiga palam pencucuh.

Ia menjana 24hp dan 18.6Nm tork, serta dipadankan bersama kotak gear 5-kelajuan.

Untuk mengetahui ulasan penuh Mr Rocket, jemput tonton video di bawah:

EMOS kini pengedar rasmi Kawasaki di Malaysia

EDARAN Modenas Sdn. Bhd. (EMOS), anak syarikat dan pengedar Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS), telah dilantik sebagai pengedar rasmi Kawasaki di Malaysia berkuatkuasa hari ini (1 Oktober 2021).

Pelantikan ini merangkumi pengedaran bagi semua rangkaian produk Kawasaki termasuk kenderaan, alat ganti, aksesori, dan maklumat khidmat pelanggan yang melibatkan perkhidmatan teknikal termasuk aktiviti ‘recall’ jika diperlukan.

Bagi melancarkan lagi proses ambil alih, EMOS akan menjalani tempoh peralihan selama enam (6) bulan yang turut dibantu oleh KMSB Motors Sdn. Bhd.

Dalam tempoh ini, pemilik motosikal Kawasaki masih boleh kembali kemana-mana wakil pengedar atau stokis Kawasaki bagi pembelian serta pertanyaan alat ganti dan perkhidmatan teknikal.

Sebarang perubahan atau perkembangan akan diumumkan dari masa kesemasa.

Kawasaki Motors Sdn Bhd (KMSB) sebelum ini mengumumkan penamatan operasi pengedaran motosikal jenama Kawasaki di Malaysia.

Keputusan itu dibuat oleh barisan lembaga pengarah KMSB mengambil kira beberapa perkembangan penting melibatkan polisi pelaburan yang dibuat oleh Kawasaki Heavy Industry Ltd Japan (KHI).

Ia juga turut melibatkan peningkatan ekuiti syarikat itu di dalam Modenas pada tahun 2019 sekaligus memberikan kesan kepada strategi pengedaran produk Kawasaki di Malaysia.

Modenas Pulsar NS200 2021 dengan tiga warna baharu, harga kekal RM9,655!

SEJAK mula diperkenalkan pada Mei 2017 dan menerima penambahan ABS pada 2019, Modenas Pulsar hari ini diperkenalkan dengan warna dan rekaan grafik baharu.

Dengan lebih dari 8,000 unit terjual, Modenas Pulsar NS200 ABS dikatakan antara street bike paling popular di negara ini.

Untuk kemaskini 2021, NS200 diberikan tiga warna baharu iaitu Plasma Blue, Burnt Red dan Pewter Grey, digandingkan dengan grafik baharu pada badannya.

Seperti pada namanya, Pulsar NS200 dikuasakan oleh enjin 200cc DTS-i yang menjana 18kW (24hp) dan 18.6Nm tork, dan digandingkan dengan transmisi 5-kelajuan.

Selain dari sistem brek anti-kunci ABS yang didatangkan standard, NS200 ini dilengkapi dengan penyerap hentak teleskopik di depan dan bush anti-geseran serta suspensi belakang jenis gas Nitrox.

Harga cadangan Modenas Pulsar NS200 ABS ini kekal tidak berubah, iaitu RM9,655 (tanpa cukai jalan dan insurans). Berminat? Anda boleh mula melihat street bike ini dengan lebih dekat di semua pengedar sah Modenas pada Oktober ini.

Modenas Dominar D400 2021 kini dinaiktaraf, pilihan dua warna baharu, RM14k

MODENAS hari ini memperkenalkan varian motosikal Dominar D400 2021 yang telah dinaiktaraf. Model sports tourer ini menerima beberapa peningkatan teknikal, serta dua pilihan warna baharu berbanding versi asal yang dilancarkan pada tahun 2018 lalu.

Dominar D400 terbaharu ini ditawarkan pada harga RM13,997.00 (tanpa insurans dan cukai jalan).

Roslan Roskan, CEO Modenas berkata, motosikal terbaharu ini merupakan sebuah model yang dinantikan ramai, dan beliau yakin ia akan menjadi model yang digemari ramai berdasarkan peningkatan teknikal, gaya baru, serta harganya yang berpatutan.

Antara ciri naiktaraf paling menarik pada model kali ini adalah fork dengan penyerap hadapan terbalik (upside down), menggantikan fork teleskopik konvensional pada model terdahulu.

Enjin 373cc DOHC dengan teknologi DTS-i sejukan cecair menjana 40PS dan 35Nm tork pula menerima sistem ekzos dengan muncung berkembar baharu.

Dominar D400 terbaharu ini juga menampilkan cakera brek bersaiz 320mm di hadapan dan 230mm di belakang, serta dilengkapi brek ABS (Anti-lock Braking System) two-channel.

Ia turut dilengkapi penyerap hentakan tunggal Nitrox di belakang yang membolehkan penunggang membuat penalaan suspensi untuk mendapat kualiti tunggangan menepati kehendak masing-masing.

Ciri lain adalah sistem klac Assist And Slipper yang akan membantu melancarkan pertukaran gear secara mengejut.

Tampil lebih bergaya, varian ini juga menerima kemasan “tankpad” bercorak karbon baharu serta logo Dominar pada tempat duduk belakang.

Ia turut didatangkan dengan dua paparan meter LCD yang memaparkan segala maklumat seperti gear, kelajuan, jarak perjalanan, jam, rpm serta tahap minyak.

Lampu hadapan automatik pula dari jenis “LED mosaic” yang mampu memberikan pencahayaan lebih jelas pada waktu malam serta membolehkan penunggang dilihat dari jarak sejauh 1.5km.

Modenas Dominar 400 kini ditawarkan dengan dua pilihan warna baharu iaitu Savanna Green dan Charcoal Black.