Tag Archives: modifikasi

Darul Aman Raret’ro 2022 meriah, himpun ratusan jentera klasik dan retro

Darul Aman Raret’ro (DARE) telah diadakan di perkarangan Zaques Hotel, Sungai Petani pada 4 hingga 6 Februari lepas. Acara yang menghimpunkan jentera-jentera klasik itu merupakan yang terbesar pernah diadakan dan merupakan tahun kelima penganjuran.

Pelbagai aktiviti telah diadadakan sepanjang tiga hari acara berlangsung seperti autoshow dan persembahan audio dari 40 buah kereta diwakili kumpulan audio Kedah.

Selain itu, setiap peserta dan pengunjung yang hadir layak untuk mendapatkan satu tiket cabutan bertuah dengan setiap pembelian kemeja-T rasmi.

Sesi cabutan bertuah diadakan dua hari berturut-turut, menawarkan dua hadiah utama iaitu sebuah motosikal Honda C70 sumbangan Surico Malaysia dan telah direstore sepenuhnya serta satu set rim sport 14-bintang sumbangan Atara Racing.

Secara purata, lebih 500 buah kenderaan retro memenuhi ruang acara setiap hari, terdiri dari kereta dan motosikal old school.

Hari terakhir menyaksikan himpunan Saga Big Day Out dengan lebih 200 buah Proton Saga dengan pelbagai gaya modifikasi dan restorasi. Dari modifkasi ala perlumbaan, tayar kangkang, hingga standard ‘abah-abah’, semuanya ada.

Dianggarkan hampir 7,000 pengunjung hadir ke acara tiga hari itu, rata-ratanya adalah penduduk kawasan setempat.

Aktiviti tidak terhad kepada kereta dan motosikal sahaja, sebaliknya terdapat juga jualan pasar karat, bundle, Hooligan Camp, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, demo dan klinik BMX, dan persembahan DJ piring hitam.

Pendek kata, acara Darul Aman Raret’ro ini sesuai untuk seisi keluarga dan semua peringkat umur. Acara kali ini juga mendapat sokongan dan penajaaan dari pihak Malaysia Automotive, Robotics and ioT Institute (MARii), Surico Malaysia, dan Maktok Maruku.

Acara juga dijalankan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Gambar/teks: Raziman SiPico

Sah! R3 bakal tawar komponen prestasi untuk model Proton sedia ada

MUNGKIN inilah berita yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat dan pemilik Proton, kerana R3 dikatakan bakal menawarkan semula produk prestasi untuk model-model Proton.

Selepas Proton menjalinkan kerjasama dengan Geely, operasi R3 lebih tertumpu kepada pasukan dan aktiviti perlumbaan. Tiada lagi produk prestasi yang boleh dibeli pemilik Proton untuk kereta-kereta mereka yang dipandu di jalan raya.

Namun, perkara ini bakal berubah kerana anda mungkin dapat memiliki produk prestasi sebenar talaan Proton R3.

Seperti yang kita tahu, Proton pada tahun lepas telah melancarkan Saga R3 Limited Edition dan Iriz R3 Limited Edition namun pembaharuan pada kedua-dua model ini hanyalah bersifat kosmetik.

Temubual kami baru-baru ini bersama CEO Proton Global Sales (PGS), Lee Yeet Chuan dan CEO Proton Edar, Roslan Abdullah, kami berjaya merungkai serba sedikit mengenai hala tuju R3 selepas ini.

Dalam sesi semasa pelancaran R3 Premium Merchandise Partnership di Setia Gemilang Auto pada Sabtu lepas, R3 dilaporkan akan kembali seperti dulu, bukan sekadar operasi perlumbaan tanpa sebarang barangan prestasi untuk kereta anda.

“Kami berharap untuk memberikan kelengkapan prestasi untuk kereta hingga aksesori dan mungkin selepas itu penalaan – ini yang paling penting, prestasi enjin,” kata Yeet Chuan.

“Kami akan cuba memilih beberapa model dari Proton yang kami boleh ubah suai dan menjualnya kepada peminat R3.”

Roslan menambah: “Tahun lepas kita ada R3 Special Edition (Saga dan Iriz), ini lebih kepada kosmetik. Seperti disebut tadi, kami akan adakan model edisi khas yang lebih dari sekadar kosmetik.”

“Kami juga mahu menawarkan prestasi sebenar R3 yang boleh dipandu di jalan raya seperti pernah kami tawarkan sebelum ini.”

Roslan berkata, “Kami pada masa ini masih mengkaji, yang paling penting saya beritahu YC (Yeet Chuan) kita tak mahu model R3 tetapi bila dilihat pada geran hanya ditulis Proton Saga (contoh).”

“Jadi kami mahu hasilkan R3 yang ada dalam geran pendaftaran. Untuk melakukannya, akan ada banyak proses tambahan dan kami mahu menyeimbangkannya dengan harga.”

“Kami perlu jual pada harga yang betul dan juga bekerjasama dengan pihak berkuasa”, terang Roslan.

Bila ditanya mengenai keperluan yang mesti ada untuk membolehkan kereta itu mendapat nama R3 pada geran, Roslan berkata ia akan melibatkan proses seperti menambah varian baharu.

“Kita perlu melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk proses Vehicle Type Approval (VTA).”

Tambah Roslan lagi, mereka masih mengkaji pilihan-pilihan yang ada sekiranya tidak mendapatkan nama R3 pada geran.

Berkenaan model, Roslan menjelaskan sebarang model boleh dijadikan R3. “Sebagai contoh sekarang kita ada Saga dan Iriz, kita akan mulakan dengan model-model ini.”

“Ada yang berkata kenapa tidak X50 dan X70? Ia satu cadangan yang baik, dan sudah tentu kami akan mengkaji akan peluang dan kemungkinan itu,” kata Roslan.

 

Walaubagaimanapun menurut Roslan, model talaan R3 ini juga tidak semestinya dihasilkan sebagai model produksi, sebaliknya mungkin menjadi prototaip untuk menilai minat dan penerimaan awam.

Dengan respon dari prototaip itu, R3 mungkin akan menawarkan servis talaan dan ubahsuai untuk kenderaan pelanggan tanpa dicatatkan pada geran.

Sebagai tambahan, Yeet Chuan pula mengesahkan bahawa R3 akan menawarkan produk-produk prestasi seperti suspensi, kit badan, pelekat kustom dan set rim dalam masa terdekat.

Proton Satria Neo dengan nadi K24A ini mencari pemilik baharu. Mantul!

TANYALAH mana-mana kaki kereta, pasti mereka akan mengakui bahawa Proton Satria Neo terkenal dengan pengendaliannya yang mantap dengan casis yang cukup tegar.

Cuma enjin standard kilang yang dibekalkan padanya kurang bertenaga, sama ada CamPro 1.6 atau CamPro CPS 1.6. Kalau CamPro 1.3 tu usah cakap lah…

Ia memerlukan enjin lebih berkuasa untuk memanfaatkan pengendaliannya yang ditala oleh jurutera Proton setelah mereka menuntut ilmu dengan Lotus.

Jadi, tidak hairanlah ada yang memilih untuk menukar nadi Satria Neo mereka dan pilihan popular merupakan 4G63 atau 4G93.

Tetapi bagaimana jika Proton Satria Neo mendapat jeritan VTEC? Ya, memang ada, seperti satu unit yang hendak dijual ini.

Ia bukan dibekalkan enjin B Series atau K20, sebaliknya terus K24! Unit K24 ini adalah dari Accord CL9 dan telah disumbat pada Satria Neo berserta dengan kotak gear manual 6-kelajuan yang ada padanya, menggantikan manual 5-kelajuan asal.

Ini menjadikan Satria Neo ini cukup mantap dan lazat! Geram pula penulis melihatnya. ‘Jajan’ lain pada Satria Neo ini juga bukan biasa-biasa, penuh barang Honda dan jenama aftermarket lain.

Terdapat juga komponen dari Civic FD2R, S2000, Integra DC5 serta Nissan Skyline R32! Suspensi pula adalah dari FTuned.

Berikut adalah barang yang disenaraikan dari iklannya:

CL9 K24A halfcut dengan kotak gear manual 6-kelajuan
CnC custom racing solid engine mounting
New racing clutch line
New Denso iridium plug
New oil seal full engine build (original)
New Ogura super single clutch
FD2R VTC gear and chain set
FD2R valve spring
New S2000 oil pump
DC5 oil pan
FD2R LSD
New Hybrid Racing Fuel rail kit
New Custom Racing 4core radiator
New DUAL original SPAL radiator fan
New Racing dash meter
New ELIXIR surge tank with 355 fuel pump
New Hankook V720 semi slick 205/50/15
R32 brake caliper
New DBA Australia brake rotor race series
New Endless CCRG track brake pad
Rear Project MU brake pad
New racing stainless steel braided brake hose
3-inch custom racing header full system
New racing bearing front and rear arms
Kenwork original racing wiring
Electronic power steering
New FTuned track inverted spec racing adjustable
Bride Japan bucket seat
Original racing kill switch
Rays racing wheel nut
Original Momo tuner
Lightweight bonnet
Full car soundproof removed

Harga dipinta adalah RM29,999 dan bagi kami, berpadanan dengan senarai barang padanya. Berminat mencari jentera touge atau track day? Boleh hubungi Sam Lee di 012-8962811 atau terus ke Facebook miliknya.

Suzuki Every ‘Jimry’ dari T-style – Apabila Jimny ‘kacuk’ dengan van Every

NAMA Suzuki Jimny tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat kereta di seluruh dunia. Model generasi keempat, khususnya, dilihat menjadi salah satu SUV kompak yang paling popular sejak ia diperkenalkan pada 2018. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada syarikat-syarikat aftermarket yang menghasilkan kit yang diinspirasikan daripadanya.

Baru-baru ini, tuner dari Jepun iaitu T-style telah menghasilkan kit berupa Jimny khas untuk model van kompak keluaran Suzuki yang dikenali sebagai Every. Kit yang dinamakan ‘Jimry’ itu merangkumi bahagian hadapan sahaja bermakna bahagian sisi dan belakang Every akan kekal standard.

Menurut T-style, menggantikan ‘wajah’ asal Every dengan Jimny adalah mudah kerana kedua-duanya dikategorikan sebagai kei car, bermakna ukuran lebarnya hampir sama.

Namun ini tidak bermakna ia boleh dilakukan secara sembarangan kerana Every dan Jimny mempunyai ukuran tinggi dan jarak lega tanah yang berbeza. Untuk itu, T-style perlu menggunakan beberapa komponen kustom.

Gril dan lampu diambil secara terus daripada Jimny, namun bampar hadapan dihasilkan secara kustom, begitu juga dengan fender hadapan dan bonet. Walaupun begitu, rekaan komponen-komponen kustom itu tidak jauh berbeza dengan rekaan asal.

Apa yang menarik, T-style turut menawarkan penambahbaika sistem suspensi dalam bentuk lift kit untuk off-road atau gegelung sport untuk mereka yang inginkan prestasi pengendalian yang lebih mantap.

Bukan itu sahaja, terdapat juga kombo rim dan tayar, pakej perlindungan badan serta pelbagai aksesori lain termasuk khemah pop-up yang boleh diletakkan di atas bumbung.

Akhir sekali, ruang dalaman boleh dispesifikasikan dengan pelbagai jenis upholsteri kulit mengikut citarasa pelanggan. Malah, syarikat itu juga sedia untuk menukarkan ‘Jimry’ anda menjadi sebuah van camper dengan tempat duduk belakang yang boleh dilipat menjadi katil serta ruang storan yang terletak di bawah ruang kargo dan tempat duduk.

Kit Jimry dijual pada harga bermula dari 248,000 yen (kira-kira RM9,060), tidak termasuk aksesori lain. Difahamkan yang T-style mempunyai beberapa unit Jimry yang telah siap dimodifikasi untuk dijual menerusi laman web mereka.

Harga setiap unit berbeza namun untuk memberikan gambaran, sebuah Jimry yang lengkap dengan segala jenis aksesori berharga 2.48 juta yen (RM90,580).

Lotus Exige yang kecil cili api ini disumbat dengan enjin 6.2-liter V8 AMG!

LOTUS Emira dilancarkan Julai tahun ini untuk menggantikan tiga model berusia dari pengeluar British itu. Elise, Exige dan Evora kesemuanya dihentikan pengeluarannya tahun ini.

Model Elise dan Exige menerima versi Final Edition sebagai ucapan selamat tinggal, tetapi dengan varian itu pun masih belum mempunyai kuasa sebanyak kereta yang dipaparkan dalam video di bawah.

Quentin Boylan telah membina sebuah Lotus Exige istimewa yang mungkin paling berkuasa di dunia. Ya, ini kerana Lotus Exige yang kecil itu telah disumbat dengan enjin 6.2-liter V8 dari Mercedes-Benz SLS AMG!

Untuk itu, beberapa perubahan besar perlu dilakukan pada casis dan badan Exige untuk memuatkan enjin naturally-aspirated itu. Malah, terdapat acuan kustom khas yang terpaksa dihasilkan untuk memberi ruang secukupnya untuk unit V8 itu.

Hasilnya ialah sebuah roket kuning-hitam dan klip video ini ada menunjukkan aksinya di litar.

Boylan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk menyiapkan projek ini dan enggan mendedahkan keseluruhan kos yang dibelanjakan untuknya.

Tetapi bukanlah untuk berahsia, cuma menurut Boylan, “Saya tidak tahu dan tidak mahu tahu.” Mungkin angkanya mempunyai banyak angka sifar…

Sumber foto: Speedhunters dan Cars.co.za

Dah ada orang tala Honda Civic 2022 baharu, tambahan 34hp dan 67Nm dengan Hondata!

HONDA Civic 2022 (generasi ke-11) baru sahaja dilancarkan pada April lepas dan mula dijual pada Jun. Dan seperti dijangka, sudah ada tuner atau penala yang cuba ‘memerah’ lebih kuasa dari enjinnya.

Honda Civic 2022 (nama kod FE) menggunakan enjin sama dari generasi ke-10 (FC), iaitu 1.5-liter turbo 4-silinder dan transmisi CVT.

Gambar: Youtube – Hondata

Hondata – sebuah penala tersohor untuk Honda – telah menaiktaraf enjin itu dengan memprogram semula ECUnya. Talaan ini telah meningkatkan kuasa asal 180hp dan 177Nm kepada 214hp dan 307Nm, iaitu tambahan 34hp dan 67Nm. Boleh tahan, ya? Ini baru program ECU, belum lagi bahagian lain seperti intake atau ekzos.

Hondata pernah juga menala Civic FC dimana mereka memperoleh 205hp dan 260Nm dari enjin sama.

Honda Civic 2022 Hatchback

Honda Civic 2022 FE telah diperkenalkan dengan badan sedan dan hatchback, serta pilihan transmisi CVT dan manual 6-kelajuan. Untuk pasaran Malaysia, kami jangkakan Honda akan menawarkan pakej sama dengan Civic sekarang, iaitu sedan dan CVT.

Modifikasi ‘wajib’ Yamaha R15 jadi lebih ‘mantul’

KEHADIRAN Yamaha YZF-R15 atau R15 di jalan raya Malaysia bukan suatu yang baharu.

Tidak keterlaluan jika model ini boleh dikatakan ‘bersepah’ serata pelosok negara sejak dilancarkan beberapa tahun lalu.

Walaupun mempunyai kapasiti enjin yang kecil (155cc) namun, reka bentuk sportbike ala superbike ini membuatkan ia diminati ramai.

Pelbagai modifikasi dilakukan sebilangan besar pemilik R15 sama ada melibatkan bahagian enjin atau komponen lain.

Berdasarkan research dilakukan EnGear, berikut antara modifikasi yang sering dilakukan pemilik R15 ke atas jentera mereka.

Ekzos

Rata-rata pemilik R15 pasti menukar ekzos asal kepada aftermarket.

Terdapat pelbagai jenama ekzos aftermarket antaranya seperti Akrapovic, SC Project, AHM, Sakura, Kozi, R9, MHR dan banyak lagi.

Bagaimanapun, perlu diingat penukaran ekzos adalah suatu tindakan yang salah di sisi undang-undang.

Bak kata bidalan, “berani buat berani tanggung”.

Uma Racing antara syarikat menghasil dan mengedar ECU atau Engine Control Unit.

ECU

Pemilik R15 yang telah menukar ekzos asal kebanyakannya pasti akan menggunakan ECU aftermarket bagi jentera mereka.

Apakah itu ECU? ECU bermaksud Engine Control Unit.

Komponen ini merupakan peranti kawalan elektronik yang mengawal penggerak dalam enjin seperti kadar kemasukan udara, bahan api dan tekanan bahan api dalam sistem.

Monoshock

Salah satu komponen yang sering ditukar pemilik R15 adalah monoshock.

Monoshock ditukar kepada jenama aftermarket mengikut cita rasa masing-masing.

Bagi kebanyakan ‘kaki leper’, penukaran monoshock adalah suatu yang wajib.

Namun, ini tidak bermakna monoshock asal keluaran Yamaha tidak berkualiti ya!

Tayar

Penukaran tayar sering dilakukan juga bagi kebanyakan motor R15.

Menerusi pemerhatian EnGear di media sosial, terdapat sebilangan pemilik mendakwa tayara asal (keluaran kilang) tidak begitu sesuai untuk gaya tunggangan agresif.

Antara jenama tayar boleh didapati di pasaran adalah Timsun, Bridgestone, Pirelli, Metzeler dan banyak lagi.

Jentera R15 kelihatan lebih 'garang' tanpa mudguard belakang.

‘Sunat ekor’

‘Sunat ekor’ adalah tindakan mengeluarkan komponen mudguard terdapat di bahagian belakang motosikal.

Tindakan ini tidak memberi kesan kepada kelajuan motosikal tetapi tidak lain hanya untuk kelihatan lebih ‘garang’.

Oh ya! Jika mudguard dikeluarkan maka apabila waktu hujan faham-faham sahajalah.

Sebenarnya ada banyak modifikasi lain sering dilakukan pemilik R15 yang tidak dapat disenaraikan di sini.

Apa pun, apa yang EnGear senaraikan di atas adalah modifikasi yang sering dilakukan pemilik R15.

Memang seronok untuk melakukan sebarang modifikasi terhadap jentera kesayangan tetapi perlu diingat jangan sampai langgar undang-undang okey!

Apa itu JDM? Ini sembilan fakta anda perlu tahu

TOPIK JDM sering menjadi perbualan bagi kebanyakan ‘kaki’ kereta negara ini sejak dari tahun 90-an sehingga kini.

Namun, bagi kebanyakan individu terutama yang bukan ‘gila’ kereta, pasti kurang arif mengenai JDM.

Secara ringkas, JDM adalah singkatan bagi Japan Domestic Market.

Ini bermaksud semua jenis kenderaan yang dibuat dan dijual di Jepun diklasifikasikan sebagai JDM.

Persoalannya, apakah keistimewaan JDM? Bagaimana untuk mengetahui sesebuah kenderaan sama ada JDM atau sebaliknya?

Sembilan fakta special tentang JDM

Sesebuah kenderaan boleh ‘digelar’ sebagai JDM berdasarkan beberapa ciri khas.

Terdapat pelbagai cara untuk mengetahui status kenderaan JDM. Berikut adalah sembilan fakta perlu anda tahu mengenai JDM.

Fakta 1

Kenderaan dihasilkan pengeluar asal Jepun tidak semestinya boleh diklasifikasikan sebagai JDM.

Sesebuah kenderaan boleh dipanggil sebagai JDM sekiranya ia dibuat dan pernah digunakan di Jepun.

Justeru, adakah kenderaan Honda atau Toyota di negara ini layak dipanggil sebagai JDM?

Jawapanya, tidak!

Fakta 2

Jepun merupakan antara negara yang sangat menitikberatkan kualiti produk sesebuah kenderaan.

Justeru, kenderaan yang kian ‘berusia’ kebiasaannya akan dihentikan penggunaan terutama demi menjaga alam sekitar.

Teknologi pesat membuatkan negara itu tidak putus daripada mengeluarkan kenderaan terkini yang lebih ‘mesra’ alam.

Maka, perkara paling mudah adalah kenderaan lama akan dijual kepada pengguna di negara lain.

Toyota MR2 SW21 antara kenderaan yang masih bernilai tinggi.

Fakta 3

Semua kenderaan dihasilkan syarikat Jepun tidak semestinya memegang ‘status’ JDM.

Jadi, bagaimana untuk memastikan sesebuah kenderaan itu adalah JDM?

Apa yang boleh dilakukan adalah dengan memeriksa nombor chassis dan dokumen kenderaan itu.

Langkah ini dapat mengelak anda daripada ‘terkeno’ dengan penjual.

Fakta 4

Kebanyakan kereta JDM mempunyai speed limiter.

Speed limiter ini hanya membenarkan sesebuah kenderaan itu dipandu tidak melebihi 180 km/j.

Bagaimanapun, kebanyakan kereta JDM kini sudah tidak lagi didatangkan dengan speed limiter.

Zaman berubah beb!

Fakta 5

Majoriti kereta JDM menggunakan komponen aftermarket keluaran HKS.

Jangan risau jika kenderaan JDM anda mempunyai beberapa komponen HKS.

Status JDM tidak akan terlucut kerana spare part digunakan adalah dibuat di Jepun.

Boost Meter antara komponen jadi rebutan peminat kereta JDM.

Fakta 6

Kereta JDM juga sering kali dikaitkan dengan aksi drifting. Paling mudah, tonton filem Tokyo Drift.

Memang fakta bukan auta, JDM dan drift bagai isi dengan kuku!

Fakta 7

Ramai juga antara pemilik kereta JDM mempunyai pelekat hijau dan kuning pada kenderaan mereka.

Apa maksudnya?

Pelekat hijau dan kuning bermaksud pemandu kenderaan masih dalam tempoh percubaan.

Konsepnya sama seperti pelekat ‘P’ di negara kita. Jadi, jika anda ternampak pelekat ini, faham-faham sahajalah!

Mungkin pemilik kereta sengaja untuk tidak menanggalkan pelekat bagi membuktikan kenderaannya adalah JDM.

Fakta 8

Enjin JDM tahan lama!

Betul, enjin JDM memang terbaik. Ini kerana kebanyakan enjin kereta JDM boleh diubahsuai dua kali ganda ‘kuasa’ yang ada.

Tidak hairan, satu dunia ‘gilakan’ kereta JDM!

Fakta 9

Spare part kenderaan JDM kadang kala boleh capai harga tidak masuk akal.

Jangan terkejut jika spare part di pusat pelupusan kenderaan juga masih dijual dengan harga yang tinggi!

Demikian merupakan sembilan fakta mengenai kereta JDM.

Fakta lebih lanjut sila saksikan video di bawah bersama Bos Shamsul kita!

Selamat menonton…