Tag Archives: Morbidelli

Motosikal kembara Morbidelli T1002VX kini di Malaysia – RM53,888

Di samping SYM Husky ADV 300 dan VOGE CU525, MForce Bike Holdings turut melancarkan motosikal kembara Morbidelli T1002VX ke pasaran tempatan.

Boleh didapati dalam warna hitam dan putih, T1002VX dipacu oleh enjin V-twin 80 darjah bersesaran 997 cc yang mampu menghamburkan 88.5 hp pada 7,750 rpm dan 89 Nm pada 5,250 rpm.

Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi enam kelajuan dengan klac slipper. Masa pecutan 0-100 km/j tidak diketahui namun menurut Morbidelli, motosikal ini mampu mencapai kelajuan maksimum 198 km/j.

Dari segi saiz, T1002VX mempunyai ukuran panjang 2,313 mm, jarak roda 1,581 mm dan ketinggian tempat duduk yang mencecah 820 mm.

Selain itu, ia didatangkan dengan tangki bahan api berkapasiti 20 liter, manakala berat keseluruhannya adalah 265 kg. Tayar yang digunakan adalah bersaiz 120/70 R19 di depan dan 170/60 R17 di belakang.

Untuk casis, ia menggunakan kerangka jenis double cradle yang digandingkan dengan sistem suspensi boleh laras sepenuhnya daripada KYB yang terdiri daripada fork USD dan penyerap hentak multilink.

Kuasa membrek pula dibekalkan oleh angkup J.Juan (empat piston di depan, satu piston di belakang) yang ditugaskan untuk mencengkam cakera berkembar 320 mm di depan dan cakera tunggal 260 mm di belakang.

Untuk sistem elektronik pula, terdapat empat mod tunggangan (Standard, Sport, Rainy Days, dan Off-Road), kawalan pendikit elektronik (ETC), Ride-by-Wire, ABS Pro, Traction Control dan Tyre Pressure Monitoring System.

Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuk lampu LED depan dan belakang, paparan TFT berukuran tujuh inci, port pengecas USB, pemanas tangan dan tempat duduk, serta penghadang angin boleh laras.

Selain itu, T1002VX didatangkan dengan tiga kotak barangan, masing-masing berkapasiti 50, 42 dan 36 liter, serta sistem sambungan MBP Connect.

T1002VX dijual pada harga RM53,888 namun 200 pelanggan pertama akan menikmati harga istimewa iaitu RM48,888.

Tiada lagi tajaan Petronas, SRT ‘dihujani’ pelbagai spekulasi

PETRONAS dilaporkan tidak lagi menaja pasukan Sepang Racing Team (SRT).

Memetik laporan portal Auto Sport, penamatan kerjasama itu berkuatkuasa musim depan.

Susulan itu, tiada lagi sponsorship Petronas bagi pasukan kendalian SRT meliputi MotoGP, Moto2 dan Moto3.

Dewasa ini, timbul beberapa cerita mengenai pasukan SRT bukan sahaja melibatkan tajaan malah, membabitkan pelumbanya.

Valentino Rossi bakal menamatkan karier bersama pasukan Yamaha Sepang Racing Team selepas membuat keputusan untuk bersara bagi musim depan. – Foto ihsan Malay Mail

Antara berita menghiasi sukan permotoran termasuk persaraan legenda sepanjang zaman Valentino Rossi yang hanya mewakili SRT untuk satu musim sahaja.

Selain itu, SRT juga dikhabarkan bakal kehilangan pelumba Franco Morbidelli yang akan menyertai pasukan Yamaha Factory Team pada musim depan.

Kemasukan Morbidelli dalam pasukan Yamaha Factory Team menjadi perbualan hangat peminat MotoGP susulan penamatan kontrak pelumba sedia ada, Maverick Vinales.

Pelumba MotoGP Franco Morbidelli dikatakan akan meninggalkan pasukan Yamaha Sepang Racing Team (SRT). – Foto ihsan Facebook/Franco Morbidelli

Untuk rekod, SRT turut dikatakan akan memansuhkan pasukan Moto2 dan Moto3 pada musim depan.

Justeru, pelumba Moto3 Darryn Binder antara yang bakal dibawa ke saingan MotoGP musim 2022.

MotoGP: Ganti Morbidelli, Gerloff sedia ‘gegarkan’ Assen

PENUNGGANG GRT Yamaha WorldSBK Garrett Gerloff mencipta sejarah apabila bakal menggantikan tempat Franco Morbidelli hujung minggu ini.

Perkara itu disahkan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (PYSRT) pada semalam.

Prinsipal PYSRT Datuk Razlan Razali berkata, ini merupakan peluang untuk Gerloff membuktikan kebolehannya di MotoGP.

Razlan pada masa berharap, Morbidelli segera pulih dan kembali cergas secepat mungkin.

“Setiap orang perlu bergerak pantas selepas berita lewat semalam bahawa Franco tidak boleh berlumba hujung minggu ini.

“Kami mengharapkan Franco pulih kembali dengan sempurna dan akan kembali ke litar selepas cuti musim panas,” katanya kepada media.

Pelumba MotoGP Franco Morbidelli mengalami kecederaan di lutut. – Foto ihsan Facebook/Franco Morbidelli

Sebelum ini, Morbidelli mengalami kecederaan di bahagian lutut ketika sesi latihan.

Situasi tersebut menyaksikan pelumba kelahiran Itali itu bakal terlepas perlumbaan Grand Prix (GP) Belanda di Litar Assen, minggu ini.

Terdahulu, Gerloff mengakui teruja dan bertekad memberi persembahan terbaik kepada pasukan.

“Saya teruja dengan peluang di hadapan, saya bukannya seorang yang melarikan diri daripada sesuatu cabaran.

“Saya bersedia untuk turun ke litar.  Ia adalah litar baharu buat saya, saya gemar mencuba litar baharu, ia nampak menarik, pantas dan lancar,” katanya.

Sebelum ini, Gerloff pernah menunggang jentera Yamaha YZR-M1 semasa menggantikan Valentino Rossi dalam pasukan MotoGP Monster Energy Yamaha.

Bagaimanapun, ia hanya berlaku sementara ketika sesi latihan GP Eropah di Valencia, tahun lalu.