Tag Archives: motorhome

Brabus Big Boy 1200, inilah rumah mewah bergerak yang sebenar!

Inginkan sebuah rumah bergerak yang serba lengkap dan mewah?

Anda mungkin sekali memerlukan sebuah Brabus Big Boy 1200, sebuah motorhome atau RV tiga gandar yang dibangun menerusi kerjasama dengan STX Motorhomes.

Dibina berdasarkan pelantar Mercedes Actros, RV sepanjang 12 meter, lebar 2.5 meter dan tinggi 4 meter ini mampu menyediakan kemudahan seperti bilik tidur, ruang tamu, bilik air dan ruang dapur, lengkap dengan tangki air bersih dan kotor yang cukup besar.

Terdapat juga sepasang TV 4K bersaiz 43 inci, konsol permainan PS5, dan sistem audio premium yang mampu menemani sepanjang kembara.

Tidak cukup dengan saiz yang tersedia?

Pihak STX turut memasang sehingga empat modul berkuasa elektrik yang boleh diluncurkan keluar untuk ruang untuk berehat atau bekerja yang lebih luas dan selesa, lengkap dengan jek hidraulik untuk memastikan kestabilan struktur.

Kemudahan bermalam yang disediakan termasuklah katil kelamin, dua sofa dan tambahan katil tunggal yang boleh ditarik turun pada bahagian belakang kokpit.

Ruang dapur pula menyediakan pelbagai perkakasan moden termasuklah tungku memasak, ketuhar, peti sejuk beku, mesin kopi dan mesin pembasuh pinggan mangkuk.

Aspek ketersambungan bukanlah masalah besar kerana Brabus Big Boy 1200 ini dilengkapi dengan piring satelit Starlink dan penghala Wi-Fi.

Selain itu, Brabus turut memasang sehingga lapan panel solar, pek bateri dan unit penjana kuasa untuk memastikan bekalan tenaga yang mencukupi untuk tempoh masa di luar grid yang lebih lama.

Untuk menggerakkan motorhome tiga gandar ini, Brabus Big Boy 1200 dikuasakan oleh enjin diesel turbo 12.8 liter menghasilkan 523 hp dan 2,600 Nm, di mana kelajuan dihadkan kepada 90 km/j sahaja.

Harga untuk satu unit Brabus Big Boy 1200 bermula dari €1,260,504.20 (RM6 juta).

Toyota Hilux Champ diubah jadi motorhome, harga dari RM254k di Thailand

Di pasaran Thailand, syarikat Carryboy mula menawarkan pakej motorhome spesifikasi penuh untuk pemilik model trak pikap Hilux Champ yang mementingkan aspek keselesaan semasa mengembara.

Modul yang sama juga sebenarnya boleh dimuatkan pada trak pikap yang lebih besar seperti Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton.

Bergantung kepada spesifikasi yang dipilih, motorhome ini mampu memuatkan sehingga enam orang pada satu-satu masa.

Ia menyediakan ruang tamu yang boleh diubah menjadi tempat tidur, selain kemudahan lain seperti sistem pencahayaan LED, ruang storan, peti sejuk 80 liter, dapur memasak, TV 32 inci dan unit pendingin hawa.

Di bahagian luar, Carryboy turut memasang tempat pemijak sisi berkuasa elektrik, bumbung awning dan opsyen dapur memasak yang boleh ditarik keluar.

Terdapat tangki air bersih sebesar 100 liter untuk kegunaan bilik air dan tandas.

Motorhome ini turut didatangkan dengan bateri berkapasiti 9,600 Wh yang boleh dinaik taraf kepada 19,200 Wh atau 28,800 Wh untuk mereka yang mahu bertahan di luar grid untuk tempoh masa yang lebih lama.

Pemilik juga boleh memanfaatkan cuaca panas dengan memasang panel solar pada bumbung untuk memanjangkan tempoh hayat bateri.

Kuasa enjin masih lagi standard, di mana nadi diesel 2.4 liter itu berupaya menjana kuasa setinggi 148 hp dan 343 Nm yang memacu roda belakang menerusi kotak gear automatik.

Namun begitu, pihak Carryboy turut menawarkan opsyen naik taraf sistem gantungan dengan penyerap hentak baharu yang dapat meninggikan lagi jarak kelegaan tanah Hilux Champ.

 

Untuk mereka yang mahukan pakej lebih ringkas, Carryboy menawarkan Touring Package, merangkumi modul belakang yang menempatkan ruang storan tersusun, serta khemah bumbung yang boleh membuatkan dua orang dewasa.

Harga untuk Touring Package ini bermula dari THB 450,000 (RM57,298) untuk modul belakang, serta TBH 32,500 (RM4,138) untuk khemah bumbung.

Yang mana mahukan pakej motorhome yang lebih lengkap itu tadi boleh menyediakan wang bermula dari THB 1,997,000 hingga THB 2,389,000 (RM254k-RM304k).

Walaupun menggunakan nama Hilux, Hilux Champ sebenarnya memiliki saiz yang lebih kecil, dan diposisikan di bawah model trak pikap tersebut sebagai satu alternatif yang lebih ringkas dan mampu milik (harga dari THB 459,000 atau RM58,444).

CamperV Malaysia tawar kenderaan RV mesra muslim

INDUSTRI kenderaan rekreasi (RV) boleh dikatakan masih baharu di negara ini, dan ia mungkin menjadi pendorong kepada Shamsul Rosli untuk menubuhkan CamperV Malaysia.

Ia bermula kira-kira empat tahun lepas apabila beliau hanya sekadar mencuba untuk membaik pulih RV sebelum mengembangkannya dengan menubuhkan sebuah kilang bagi memenuhi permintaan industri itu yang kini semakin mendapat tempat.

Kilang CamperV yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan itu menyediakan khidmat profesional dan kepakaran bagi membaik pulih, mereka cipta, dan mengubah suai pelbagai jenis RV seperti karavan, campervan dan motorhome yang diimport dari luar negara.

Lebih membanggakan, usahanya sejak beberapa tahun telah membolehkan kenderaan pacuan empat roda atau trak pikap diubah menjadi campertruck. Menurut laporan Bernama, kilang CamperV merupakan antara yang terawal di negara ini dengan kemampuan itu.

Shamsul yang juga bekas jurutera marin baru-baru ini berkongsi bahawa sebelum membuka kilang, beliau telah ke United Kingdom (UK) semata-mata untuk membeli dan mempelajari selok-belok memiliki sebuah karavan.

“Di UK, saya beli sebuah van Mercedes-Benz Sprinter WB kosong untuk diubah suai dijadikan karavan. Pada masa sama, saya juga melawat beberapa kilang bagi mempelajari kaedah pembuatan karavan dengan pakar di sana,” katanya.

Menurut Shamsul, selepas membawa pulang van itu ke Malaysia, ada perkara yang beliau kurang berpuas hati kerana dalam kabinnya tiada ruang solat walaupun sudah dilengkapi katil, dapur dan tandas.

“Jadi, bermulalah idea untuk ‘DIY’ karavan saya. Secara tak sengaja, inovasi saya yang lebih mesra muslim itu mendapat perhatian khsusunya peminat RV tempatan, apatah lagi Ketika itu memang sukar dan tiada individu yang mahir membaik pulih kenderaan jenis ini,” kata Shamsul.

Setakat ini, lebih 80 RV pelbagai jenis telah berjaya dibaik pulih dan diubah suai mengikut cita rasa serta kehendak pemilik kenderaan tersebut.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata kebanyakan peralatan RV seperti tandas, penyaman udara atas bumbung serta peralatan elektrik seperti ketuhar, peti ais dan seterika menggunakan kuasa elektrik 12 volt dan diimport dari luar negara.

Sumber gambar: Facebook CamperV Malaysia