Tag Archives: msf

MSF umum kategori baharu Myvi Cup, khas untuk ‘King of the Road!’

Selain menjadi raja jalanan (king of the road), pemilik Perodua Myvi juga kini boleh berazam untuk memburu gelaran raja litar lumba menerusi pengenalan kategori Myvi Cup dalam Malaysia Speed Festival (MSF).

Kategori perlumbaan terbaharu itu akan membuat kemunculan rasmi di Pusingan 6 MSF Superturismo di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada 10 November ini.

Myvi Cup merupakan inisiatif yang diperkenalkan sendiri oleh MSF dan terbuka kepada semua jenis Perodua Myvi yang terjual di pasaran Malaysia.

Terdapat dua sub-kategori yang dipertandingkan iaitu Pro dan Casual yang akan dibezakan berdasarkan tahap kemahiran pemandu oleh penganjur perlumbaan.

Sama seperti Saga Cup, setiap jentera yang bertanding perlulah mempunyai komponen perlumbaan dan keselamatan yang dibenarkan, dan dalam masa yang sama mengekalkan komponen asal kereta.

Seperti contoh, brek hadapan perlulah mengekalkan dimensi asal spesifikasi kilang, diikuti dengan penggunaan brek dram di belakang.

Namun, pelumba boleh menggunakan komponen aftermarket seperti rotor berliang, pelapik brek serta hos brek yang boleh dipadankan terus tanpa memerlukan ubahsuai.

Selain itu, pelumba juga perlu menggunakan blok enjin, throttle body dan manifold kemasukan yang asal (boleh diubahsuai namun bahagian luaran perlu nampak standard), diikuti dengan ECU original (boleh ditala semula/reflash), dan kotak gear Myvi yang asal (nisbah akhir yang boleh diubahsuai).

Penggunaan kotak komputer jenis stand alone adalah dilarang sama sekali, diikuti dengan penggunaan kotak gear jenis dog-box dan penukaran sekuential.

Kesemua kereta juga perlulah mengekalkan pacuan roda hadapan dan tidak dibenarkan untuk menggunakan komponen LSD.

Menurut prinsipal MSF Superturismo, Adian Yein Khalid berkata, “falsafah MSF adalah untuk menjadikan perlumbaan yang lebih mudah diakses dan lebih mampu milik kepada orang ramai.

“Saga Cup telah terbukti berjaya dengan penyertaan lebih 75 buah kereta dan hampir 200 orang pelumba mengambil bahagian pada setiap pusingan.

“Pengenalan Myvi Cup merupakan satu langkah ke arah lebih banyak kepelbagaian ke dalam sukan permotoran. Bertentangan dengan kepercayaan, Myvi telah membuktikan ia mampu menjadi pantas dan kompetitif di dalam litar.”

MSF bawakan lebih 400 pelumba untuk Perlumbaan Merdeka Malaysia 2024

BUAT para peminat sukan permotoran, sambutan kemerdekaan kali ini akan dimeriahkan dengan aksi lebih 400 pelumba dalam acara Perlumbaan Merdeka Malaysia Speed Festival (MSF) oleh Petronas Primax di Litar Antarabangsa Sepang.

Anda boleh menyaksikan perlumbaan hujung minggu ini yang bermula pada malam Sabtu (31 Ogos 2024) dengan MSF MegaLap Time Attack dari 7 malam hingga 11 malam untuk menobatkan juara yang berjaya menawan litar Sepang dengan catatn masa terpantas.

Aksi kemudian bersambung pada hari Ahad (1 September 2024) yang akan menyaksikan perlumbaan bermula dengan acara MSF Superbikes yang merangkumi 12 pusingan melibatkan enam kelas perlumbaan dengan lebih 70 pelumba.

Ini akan diikuti dengan Piala MSF Saga Merdeka 75 iaitu perlumbaan “mini enduro” selama 75 minit dengan dua pemandu bagi setiap kereta.

Kemuncak hujung minggu ialah Perlumbaan Merdeka – yang diadakan secara tradisinya sempena memperingati hari kebangsaan – iaitu perlumbaan endurance atau jangkamasa panjang melibatkan 340 pelumba dan 170 kereta.

Mereka akan bertarung di dalam enam kelas perlumbaan berbeza melibatkan 99 pusingan di Litar Antarabangsa Sepang yang berjarak 5.543km.

“Kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan kolaborasi bersama Petronas yang dipacu oleh Petronas Primax di dalam Perlumbaan Merdeka tahun ini,” kata Pengasas MSF Adian Yein Khalid.

“Perlumbaan Merdeka telah berkembang menjadi salah satu acara tahunan yang paling dinanti-nantikan dalam kalendar perlumbaan tempatan untuk peminat kerana kepelbagaian kelas perlumbaan yang ditawarkan.

“Dengan sokongan Petronas, kami berharap dapat meningkatkan lagi pengalaman dan keterujaan ini untuk para peserta dan peminat perlumbaan bergerak ke hadapan,” tambah Adian.

Enam kelas perlumbaan yang dipertandingkan dalam Perlumbaan Merdeka termasuk: Rennplatz Standard Production; Rennplatz Standard Production Max; Vision HKS Super Touring; Vision HKS GT86 x BRZ Racing Cup; Super 1800; and MSF Super Production.

Secara keseluruhan sejumlah RM50,000 berbentuk hadiah wang tunai disediakan untuk dimenangi tiga pemenang teratas dalam kesemua enam kelas perlumbaan.

Kelas Rennplatz Standard Production dan Rennplatz Standard Production Max akan menawarkan hadiah wang tunai yang paling lumayan dengan juara berpeluang memenangi wang tunai RM6,200 manakala RM2,950 dan RM1,850 diperuntukkan bagi pemenang tempat kedua dan ketiga.

Juara kategori Vision HKS Super Touring dan Vision HKS GT86 x BRZ Racing Cup, akan menerima habuan wang tunai berjumlah RM5,700.

Sebanyak RM2,950 dan RM1,850 akan menjadi milik pemenang tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, juara, tempat kedua dan ketiga kelas MSF Super 1800 dan MSF Super Production akan menerima RM4,200 dan RM1,750 dan RM1,050.

Buat pertama kalinya, hadiah wang berjumlah RM1,000 untuk juara dan RM300 dan RM200 masing-masing untuk pemenang tempat kedua dan ketiga, juga akan ditawarkan kepada pemenang dalam perlumbaan MSF Superbikes.

Enam kelas perlumbaan dua roda termasuk: Super Rookie; GP X; GP Pro; GP Masters; All-Stars; dan Super Sport.

Untuk MSF MegaLap Time Attack pada hari Sabtu (31 Ogos 2024), pas akses paddock berharga RM20 dan boleh didapati dari Paddock Trek Selatan. Acara bermula pada pukul 7 malam hingga 11 malam.

Untuk perlumbaan pada Ahad (1 September 2024) pula, pintu akan dibuka bermula jam 3 petang dan pas akses Paddock Trek Utara dijual pada harga RM35 manakala caj parkir adalah RM10.

Pas boleh diperolehi di pintu masuk ke Trek Utara pada hari perlumbaan. Kemasukan ke grandstand utama untuk penonton pada kedua-dua hari adalah percuma.