Tag Archives: Muar

Nissan buka pusat 3S baharu di Muar, tampilkan Nissan Retail Concept

SEBUAH lagi pusat servis 3S Nissan dibuka di Muar, Johor dan dikendalikan oleh NM Supreme Sdn Bhd. Pusat 3S dengan keluasan 8,000 kaki persegi ini juga menampilkan Nissan Retail Concept untuk pengalaman selepas-jualan lebih baik buat pelanggan.

Nissan Retail Concept bertujuan menginovasikan pengedar Nissan dan menyampaikan standard perkhidmatan bertaraf dunia kepada pelanggan di seluruh dunia.

Ia bertumpu pada mempamerkan nilai jenama Nissan sepanjang masa pelanggan berada di pusat flagship ini, sama ada untuk memandu uji model terkini atau menghantar kereta untuk servis biasa.

Setiap titik sentuh kemudahan runcit yang mematuhi konsep NRC telah pun direka bentuk dan diperhalusi semula untuk menyampaikan keseronokan dan kepuasan kepada pelanggan.

Ruang jualan pusat 3S ini mampu memuatkan sehingga enam kenderaan. Ia juga mempunyai empat ruang servis dengan kapasiti servis sebanyak 16 kenderaan sehari.

Ruang servis dengan keluasan lebih 4,000 kaki persegi ini dikendalikan oleh sepasukan enam juruteknik terlatih dan profesional.

Selain itu, ruang menunggu untuk pelanggan direka agar selesa dan dilengkapi dengan kemudahan WiFi serta makanan dan minuman percuma.

“Inisiatif untuk menginovasikan pengedar Nissan dengan mematuhi konsep NRC adalah untuk memastikan pelanggan kami dapat menerima perkhidmatan bertaraf dunia di kemudahan terkemuka yang selaras dengan pengalaman jenama Nissan global,” kata Khoo Cheng Pah, Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Tan Chong Motor.

Pusat 3S NM Supreme Sdn Bhd terletak di No. 106, Jalan Meriam, 84000 Muar, Johor. Ia dibuka pada waktu operasi seperti berikut:

Bilik pameran
Isnin – Sabtu: 9 pagi – 6 petang
Ahad: 10 pagi – 5 petang
Cuti umum: Tutup

Pusat servis
Isnin – Jumaat: 8:30 pagi – 5:30 petang
Sabtu: 8:30 pagi – 1 petang
Ahad dan cuti umum: Tutup

Hilang kawalan punca dua kapal berlanggar di perairan Muar

JABATAN Laut Malaysia memaklumkan telah memperoleh keputusan siasatan awal kemalangan kapal MV Gagapagos dan MV Zephyr Lumos di perairan Muar, semalam.

Memetik satu kenyataan, insiden berlaku selepas kapal MV Gagapagos dikatakan hilang kawalan semasa pelayaran sebelum melanggar MV Zephyr Lumos.

“Jabatan Laut Malaysia juga telah mengarahkan kedua-dua kapal untuk berlabuh di tempat selamat bagi tujuan verifikasi kerosakan dan siasatan lanjut.

“Pasukan siasatan kemalangan kapal Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS) sedang menjalankan siasatan ke atas kapal-kapal berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Semalam, sebuah kapal tangki MV Galapagos dan kapal kargo MV Zephyr Lumos berlanggar di kedudukan 14.1 batu nautika barat daya kuala Sungai Muar.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan insiden terbabit.

Terdahulu, maklumat isyarat kecemasan dari kedua-dua kapal itu diterima menerusi Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia.

Pada masa sama, Jabatan Laut memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan minyak dijumpai.

Namun, menurut laporan awal yang diperoleh daripada Maritim, tumpahan minyak dikesan kira-kira lima batu nautika dari lokasi kapal MV Galapagos berlabuh.

Bagaimanapun tiada tumpahan minyak dilaporkan di lokasi MV Zephyr Lumos berlabuh.

Hilux rempuh Myvi, seorang wanita meninggal dunia

TINDAKAN sebuah kenderaan yang didakwa tidak mematuhi lampu isyarat mengundang padah apabila ia terlibat dalam satu kemalangan.

Walaupun berlaku pada 24 April lalu, video kemalangan itu bagaimanapun tular di media sosial hari ini.

Insiden dikatakan berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Temenggong Ahmad dekat Muar, Johor.

Kemalangan meragut nyawa seorang wanita berusia 41 tahun yang mengalami kecederaan serius.

Sementara itu, anak kepada wanita terbabit dilaporkan cedera parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Menerusi video tular di media sosial, kelihatan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda (4×4) Toyota Hilux dipandu laju sebelum melanggar sebuah kereta Perodua Myvi.

Pada masa sama, insiden turut melibatkan beberapa kenderaan lain yang berada di lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.