Tag Archives: mugen

Sentuhan Mugen buat Honda Freed nampak sedikit jahat

DALAM hidup ini, ada tiga perkara yang pasti iaitu kematian, cukai dan sentuhan Mugen untuk setiap model Honda.

Selepas memperkenalkan kit badan untuk Civic Type R FL5, syarikat penala Jepun itu kini menawarkan pula pakej naik taraf untuk Honda Freed yang dilancarkan baru-baru ini.

Menurut Mugen, pakej tersebut dibangunkan berdasarkan konsep “Sports for Everyone” untuk pelanggan yang gemarkan gaya hidup aktif.

Tidak banyak maklumat yang diberikan namun seperti yang boleh dilihat, kit badan Mugen sedikit sebanyak membuatkan MPV itu kelihatan lebih sporty.

Mugen membangunkan kit badan yang berbeza untuk varian Air dan Crosstar. Varian Air yang tampil lebih ringkas dalam keadaan standard, kini nampak lebih agresif dengan gril Mugen dan penambahan liang udara dan splitter pada bampar depan.

Untuk bahagian sisi, ia diberikan jalur grafik berwarna hitam, visor tingkap dan skirt sisi. Ia juga kelihatan sedikit lebih rendah berbanding versi standard, bermakna ada kemungkinan yang pakej ini turut merangkumi sistem suspensi.

Di belakang, kehadiran spoiler bumbung, kemasan tailgate, liang udara bampar dan diffuser melengkapkan penampilan segar Freed Mugen.

Sementara itu, penampilan Freed Crosstar, yang sebenarnya sudah agak rugged dengan adanya elemen-elemen SUV, dipertingkatkan lagi menerusi tulisan ‘MUGEN’ berwarna hitam pada bonet, jalur grafik dengan corak camo, rim aloi aftermarket, cermin sisi hitam dan spoiler.

Seperti yang boleh dijangka, pakej naik taraf ini meliputi aspek kosmetik sahaja. Di pasaran Jepun, Freed boleh didapati dengan enjin 1.5-liter empat silinder dengan 117 hp dan 142 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT dengan pilihan pacuan roda depan atau semua roda.

Ia juga ditawarkan dalam versi hibrid e:HEV yang menampilkan gabungan enjin 1.5-liter berkuasa 105 hp dan 127 Nm, serta motor elektrik yang menjana 121 hp dan 253 Nm.

Pemilik Honda Civic Type R FL5 boleh sambar kit badan agresif Mugen

Takde idea untuk mencantikkan lagi penampilan Civic Type R anda?

Usah risau, kerana syarikat penala terkenal Honda, Mugen telah pun melancarkan pakej naik taraf aerodinamik yang dihasilkan khusus untuk Civic Type R FL5, dan boleh didapati di pasaran Jepun dalam masa terdekat.

Sebahagian daripada komponen yang disebutkan itu telah pun diperlihatkan sebelum ini di Tokyo Auto Salon 2023 menerusi model konsep yang dipamerkan.

 

Antara barangan yang ditawarkan termasuklah struktur sayap belakang boleh laras yang telah direka semula, di mana ia kini mempunyai plet hujung yang diperbuat daripada gentian karbon, serta spoiler dagu di hadapan.

Mugen menyarankan pembeli untuk memasang kedua-dua komponen ini serentak untuk keseimbangan daya mendap yang lebih optimum, selain menawarkan kemasan bampar depan dan splitter sisi belakang, di mana perubahan aerodinamik itu dikatakan mampu menambah baik daya mendap sebanyak 25 peratus.

Tidak ketinggalan, set rim aluminium tempa BBS bersaiz 19 inci yang jauh lebih ringan berbanding rim standard, dan boleh dipadankan dengan lock nut perlumbaan.

 

Untuk ruang kabin, terdapat juga kemasan gentian karbon untuk konsol tengah, tombol gear Alcantara, serta sepasang tempat duduk jenis Bucket Recaro.

Mugen juga turut memperlihatkan rekaan lampu belakang LED serba baharu, tip ekzos tunggal serta roda stereng gentian karbon serba baharu, namun tiada sebarang maklumat lanjut didedahkan buat masa ini.

Harga jualan bagi setiap barangan adalah seperti berikut:

  • sayap belakang: 308,000 yen (~RM9,393)
  • spoiler dagu hadapan: 110,000 yen (~RM3,355)
  • splitter sisi belakang: 99,000 yen (~RM3,019)
  • kemasan bampar hadapan: 77,000 yen (~RM2,348)
  • rim aluminium BBS: 176,000 yen/pcs (~RM5,368/pcs)
  • kemasan gentian karbon konsol tengah: 71,500 yen (~RM2,181)
  • tombol gear Alcantara: 22,000 yen (~RM671)
  • tempat duduk Recaro: 279,000 yen/sepasang (~RM8,509/sepasang)

 

Honda Civic hatchback Mugen – Kit badan, rim, ekzos sport

MUGEN telah menala dan berlumba dengan jentera hampir 30 tahun. Kini dengan Civic FE baharu, pasti Mugen mahu memberikan sentuhan mereka. Civic Mugen akan didedah secara rasmi pada September nanti, tapi mereka telah menyiarkan beberapa gambar untuk tatapan kita.

Gambar: Mugen

Boleh dilihat kit badan yang nampak ‘ringan’, tidak terlalu menonjol. Kiranya, bahagian bawah sekeliling kereta telah diberikan kelainan, termasuk lip depan, skirt tepi dan perumah ekzos trapezoid. Kemudian terdapat spoiler, corong tingkap, cermin sisi, dan rim baharu.

Gambar oleh: Mugen

Penerangan ringkas dari Mugen mengatakan rim 18-inci itu ialah dari aluminium yang memberi penekanan untuk pemanduan sporti. Ekzos sports berkembar juga sebahagian dari pakej ini yang mempunyai tip berbentuk bujur.

Pakej Mugen ini sememangnya menaikkan imej sporti pada Civic hatchback ini. Mugen juga menawarkan karpet sports yang “akan menghalang udara luar masuk sambil menambahbaik pengudaraan”. Pelik bunyinya, tak apa lah, kita tunggu pendedahan rasmi nanti.

Mugen tidak menyatakan bahawa kit badan ini untuk hatchback sahaja atau untuk sedan sekali. Kami rasa ia akan ditawarkan untuk kedua-duanya.

Apa pendapat anda mengenai pakej Mugen untuk Civic generasi ke-11 ini? Bagaimana pula rupa Type-R nanti kan?