Tag Archives: mx-5

Mazda MX-5 35th Anniversary Edition, hanya 1,000 unit dihasilkan untuk Jepun

Mazda MX-5, yang juga dikenali sebagai Roadster atau Miata, tidak syak lagi merupakan antara kereta paling ikonik dalam dunia automotif dengan lebih 1.2 juta unit terjual sejak diperkenalkan buat pertama kali pada 1989.

Bagi meraikan ulang tahunnya yang ke-35, Mazda akan menawarkan model edisi terhad yang dikenali sebagai MX-5 35th Anniversary Edition.

Menurut Mazda, hanya 1,000 unit akan dihasilkan dan semuanya akan dijual di Jepun bermula Februari 2025. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan versi soft top atau hard top RF.

Apa yang menjadikan model ulang tahun ini lebih istimewa berbanding versi standard?

Untuk bahagian luaran, MX-5 35th Anniversary Edition tampil dalam warna Artisan Red Premium Metallic yang diaplikasikan menggunakan teknologi ‘Takuminuri’ bagi menonjolkan lagi garisan-garisan dan lengkungan badan MX-5.

Selain itu, ia didatangkan dengan bumbung berwarna beige, rim aloi 17 inci dan lencana ’35th Anniversary’ lengkap dengan nombor siri pengeluaran yang diletakkan berdekatan dengan tayar belakang.

Di dalam, terdapat upholsteri kulit Nappa berwarna tan yang dipadankan dengan karpet beige, serta cetakan timbul logo ’35th Anniversary’ pada perehat kepala.

Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal. Versi soft top menampilkan enjin 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 136 PS dan 152 Nm, dan transmisi manual enam kelajuan.

Sementara itu, versi RF pula dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder dengan 184 PS dan 205 Nm, dan boleh didapati dengan transmisi manual atau automatik.

Harga jualan bermula dari 3,753,200 yen (RM106,402) untuk versi soft top, 4,354,900 yen (RM123,460) untuk RF manual dan 4,382,400 yen (RM124,240) untuk RF automatik.

Mazda Vision Study Concept – Adakah kamu MX-5 generasi baharu?

MAZDA mengemaskini agenda mereka dengan membentangkan perancangan ke arah elektrifikasi untuk beberapa tahun akan datang. Ini mirip dengan hala tuju pengeluar-pengeluar lain, tetapi ada sesuatu yang menarik perhatian di sini.

Walaupun tidak disebut dalam siaran media, terdapat satu video menunjukkan sebuah coupe sports misteri. Apakah ia? Sebuah “Vision Study Model” buat masa ini.

Dalam video berdurasi 36 minit di saluran Youtube rasmi Mazda Japan, Presiden dan CEO iaitu Akira Marumoto berkata mengenai langkah-langkah jenama itu untuk karbon sifar menjelang 2050.

Lima minit terakhir menampilkan “visi Mazda untuk masa depan”, dan benda pertama anda akan lihat ialah MX-5 ND. Model-model MX-5 generasi sebelumnya juga membuat penampilan sebelum sebuah coupe berwarna putih muncul.

Ia mungkin gambaran awal MX-5 generasi kelima, atau mungkin kami salah. Tapi bagaimana jika ia memang MX-5 generasi baharu?

Model coupe itu menampilkan bumbung keras dan bukan bumbung convertible lembut seperti biasa. Tetapi model MX-5 hardtop bukanlah benda baharu, generasi NB sebelum ini pernah dihasilkan dalam versi sebegini di Jepun, hanya 179 unit pernah dibina.

Kemudian konsep coupe dalam video itu juga memaparkan pintu butterfly, tetapi sudah tentu versi produksi tidak akan menggunakan pintu sebegini.

Selain itu, ia memang mempunyai bentuk sebuah kenderaan pacuan roda-belakang melihatkan kepada bonet depan yang panjang dan di belakang yang pendek.

Pengeluar Jepun ini pernah ‘berjanji’ untuk memastikan formula RWD dan ICE (enjin pembakaran dalaman) dikekalkan untuk Miata generasi akan datang. Walaubagaimanapun, sedikit elektrifikasi mungkin dimasukkan untuk menepati piawaian emisi yang semakin ketat.

Ia juga sesuai sebagai ‘persediaan’ sebelum MX-5 menjadi model EV sepenuhnya jika perlu.

Mazda MX-5 RF kini dengan KPC, harga RM266k

MAZDA MX-5 RF telah dikemaskini untuk 2022 dengan Kinematic Posture Control (KPC) yang menambahbaik pengendaliannya.

Dilengkapi secara standard pada model dengan transmisi manual dan automatik, KPC merupakan ciri unik yang hanya didapati pada jentera sports dua-tempat duduk ini.

Semasa membrek sambil membelok, KPC akan memberikan brek tambahan kepada tayar sebelah dalam untuk mengurangkan olengan badan. Ini akan ‘menekan’ bahagian belakang sebelah dalam ke bawah agar kekal ‘terduduk’ dengan baik dalam situasi pemanduan dengan tarikan-G yang tinggi.

Selain dari ini, spesifikasi Mazda MX-5 RF dikekalkan, iaitu penggunaan enjin 2.0-liter SkyActiv-G yang menjana 181hp dan 205Nm tork. Pilihan transmisi seperti disebut tadi adalah manual dan automatik, kedua-duanya dengan 6-kelajuan.

MX-5 RF juga didatangkan dengan Apple CarPlay tanpa-wayar serta pakej keselamatan i-Activsense yang merangkumi ciri seperti Adaptive LED Headlights (ALH), Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross-Traffic Alert (RCTA), Smart City Brake Support (SCBS), Driver Attention Alert (DAA) dan Lane Departure Warning System (LDWS).

Roadster dua pintu ini dijual pada harga RM265,964 dan merupakan model import sepenuhnya dari Jepun (CBU).

Enam pilihan warna boleh dpilih, iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Polymetal Gray, Deep Crystal Blue dan Jet Black.

MX-5 juga mendapat jaminan dan pakej penyelenggaraan percuma untuk 5-tahun atau 100,000km (yang mana dahulu).