Tag Archives: MyDigital ID

Perodua meterai MoU dengan MyDigital ID bagi dapatkan akses pengesahan pengguna

Perodua menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MyDigital ID untuk mendapatkan akses pengesahan pengguna dalam usahanya untuk menambahbaik perjalanannya ke arah transaksi tanpa tunai.

MyDigital ID adalah inisiatif Identiti Digital Nasional yang selamat dan dipercayai. Ia dibangunkan bertujuan untuk membolehkan rakyat Malaysia mendapat akses yang selamat dan lancar bagi perkhidmatan digital kerajaan serta swasta.

Dengan tumpuan kepada keselamatan dan privasi, MyDigital ID menetapkan penanda aras baharu untuk kepercayaan dan perlindungan dalam dunia mobiliti yang semakin berkembang pesat.

“Kerjasama ini adalah yang pertama seumpamanya bagi industri automotif di negara ini. Memandangkan MyDigital ID bertindak sebagai ‘gatekeeper’ bagi pengesahan transaksi di negara ini, ia membolehkan kami mempelbagaikan lagi perkhidmatan kepada para pelanggan kami khususnya, dan kepada semua rakyat Malaysia secara amnya,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Beliau berkata proses pengesahan yang dijalankan adalah titik permulaan yang selamat bagi memastikan semua pengguna dilindungi oleh pakar keselamatan siber di negara ini.

“Sejak enam bulan lalu, kami telah menjalin kerjasama strategik dengan beberapa syarikat, antaranya PETRONAS, Tenaga Nasional Bhd dan Telekom Malaysia Bhd bagi menambahkan lagi pengalaman rakyat Malaysia secara keseluruhan.

“Semua kerjasama ini akan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kepada bakal pelanggan kami dan kami mahu pelanggan kami berada dalam keadaan selamat,” kata Dato’ Sri Zainal.

“Sebagai tambahan, kami juga menyokong seruan kerajaan ke arah komuniti tanpa tunai di samping memanfaatkan ciri keselamatan siber yang kukuh yang disediakan oleh MyDigital ID,” katanya.

“Kerjasama strategik dengan Perodua menunjukkan kepentingan peranan identiti digital untuk memacu pembaharuan digital di dalam industri automotif,” kata Ketua Pegawai Operasi MyDigital ID, Mohd Azuddin Parman.

“Kuncinya adalah memastikan pengesahan identiti digital yang dipercayai di samping menjadikan interaksi digital lebih selamat dan mudah. Ia memperkasakan industri seperti automotif untuk menawarkan pengalaman selamat dan mesra pengguna kepada setiap pelanggan. Pada masa yang sama, kami juga menyumbang kepada kemajuan ekonomi digital Malaysia,” kata Mohd Azuddin.

Tak perlu MyDigital ID untuk log masuk MyJPJ bermula 10 Okt – Anthony Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa orang ramai tidak perlu menggunakan MyDigital ID untuk mendaftar masuk aplikasi MyJPJ bermula 10 Oktober ini.

Loke berkata, pengguna aplikasi MyJPJ boleh mendaftar masuk aplikasi berkenaan seperti biasa.

“Orang ramai tidak perlu ada kebimbangan bahawa selepas 10 Oktober ini tidak boleh pakai MyJPJ. Itu tidak wujud. MyJPJ boleh terus diakses dengan mudah dengan cepat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pengguna MyJPJ perlu mendaftar masuk aplikasi itu menggunakan MyDigital ID bermula 10 Oktober ini.

MyDigital ID adalah satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

Menurut Loke, arahan berhubung keperluan penggunaan MyDigital ID dalam MyJPJ dikeluarkan menerusi pengumuman tetingkap timbul (‘pop-up announcement’) dalam aplikasi itu.

Loke berkata arahan yang dikeluarkan itu bukan pengumuman rasmi daripada Kementerian Pengangkutan atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan telah diturunkan serta-merta.

“Maklumat yang disalurkan melalui ‘pop-up’ MyJPJ telah memberikan maklumat yang mungkin mengelirukan orang ramai.

“Saya lihat dalam banyak komen media (sosial) yang bimbang dan memberikan maklum balas berkenaan (maklumat tersebut),” katanya sambil menambah MyJPJ ketika ini mempunyai 10.5 juta pengguna.

Beliau berkata, kementerian menyokong penggunaan MyDigital ID namun proses pengintegrasian dengan aplikasi MyJPJ perlu dibuat secara ‘back-end’.

“Kita telah mengadakan perbincangan dan mencapai persetujuan supaya penggunaan MyDigital ID sebagai ‘log in’ kepada aplikasi MyJPJ perlu dilaksanakan dengan mudah.

“Ia supaya tidak memberikan apa-apa masalah kepada pihak pengguna MyJPJ dan kita akan mengambil sedikit masa untuk pengintegrasian secara ‘back-end’,” katanya.