Tag Archives: myjpj

Kini anda boleh tukar lesen PDL ke lesen CDL melalui aplikasi MyJPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa permohonan pertukaran Lesen Memandu Percubaan (PDL) kepada Lesen Memandu Kompeten (CDL) boleh dilakukan melalui aplikasi MyJPJ bermula hari ini (7 Februari).

Menurut Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Aedy Fadly Ramli, pengenalan fungsi baharu tersebut bertujuan memudahkan borang ramai membuat permohonan CDL secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter JPJ.

Dengan adanya fungsi baharu ini, seramai 2,383,043 pemegang lesen PDL boleh melaksanakan permohonan CDL melalui aplikasi MyJPJ pada bila-bila masa dan di mana sahaja menerusi telefon pintar mereka.

Berikut adalah cara melakukan permohonan CDL melalui aplikasi MyJPJ:

  1. Muat turun atau kemas kini aplikasi MyJPJ ke versi terkini
  2. Log masuk ke akaun MyJPJ anda
  3. Pilih menu “Permohonan CDL”
  4. Pilih “Tempoh Pembaharuan”
  5. Pilih “Mod Bayaran” dan bayar fi permohonan secara dalam talian
  6. Permohonan anda akan diproses dan anda akan menerima notifikasi status permohonan

“JPJ Malaysia berharap inisiatif ini akan mempermudahkan urusan pemilikan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital tanpa mengambil masa yang lama, seterusnya menjadi salah satu usaha JPJ untuk mengurangkan kesesakan kaunter.

“Pihak JPJ sentiasa komited untuk meningkatkan kualiti dan mutu penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Mangsa banjir tidak perlu ganti lesen, geran hilang atau rosak – JPJ

Ini sedikit kelegaan buat mangsa terjejas banjir yang mengalami masalah geran kenderaan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) hilang atau rosak.

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dokumen-dokumen berkenaan tidak perlu digantikan memandangkan semuanya boleh diakses menerusi aplikasi MyJPJ.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ini selaras dengan peralihan perkhidmatan JPJ ke arah pendigitalan sepenuhnya pada masa hadapan.

Tambah beliau lagi, dengan membuat pendaftaran di aplikasi terbabit agensi penguat kuasa seperti JPJ juga dapat menentukan kesahihan dokumen terbabit.

Sementara itu, individu yang masih tidak mempunyai MyJPJ hanya perlu mendaftar untuk mengakses dokumen digital seperti lesen, cukai jalan, geran dan Sijil Pemilikan Sementara (VOC).

“Tidak perlu dirisaukan kerana mana-mana yang terkesan (mangsa banjir) tidak perlu membuat penggantian.

“Tanggungjawab untuk menentukan kesahihan lesen atau cukai jalan terletak di bahu agensi penguat kuasa itu sendiri dan kita juga ada pendigitalan,” katanya.

Tak perlu MyDigital ID untuk log masuk MyJPJ bermula 10 Okt – Anthony Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa orang ramai tidak perlu menggunakan MyDigital ID untuk mendaftar masuk aplikasi MyJPJ bermula 10 Oktober ini.

Loke berkata, pengguna aplikasi MyJPJ boleh mendaftar masuk aplikasi berkenaan seperti biasa.

“Orang ramai tidak perlu ada kebimbangan bahawa selepas 10 Oktober ini tidak boleh pakai MyJPJ. Itu tidak wujud. MyJPJ boleh terus diakses dengan mudah dengan cepat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pengguna MyJPJ perlu mendaftar masuk aplikasi itu menggunakan MyDigital ID bermula 10 Oktober ini.

MyDigital ID adalah satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

Menurut Loke, arahan berhubung keperluan penggunaan MyDigital ID dalam MyJPJ dikeluarkan menerusi pengumuman tetingkap timbul (‘pop-up announcement’) dalam aplikasi itu.

Loke berkata arahan yang dikeluarkan itu bukan pengumuman rasmi daripada Kementerian Pengangkutan atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan telah diturunkan serta-merta.

“Maklumat yang disalurkan melalui ‘pop-up’ MyJPJ telah memberikan maklumat yang mungkin mengelirukan orang ramai.

“Saya lihat dalam banyak komen media (sosial) yang bimbang dan memberikan maklum balas berkenaan (maklumat tersebut),” katanya sambil menambah MyJPJ ketika ini mempunyai 10.5 juta pengguna.

Beliau berkata, kementerian menyokong penggunaan MyDigital ID namun proses pengintegrasian dengan aplikasi MyJPJ perlu dibuat secara ‘back-end’.

“Kita telah mengadakan perbincangan dan mencapai persetujuan supaya penggunaan MyDigital ID sebagai ‘log in’ kepada aplikasi MyJPJ perlu dilaksanakan dengan mudah.

“Ia supaya tidak memberikan apa-apa masalah kepada pihak pengguna MyJPJ dan kita akan mengambil sedikit masa untuk pengintegrasian secara ‘back-end’,” katanya.

JPJ terima 3,440 aduan menerusi aplikasi MyJPJ dan e-mel

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima 3,440 aduan daripada orang ramai membabitkan pelbagai kesalahan jalan raya yang disalurkan menerusi aplikasi MyJPJ dan e-mel sepanjang Op Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina bermula 1 hingga 13 Februari.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan, kesalahan tertinggi yang dilaporkan menerusi dua saluran itu ialah menggunakan laluan kecemasan, melanggar lampu isyarat serta memotong di garisan berkembar.

Beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis temu siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dalam tempoh tiga hari waktu bekerja kepada pemilik yang dikenal pasti supaya hadir ke pejabat JPJ untuk prosedur serta penyelesaian kes.

“Mana-mana pemilik yang gagal hadir dalam tempoh 14 hari notis Seksyen 114 dikeluarkan, pemilik akan dikenakan saman P (22). Sekiranya gagal menjelaskan dalam tempoh yang ditetapkan termasuk gagal hadir ke mahkamah, mereka akan disenarai hitam,” katanya.

Sementara itu, Op Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina menyaksikan JPJ mengeluarkan 27,339 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang pelaksanaan operasi itu di seluruh negara.

Lebih 72% kesalahan yang direkodkan adalah memandu melebihi had laju dengan 19,722 notis dikeluarkan.

“Kesalahan melanggar lampu isyarat melibatkan 4,283 notis, tidak memakai topi atau tali pinggang keledar (1,700), muatan berbahaya (681), memandu di lorong kecemasan (277), menggunakan telefon bimbit (263), memotong barisan (190), memotong garisan berkembar (171) dan memandu kenderaan berat di laluan laju (42),” katanya.

Cukai jalan digital: Boleh kongsi e-LKM kepada pemandu lain

KERAJAAN pada Februari 2023 mengumumkan bahawa pemandu tidak lagi wajib mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) pada kenderaan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan.

Walauapun perkara ini disambut baik rata-rata rakyat Malaysia, timbul pula isu bagaimana jika pemandu itu bukan pemilik kenderaan, sebagai contoh kereta sewa. Bagaimana mahu mempamerkan LKM jik diperlukan?

Nampaknya kini kita boleh membuat perkongsian Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) atau fungsi baharu iaitu “Kongsi LKM” di aplikasi MyJPJ.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini. “Melalui fungsi baharu itu pemilik kenderaan boleh berkongsi e-LKM kepada ahli keluarga, rakan-rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan,” katanya.

“Pemilik hanya perlu klik nombor plat kenderaan dan seterusnya klik butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian e-LKM kepada individu lain.

“Fungsi ini juga mempunyai tempoh had masa perkongsian yang boleh ditetapkan oleh pemilik kenderaan dan mempunyai kod pengaktifan yang perlu diberikan kepada penerima e-LKM tersebut untuk mengaktifkan perkongsian.

“Sistem juga akan menghapuskan rekod perkongsian sekiranya tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam,” tambah Anthony.