Tag Archives: Myvi

Perodua Myvi facelift 2022 dibuka untuk tempahan! Dari RM46k, lebih jimat minyak, 5 pilihan varian

IA semakin hampir, Perodua Myvi facelift 2022 kini dibuka untuk tempahan! Perodua hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa hatchback popular kegemaran rakyat Malaysia itu sudah boleh ditempah, berserta beberapa perincian.

Ia akan hadir dalam lima varian dan dua pilihan enjin, iaitu: 1.5 AV, 1.5 H, 1.5 X, dan dua varian 1.3 G. Kesemua varian hanya akan ditawarkan dengan pilihan automatik, tiada lagi manual.

Walaubagaiamanpun, Perodua tidak memperincikan jenis kotak automatik walaupun maklumat kami sebelum ini mengatakan Myvi D51A itu akan mendapat unit D-CVT sama seperti Ativa.

Turut dimaklumkan bahawa Myvi 2022 ini mempunyai kecekapan bahan api lebih baik. “Kami juga telah meningkatkan kecekapan bahan api bagi Myvi baharu ini kepada 22.2km/ liter (diuji pada varian 1.3L) berbanding 21.1km/liter sebelum ini,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal.

Varian AV, H dan X serta salah satu varian G akan mempunyai sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA) yang terkini, direka dengan mengutamakan keselamatan pemandu dan pejalan kaki.

Myvi facelift 2022 ini juga turut memperkenalkan warna baharu iaitu Cranberry Red, yang hanya tersedia untuk varian AV.

Warna lain adalah Ivory White, Glittering Silver, Lava Red (tidak tersedia untuk AV), Granite Grey dan Electric Blue.

Julat harga bagi Myvi 2022 ini ialah dari RM45,700 hingga RM58,800 (untuk Semenanjung Malaysia dan tanpa insurans) dan akan turut serta dengan jaminan 5-tahun.

Nantikan perkembangan lanjut mengenai Perodua Myvi facelift 2022 di sini sehingga pelancarannya nanti.

Untuk tempahan, terus ke pautan sini atau lawati mana-mana wakil jualan sah Perodua seluruh negara.

Perodua Myvi facelift dilihat di jalan awam! Sedang jalani penggambaran iklan?

LIHAT apa yang kami terima hari ini, beberapa keping gambar Perodua Myvi facelift 2021! Gambar-gambar ini dikongsi oleh rakan media kami, Funtasticko dari tangkap layar story Instagram @myvitesse, menunjukkan Myvi facelift di tempat awam.

Juga dikenali dengan kod nama D51A, Myvi ini difahamkan berkemungkinan sedang menjalani penggambaran iklan kerana terdapat kain penutup dan SUV Porsche Cayenne dengan kren kamera di atasnya.

Dapat dilihat dengan jelas rupa depan dan belakang Myvi ini yang telah diberikan beberapa perubahan. Di depan, lampu depannya direka semula lebih garang, gril menyerupai Perodua Ativa, cermin sisi hitam, dan bampar rekaan baharu dengan DRL jenis menegak.

Di belakang pula lampu kelihatan tidak berubah, tetapi bahagian luar bampar telah direka semula dengan trim hitam halus menegak menggantikan kemasan seperti rongga udara besar pada Myvi 2017.

Bahagian sisi seperti tiada perubahan, dimana Myvi ini mendapat rim rekaan sama dengan saiz 15-inci.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Perodua Myvi facelift bukan sahaja akan mendapat rupa baharu, tetapi juga kemas kini dari aspek mekanikal.

Myvi D51A akan mendapat kotak gear baharu D-CVT seperti pada Ativa, menggantikan kotak gear 4AT automatik 4-kelajuan pada model semasa.

Enjinnya masih sama, tetapi tetap menarik untuk membandingkan perbezaannya dengan Ativa memandangkan Myvi menggunakan enjin 2NR-VE 1.5-liter naturally-aspirated (dan 1NR-VE 1.3-liter), tetapi Ativa dipacu oleh 1.0-liter turbo.

Dijangkakan juga Myvi akan mendapat ciri keselamatan lebih maju iaitu ASA 3.0. Bergantung kepada varian, ia akan merangkumi Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Monitor System (BSM) dan Lane Keep Control (LKC).

Bagaimana rupa akhir King Highway ini nanti? Sama-sama kita nantikan semasa pelancarannya!

Enam individu bayar ‘tiket’ RM4,000 untuk tonton lumba haram di Pekan

ENAM individu terpaksa membayar harga ‘tiket’ mahal apabila dikompaun RM4,000 kerana menonton perlumbaan haram.

Kompaun dikenakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka yang dikompaun berusia antara 20 hingga 31 tahun.

Pihak polis yang membuat rondaan di jalan Kuantan- Segamat di Pekan sekitar jam 12.15 pagi semalam mendapati kesemua mereka melakukan beberapa kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka.

Individu terlibat juga dikatakan berkumpul di luar kereta dan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Kompaun dikenakan mengikut Peraturan 16 (1) Peraturan- peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (P.U (A) 293_2021).

Polis turut menyita dua buah motosikal dan tiga kereta untuk siasatan lanjut.

Myvi 1.3 vs Iriz 1.3: Kos servis mana lebih mahal?

MODEL Perodua Myvi dan Proton Iriz boleh dilihat di mana-mana sahaja di seluruh pelosok negara.

Faktor reka bentuk, teknologi dan size yang ideal menyebabkan dua model ini begitu ‘laku keras’ berbanding kenderaan jenama lain.

Selain itu, majoriti pengguna membeli Myvi dan Iriz juga adalah disebabkan faktor harganya yang berpatutan selain kos servis yang rendah.

Betul ke?

Di sini penulis ingin menjelaskan beberapa tips kewangan melibatkan kos secara purata bagi Myvi dan Iriz.

Perodua Myvi 1.3 vs Proton Iriz 1.3

Servis 10,000 kilometer

Berdasarkan servis bagi perjalanan setiap 10,000 kilometer, kos bagi Iriz dilihat lebih murah berbanding Myvi.

Hal ini kerana terdapat perbezaan bagi minyak enjin digunakan.

Myvi menggunakan minyak jenis OW-20 iaitu jenis full syntetic bernilai sekitar RM162.00 bagi empat liter. Manakala minyak enjin bagi Iriz hanya bernilai RM104.83 sahaja.

Servis 20,000 kilometer

Menerusi rekomendasi daripada Proton, servis bagi perjalanan setiap 20,000 kilometer memerlukan penukaran penapis udara berharga RM17.78.

Manakala Perodua masih mengekalkan kos servis biasa bagi perjalanan 20,000 kilometer namun, mengenakan kos upah sebanyak RM33.60.

Ini bermakna kos Myvi lebih mahal iaitu Rm213.32 manakala Iriz kekal sedikit rendah iaitu RM138.69 sahaja.

Servis 30,000 kilometer

Servis bagi perjalanan lebih 30,000 kilometer menyaksikan berlaku peningkatan kos untuk Iriz.

Kira-kira yang penulis lakukan mendapati kos meningkat mencecah skitar Rm383.23.

Hal ini disebabkan terdapat beberapa pertukaran beberapa kompenan antaranya spark plug, penyejuk radiator dan penapis bahan api.

Kos upah juga dikenakan sebanyak RM120.00.

Perodua pula hanya menetapkan pertukaran cabin filter bagi Myvi.

Kesimpulannya untuk kos servis 30,000 Myvi sedikit murah berbanding Iriz.

Servis 40,000 kilometer

Memandangkan terdapat beberapa komponen telah ditukar sebelum ini, tidak banyak penambahan bagi Iriz untuk servis 40,000 kilometer.

Apa yang perlu ditukar adalah penapis udara dan cecair brek.

Harga keseluruhan servis adalah RM267.35 yang mana ia termasuk kos upah sebanyak RM84.00.

Sementara itu, banyak komponen yang perlu ditukar bagi Myvi untuk servis kali ini.

Antara yang perlu ditukar termasuk minyak gear ATF, air filter dan lain-lain.

Maka itu kos servis Perodua bagi 40,000 kilometer adalah RM539.46 termasuk kos upah RM126.00.

Servis 50,000km

Servis Myvi dan Iriz kembali ‘normal’ untuk jarak pebatuan 50,000 kilometer.

Ini bermaksud kedua model ini hanya memerlukan servis minium iaitu hanya membabitkan penukaran minyak enjin, gasket dan oil filter.

Iriz masih kekal rendah dengan kos servis hanya RM190.87 sahaja dan Myvi pula sedikit mahal iaitu RM213.32.

Kos upah masih dikenakan kepada kedua-dua model ini.

Bagaimanapun, di antara kedua model ini yang manakah paling mendapat tempat di hati pengguna?

Adakah Myvi lebih menjimatkan atau Iriz lebih ‘menyelamatkan’ poket anda?

Untuk penjelasan lanjut saksikan episod Tips kira kira: Myvi 1.3 vs Iriz 1.3 bersama Cikgu Mas’od!

Hilux rempuh Myvi, seorang wanita meninggal dunia

TINDAKAN sebuah kenderaan yang didakwa tidak mematuhi lampu isyarat mengundang padah apabila ia terlibat dalam satu kemalangan.

Walaupun berlaku pada 24 April lalu, video kemalangan itu bagaimanapun tular di media sosial hari ini.

Insiden dikatakan berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Temenggong Ahmad dekat Muar, Johor.

Kemalangan meragut nyawa seorang wanita berusia 41 tahun yang mengalami kecederaan serius.

Sementara itu, anak kepada wanita terbabit dilaporkan cedera parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Menerusi video tular di media sosial, kelihatan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda (4×4) Toyota Hilux dipandu laju sebelum melanggar sebuah kereta Perodua Myvi.

Pada masa sama, insiden turut melibatkan beberapa kenderaan lain yang berada di lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kongsi foto kemalangan di media sosial, apa niat kita?

BUDAYA mengambil foto atau video kemalangan dan dikongsikan di platform media sosial dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Tindakan itu bukan sahaja mengundang aib kepada mangsa dan keluarga malah, lebih membimbangkan mampu memberi persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Apakah yang dimaksudkan dengan persepsi negatif?

Sebagai contoh, wujud seakan sindiran atau kadang kala menjadi ‘bahan’ ketawa di media sosial setiap kali berlaku kemalangan melibatkan kenderaan jenis Perodua Myvi.

Wujud golongan yang menganggap bahawa kebanyakan pemandu Perodua Myvi ‘bermasalah’ dalam pemanduan sehingga sering menjadi punca kemalangan.

Mengapakah perkara ini berlaku? Sudah pasti tidak lain semuanya kerana sikap masyarakat yang gemar berkongsi foto atau video di media sosial sehingga ia menjadi tular.

Foto sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi ‘terbang’ tular di media sosial. – Foto ihsan Twitter/Aeril Zafrel

Kemalangan jalan raya: Apa sikap kita?

Kes kemalangan jalan raya boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari di negara kita. Tidak dinafikan insiden seperti itu adakala boleh mengundang rasa cemas dan trauma kepada mangsa terlibat. Ia akan menyebabkan seseorang tidak mampu berfikir secara rasional apatah lagi mengambil langkah wajar bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

Justeru, di sini kami kongsikan kepada anda langkah-langkah yang perlu dilakukan jika berada di lokasi kemalangan.

  • Tindakan pertama perlu dilakukan adalah menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan
  • Jangan alihkan mangsa jika mengalami kecederaan parah. Ini penting untuk mengelak mangsa mengalami kecederaan lebih teruk
  • Pastikan kenderaan anda tidak menghalang lalu lintas bagi mengelak kesesakan jalan raya
  • Beri kerjasama kepada pihak berkuasa seandainya diperlukan untuk menjadi saksi kejadian
Insiden kemalangan di Bayan Lepas, Pulau Pinang tular selepas seorang lelaki memandu Perodua Myvi dipersalahkan walaupun bukan penyebab berlaku insiden terbabit.

Jadi, berbalik kepada persoalan apakah kita langsung tidak boleh mengambil foto kemalangan?

Pada pandangan kami, anda tidak perlu berbuat demikian. Ia bukan sahaja akan memberi aib kepada mangsa malah boleh menimbulkan lain-lain masalah terutama kesesakan jalan raya.

Mungkin ada yang tertanya tidakkah foto itu penting untuk dijadikan bahan bukti untuk pihak berkuasa jalankan siasatan?

Jawapannya, kita serahkan tugas mengambil foto itu kepada pihak polis yang lebih arif.

Bagaimanapun, jika kebetulan kenderaan anda dilengkapi kamera dan merakam insiden kemalangan maka, tidak perlu ditularkan kejadian tersebut.

Cukuplah jika anda serahkan video yang dirakam kepada pihak berkuasa untuk tujuan siasatan.