Tag Archives: Neta

Neta X dilancar: Tiga varian, sehingga 410km jarak pemanduan, dari RM120k

PASARAN kenderaan elektrik (EV) bawah RM150,000 semakin hangat, kini Neta X pula memasuki persaingan. Dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2024 baru-baru ini, Neta X kini dilancarkan secara rasmi dengan varian dan harga seperti berikut:

Neta X 400 Comfort: RM119,888
Neta X 400 Luxury: RM127,888
Neta X 500 Luxury: RM135,888

Semua varian dipacu oleh satu motor elektrik di depan, menjadikannya SUV FWD. Output adalah 120kW (163hp) dan 210Nm, cukup untuk pecutan 0-100 dalam masa 9.5 saat.

Untuk dua varian 400, baterinya berkapasiti 52kWh manakala varian 500 dilengkapi bateri 62kWh. Ini memberikan jarak pemanduan sehingga 323km untuk varian 400, dan 410km untuk varian 500.

Dari segi pengecasan pula, Neta X boleh diisi baterinya pada kadar 6.6kW untuk AC, sembilan jam diperlukan untuk penuh. Dengan pengecasan pantas DC pada kadar 65kW, pengecasan dari 30 hingga 80 peratus memerlukan 30 minit. Terdapat juga fungsi V2L untuk mengecas perkakas luaran.

Neta X mempunyai ukuran 4,619mm panjang, 1,860mm lebar, dan 1,628mm tinggi. Jarak roda pula ialah 2,770mm.

Kelengkapan standard pada Neta X termasuklah lampu LED, bumbung panoramik, rak bumbung, cermin sisi berkuasa, dan rim 18-inci.

Di dalam pula, EV ini mendapat skrin sesentuh 15.6-inci untuk infotainmen, fungsi kemaskini perisian over-the-air (OTA), arahan suara, sambungan Bluetooth, dan sistem audio lapan pembesar suara. Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, dan Sport, serta fungsi pemanduan satu-pedal.

Ciri keselamatan merangkumi Forward Collision Warning, Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning, Lane Change Assist dengan Blind Spot Detection. Terdapat juga Rear Cross Traffic Alert, Adaptive Cruise Control, Traffic Sign Recognition, dan High Beam Assist.

Neta X boleh didapati dengan lima pilihan warna iaitu Pearl White, Sky Grey, Jet Black, Glacier Blue, dan Amber Brown. Anda juga boleh memilih dua warna untuk kabin iaitu hitam atau coklat.

Apa pendapat anda mengenai Neta X setakat ini? Boleh mencabar BYD Atto 3 dan Chery Omoda E5?

Malaysia Autoshow 2024: Neta X buat kemunculan, harga dari RM120k

NETA, yang diedarkan oleh Intro Synergy Sdn Bhd, anak syarikat GoAuto Group, telah memperkenalkan EV kedua mereka untuk pasaran Malaysia iaitu Neta X.

Menurut syarikat itu, X akan dilancarkan secara rasmi pada suku kedua tahun ini. Terdapat tiga varian untuk dipilih iaitu 400 Comfort, 400 Luxury dan 500 Luxury, dengan harga anggaran antara RM119,900 ke RM139,900.

Ketiga-tiga varian menampilkan motor elektrik pada gandar hadapan yang menghasilkan 161 hp (120 kW) dan 210 Nm. Menurut Neta Malaysia, model ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa bawah 9.5 saat, manakala kelajuan maksimum dikatakan melebihi 150 km/j.

Untuk bateri, varian-varian 400 menggunakan bateri berkapasiti 52.49 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 401 km berdasarkan kitaran NEDC. Varian 500 Luxury pula mempunyai bateri 64.14 kWj dengan jarak gerak mencecah 480 km dengan satu cas penuh.

X didatangkan dengan pengecas AC 6.6 kW yang boleh melakukan pengecasan penuh (0-100%) dalam sembilan jam. Ia juga mempunyai pengecas pantas DC yang mengambil masa 30 minit untuk pengecasan 30-80%, namun kapasitinya tidak dinyatakan.

Dari segi saiz, X lebih besar berbanding dua pesaing terdekatnya iaitu BYD Atto 3 dan Chery Omoda 5 dengan ukuran panjang 4,619 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,628 mm dan wheelbase 2,770 mm.

Antara kelengkapan yang terdapat pada crossover elektrik ini termasuk kluster instrumen digital berukuran 8.9 inci dan paparan HD 15.6 inci yang dikuasakan oleh Qualcomm Snapdragon 8155. Turut disertakan adalah Apple CarPlay dan pengecas tanpa wayar.

Selain itu, varian 400 dan 500 Luxury juga dilengkapi dengan ADAS Tahap 2 yang merangkumi ciri-ciri seperti Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC), Traffic Jam Assist (TJA) dan Intelligent Cruise Assistance(ICA).

Neta V kereta elektrik termurah di Malaysia – RM99,800

NETA, pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China yang bernaung di bawah Hozon Auto, secara rasminya memasuki pasaran Malaysia dengan model Neta V sebagai penawaran pertama.

Diedarkan oleh Intro Synergy Sdn Bhd, anak syarikat GoAuto Group, Neta V tampil sebagai EV paling mampu milik di negara ini dengan harga jualan serendah RM99,800.

Lebih menarik lagi, 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan secara dalam talian akan mendapat rebat tunai berjumlah RM10,000.

Model ini didatangkan dengan waranti selama lima tahun atau 150,00 km dan waranti bateri selama lapan tahun atau 180,000 km. Jualan dijangka bermula suku ketiga tahun ini.

Dari segi spesifikasi, Neta V mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar hadapan yang mampu menjana 95 PS dan 150 Nm. Pecutan 0 hingga 50 km/j boleh dilakukan dalam 3.9 saat, manakala kelajuan maksimum adalah sekitar 120 km/j sahaja.

Ia menggunakan bateri berkapasiti 38.54 kWj yang mampu memberikan jarak pemanduan sejauh 380 km dengan satu cas penuh berdasarakan kitaran NEDC.

Untuk pengecasan pula, bateri tersebut boleh menampung pengecasan AC sehingga 6.6 kW yang akan mengambil masa selama lapan jam untuk pengecasan penuh.

Ia juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 100 kW yang berupaya memulihkan tenaga bateri dari 30 hingga 80 peratus dalam 30 minit.

Seperti model-model EV yang lebih mahal seperti Hyundai Ioniq 5 dan Kia EV6, Neta V didatangkan dengan ciri Vehicle-to-Load (V2L) yang boleh digunakan untuk mengecas pelbagai perkakasan elektrik.

Antara kelengkapan lain yang disertakan pada model ini termasuklah lampu LED, lampu nyalaan siang LED, rim aloi 16 inci, upholsteri kulit, kluster instrumen digital 12 inci, skrin sentuh 14.6 inci, pendingin hawa automatik dan penapis udara HEPA N95.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada dua beg udara, ABS, EBD, Cruise Control, parkir sensor, kamera undur, Hill Start Assist dan Tyre Pressure Monitoring System. Sistem bantuan pemandu ADAS tidak disertakan.

Untuk pasaran Malaysia, Neta V ditawarkan dalam lima warna iaitu White Storm, Midnight Grey, Cyan, Sky Blue dan Sakura Pink. Ruang dalaman didatangkan dalam warna hitam sahaja.