Tag Archives: New York Auto Show

Magma: Inilah sub-jenama sports dari Genesis dengan warna oren khas

GENESIS menyertai New York Auto Show 2024 dengan satu berita panas. Mereka memperkenalkan satu sub-jenama di bawahnya yang diberi nama Magma. Lihat GV60 berwarna oren ini, menarik?

Sebenarnya warna oren yang sama ini pernah digunakan pada Genesis GV80 beberapa tahun lepas di acara yang sama. GV80 Magma Special ini sudahpun mula dikeluarkan, cuma ia dalam jumlah terhad dan untuk pelanggan di Timur Tengah sahaja.

Berbalik kepada GV60 Magma Concept, ia baru didedahkan secara rasmi dan akan dikeluarkan tidak lama lagi. Model ini tidak terhad kepada mana-mana pasaran sahaja, walaupun Genesis belum mengumumkan secara rasmi.

Spesifikasi lanjut SUV elektrik ini juga belum didedahkan, tetapi ura-ura mengatakan ia mendapat bateri yang ditambah baik untuk membekalkan kuasa kepada dua motor yang lebih berkuasa.

GV60 Magma Concept ini juga lebih rendah dan lebar. Ia dilengkapi ‘muka’ depan yang direka semula dengan ruang udara lebih besar. Sudah tentu bukan untuk enjin, tetapi untuk menyejukkan bateri, brek, dan motor.

Terdapat juga tiga lagi lubang tambahan di bampar depan untuk meningkatkan aerodinamik GV60 semasa dipandu laju.

Perkara lain yang dapat dilihat adalah rim 21-inci dengan rekaan aero disc untuk menyejukkan brek dan pada masa yang sama meningkatkan kecekapan.

Sirip di bumbung pula membantu mengalirkan udara ke spoiler belakang untuk downforce. Di bahagian dalam, kemasan kulit diberikan lebih ‘magma’ dengan jahitan kontras berwarna oren.

“Jenama ini akan terus mendedahkan konsep-konsep eksperimental dengan mengambil kira elemen teknologi dan astetik,” kata Ketua Pegawai Kreatif Genesis, Luc Donckerwolke.

“Walaupun kelajuan dan prestasi itu penting, program Genesis Magma akan melihat lebih jauh, mengutamakan pengalaman pemanduan untuk keseronokan dan keselesaan.”

Rekaan luaran dan dalaman Kia K4 didedahkan

SEJAK dahulu lagi, Kia Forte/Cerato boleh dikatakan tidak begitu menonjol jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing sedan segmen C yang lain seperti Honda Civic dan Mazda 3.

Bagaimanapun, keadaan ini mungkin akan berubah dengan penggantinya iaitu Kia K4 baharu yang tampil dengan rekaan yang lebih berani dan futuristik.

Untuk pengetahuan, model ini akan menggunakan nama K4 untuk pasaran global bagi menggantikan Forte dan Cerato. Nama K3 pula kini digunakan pada sedan segmen B yang telah diperkenalkan pada tahun lalu.

Berbalik kepada K4, model ini mempunyai bentuk badan fastback yang sejujurnya tidak begitu jauh berbeza jika dibandingkan dengan K3 atau K5, cuma rekaan tiang D yang agak unik membuatkan ia lebih menonjol.

‘Wajah’ sedan ini kelihatan menyerlah terima kasih kepada gabungan lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) yang diposisikan di hujung kiri dan kanan kereta untuk membuatkan ia tampak lebar.

Bahagian belakang tidak kurang menariknya dengan adanya lampu berbentuk L yang hampir bersambung di bahagian tengah bonet dan diffuser yang sporty.

Ruang dalamannya pula nampak familiar kerana ia didatangkan dengan paparan berkembar (kluster instrumen digital dan skrin infohibur) seperti yang terdapat pada model-model Kia yang sedia ada.

Walaupun papan pemuka didominasi oleh paparan tersebut, K4 masih mempunyai butang-butang fizikal untuk fungsi-fungsi seperti navigasi, media serta pendingin hawa.

Untuk menaikkan lagi seri ruang kabin K4, Kia akan menawarkan pelabgai pilihan trim, material, corak dan warna, termasuk warna Medium Gray, Slate Green, Canyon Brown, dan Onyx Black.

Informasi terperinci mengenai aspek mekanikal masih belum didedahkan. Menurut Kia, K4 akan membuat kemunculan pertamanya di New York International Auto Show yang akan berlangsung pada 27 Mac ini.