Tag Archives: Nissan GT-R

Selepas 18 tahun, Nissan akhirnya tamatkan jualan R35 GT-R di Jepun

Penghujung Februari 2025, Nissan Jepun mengumumkan pihaknya akan menamatkan jualan bagi model GT-R (generasi R35) setelah hampir dua dekad berada di pasaran.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman web rasmi, Nissan berkata, “Kami telah menerima banyak tempahan untuk model Nissan GT-R, dan kini selesai menerima tempahan untuk kuantiti pengeluaran yang dirancang.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan atas sokongan mereka sejak ia dilancarkan pada tahun 2007.”

Nissan GT-R R35 telah pun lama dihentikan penawarannya di beberapa pasaran penting disebabkan oleh isu pematuhan peraturan seperti keselamatan, bunyi bising, emisi dan sebagainya.

Pasaran seperti Australia dan New Zealand telah menghentikan penjualan GT-R pada Oktober 2021, manakala pasaran Eropah dan UK pula berbuat demikian pada Mac 2022.

Nissan GT-R diperlihatkan buat kali pertama pada acara pameran Tokyo Motor Show 2007, dan sejak daripada itu ia telah menerima beberapa kali penambahbaikan dan facelift.

Ia dikuasakan oleh enjin bentangan V6 3.8 liter (VR38DETT) dengan kuasa awalan 473 hp, meningkat kepada 565 hp untuk model facelift 2023, sementara versi Nismo pula melonjakkan angka tersebut kepada 600 hp.

Apa akan jadi dengan generasi baharu Nissan GT-R? Adakah ia akan meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh GT-R yang terdahulu?

Atau ia akan berubah menjadi apa yang dibayangkan menerusi model Hyper Force Concept?

Setelah 17 tahun, Nissan GT-R akhirnya mempunyai batu nisan sendiri

Nissan dalam satu kenyataan secara rasmi mengumumkan produksi bagi model kereta sports Nissan GT-R akan ditamatkan untuk pasaran Amerika Utara pada Oktober ini.

Serentak dengan pengumuman tersebut, dua model edisi terhad Nissan GT-R turut dilancarkan sebagai satu penghormatan kepada sejarah plet nama yang sangat panjang dan ikonik itu, iaitu Nissan GT-R Skyline Edition dan Nissan GT-R Takumi Edition.

 

 

Nissan GT-R Skyline Edition membawakan kembali nama Skyline ke dalam daftar nama GT-R selepas digugurkan pada tahun 2007, dan dibina berdasarkan varian GT-R Premium.

Ia juga turut mengembalikan semula warna Bayside Blue yang sebelum ini pernah ditawarkan pada GT-R R34, sebelum digunakan kembali untuk model ulang tahun yang ke-50 pada tahun 2019.

 

 

Nissan GT-R Takumi Edition pula menggunakan asas daripada model T-Spec, di mana nama ‘Takumi‘ itu merujuk kepada craftmen, atau pakar yang bertanggungjawab memasang setiap satu unit enjin menggunakan tenaga tangan.

Berbeza dengan Skyline Edition, Takumi Edition pula dilayangkan dengan warna ikonik GT-R, iaitu Midnight Purple, diikuti warna eksklusif Mori Green untuk ruang kabin.

Selain itu, versi ini turut mendapat naik taraf seperti sistem brek seramik karbon Nismo, rim Nismo Rays bersaiz 20 inci, kawalan dinamik kenderaan talaan Nismo dan fender hadapan yang lebih lebar.

 

 

Kedua-dua model edisi khas ini akan ditawarkan kurang dari 200 unit, dan boleh didapati di beberapa pengedar Nissan yang terpilih di pasaran US musim panas ini.

Adakah ini satu pengakhiran buat plet nama GT-R?

Mungkin tidak, kerana Nissan sebelum ini menjanjikan GT-R akan digantikan dengan sebuah model baharu yang akan muncul menjelang tahun 2030, sebelum ini diperlihatkan menerusi konsep Hyper Force berkuasa elektrik.

 

Nissan GT-R 2025, ‘Godzilla’ ICE terakhir yang takkan dibawa masuk oleh ETCM

Jika anda perasan, Nissan Malaysia di bawah naungan Edaran Tan Chong Motor mula memperlahankan rentak mereka sejak kebelakangan ini.

Tiada lagi model-model baharu dilancarkan, malah beberapa model SUV yang dijanjikan sebelum ini masih lagi belum menunjukkan bayang di tanah air Malaysia.

Di pasaran Jepun, Nissan baharu sahaja melancarkan kemaskini untuk model berprestasi tinggi GT-R 2025, dan difahamkan ia mungkin akan menjadi model terakhir R35 sebelum ditamatkan produksinya kelak.

 

 

Versi yang dikemaskini ini membawakan kemasan luaran yang hampir sama dengan model facelift tahun lepas.

Untuk varian GT-R Premium Edition ia kini didatangkan dengan opsyen kemasan upholsteri Blue Heaven pada ruang kabin yang tampak klasik itu.

Antara perubahan ‘terbesar’ yang dibawakan ialah penggunaan komponen enjin eksklusif yang sebelum ini hanya ditawarkan untuk Nismo Special Edition.

 

 

Terima kasih kepada penggunaan komponen Nismo seperti cincin omboh, rod penyambung dan aci engkol yang telah diseimbangkan beratnya, enjin 3.8 liter turbo berkembar V6 pada Nissan GT-R Premium Edition T-Spec dan Track Edition mampu menawarkan putaran enjin serta turbo spooling yang lebih pantas.

Kuasa kuda masih lagi sama, iaitu 565 hp pada model standard, dan 600 hp untuk model Nismo.

 

Disebalik perubahan yang kecil itu, harga jualan Nissan GT-R 2025 kini jauh lebih mahal, bermula dari ¥14,443,000 (~RM457,361) untuk versi standard, hinggalah ¥30,613,000 (~RM969,411) untuk versi GT-R Nismo Special Edition.

Bagaimana pula dengan GT-R masa depan?

 

 

Jika anda masih ingat, di Japan Mobility Show hujung tahun lepas Nissan telah memperlihatkan sebuah model konsep Hyper Force berkuasa elektrik sepenuh masa.

Biarpun dengan rupa paras yang terlalu agresif untuk sebuah supercar, Nissan GT-R “R36” itu dikatakan mampu menjana kuasa setinggi 1,341 hp dengan sistem pacuan semua roda e-4ORCE, serta dua mod pemanduan iaitu GT (grand touring) dan R (racing).

Apapun, Nissan GT-R 2025 yang baru dilancarkan di Jepun itu berkemungkinan besar hanya akan muncul di pasaran Malaysia menerusi saluran pihak ketiga, itu pun jika wujud permintaan.

Nissan GT-R 2025

 

Nissan Hyper Force Concept

Kerja pemandu e-hailing boleh beli Nissan GT-R? Lelaki ini buktikan ia tidak mustahil

DENGAN harga yang bermula dari ratusan ribu ringgit untuk unit terpakai dan jutaan ringgit untuk unit baru, Nissan GT-R bukanlah sebuah kereta yang boleh dikategorikan sebagai ‘mampu milik’.

Malah, kos penjagaannya juga amat tinggi dan ini menyebabkan GT-R hanya mampu dimiliki oleh mereka yang benar-benar berduit.

Bagaimanapun, dalam satu video yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @koocester, seorang lelaki dari Singapura membuktikan bahawa memiliki supercar bergelar Godzilla itu bukanlah sesuatu yang mustahil walaupun hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Ketika ditanya mengenai pekerjaannya, pemandu berbaju T hitam itu dengan tenang menjawab beliau hanyalah seorang pemandu Grab dan Lalamove.

Apabila disoal bagaimana beliau mampu membeli sebuah GT-R pula, pemuda itu berkata beliau berjimat cermat.

@koocesterAs a former pandarider, it is possible! Respect the hustle!♬ original sound – Koocester

Beliau juga sempat memberi nasihat kepada golongan muda supaya rajin menyimpan, elakkan berboros, berbelanja dengan bijak dan juga berkongsi rezeki bersama ibu bapa.

Menerusi komen yang ditinggalkan, rata-rata netizen seakan tidak percaya bahawa pemuda itu hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing. Tidak kurang juga ada yang mengatakan beliau mungkin salah seorang pengasas Lalamove atau mempunyai saham di syarikat tersebut.

Anda sebagai pembaca boleh memilih untuk mempercayainya atau tidak, namun tidak boleh dinafikan bahawa nasihat yang diberikan itu memang benar.