Tag Archives: nombor pendaftaran

Baki nombor plat FB, FC, FD, FE dan MALAYSIA mula dijual menerusi portal MySIKAP JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan pembukaan semula pendaftaran kepada rakyat Malaysia yang masih lagi mahu mendapatkan baki nombor plat siri Putrajaya (FB, FC, FD & FE) serta plat MALAYSIA bermula hari ini (8 April).

Pihak yang berminat boleh log masuk ke portal mySIKAP, memilih menu ‘Kenderaan’ dan menekan menu ‘Tempahan Nombor Kenderaan’.

Seterusnya, pilih menu ‘Nombor Pendaftaran Istimewa’ untuk membuat pilihan nombor yang diinginkan sebelum membuat pembayaran sama ada menggunakan kad kredit atau perbankan internet.

Nombor pendaftaran ‘F’ mula diperkenalkan pada 1 Jun 2016 bagi menggantikan siri asal PUTRAJAYA yang sudah mencapai had 9,999 kenderaan.

Ia kemudiannya digantikan dengan FA pada 22 Julai 2017, diikuti FB (16 Mei 2018), FC (2 Mei 2019), FD (12 April 2021) dan FE pada April 2022.

JPJ buka bidaan nombor pendaftaran ‘MADANI’ sampai Rabu ini

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuka bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI dengan harga minimum serendah RM100, yang bermula semalam dan akan berakhir pada pukul 10 malam, Rabu ini.

Proses bidaan ini dilakukan melalui Sistem JPJeBid.

Datuk Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan hari ini berkata keputusan bidaan NPI tersebut akan diumumkan pada Khamis dan nombor pendaftaran yang berjaya dibida mesti didaftarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.

“Kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada Terma dan Syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui Sistem JPJeBid,” katanya.

Beliau berkata harga bidaan minimum bagi siri nombor plat berkenaan ditetapkan mengikut kategori iaitu RM20,000 untuk ‘Nombor Utama’, RM5,000 (Nombor Premium), RM2,500 (Nombor Menarik), RM500 (Nombor Popular) dan RM100 (Nombor Semasa).

Mengulas mengenai NPI itu, Aedy Fadly berkata ia merupakan inisiatif kerajaan untuk menyokong agenda Malaysia MADANI sekali mempromosikan nilai MADANI yang menjadi cerminan jiwa dan aspirasi negara dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Katanya hasil penjualan akan digunakan untuk merealisasikan hasrat Kerajaan dalam pelaksanaan inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan seperti Program MyLESEN, Program Pertukaran Topi Keledar, FlySISWA, Pembayaran PERKESO kepada pemandu teksi dan pelbagai inisiatif yang lain.

JPJ perkenal siri pendaftaran “EV”, rekaan plat khas untuk kenderaan elektrik

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini memperkenalkan rekaan plat khas JPJePlate yang dikhususkan untuk kenderaan sifar emisi (ZEV).

Menurut JPJ, tiga piawaian telah ditetapkan untuk rekaan plat khas yang diinspirasikan daripada negara Eropah, seperti:

1. Ciri retro-reflektif untuk meningkatkan keterlihatan pada waktu malam, dan mengurangkan kadar kemalangan

2. Pelekat hologram anti-klon untuk meminimumkan risiko kecurian dan penipuan

3. Teknologi RFID terintegrasi yang menyokong pembayaran tol dan parkir kenderaan.

Pelaksanaan JPJePlate ini akan berkuatkuasa bermula hari ini (9 September 2024) untuk kenderaan elektrik baharu, di mana tempahan boleh dibuat menerusi laman sesawang jpjeplate.jpj.gov.my.

Rekaan plat baharu ini tidak akan diwajibkan untuk kenderaan ZEV yang sudah berdaftar, namun pemilik masih boleh membuat tempahan seawal November ini.

Set lengkap JPJePlate berharga RM98/set merangkumi plat hadapan, plat belakang, pelekat cermin RFID dan kos penghantaran standard.

Selain itu, JPJ turut melancarkan bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) dengan tanda indeks “EV” melalui Sistem JPJeBid bermula hari ini dan berakhir 13 September 2024 jam 10.00 malam.

Nombor pendaftaran “EV” ini akan dikhususkan untuk kenderaan ZEV sahaja dan tidak boleh didaftarkan pada kenderaan bukan ZEV.

Seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini, sebahagian pendapatan daripada NPI ini akan disalurkan kepada inisiatif rakyat seperti program penukaran topi keledar percuma dan latihan lesen B2 untuk golongan B40.

Bingkai plat khas bezakan EV dengan kenderaan ICE – Anthony Loke

Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan bingkai plat khas bagi kenderaan bebas emisi (ZEV) atau kenderaan elektrik untuk membezakan antara ZEV dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), lapor Bernama.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata bingkai plat khas itu akan dikeluarkan oleh syarikat pengeluar ZEV dan dipasang terus pada kenderaan berkenaan sebelum diserahkan kepada pembeli.

“Kita akan perkenalkan plat khas, bukan nombor pendaftaran kenderaan, ini bagi membezakan antara ZEV dan ICE.

 

sekadar hiasan

 

 

“(Bingkai) plat ini akan dikeluarkan oleh syarikat kenderaan ZEV, jadi kita akan bekerjasama dengan mereka, (untuk tentukan) bahan yang akan digunakan dan sebagainya. Saya tidak mahu umumkan hari ini, tunggu nanti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 1 Julai lepas, Loke dilaporkan berkata kerajaan bercadang memperkenalkan nombor pendaftaran khas bagi ZEV untuk membezakan model itu dengan ICE serta memudahkan kerja penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat sekiranya berlaku kemalangan.

 

Nombor plat P7 bernilai RM70 juta milik pengasas Telegram

BARU-baru ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membeli nombor plat FF1 pada harga RM1.2 juta, menjadikannya nombor pendaftaran kenderaan termahal di Malaysia setakat ini.

RM1.2 juta sememangnya satu jumlah yang sangat besar, namun ia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan 55 juta dirham (kira-kira USD15 juta atau RM70 juta) yang dibelanjakan oleh pengasas aplikasi Telegram, Pavel Valeryevich Durov untuk membeli nombor plat P7.

Durov, yang berketurunan Perancis-UAE, mendapat nombor tersebut menerusi acara lelongan ‘The Most Noble Numbers’ yang diadakan di Dubai, UAE. Menurut laporan, hasil bidaan itu akan disalurkan kepada inisiatif bantuan makanan global bergelar ‘1 Billion Meals Endowment’ milik pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid.

Apa yang menarik, bidaan Durov mengatasi rekod dunia Guinness untuk nombor pendaftaran kereta paling mahal sebelum ini iaitu nombor “1” yang berharga 52.2 juta dirham (RM66 juta). Nombor itu dibeli oleh Saeed Abdul Ghaffar Khouri pada 2008.

Ini secara tidak langsung menjadikan P7 sebagai nombor pendaftaran kenderaan termahal di dunia. Agaknya nombor itu akan diletakkan di kereta apa ya?

Seperti yang kita tahu, nombor pendaftaran satu digit ini memang menjadi rebutan orang kaya. Di Australia, nombor plat “4” dijual pada harga USD1.6 juta (RM7.5 juta) pada 2017. Awal tahun ini pula, seorang individu dari Hong Kong membayar USD3.2 juta (RM15 juta) untuk nombor plat “R”.

Nombor plat FF1 milik Sultan Johor, RM1.2 juta

NOMBOR plat kenderaan FF1 iaitu turutan nombor baharu bagi Putrajaya menjadi milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Kenyataan di Facebook rasmi baginda memaklumkan, nombor itu dibida baginda dengan tawaran tertinggi.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi perkongsian di Facebooknya pada Sabtu memaklumkan plat FF1 itu bernilai RM1.2 juta.

Nombor plat kenderaan itu dipersembahkan Anthony semasa menghadap baginda di Johor Bahru baru-baru ini.

“Pagi tadi, saya mengadap DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim untuk mempersembahkan secara simbolik nombor plat FF 1 kepada Tuanku yang merupakan pemilik nombor khas unik tersebut,” tulisnya.

“Tuanku telah perkenan untuk membayar kepada kerajaan sebanyak RM1.2 juta untuk nombor khas tersebut. Untuk rekod, bayaran RM1.2 juta merupakan nilai tertinggi yang pernah dikutip setakat ini oleh kerajaan untuk pendaftaran satu nombor plat kenderaan.”

Pada 2016, Sultan Johor dilaporkan memenangi bidaan nombor plat kenderaan F1 dengan nilai bidaan RM836,660 bagi turutan nombor baharu bagi Putrajaya.

Selepas itu, pada Ogos tahun sama, baginda memenangi bidaan untuk nombor plat V1 dengan nilai RM989,780.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, bayaran yang diterima itu juga menjadikan jumlah kutipan hasil kerajaan untuk nombor siri FF meningkat kepada RM35.4 juta.

UMP lancar nombor pendaftaran ‘UC’, sasar kutip RM3.5 juta

NOMBOR pendaftaran ‘UC’ bakal dilancarkan tahun depan bersempena sambutan ulang tahun ke-20 Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Orang ramai berminat mendapatkan nombor pendaftaran tersebut boleh membuat bidaan bermula Februari 2022.

Bidaan boleh dibuat secara dalam talian dengan nilai serendah RM1,000 bagi angka empat digit sehingga RM200,000 untuk nombor tunggal.

Ahli Lembaga Pengarah UMP Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, hasil jualan nombor pendaftaran itu akan digunakan bagi tujuan kebajikan.

Jelasnya yang juga Pengerusi Yayasan UMP, bidaan dijangka bakal memungut pulangan lebih RM3.5 juta bagi fasa pertama.

“Hasilnya nanti akan disalurkan untuk pelbagai program kebajikan bagi manfaat pelajar dan golongan memerlukan.

“Proses bidaan akan dilakukan secara dalam talian dengan nilai bidaan bermula RM1,000 untuk nombor empat digit dan RM200,000 bagi nombor tunggal,” katanya.

Ahli Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman. – Foto ihsan UMP

Sebelum ini, terdapat usaha daripada beberapa buah universiti yang melancarkan nombor pendaftaran kenderaan.

Antara universiti terbabit adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Terdahulu, UMP dalam satu kenyataan memaklumkan proses bidaan nombor pendaftaran kenderaan khas tersebut adalah hasil kerjasama dengan Aquatwo Sdn Bhd .

Syarikat itu juga bertanggungjawab dalam mengendalikan proses pemasaran dan jualan.

Nombor plat ‘fancy’ boleh didenda hingga RM3k, ini cara untuk lapor kepada JPJ

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam mengingatkan orang ramai agar mematuhi peraturan bagi memasang nombor pendaftaran kenderaan mengikut spesifikasi yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jika didapati melanggar peraturan tersebut, anda boleh didenda antara RM300 hingga RM3,000 di bawah Seksyen 14 (4) APJ 1987.

Dalam siaran di laman Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, pihak JPJ turut berkongsi contoh-contoh gambar kenderaan yang tular dan tidak mematuhi spesifikasi (fancy) yang ditetapkan.

JPJ juga berkongsi cara yang boleh kita lakukan untuk melaporkan kesalahan nombor pendaftaran fancy dengan menghantar gambar dan butiran kenderaan ke aduantrafik@jpj.gov.my.

Antara perincian nombor pendaftaran fancy adalah mengelirukan, kabur dan tidak mengikut ukuran dimana huruf atau angka disusun untuk membentuk perkataan berlainan dari kombinasi asal.

Kenyataan ini walaubagaimanapun tidak termasuk siri nombor pendaftaran khas yang pernah dikeluarkan sebelum ini seperti PATRIOT, PERFECT dan UM.