Tag Archives: Northport

Proton e.MAS 7 jadi kereta peronda di Northport

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) baru-baru ini menyerahkan tiga unit SUV elektrik Proton e.MAS 7 kepada pihak pengurusan Northport (Malaysia) Sdn Bhd untuk kegunaan pasukan polis bantuan.

Pencapaian ini menandakan Northport sebagai pengendali pelabuhan pertama di negara ini yang menggunakan e.MAS 7 dalam pengurusan kenderaan syarikat, sekaligus mengukuhkan komitmen dalam usaha ESG korporat dan penyelesaian pengangkutan lestari.

Penggunaan SUV elektrik Proton e.MAS 7 bukan sahaja dapat mengurangkan penggunaan bahan api, pelepasan karbon dan pencemaran bunyi, pemanduan yang senyap dan lancar itu turut menjadikan operasi rondaan yang lebih selesa dan mengurangkan keletihan anggota.

Menurut Zhang Qiang selaku ketua pegawai eksekutif Pro-Net, “kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Northport, sebuah organisasi yang menjadi contoh dalam mengamalkan kelestarian.

“Penggunaannya dalam operasi Northport membuktikan kenderaan elektrik bukan sekadar visi masa depan, tetapi satu penyelesaian yang boleh diguna pakai hari ini.

Fakhrul Azhar Tajudin selaku ketua pegawai eksekutif Northport berkata, “Di Northport, kami komited untuk mengamalkan pendekatan lestari dan menyokong penyelesaian tenaga bersih.

“Sebagai sebuah pelabuhan yang berbangga dengan identiti Malaysia, pemilihan jenama Proton turut mencerminkan sokongan kami terhadap inovasi tempatan dan pembangunan industri negara.

“Dengan keseimbangan antara prestasi, keselamatan dan teknologi, Proton e.MAS 7 menjadi pilihan yang sesuai untuk memenuhi keperluan operasi pelabuhan yang mencabar,” ujarnya.