Dalam satu pencapaian luar biasa, Xiaomi SU7 Ultra prototaip mencatat masa 6 minit 22.091 saat di Nürburgring Nordschleife, sekaligus menobatkannya sebagai kereta ketiga terpantas dalam sejarah litar tersebut dan kini memegang gelaran kereta sedan elektrik terpantas pernah diuji di sana.
Untuk perbandingan, SU7 Ultra kini di belakang dua prototaip lagenda iaitu Porsche 919 Hybrid Evo dan Volkswagen ID.R, selain berjaya menewaskan semua kereta produksi, sama ada elektrik mahupun berkuasa petrol, dengan margin masa yang ketara.
Namun, kereta ini bukanlah model biasa dari bilik pameran. Xiaomi menggunakan versi prototaip khas yang telah ‘ditogelkan’, dipasang roll cage penuh, tayar slick, dan pelbagai komponen prestasi tinggi.
Ia dikuasakan oleh sistem tiga motor elektrik, terdiri daripada dua motor belakang (578 hp setiap satu) dan satu motor hadapan (392 hp), memberikannya kuasa keseluruhan sebanyak 1,548 hp.
Ini membolehkannya memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 1.98 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 350 km/j. Sistem ini disokong oleh bateri CATL Qilin II berkapasiti 93.7 kWh yang memberikan jarak pemanduan sehingga 630 km (mengikut standard CLTC).
Bagi meraikan pencapaian ini, Xiaomi melancarkan SU7 Ultra Nurburgring Limited Edition, model edisi khas jalan raya yang terhad kepada 100 unit sahaja di seluruh dunia.
Dengan harga 814,900 yuan (sekitar RM480,435), model ini dilengkapi pelbagai ‘jajan’ menarik termasuk hud gentian karbon, panel aerodinamik bawah badan, spoiler belakang gentian karbon, tempat duduk perlumbaan Sparco dengan tali pinggang enam poin, serta roll cage.
Kenderaan ini turut disertakan bersama Track Package penuh yang merangkumi penyerap hentak Bilstein EVO R, pad brek Endless, rim 21 inci, dan tayar semi-slick Pirelli Trofeo RS.
Bagi pembeli versi SU7 Ultra standard, Xiaomi turut menawarkan Track Professional Package secara pilihan, dengan tambahan harga sekitar 100,000 yuan (RM58,960).
Lebih dari sekadar rekod masa, Xiaomi kini menjadi jenama EV pertama dari China yang berjaya menempatkan diri dalam tiga teratas di Nürburgring.
Bukan itu sahaja, syarikat itu turut memperoleh hak penamaan untuk Selekoh 12, yang kini dikenali sebagai “Xiaomi Curve.”