Tag Archives: Omoda C9

Jaecoo Malaysia mulakan penghantaran 500 unit Omoda C9

Pihak Jaecoo Malaysia kini memulakan proses penghantaran 500 unit SUV Omoda C9 kepada para pelanggannya di seluruh negara.

Menurut Emily Lek selaku naib presiden Jaecoo Malaysia, “Ia menjadi satu kegembiraan melihat penerimaan positif pasaran terhadap Omoda C9.

“Ini sekaligus mengukuhkan usaha dan komitmen untuk memperkenalkan kenderaan terbaik yang dapat memenuhi keperluan dan kemahuan pemandu di sini.

“Kami juga sedia untuk membawa para pelanggan kami untuk menikmati perjalanan pemilikan yang seterusnya bersama Jaecoo, dengan sokongan rangkaian pengedar meluas kami,” ujarnya lagi.

Dilancarkan secara rasmi pada Disember lepas, Omoda C9 merupakan sebuah SUV coupe off-road premium yang ditawarkan dalam dua varian utama, iaitu versi 2WD berharga RM168,800 dan versi AWD berharga RM188,800.

Omoda C9 dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo menghasilkan 261 PS dan 400 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan.

Sama seperti model Jaecoo J7, Omoda C9 juga turut dipasang di kilang Jaecoo yang terletak di Shah Alam.

Omoda C9 oleh Jaecoo – operasi CKD kini bermula di Shah Alam

Jaecoo Malaysia mengumumkan bahawa unit pemasangan tempatan (CKD) pertama Omoda C9 sudah pun keluar dari kilang pemasangannya di Shah Alam.

Syarikat itu berkata pemasangan SUV coupe itu, model kedua yang dilancarkan di bawah payung Jaecoo, tepat pada masanya untuk memulakan penyerahan menjelang Januari 2025.

Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek berkata pihaknya gembira dengan sambutan yang menggalakkan untuk C9 dan mereka bersedia untuk memenuhi permintaan pasaran Malaysia.

“Sebagai jenama yang melabur untuk jangka masa panjang, kami berdedikasi untuk menjaga pelanggan kami sepanjang perjalanan pemilikan mereka bersama kami,” tambahnya.

Dilancarkan pada 6 Disember lalu, C9 ditawarkan dalam dua varian iaitu pacuan roda depan (2WD) yang dijual pada harga bermula dari RM168,800 dan pacuan semua roda (AWD) yang berharga RM188,800.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo berkuasa 261 PS/400 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan.

Bukan itu sahaja, C9 juga didatangkan standard dengan ADAS Tahap 2 yang merangkumi fungsi seperti kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan kesesakan trafik (TJA), brek kecemasan automatik (AEB), amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan belakang (RCW), serta tidak ketinggalan sistem pemantauan panorama (AVM) 540 darjah.

Selain C9, kilang pemasangan Jaecoo di Shah Alam juga menghasilkan J7 AWD dan 2WD. Kedua-dua model ini kini tersedia untuk pandu uji dan tempahan di pusat pengedaran sah Jaecoo di seluruh Malaysia.

Jaecoo Malaysia lancar SUV coupe C9 – dua varian, harga dari RM168,800

Jaecoo Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV coupe off-road premium C9 untuk pasaran tempatan.

Terdapat dua varian yang ditawarkan, di mana versi pacuan roda depan (2WD) dijual pada harga bermula dari RM168,800 manakala varian pacuan semua roda (AWD) berharga RM188,800.

Jaecoo Malaysia turut mengumumkan pakej promosi untuk golongan pembeli terawal merangkumi jaminan enjin dan komponen suspensi selama 10 tahun atau had perjalanan 1,000,000 km, sah sehingga 8 Disember ini.

Dari segi saiz, C9 membawakan ukuran sepanjang 4,775 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,671 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,800 mm dan jarak kelegaan tanah setinggi 165 mm.

Selain itu, C9 berkeupayaan untuk meredah air sedalam 450 mm.

Ruang kargo adalah sebesar 660 liter, atau sehingga 1,783 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo berkuasa 261 PS/400 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan.

Ciri luaran termasuklah pemegang pintu yang tersembunyi, rim aloi 20 inci, lampu DRL LED sigma, struktur jeriji diamond matrix, dan spoiler belakang yang diinspirasikan daripada jet pejuang.

Sementara ruang kabin pula mendapat ciri seperti skrin kluster dan skrin infohibur sebesar 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem kawalan iklim dua zon, tempat duduk pemandu dengan fungsi memori, ciri pengudaraan dan pemanasan tempat duduk, serta sistem audio dengan lapan pembesar suara.

Untuk varian 2WD, terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sports, sementara varian AWD pula mendapat tambahan mod Sand, Mud, Snow dan juga Off-Road.

Varian AWD juga turut mendapat sistem audio 14 pembesar suara termasuk dua yang tertanam di dalam unit perehat kepala.

Secara standard, kedua-dua varian dilengkapi dengan sistem ADAS Tahap 2 merangkumi fungsi seperti kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan kesesakan trafik (TJA), brek kecemasan automatik (AEB), amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan belakang (RCW), serta tidak ketinggalan sistem pemantauan panorama (AVM) 540 darjah.

Selain itu, terdapat juga sembilan beg udara, ABS, EBD, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki (HAC), bantuan menurun cerun (HDC), sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), sistem brek berbilang pelanggaran (MCB), dan sistem pemantauan tumpuan pemandu (DMS).

Omoda C9 dipertonton di Malaysia – 2 varian, harga dari RM185k

Pasaran SUV di Malaysia bakal dimeriahkan lagi dengan penawaran terbaru daripada Jaecoo Malaysia iaitu Omoda C9.

Tidak seperti Omoda 5 yang bernaung di bawah jenama Chery, SUV coupe off-road premium ini akan dipasarkan oleh Jaecoo Malaysia bersama-sama dengan J7.


Seperti J7, C9 boleh didapati dalam dua varian iaitu pacuan dua roda (2WD) dan pacuan semua roda (AWD).

Bagaimanapun, C9 mempunyai saiz yang lebih besar dengan ukuran panjang 4,775 mm, tinggi 1,671 mm, lebar 1,920 mm dan tapak roda 2,800 mm.


Dari segi kelengkapan, ia didatangkan dengan lampu LED depan dan belakang, rim 20 inci yang dibalut tayar Michelin Primacy berukuran 245/50, kaca akustik dan pintu keyless dengan teknologi NFC.

Di dalam, anda akan menemui skrin sistem infotainment berukuran 24.6 inci, pengecas tanpa wayar 50W, dan penyaman udara tiga zon dengan sistem haruman dan kualiti udara.


Varian AWD mempunyai sistem audio dengan 14 pembesar suara, manakala varian 2WD mendapat lapan pembesar suara.

But belakang mempunyai kapasiti 660 liter dan boleh mencecah sehingga hingga 1,783 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.


C9 dikuasakan oleh enjin 2.0-liter TGDI empat silinder yang menghasilkan 257 hp dan 400 Nm.

Tidak kira varian apa yang anda pilih, enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.


Bagaimanapun, terdapat perbezaan dari segi mod pemanduan di mana varian 2WD mempunyai tiga mod, manakala AWD mempunyai tujuh mod untuk prestasi pemanduan lebih lasak.

C9 menampilkan jarak lega 165 mm dari permukaan, yang membolehkannya meredah air pada kedalaman maksimum 450 mm.


Ciri keselamatan turut diberikan penekanan menerusi Kawalan Peredam Berterusan (CDC), badan yang diperbuat daripada 85% keluli kekuatan tinggi dan dilengkapi dengan lapan beg udara.

Bukan itu sahaja, C9 juga didatangkan dengan ADAS 2.5 dengan Pengesanan Titik Buta (BSD), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Pencegahan Keluar Lorong (LDP), Bantuan Pertukaran Lorong (LCA) dan Bantuan Mengekalkan Lorong Kecemasan (ELKA).


Omoda C9 akan dijual pada harga RM185,000 untuk varian 2WD dan RM195,000 untuk AWD.

Menurut Jaecoo Malaysia, model ini akan dilancarkan secara rasmi pada Disember.