Tag Archives: omoda

Omoda C9 dipertonton di Malaysia – 2 varian, harga dari RM185k

Pasaran SUV di Malaysia bakal dimeriahkan lagi dengan penawaran terbaru daripada Jaecoo Malaysia iaitu Omoda C9.

Tidak seperti Omoda 5 yang bernaung di bawah jenama Chery, SUV coupe off-road premium ini akan dipasarkan oleh Jaecoo Malaysia bersama-sama dengan J7.


Seperti J7, C9 boleh didapati dalam dua varian iaitu pacuan dua roda (2WD) dan pacuan semua roda (AWD).

Bagaimanapun, C9 mempunyai saiz yang lebih besar dengan ukuran panjang 4,775 mm, tinggi 1,671 mm, lebar 1,920 mm dan tapak roda 2,800 mm.


Dari segi kelengkapan, ia didatangkan dengan lampu LED depan dan belakang, rim 20 inci yang dibalut tayar Michelin Primacy berukuran 245/50, kaca akustik dan pintu keyless dengan teknologi NFC.

Di dalam, anda akan menemui skrin sistem infotainment berukuran 24.6 inci, pengecas tanpa wayar 50W, dan penyaman udara tiga zon dengan sistem haruman dan kualiti udara.


Varian AWD mempunyai sistem audio dengan 14 pembesar suara, manakala varian 2WD mendapat lapan pembesar suara.

But belakang mempunyai kapasiti 660 liter dan boleh mencecah sehingga hingga 1,783 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.


C9 dikuasakan oleh enjin 2.0-liter TGDI empat silinder yang menghasilkan 257 hp dan 400 Nm.

Tidak kira varian apa yang anda pilih, enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.


Bagaimanapun, terdapat perbezaan dari segi mod pemanduan di mana varian 2WD mempunyai tiga mod, manakala AWD mempunyai tujuh mod untuk prestasi pemanduan lebih lasak.

C9 menampilkan jarak lega 165 mm dari permukaan, yang membolehkannya meredah air pada kedalaman maksimum 450 mm.


Ciri keselamatan turut diberikan penekanan menerusi Kawalan Peredam Berterusan (CDC), badan yang diperbuat daripada 85% keluli kekuatan tinggi dan dilengkapi dengan lapan beg udara.

Bukan itu sahaja, C9 juga didatangkan dengan ADAS 2.5 dengan Pengesanan Titik Buta (BSD), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Pencegahan Keluar Lorong (LDP), Bantuan Pertukaran Lorong (LCA) dan Bantuan Mengekalkan Lorong Kecemasan (ELKA).


Omoda C9 akan dijual pada harga RM185,000 untuk varian 2WD dan RM195,000 untuk AWD.

Menurut Jaecoo Malaysia, model ini akan dilancarkan secara rasmi pada Disember.

Chery Omoda E5 rasmi dilancar, RM146,800, 201hp, 430km jarak pemanduan

CHERY Omoda E5 akhirnya dilancarkan secara rasmi hari ini, menjadi pesaing terbaharu dalam segmen SUV segmen-B elektrik sepenuhnya (EV).

Ia ditawarkan dengan harga dan pakej seperti berikut:

RM146,800
Jaminan 7 tahun
Jaminan bateri 8 tahun
Penggantian bateri percuma bila Battery Health menurun kepada 70 peratus

Sebagai tambahan, 2,000 pelanggan pertama juga akan mendapat pemasangan Wallbox percuma V2L Charger percuma, dan kredit pengecasan RM1,000.

Omoda E5 didatangkan dengan bateri 61kWh yang memberikan jarak pemanduan sehingga 430km. Output bagi motor elektrik adalah 201hp dan 340Nm tork.

Dengan pengecasan pantas DC, ia boleh dicas dari 30 hingga 80 peratus dalam masa 28 minit sahaja.

Dari segi rupa, Omoda 5 EV tidak mendapat gril seperti versi petrol, sebaliknya ruang depannya bertutup. Ia juga didatangkan dengan rim aero untuk lebih kecekapan dari segi aerodinamik.

Selain itu, ia juga menampilkan skrin melengkung 2K berdefinisi tinggi berukuran 24.6 inci yang dikuasakan oleh cip Qualcomm. Turut disertakan adalah fungsi Vehicle-to-Load (V2L).

Ciri pemanduan Omoda E5 ini menampilkan fungsi Easy Start-Up, Creep, Pocket Brake, One Pedal Driving, dan AGS Active Air Intake System.

Chery Omoda E5 juga menyokong fungsi V2L iaitu pengecasan perkakasan luaran seperti ketuhar, gril bakar, periuk nasi, malah skuter elektrik.

Empat warna ditawarkan untuk Omoda E5 iaitu Aqua Green, Khaki White, Phantom Grey, dan Dark Black. Terdapat juga dua pilihan warna kabin – Blue & Baige, atau Black.

SUV EV ini boleh mula ditempah sekarang di mana-mana 40 wakil jualan Chery seluruh negara. Apa pendapat anda mengenai Chery Omoda E5 dengan pakej yang ditawarkan?

Chery penuhi trend dan keperluan pembeli masa kini

SEPERTI yang dapat kita perhatikan, penerimaan kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan pembeli di Malaysia rata-ratanya masih perlahan.  Antara faktor utama hal ini adalah harga EV yang masih tinggi.

Tetapi dalam setahun kebelakangan ini, pengeluar mula menawarkan model-model dengan harga lebih rendah, kurang dari RM200,000 misalnya.

Ini secara tidak langsung menjadikan segmen EV bawah RM200,000 sesuatu yang hangat dan semakin mendapat perhatian.

Chery sebagai pengeluar yang kini giat mengembangkan operasi di pasaran Malaysia, juga telah memperkenalkan model EV dalam segmen ini. Omoda E5 menjadi model ketiga Chery selepas membawakan Tiggo 8 Pro dan Omoda 5.

Ia diasaskan dari Omoda 5 (versi petrol) dan ditawarkan pada harga RM146,800. Sebagai konteks, Chery Omoda 5 ditawarkan pada harga RM108,800 dan RM118,800 untuk dua varian.

Dari segi rupa, Omoda E5 tidak mendapat gril seperti versi petrol, sebaliknya ruang depannya bertutup. Ia juga didatangkan dengan rim aero untuk lebih kecekapan dari segi aerodinamik.

Output adalah sekitar 201hp (150kW), Omoda E5 mampu memecut ke 100km/j dalam 7.6 saat. Ciri pemanduan Omoda E5 ini menampilkan fungsi Easy Start-Up, Creep Function, Pocket Brake, One Pedal Driving, dan AGS Active Air Intake System.

Omoda E5 dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate jenis blade yang bukan sahaja lebih mesra alam dan cekap, tetapi lebih selamat terhadap impak.

Bateri ini juga mempunyai ketumpatan tenaga lebih tinggi untuk lebih penyimpanan, lantas menawarkan jarak pemanduan lebih jauh.

SUV ini boleh dipandu sehingga 430km (kitaran WLTP) setiap cas. Dengan pengecasan pantas DC, Omoda E5 boleh dicas antara 30 hingga 80 peratus dalam masa 28 minit sahaja.

Antara ciri standard untuk Chery Omoda E5 termasuklah lampu hadapan LED penuh dan DRL, rim aloi 18-inci, tempat duduk balutan kulit, kluster instrumen digital bergabung 24.6-inci dengan sistem Qualcomm 8155, Apple Car Play dan Android Auto, kamera 540, dan juga pengecas tanpa wayar 50W berserta sistem penyejukan.

Chery Omoda E5 juga menyokong fungsi V2L berkapasiti 3.3kW iaitu pengecasan perkakasan luaran seperti ketuhar, gril bakar, periuk nasi, malah skuter elektrik.

Omoda E5 di Malaysia akan dilengkapi dengan sistem ADAS yang merangkumi 18 fungsi, antaranya Blind Spot Monitoring, Autonomous Emergency Braking, dan Rear Cross Traffic Alert.

Selain kenderaan bermotor, sistem ADAS pada Omoda E5 hadir bersama Driving Monitoring System, menjadikan SUV EV ini mempunyai sistem pemanduan kendiri tahap 2.5.

Chery Malaysia mengumumkan pakej menarik dengan Omoda E5, seperti berikut:

  • RM146,800
  • Jaminan 7 tahun
  • Jaminan bateri 8 tahun
  • Penggantian bateri percuma bila Battery Health menurun kepada 70 peratus

Jika anda berminat dengan SUV elektrik dengan pakej menarik ini, boleh daftarkan minat anda di sini.

Chery Omoda E5 dilancar Mac ini, diguna untuk acara Chery Eco Run

CHERY Omoda E5 sah bakal dilancarkan pada Mac 2024 depan, menawarkan satu lagi pilihan SUV kompak segmen-B dengan janaan elektrik (EV).

Omoda E5 dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate, yang dikatakan lebih mesra alam. Ianya mempunyai ketumpatan tenaga lebih tinggi untuk lebih penyimpanan, lantas menawarkan jarak pemanduan lebih jauh, menurut Chery.

Menurut Chery lagi, bateri lithium iron phosphate ini mampu mengurangkan kekerapan serta kos penukaran bateri.

SUV ini boleh dipandu sehingga 430km setiap cas. Dengan pengecasan pantas DC, ia boleh dicas antara 30 hingga 80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

Output adalah sekitar 201hp (150kW), Omoda E5 mampu memecut ke 100 dalam 7.8 saat dan Chery mendakwa SUV ini mempunyai kecekapan 15kWh per 100km.

Dari segi rupa, Omoda 5 EV tidak mendapat gril seperti versi petrol, sebaliknya ruang depannya bertutup. Ia juga didatangkan dengan rim aero untuk lebih kecekapan dari segi aerodinamik.

Ciri pemanduan Omoda E5 ini menampilkan fungsi Easy Start-Up, Creep, Pocket Brake, One Pedal Driving, dan AGS Active Air Intake System.

Chery Omoda E5 juga menyokong fungsi V2L iaitu pengecasan perkakasan luaran seperti ketuhar, gril bakar, periuk nasi, malah skuter elektrik.

Chery Malaysia mengumumkan model ini akan ditawarkan dengan tujuh pilihan warna badan dengan tiga warna dalaman.

@engear.tv #Chery #Omoda #E5 Yang Boleh Jadi #Powerbank Besar! #ev #electriccar #suv #engeartv #malaysia #fyp #carsoftiktok #tiktokmalaysia ♬ original sound – Engear TV

Chery Eco Run

Sementara itu, Omoda E5 ini akan digunakan sebagai Lead Car bagi Chery Eco Run yang akan diadakan di Dataran Wawasan Putrajaya pada Ahad, 7 Januari ini.

Membawakan tema “A New Journey To A New Green Life”, acara ini bertepatan dengan mesej perlindungan alam sekitar oleh Chery Omoda E5. Ia dianjurkan oleh Jom Run dan dijangka menarik lebih 3,000 penyertaan.

Chery buka pusat servis 4S terbesar di Malaysia di Johor Bahru

SELEPAS kejayaan membuka bilik pameran 4S di Kuantan hujung minggu lepas, Chery Malaysia kini merasmikan satu lagi pusat 4S di negara ini.

Terletak di Johor Bahru, pusat 4S Gagner Auto Sdn Bhd di Medini itu merupakan yang terbesar seumpamanya di Malaysia.

Pembukaan itu dirasmikan oleh Yang Mulia Tunku Abu Bakar Ibni Al-Marhum Tunku Bendahara Abdul Rahman dan Yang Mulia Tunku Abdul Samad Bin Tunku Mohd Archibald, serta beberapa individu dari rakan industri dan wakil Chery Auto Malaysia.

Pusat 4S Chery terbaharu ini menempatkan fasiliti ruang jualan, servis, alat ganti, dan juga badan dan cat. Ia menampilkan ciri-ciri rekaan mesra alam dan mengamalkan penggunaan tenaga yang cekap.

Pembukaan pusat 4S ini juga menjadi platform untuk pratonton model EV pertama Chery, Omoda E5 di wilayah selatan.

Wakil Gagner Auto Sdn Bhd, Janessa Kuek berkata: “Kami sangat berbangga menjadi cawangan pertama di rantau selatan untuk membuat pratonton pertama untuk model yang akan dilancarkan tidak lama lagi di Malaysia, iaitu Omoda E5.”

“Ini menandakan satu detik bermakna dalam komitmen kami membawakan inovasi kenderaan canggih bagi para pelanggan kami,” katanya.

Dua unit Jaecoo J7 tiba di Malaysia! Pelancaran tidak lama lagi?

INI satu berita hangat, tuan-tuan dan puan-puan, kerana jenama Jaecoo telah tiba di Malaysia. Malah, dua unit Jaecoo J7 AWD kini berada di negara ini untuk ujian jalan raya dan piawaian.

Untuk yang belum tahu, Jaecoo ialah salah satu jenama di bawah payung Chery, seperti Omoda. Kami pun telah membuat sedikit laporan dan pengenalan mengenai Jaecoo semasa di China beberapa bulan lepas.

Jaecoo Malaysia kini giat menjalankan pratonton eksklusif kepada wakil pengedar sah dan pelabur berpotensi menjelang pembukaan bilik pameran. Ia bakal diperkenalkan ke pasaran Malaysia tahun depan.

Selain itu, laman rasmi Facebook Jaecoo Malaysia juga telah ditubuhkan, jadi anda boleh lawatinya untuk sebarang maklumat dan kemas kini dari jenama itu. Mungkin group dan forum Jaecoo juga akan tumbuh bagai cendawan tak lama lagi.

Laman web rasmi pula dijangka siap pada Januari 2024. Sementara itu, anda boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web global Jaecoo.

Jaecoo J7 ialah model segmen-C lima tempat duduk, dengan panjang 4,500mm. Ia akan berada dalam segmen yang sama dengan model seperti Mazda CX-5 dan Honda CR-V.

Tidak seperti unit yang kami lihat di Wuhu, China yang merupakan model pacuan roda-depan, unit yang tiba di Malaysia kedua-duanya adalah model AWD.

Belum ada perincian enjin, tetapi menurut laman web rasmi Jaecoo, model J7 AWD dikuasakan enjin 1.6-liter turbo dengan 194hp dan 290Nm tork, dan kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear dwi-klac 7-kelajuan.

Prestasi 0-100km/j adalah dalam 8 saat, manakala kecekapan penggunaan bahan api adalah sekitar 7.48L/100km.

Ciri lain pada Jaecoo J7 termasuklah lampu LED, skrin infotainmen menegak 14.8-inci, bumbung panoramik, sistem audio Sony, 10 beg udara, dan fungsi ADAS Level 2.5+.

Apa pendapat anda mengenai Jaecoo J7 dan jenama ini secara amnya? Teruja untuk ia dilancarkan?

Chery Omoda E5 ini crossover EV dengan jarak pemanduan 430km setiap cas

SETELAH mengumumkan ketibaan Omoda E5 di Malaysia minggu lepas, kami dan rakan-rakan media hari ini dapat melihat crossover elektrik (EV) terbaharu itu di depan mata.

Kami sebenarnya telah melihat Chery Omoda E5 ini di China bulan lepas, tetapi itu unit untuk pasaran sana. Apa yang anda lihat di bawah ini merupakan unit dengan spesifikasi Malaysia.

Bagi yang belum tahu, Omoda E5 ialah versi elektrik (EV) bagi Omoda 5 yang diperkenalkan sebelum ini. Ia dibekalkan dengan bateri 61kWh yang mampu menghasilkan 201hp (105kW) dan 340Nm tork.

Ini membolehkan Omoda E5 memecut ke 100 dalam 7.6 saat dan Chery mendakwa SUV ini mempunyai kecekapan 14.5kWh per 100km.

Jarak pemanduan maksima ialah sehingga 430km, dan jika dicas menggunakan DC, 30 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam masa 30 minit.

Dari segi rupa, Omoda 5 EV tidak mendapat gril seperti versi petrol, sebaliknya ruang depannya bertutup. Ia juga didatangkan dengan rim aero untuk lebih kecekapan dari segi aerodinamik.

Ciri pemanduan Omoda E5 ini menampilkan fungsi Easy Start-Up, Creep, Pocket Brake, One Pedal Driving, dan AGS Active Air Intake System.

Chery Omoda E5 juga menyokong fungsi V2L iaitu pengecasan perkakasan luaran seperti ketuhar, gril bakar, periuk nasi, malah skuter elektrik.

Chery Malaysia mengumumkan model ini akan ditawarkan dengan tujuh pilihan warna badan dengan tiga warna dalaman.

Omoda E5 di Malaysia akan dilengkapi dengan sistem ADAS yang merangkumi 16 fungsi, antaranya Blind Spot Monitoring, Autonomous Emergency Braking, dan Rear Cross Traffic Alert.

Omoda E5 bakal dijangka dilancarkan pada April depan. Chery Omoda 5 sebelum ini diperkenalkan pada harga bermula RM108,000 hingga RM118,000.

Pada firasat anda, berapa agaknya harga bagi model EV ini? Boleh lebih murah dari Hyundai Kona EV?

Chery Omoda E5 mula mendarat di Malaysia, pra-tonton tidak lama lagi

CHERY Malaysia mengumumkan kumpulan pertama Omoda E5 telah mula tiba di Pelabuhan Klang dan sesi pra-tonton media akan diadakan tidak lama lagi, sebelum pelancaran rasmi.

Bagi yang belum tahu, Omoda E5 ialah versi elektrik (EV) bagi Omoda 5 yang diperkenalkan sebelum ini. Kami juga telah memandu uji SUV pesaing Toyota Corolla Cross, Proton X50, dan Honda HR-V ini, anda boleh tonton video penuh di sini.

Dalam laporan sebelum ini, kami melaporkan Omoda E5 akan dilancarkan di Malaysia pada April 2024 nanti.

Omoda E5 dibekalkan dengan bateri 61kWh yang mampu menghasilkan 221hp (165kW). Ia mampu memecut ke 100 dalam 7.8 saat dan Chery mendakwa SUV ini mempunyai kecekapan 15kWh per 100km.

Jarak pemanduan maksima ialah sehingga 450km, dan jika dicas menggunakan DC, 80 peratus boleh dicapai dalam masa 35 minit.

Dari segi rupa, Omoda 5 EV tidak mendapat gril seperti versi petrol, sebaliknya ruang depannya bertutup. Ia juga didatangkan dengan rim aero untuk lebih kecekapan dari segi aerodinamik.

Chery Malaysia mengumumkan model ini akan ditawarkan dengan tujuh pilihan warna badan dengan tiga warna dalaman.

Omoda E5 di Malaysia akan dilengkapi dengan sistem ADAS yang merangkumi 16 fungsi, antaranya Blind Spot Monitoring, Autonomous Emergency Braking, dan Rear Cross Traffic Alert.

Chery Omoda 5 sebelum ini dilancarkan pada harga bermula RM108,000 hingga RM118,000. Pada firasat anda, berapa agaknya harga bagi model EV ini? Boleh lebih murah dari Hyundai Kona Electric?

Sah! Chery bakal bawa empat model baharu ke Malaysia bermula tahun depan – Omoda 5 EV, Omoda 9, Jaecoo 7, Jaecoo 8

CHERY meneruskan lagi langkah seterusnya dalam usaha mereka kembali ke pasaran Malaysia. Anda rasa tidak yakin? Maka ketahuilah bahawa mereka akan membawakan empat lagi model baharu ke pasaran Malaysia bermula tahun depan.

Tahun ini sahaja mereka telah melancarkan Chery Tiggo 8 Pro dan Omoda 5, malah kedua-dua model itu telah dipasang secara tempatan (CKD) di kilang mereka di Kulim, Kedah.

Jadi apakah model baharu seterusnya?

Chery Omoda 5 EV

Yang pertama ialah Chery Omoda 5 EV. Model ini sudah tentunya berdasarkan Omoda 5, tetapi merupakan versi elektrik sepenuhnya (EV) dan dijangka dilancarkan pada April depan.

Ia dibekalkan dengan bateri 61kWh yang mampu menghasilkan 221hp (165kW). Omoda 5 EV mampu memecut ke 100 dalam 7.8 saat dan Chery mendakwa ia mempunyai kecekapan 15kWh per 100km.

Jarak pemanduan maksima ialah sehingga 450km, dan jika dicas menggunakan DC, 80% boleh dicapai dalam masa 35 minit.

Dari segi rupa, Omoda 5 EV tidak mendapat gril seperti versi petrol, sebaliknya ruang depannya bertutup. Ia juga didatangkan dengan rim aero untuk lebih kecekapan dari segi aerodinamik.

Chery Omoda 9

Seterusnya model baharu sepenuhnya. Di China, ini ialah Exeed RX tetapi untuk pasaran eksport, ia akan dikenali sebagai Chery Omoda 9.

Untuk yang belum tahu, Exeed ialah salah satu sub-jenama di bawah Chery dan menawarkan rangkaian model-model lebih premium.

Ia merupakan SUV segmen-C yang dibangunkan pada pelantar M3X Chery. Ukurannya adalah 4,775mm panjang, 1,920mm lebar, 1,671mm tinggi, dan jarak roda 2,800mm. Jujurnya, kami lihat dengan lebih dekat Omoda 9 ini di China, ia nampak lebih besar hampir seperti Toyota Harrier.

Chery Omoda 9 akan dikuasakan enjin 2.0-liter petrol dengan output 245hp dan 385Nm, disalurkan ke roda depan melalui kotak gear dwi-klac 7-kelajuan. Ia mampu mencapai kelajuan maksima 200km/j.

Ciri lain termasuklah lapan beg udara, Autonomous Emergency Braking, paparan instrumen digital, skrin infotainmen 12.3-inci, sistem audio Sony, tempat duduk berkuasa, dan bumbung panoramik

Chery Jaecoo 7

Model ketiga ialah Jaecoo 7, satu lagi sub-jenama di bawah Chery. Rangkaian model-model Jaecoo tampil dengan rekaan lebih kemas dan bersegi, seperti Range Rover pula kami lihat.

Jaecoo 7 ialah model lima tempat duduk, dengan panjang 4,500mm. Di bawah hud depan yang besar terdapat enjin 1.6-liter turbo dengan 183hp dan 275Nm tork. Sama seperti Omoda 9, enjin ini dipadankan dengan dwi-klac 7-kelajuan, dan kuasa dihantar ke roda depan.

Jaecoo 7 mempunyai gaya pixelated dengan lampu LED petak yang kemas. Ruang dalaman juga cukup premium dengan skrin infotainmen menegak 14.8-inci, bumbung panoramik, sistem audio Sony, dan fungsi ADAS Level 2.5+.

Chery Jaecoo 8

Akhir sekali ialah Chery Jaecoo 8, sebuah SUV yang lebih besar dari Omoda 9. Ia mempunyai penggayaan bersegi dan tegap seperti Jaecoo 7, tetapi saiznya lebih panjang iaitu 4,815mm, dan lebar 1,924mm.

Ia boleh dikonfigurasi dengan dua atau tiga baris tempat duduk. Ciri luaran termasuklah gril besar, pemegang pintu boleh-disimpan, sistem audio 14 pembesar suara, dan paparan infotainmen 12.3-inci.

Jaecoo 8 mendapat enjin 2.0-liter turbo yang menjana 245hp dan 385Nm tork. Ia masih model FWD, menggunakan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan. Ia mampu mencapai kelajuan maksima 200km/j.

Ciri lain termasuklah 10 beg udara, Autonomous Emergency Braking, bumbung panoramik, dan tempat duduk berkuasa.

Bila nak lancar?

Seperti disebut, Chery Omoda 5 EV akan menerpa pasaran kita dahulu pada tahun depan, diikuti Jaecoo 7 dan 8. Tetapi Omoda 9 hanya akan tiba seawal 2025.

Belum ada harga, kami akan laporkan sebaik sahaja kami dapat info. Tetapi setakat ini, apa kata anda? Menarik penawaran model-model Chery?

Chery Omoda 5: Ini 5 benda kami suka dan tak suka – Pandu uji

BAGI anda yang berumur 30 tahun ke atas sama macam penulis, pasti ingat jenama Chery yang pernah berada di pasaran Malaysia kira-kira 15 hingga 20 tahun lepas. Beberapa produk ditawarkan, paling popular rasanya Chery Eastar, sebuah MPV tujuh tempat duduk.

Gambar oleh: Wikipedia

Pada masa itu, mereka yang membeli jenama Chery mahukan nilai untuk wang, harga menarik untuk pakej ditawarkan. Ada juga yang tidak yakin dengan jenama China kerana persepsi dan stereotaip. Namun setelah lama menghilang, Chery kembali lagi dengan rombakan 360 darjah.

Jenama ini kembali dengan semangat baharu, produk serba moden, malah membuat beberapa pengumuman lantang sebelum kehadirannya.

Sebagai contoh, jualan global Chery bagi tahun 2022 melebihi satu juta unit, kerjasama CKD dengan Inokom, dan beberapa model di pasaran tertentu ditawarkan jaminan enjin 1,000,000km!

Sekarang kami ada satu produk yang telah kami uji, perkenalkan Chery Omoda 5. Memandangkan ada nombor 5 pada namanya, kami akan kongsikan lima benda yang paling kami suka dan tidak suka pada SUV baharu ini.

Sebelum itu sebagai mukadimah, perkara yang anda perlu tahu ialah Chery Omoda 5 merupakan SUV segmen-B yang menjadi pesaing kepada Proton X50, Toyota Corolla Cross, dan Honda HR-V. Ia ditawarkan dengan dua varian, pada harga RM108,800 dan RM118,800.

5 benda kami suka

1. Reka bentuk bergaya dan futuristik

Yang pertama ialah penampilan dan reka bentuk Chery Omoda 5 ini yang penulis rasa cukup bergaya. Gril depan besar yang begitu berbeza dari model kebiasaan pasti menarik minat orang yang memandangnya.

Malah bila penulis berhenti di lampu isyarat sebelah kereta sedan premium Jerman yang terkini, orang lebih memandang Chery Omoda 5, lebih tepat ke arah gril dan logo depan. Agaknya dia berkata dalam hati, “Kereta ape ke benda pula ni?”, begitulah penulis syok sendiri.

Tetapi penulis sendiri pun bila kali pertama melihat Omoda 5 semasa pratonton oleh Chery tahun lepas, penulis sangkakan ia sebuah EV. Rupa-rupanya guna enjin petrol 1.5-liter turbo.

2. Banyak ciri fancy

Mungkin salah satu cara untuk menarik minat pembeli ialah dengan memberikan banyak ciri, termasuk ciri-ciri fancy.

Sebagai contoh, kameranya sangat cantik dengan resolusi tinggi, boleh mengalahkan jenama premium. Paparan cukup tajam dan jelas, serta ada banyak mod pandangan. Ia sangat berguna untuk mengemudi kereta di tempat sempit, malah paparan sewaktu malam juga masih jelas.

Seterusnya ada lampu ambien, ya ini biasa, banyak kereta yang ada. Tetapi lampu ambien pada Chery Omoda 5 ini siap boleh ikut rentak muzik yang anda mainkan. Seronok betul penulis tengok gerakan lampu semasa memainkan lagi Makeba oleh Jain.

Dan satu lagi yang menarik ialah lampu depan dan belakangnya ada corak dan grafik bergerak semasa kita kunci dan membuka kunci kereta. Cukup menarik untuk kereta pada harga ini.

3. Papan pemuka moden dan minimalis

Bila masuk saja ke dalam, wah, langsung tak macam kereta RM110k. Tapi macam kereta RM250k! Skrin besar berkembar yang panjang melintang macam kereta Jerman, konsol tengah tinggi dengan butang dan paparan kemas, fuh. Memang lain auranya.

 

Terdapat juga pad pengecas tanpa-wayar di tengah dengan alas fabrik, tombol gear elektronik, serius memang agak impresif untuk paras harga ini. Segala kawalan juga tersusun kemas dan mudah untuk dikenal pasti.

4. Kawalan badan mantap

Sebuah SUV biasanya tidak mementingkan pengendalian, tetapi Chery Omoda 5 ini masih cemerlang untuk aspek ini. Kawalan badannya mantap dalam kebanyakan keadaan, sama ada semasa meluncur di lebuh raya beralun, mengambil selekoh, atau melalui jalan bandar berlubang yang ‘cantik’ di negara kita.

Semasa selekoh laju dengan jalan beralun, respon stereng dan pergerakan suspensi membuatkan kereta stabil, sekaligus tidak menjejaskan keyakinan kita. Dalam erti kata lain, juga lebih selamat.

5. Super senyap!

Akhir sekali, perkara kelima yang penulis suka mengenai Omoda 5 ini ialah kesenyapannya. Semasa memandu, tiada langsung bunyi angin walaupun pada kelajuan 140km/j. Bunyi tayar juga hampir tiada, hanya ada sedikit bunyi enjin jika meluncur di kelajuan ini.

Ini kerana Chery Omoda 5 dilengkapi dengan cermin depan dan sisi dwi-lapisan! Satu lagi ciri impresif pada harga sebegini. Patutlah senyap.

Semasa penulis bawa kawan menaiki Omoda 5 ini juga, dia menyangka ini sebuah EV kerana terlalu senyap bila duduk idling. Selepas penulis memberitahu ini kereta dengan enjin turbo biasa, dia masih sukar mempercayainya.

5 benda kami tak suka

1. Susah tengok luar

Sekarang kita ke perkara-perkara yang penulis tak suka berkenaan Chery Omoda 5, dan perkara pertama ialah susah untuk tengok luar. Ini penulis rasa disebabkan rekaan luarnya yang dramatik dan menggunakan sudut dan garisan yang berani.

Di depan dan sisi tiada masalah sangat, tetapi di belakang dan penjuru bucu sangat susah, mujurlah kamera 360-darjah pada Omoda 5 ini sangat membantu. Cuma rasanya kereta ini tidak boleh hidup tanpa kameranya.

Tetapi inilah pengorbanan bila rekaan cantik! Banyak juga kereta lain yang mempunyai rupa cantik dan susah untuk tengok ke luar.

2. Butang stereng kurang memuaskan

Seterusnya, kita lihat roda sterengnya seperti biasa, terdapat butang dan tombol kawalan untuk pelbagai fungsi. Isunya ialah, butang dan tombol ini terasa seperti kurang memuaskan untuk digunakan.

Ya, ia perkara kecil dan tidak kritikal, tetapi kita memandu akan selalu guna butang kawalan di stereng. Bila ditolak atau ditekan, ia sedikit keras dan berbunyi kuat, semestinya suatu yang boleh ditambah baik oleh Chery di masa depan.

3. Panel hitam cepat kotor

Sebenarnya susah untuk cari benda yang tak disukai mengenai Chery Omoda 5 ini, tetapi seterusnya penulis rasa bab panel hitam yang boleh menunjukkan lampu ambien dengan rentak lagu tadi.

Panel sebegini menjadi kebiasaan juga untuk banyak kereta sekarang, dan untuk Omoda 5, sama juga, masalahnya ialah ia senang melekat habuk dan minyak. Baru sahaja basuh kereta, sentuh sedikit di sini, dah nampak cap jari.

Bukan saja-saja sentuh, tapi kerana panel hitam ini juga menempatkan panel sentuhan untuk kawalan pendingin hawa. Hmm… lagi pengorbanan untuk nampak cantik dan futuristik.

4. Rim dan tayar nampak tak seimbang dengan rekaan badan

Ini aspek subjektif, tapi pada mata penulis, saiz tayar dan rim tidak begitu kena sepadan dengan reka bentuk badan. Ia hanya nampak pada sesetengah sudut sahaja, seperti dari bucu depan dan dari sisi.

Mungkin jika tayar dilebarkan sedikit lebih baik untuk visual, penulis bukanlah pakar dalam bidang ini. Tapi dari maklum balas sebegini, ia sesuatu yang Chery boleh ambil kira.

5. CVT yang sedikit gelabah

Akhir sekali dan paling utama, penulis tidak berapa suka dengan CVT Omoda 5 ini yang sedikit gelabah. Gelabah macam mana? Jenis yang kita tekan sedikit sahaja untuk tambah kelajuan, tetapi rpm dia naik mendadak seolah-olah kita mahu memecut dengan pedal rapat ke lantai.

Dalam sesetengah situasi, ini menjadikan pemanduan tidak begitu tenteram. Penumpang boleh cemas, “Eh eh kenapa ni?”. Banyak CVT lain di luar sana yang mempunyai talaan lebih baik dan steady, serta memberikan feel pemanduan lebih semulajadi dan memuaskan.

Kesimpulan

Sebagai penutup, Chery Omoda 5 ini tidak sempurna, tetapi ia mempunyai beberapa ciri “wow” dan mampu menggugat nama-nama yang sudah lama dan selesa dalam segmen ini. Malah adik ipar penulis sendiri ada bertanyakan mengenai Chery Omoda 5, nampak yang dia begitu berminat.

Omoda 5 juga membuatkan penulis tidak sabar untuk melihat model-model akan datang yang bakal dibawa masuk oleh Chery ke pasaran kita. Jemput tonton video di bawah untuk penerangan lebih lanjut mengenai ulasan pandu uji kami.

Spesifikasi Chery Omoda 5 H

Harga: RM118,800
Enjin: 1.5-liter 4-silinder turbo petrol
Kotak gear: CVT 9-kelajuan
Kuasa: 156hp @ 5,500rpm
Tork: 230Nm @ 1,750rpm

Dulu lain, sekarang lain – Chery kembali ke Malaysia! Barisan Tiggo Pro dan OMODA 5

CHERY dilihat membuat beberapa perkembangan kebelakangan ini dengan penjenamaan semula dan kembalinya mereka ke beberapa pasaran termasuk Asia Tenggara.

Jadi kali ini, mereka telah tampil buat pertama kali di negara ini dengan preview OMODA 5 serta siri Tiggo Pro iaitu Tiggo 4 Pro, Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro.

Menurut Chery, acara kali ini signifikan bagi mereka kerana beberapa sebab. “Pertama, ia merupakan acara fizikal pertama Chery di Malaysia di bawah pasukan baharu,” kata Pengarah Negara Chery Malaysia, Leo Chen.

“Kedua, ia merupakan penampilan rasmi pertama bagi model generasi semasa kami di Malaysia dan ketiga, penampilan pertama Tiggo 8 Pro PHEV di Asia Tenggara.”

“Yang ketiga, ini merupakan penampilan pertama Tiggo 8 Pro PHEV di Asia Tenggara,” tambahnya.

Walaubagaimanapun, SUV-SUV ini masih belum sah untuk pasaran negara ini, dan masih belum dalam keadaan spesifikasi Malaysia.

Tetapi kami diberitahu apa yang anda lihat ini akan sangat mirip dengan apa yang akan dilancarkan nanti.

Model-model seperti Tiggo 4 Pro, Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro merupakan SUV konvensional. Tiggo 4 ialah model lima tempat duduk segmen-B yang akan bersaing dengan kenderaan seperti Proton X50 dan Honda HR-V.

Tiggo 7 Pro pula merupakan model lima tempat duduk segmen-C, manakala Tiggo 8 Pro ialah SUV tujuh tempat duduk segmen-D.

Kesemua model mendapat beberapa konfigurasi enjin turbo 1.5, 1.6 dan 2.0 liter dengan gandingan kotak gear CVT dan DCT dwi-klac bergantung kepada jenis enjin.

Sementara itu, OMODA 5 ialah model yang lebih menyerlah dengan bentuk dan garisan lebih dramatik dan bergaya. SUV ini menjadi model pertama dalam sub-jenama OMODA di bawah Chery yang akan menawarkan produk untuk mereka yang mahukan lebih dari SUV biasa.

Chery sebelum ini telah kembali di Indonesia dengan pembukaan tempahan beberapa model, menawarkan jaminan sehingga enam tahun, 150,000km. Malah terdapat jaminan sehingga 10 tahun dan 1,000,000km.

Penawaran sama turut dibuat di Afrika Selatan sebelum itu.

Apa pendapat anda mengenai imej dan produk yang dibawakan oleh Chery setakat ini?

OMODA 5 dibuka untuk tempahan di China, tampil dengan Metaverse Community

CHERY baru-baru ini telah membuka tempahan bagi OMODA 5 di China dan melancarkan OMODA Metaverse Community, satu platform perkongsian atas talian bagi pengguna global.

Sebanyak tujuh varian SUV tersebut ditawarkan di China dengan pilihan trenkuasa 1.6 TGDI dan kotak gear dwi-klac DCT 7-kelajuan atau 1.5 TCI dengan CVT 9-kelajuan.

Trenkuasa pertama menghasilkan 197PS dan 290Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.8saat.

OMODA 5 menawarkan empat mod pemanduan – Eco, Normal, Sport dan Super Sport. Mod terakhir membebaskan kuasa penuh enjin, menukar susunan panel meter digital, pencahayaan ambien menjadi kuning terang dan bunyi trek simulasi dimainkan melalui pembesar suara bagi meningkatkan lagi pengalaman pemanduan.

Falsafah reka bentuk ‘Art in Motion’ baharu Chery memberikan OMODA 5 penampilan yang dinamik manakala pada bahagian dalaman, Lion 5.0 AI technology smart cockpit mengelilingi para penumpang dengan teknologi canggih dan warna kontras, memberikan aura futuristik.

Skrin luas 24.6-inci menjadi tumpuan utama, menampilkan maklumat pemanduan serta infotainmen, sistem audio Sony dan pencahayaan ambien 64.

Selain itu, kabin ‘C-Pure’ Chery menggabungkan teknologi perlindungan alam sekitar dan reka bentuk ekologi piawaian Eropah, sambil menjaga kesihatan para penumpang melalui sistem penulenan dan penapisan udara ion negatif.

Mengenai OMODA Metaverse Community, platform ini dicipta berdasarkan kehendak golongan muda, dan merupakan salah satu hasil falsafah user-centric Chery di mana kebebasan dan penciptaan bersama menjadi konsep teras.

Pengguna global boleh mencipta ‘planet’ hobi dan trend sendiri, lalu berinteraksi dengan pengguna lain yang berkongsi minat yang sama. Mereka juga boleh membuka store dan berkongsi maklumat, dengan points system yang menukar kelakuan pengguna kepada aset.

Bagi menyeronokkan pengumpulan dan penggunaan points, terdapat juga aktiviti interaktif seperti ‘pasaran saham’, ganjaran serta pemindahan dan penebusan kupon.

Para pengguna boleh menyertai sesi soal-jawab mengenai komuniti atau produk Chery, dan berkomunikasi dengan lancar pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Meneruskan perjalanan globalnya, OMODA 5 baru-baru ini telah disahkan untuk pasaran Australia, dan Malaysia kekal sebagai salah satu destinasi yang bakal menyusul.