Tag Archives: Op Selamat

Op Selamat 23: Polis keluarkan 104,234 saman dalam tempoh lima hari

Sebanyak 104,234 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan sepanjang Op Selamat 23/2025 yang diadakan selama lima hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Sri Mohd Yusri Hassan Basri, jumlah itu menunjukkan pengurangan sebanyak 43% atau (78,798 saman) berbanding 183,033 saman yang direkodkan sepanjang Op Selamat 21/2024.

Katanya, terdapat enam kesalahan utama bagi Op Selamat 23/2025 ialah memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong kenderaan di garisan berkembar dan memotong barisan, melanggar lampu isyarat dan memandu menggunakan alat komunikasi atau telefon bimbit.

“Saman memandu melebihi had laju mendahului enam kesalahan utama bagi Op Selamat 23/2025 sehingga semalam yang membabitkan jumlah saman paling tinggi sebanyak 44,940 saman.

“Ini diikuti dengan saman bagi kesalahan melanggar lampu isyarat sebanyak 2034 saman, memandu menggunakan alat komunikasi (869), memandu di lorong kecemasan (602), memotong barisan (573) diikuti memotong garisan berkembar (321),”katanya.

Tambah Mohd Yusri lagi, Op Selamat 23/2025 yang dilancarkan pada 28 Januari yang lalu akan berakhir pada hari ini (2 Februari) bertujuan untuk meminimumkan kes kemalangan jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik serta mencegah jenayah pecah rumah ketika musim perayaan.

Katanya, pelaksanaan Op Selamat 23 adalah di bawah JSPT di seluruh negara dan turut berkolaborasi dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) untuk menyelaraskan operasi terbabit dengan tema ‘Rumah Selamat dan Selamat Sampai Ke Destinasi’.

“Untuk Op Selamat kali ini, pihak JSPT telah menugaskan 3609 pegawai dan anggota untuk memastikan penugasan Op Selamat berjalan dengan lancar dan mencapai objektif,” katanya.

Op Selamat 22: Kes kemalangan dan kematian menurun

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan penurunan 1.41 peratus kes kemalangan jalan raya di seluruh negara sepanjang tempoh Op Selamat 22 sempena sambutan Aidilfitri bermula 8 hingga 13 April lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata jumlah kes kemalangan menurun sebanyak 8,862 kes berbanding 8,989 kes pada tahun lepas.

“Kes kemalangan maut juga menurun 10 peratus dengan 105 kes berbanding 117 kes pada tahun lepas, manakala jumlah kematian turut mencatatkan pengurangan enam peratus dengan 119 kematian berbanding 126 kematian pada tahun sebelumnya,” katanya.

Razarudin berkata penunggang dan pembonceng motosikal masih mencatatkan kematian tertinggi dengan 79 kematian berbanding 80 kematian yang direkodkan pada tahun lepas.

“Berdasarkan kajian, kemalangan yang berlaku berpunca daripada kegagalan mengawal kenderaan sehingga terbabas akibat keletihan dan mengantuk serta tidak menjaga jarak pemanduan selamat antara kenderaan.

“Saya percaya bahawa penurunan kes kemalangan adalah impak positif hasil daripada kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan jalan raya serta amalan pemanduan yang berhemah,” katanya.

Selain itu, Razarudin berkata JSPT merekodkan peningkatan jumlah saman pada Op Selamat 22 apabila sebanyak 114,467 saman dikeluarkan berbanding 29,216 saman pada Op Selamat yang lepas iaitu meningkat kepada 85,251 saman.

Katanya statistik kes jenayah pecah rumah pada Op Selamat kali ini mencatatkan 189 kes berbanding 272 kes pada tahun lepas.

Op Selamat 17: Kes kemalangan di Selangor cecah lebih 1,592

OP Selamat 17 diadakan Polis Kontijen Selangor mencatatkan lebih 1,592 kes kemalangan jalan raya.

Operasi sejak 28 Januari lalu itu dibuat sebagai pemantauan pihak polis terhadap aliran trafik bersempena perayaan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed. – Foto ihsan Malay Mail

Ketua Polis Selangor berkata, jumlah kemalangan pada operasi kali ini mencatatkan hasil positif apabila ia menurun 31.2 peratus berbanding Op Selamat 16.

Jelas Datuk Arjunaidi Mohamed, operasi sebelum ini mencatatkan 2,313 kes iaitu 721 lebih banyak berbanding Op Selamat 17.

“Statistik tahun ini juga mencatat kes kemalangan rosak yang tidak mengakibatkan kematian atau kecederaan sebanyak 1,565.

“Kemalangan ringan 15 dan 10 kes masing-masing kemalangan maut,” katanya seperti dilapor portal SelangorKini.

Anggota keselamatan sedang melakukan pemeriksaan jalan raya. – Foto oleh Shafwan Zaidon

Saban tahun, polis melakukan operasi jalan raya ketika sambutan perayaan bagi mengurangkan kadar kemalangan serta kesalahan trafik.

Sementara itu, polis Selangor turut melakukan kajian terperinci bagi mengenalpasti kawasan berisiko tinggi kemalangan.

“Setiap hari kajian dilakukan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan tumpuan diberikan di sekitarnya.

“Setakat ini lapan lokasi tumpuan dikenal pasti,”katanya lagi.

Op Selamat kali ini melibatkan penyertaan 300 pegawai dan anggota trafik seluruh negeri Selangor.

Operasi kali ini difahamkan akan tamat pada 6 Februari 2022.