Tag Archives: outdoor

Lexus Monogram GX Concept ini siap ada ketuhar pizza di belakang!

Lexus GX merupakan sebuah SUV off-road yang kini sudah pun memasuki generasi ketiga, dan secara asasnya berkongsi platform yang sama dengan model Toyota Land Cruiser Prado (250 Series).

Perkataan Lexus itu sendiri sudah cukup untuk melambangkan ciri kemewahan yang dibawakan pada GX.

Namun, Lexus baru-baru ini memperlihatkan kerjasama dengan pengeluar pekakasan mewah Monogram menerusi model Lexus Monogram GX Concept.

 

 

Daripada sudut luaran, Lexus GX serba hitam ini dilihat sama sahaja dengan GX versi jalanan, namun boleh dibezakan dengan kehadiran pintu belakang jenis terbelah (split liftgate).

Sebaik sahaja pintu tersebut dibuka, anda akan dapat melihat kehadiran sebuah ketuhar elektrik bersaiz 30 inci buatan Monogram yang boleh digunakan untuk memasak pizza, roti atau apa jua makanan yang dirasakan sesuai.

Segala perkakasan memasak boleh disimpan pada rak yang dibuat khas pada panel pintu tersebut.

 

 

Bukan itu sahaja, terdapat ruang penyimpanan luaran yang dibina pada tingkap belakang yang memuatkan gelas wain, pembuka botol serta botol minuman keras.

Masuk ke dalam ruang kabin, anda akan disambut dengan tempat duduk balutan kulit unta dua tona dengan corak khas, diikuti kemasan loyang, besi titanium dan aksen batu sabak Dekton.

Menurut Lexus, konsol tengah kabin GX ini menempatkan peti sejuk khas untuk minuman, serta mesin khas yang mampu menghasilkan ketulan ais berbentuk sfera. yang terletak antara tempat duduk belakang.

Konsep GX Monogram ini akan membuat kemunculan rasmi pada Food and Wine Classic di Aspen, Colorado.

 

Lexus Monogram GX Concept

Lexus GX 2024

Toyota Crown Crossover Landscape – lengkap dengan kit off-road!

Kenderaan dalam genre crossover, SUV, dan trak pikap kebiasaannya menjadi pilihan untuk para penggemar aktiviti dan gaya hidup luar (outdoor).

Namun, bagaimana jika anda mahukan kelainan yang tersendiri, dan ia bukannya sebuah Subaru?

Di Jepun, Toyota baharu sahaja melancarkan model edisi khas Crown Crossover Landscape sebagai sebahagian daripada kemas kini minor untuk tahun 2024.

 

 

Diinspirasikan daripada Crown Outdoor Concept yang diperlihatkan tahun lepas, Crown Crossover Landscape ini membawakan beberapa penambahbaikan.

Antaranya ialah plastik pelindung fender yang lebih tebal, mud flap berwarna merah, rim kustom 18 inci yang dibaluti tayar all-terrain bersaiz 245/60R18, serta sistem suspensi yang lebih tinggi.

 

 

Ia menjadikan jarak lega bumi Crown Crossover ini 25 mm lebih tinggi berbanding model standard.

Selain itu, terdapat juga cagak cangkuk tunda yang mampu menarik beban seberat 750 kg, lampu kabus belakang yang lebih besar, serta opsyen pemasangan rak bumbung untuk mengangkut barangan ekstra.

Perubahan pada ruang kabin pula dihadkan kepada penambahan kemasan perkataan “Landscape” emas pada papan pemuka, diikuti tempat duduk belakang yang boleh dilipat nisbah 60:40.

 

 

Tiada sebarang perubahan pada unit rangkaian kuasa hibrid Crown Crossover ini, di mana ia masih lagi mengekalkan nadi 2.4 liter dengan dua motor elektrik, menghasilkan kuasa setinggi 268 hp.

Kuasa itu disalurkan kepada semua roda menerusi transmisi automatik enam nisbah kelajuan, serta sistem pacuan semua roda E-Four Advanced.

Toyota Crown Crossover Landscape ini hanya boleh didapati di Jepun sahaja buat masa ini, dengan harga jualan bermula dari ¥6,850,000 (RM214,456) tidak termasuk kos rak bumbung ¥44,990 (RM1,409).

 

Off The Grid 2024 acara khas untuk pencinta gaya hidup outdoor

PADA 23 hingga 25 Februari ini, Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) akan dimeriahkan dengan acara Off The Grid (OTG) yang dibawakan khas untuk pencinta gaya hidup outdoor.

Acara yang dianjurkan oleh Art of Speed (AOS) itu diinspirasikan daripada acara gaya hidup outdoor tahunan terbesar di Jepun iaitu Fieldstyle dan menyasarkan kira-kira 30,000 pelawat.

Bakal diadakan di Dewan A MAEPS yang menawarkan keluasan 150,000 kaki persegi, OTG 2024 menampilkan lima tarikan utama seperti berikut:

  • Pameran vendor gaya hidup outdoor yang melibatkan jenama-jenama terkemuka seperti Montanic Adventure Store, Anbot Store, Campguru, Eiger Adventure, Pahlawan Store, Outside Malaysia, EcoFlow, dan banyak lagi.
  • Brew Festa memperkenalkan konsep slow bar di mana barista meluangkan masa mereka untuk membuat kopi secara cermat khas untuk pencinta kopi yang ingin mengaktifkan neuron di otak mereka.
  • BBQ Showdown adalah mimpi ngeri buat vegan kerana ia merupakan acara memanggang daging yang akan dihoskan oleh MeatXpert Premium Butcher.
  • Makers Jamboree & Pasor Dinda Ladies Market adalah tempat terbaik untuk pemburu item vintaj dan rare.
  • Aktiviti-aktiviti menarik untuk seisi keluarga termasuk skimpoolsurf skate, Roller Disko, perlumbaan strider dan cabutan bertuah setiap jam untuk memerka yang membelanjakan RM100 dalam satu resit.

Di samping lima tarikan utama ini, pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan tradisional dan akustik, serta menyertai meet up van camper, penggemar MINI RC Crawler dan banyak lagi.

Para peniaga di OTG 2024 juga berpeluang menyertai pertandingan reruai (booth) terbaik yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Booth Penjual Terbaik (Makanan dan Komuniti) dan Booth Jenama Terbaik.

Pemenang bagi setiap kategori akan memenangi tiket perjalanan untuk seorang ke Jambori Fieldstyle 2024 di Nagoya, Jepun pada 18  dan 19 Mei 2024.

Mereka yang berminat untuk mengunjungi OTG 2024 boleh mendapatkan pas hujung minggu secara dalam talian pada harga RM35 atau RM50 jika dibeli di lokasi. Pas ini sah untuk kemasukan selama tiga hari.

Selain itu, terdapat juga pas hari berharga RM15 jika dibeli secara dalam talian atau RM20 jika dibeli secara terus di lokasi. Kemasukan adalah percuma untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan pemegang kad OKU.

Tiket boleh dibeli melalui laman web rasmi https://otg.artofspeedmy.com/ticket/. Sebarang pembelian dalam talian hanya akan dikenakan bayaran RM3 untuk yuran pemprosesan bagi setiap tiket.