Tag Archives: pandangan awal

BYD Dolphin bakal laku keras di pasaran? – Pandangan Awal

SEBELUM ini, nama BYD mungkin tidak pernah didengari oleh rakyat Malaysia. Namun sejak pelancaran Atto 3 pada Disember 2022, pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China itu semakin lama semakin dikenali terutamanya dalam kalangan peminat dan pembeli EV.

Ketibaan BYD ke negara ini bermula dengan amat positif apabila pengedar rasminya iaitu Sime Darby Motors berjaya menyerahkan sebanyak 1,000 unit Atto 3 dalam tempoh 100 hari pelancaran.

Kini, BYD ingin meneruskan momentum mereka dengan penawaran EV kedua yang dikenali sebagai Dolphin. Ia merupakan model hatchback segmen B yang ditawarkan pada harga bermula dari RM100,530 untuk varian Dynamic Standard Range dan RM125,530 untuk Premium Extended range.

Sebelum anda bertanya kenapa, model ini menggunakan nama hidupan laut kerana ia merupakan sebahagian daripada barisan Ocean Series. Satu lagi model daripada siri ini adalah Seal yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Dari segi reka bentuk, sejujurnya saya merasakan Dolphin tidak memberikan sebarang impak yang signifikan. Tidak dinafikan, grafik lampu belakang dan permukaan bertekstur pada tiang C dan gril memang cantik tetapi selain daripada itu, tiada apa yang benar-benar menarik perhatian saya.

Jika anda memilih varian Extended Range, anda akan mendapat warna dua tona dan rim berukuran 17 inci, juga dalam warna dua tona yang sama dengan badan. Lampu LED depan dan belakang disertakan secara standard pada kedua-dua varian.

Ruang dalamannya begitu mempesonakan, dengan rekaan papan pemuka seakan sayap dan corong berbentuk bulat yang mengingatkan saya terhadap jenama dari Jerman. Oh ya, segenap ruang juga dihiasi warna dua tona seperti bahagian luaran.

Apa yang lebih penting, ruang kabin Dolphin bukan sahaja cantik malah antara yang paling selesa dalam segmennya. Ia terasa cukup luas dan tempat duduk hadapan pula terasa begitu lembut, selain mempunyai sokongan yang secukupnya pada bahagian abdomen dan peha.

Material yang digunakan juga sangat memuaskan terutamanya pada bahagian papan pemuka, kerusi dan pintu. Cuma, butang-butang fizikal pada konsol tengah terasa agak longgar apabila digunakan. Ia mungkin akan terasa lebih longgar apabila digunakan secara kerap dalam tempoh masa yang lama.

Dari segi kelengkapan, Dolphin didatangkan standard dengan panel instrumen digital lima inci dan skrin sentuh 12.8 inci yang boleh dipusingkan. Turut disertakan adalah sistem navigasi satelit, Apple CarPlay serta port USB Type A dan Type C.

Aspek praktikaliti juga agak memuaskan. Terdapat beberapa ruang penyimpanan barang pada bahagian konsol tengah dan setiap panel pintu. But belakang juga agak luas dengan kapasiti 345 liter, manakala tempat duduk belakang boleh dilipat sepenuhnya untuk memuatkan kargo panjang.

Semasa sesi pandu uji media tempoh hari, saya berpeluang memandu varian Standard Range dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Varian ini mempunyai 95 PS dan 180 Nm, dan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 12.3 saat.

Angka ini memang tidak mengagumkan jika dibandingkan dengan kereta-kereta segmen B dengan enjin pembakaran dalaman yang lain namun bagi saya, prestasi pecutan yang ditunjukkan sudah memadai untuk pemanduan di dalam bandar.

Sudah tentu, anda boleh menekan pedal dengan lebih agresif atau menggunakan mod Sport namun ini pastinya akan menjejaskan jarak pandu. Dan berdasarkan pengalaman saya memandu dalam keadaan trafik yang normal, mod Sport sebenarnya tidak diperlukan pun.

Bercakap tentang jarak pandu, varian Standard Range menggunakan bateri jenis Blade berkapasiti 44.9 kWk yang boleh memberikan jarak pandu sehingga 410 km mengikut kitaran NEDC. Dengan gaya pemanduan bercampur, saya hanya menggunakan kira-kira 15 hingga 20 peratus kuasa bateri dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

Dalam perjalanan pulang, saya berkesempatan memandu varian Extended Range yang mempunyai 204 PS dan 310 Nm. Perbezaan kuasa dan tork antara kedua-dua varian ini boleh dirasakan dengan begitu jelas, di mana varian ini memecut laju seperti sebuah kereta hot hatch yang sebenar.

Manakan tidaknya, menurut BYD, Dolphin Extended Range hanya memerlukan 7.0 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j, hanya 0.6 saat lebih perlahan berbanding Volkswagen Golf GTI Mk8.

Untuk jarak gerak, varian ini dikatakan boleh dipandu sejauh 490 km dengan satu cas penuh dari bateri berkapasiti 60.48 kWj. Sama seperti varian Standard Range tadi, saya menggunakan tidak lebih 20 peratus kuasa bateri untuk perjalanan sepanjang kira-kira 50 km. Itu pun dengan gaya pemanduan yang agak agresif di lebuh raya.

Satu lagi perkara yang membuatkan saya suka dengan Dolphin adalah keselesaannya. Selain tempat duduk yang empuk tadi, saya merasakan sistem suspensinya cukup lembut dan seimbang, serta sesuai untuk mereka yang lebih suka memandu secara santai.

Untuk pengetahuan anda, kedua-dua varian menggunakan topang MacPherson pada bahagian hadapan, namun untuk suspensi belakang, Standard Range mendapat torsion beam manakala Extended Range menggunakan multi-link.

Apa yang menarik tentang kereta ini, ia akan mengeluarkan bunyi lembut seakan lori atau motosikal aiskrim. Sekiranya radio atau muzik tidak dimainkan, bunyi ini boleh didengari dengan agak jelas dari dalam kabin namun tidaklah sehingga mengganggu tumpuan.

Untuk pengetahuan anda, bunyi ini dianggap sebagai salah satu ciri keselamatan kerana ia berfungsi untuk memberi amaran kepada jalan kaki dan penunggang basikal.

Jika anda mementingkan ciri bantuan pemandu, jangan risau untuk membuat pilihan kerana kedua-dua varian Dolphin dilengkapi dengan Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking, Lane Departure Warning, Lane Keeping Support, Predictive Collision Warning, Blind Spot Detection, Rear Cross Traffic Alert dan sebagainya.

Adakah Dolphin akan mendapat sambutan yang sama seperti Atto 3? Tidak mustahil model ini boleh laku keras kerana ia mempunyai segalanya untuk menarik minat pembeli terutamanya mereka yang ingin beralih ke arah EV. Harganya cukup kompetitif, manakala senarai kelengkapan dan prestasinya amat memuaskan. Sejujurnya, saya gagal menahan diri daripada impressed dengan Dolphin.

Spesifikasi BYD Dolphin Dynamic Standard Range

Harga: RM100,530
Bateri: BYD Blade 44.9 kWj
Kuasa: 95 PS
Tork: 180 Nm

Spesifikasi BYD Dolphin Premium Extended Range

Harga: RM125,530
Bateri: BYD Blade 60.48 kWj
Kuasa: 204 PS
Tork: 310 Nm

Proton X90 cukup bagus tetapi belum sempurna – Pandangan Awal

SEPERTI model-model keluaran Proton yang lain, X90 mencetuskan hype yang boleh dikatakan agak luar biasa. Manakan tidaknya, selain menjadi model SUV ketiga pengeluar kenderaan nasional itu, ia juga hadir sebagai Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertamanya.

Bukan itu sahaja, dengan harga jualan bermula dari RM123,800 hingga RM152,800, X90 merupakan model keluaran Proton yang paling mahal setakat ini. Jadi, sudah tentulah ia menjadi buah mulut orang.

Baru-baru ini, saya berpeluang untuk memandu uji X90 dari ibu pejabat Proton di Shah Alam, Selangor ke Gambang, Pahang. Jadi untuk artikel kali ini, saya akan kongsikan perkara-perkara bagus dan kurang bagus yang anda patut tahu mengenai model ini.

Lebih suka meluncur dari memecut

Semasa memandu di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, saya mendapati gabungan enjin turbo 1.5-liter tiga silinder dan sistem mild-hybrid 48V ini kurang ‘umph’ dari segi pecutan di atas jalan yang landai dan juga ketika mendaki.

Ya, ia adalah sebuah SUV yang besar dengan berat kira-kira 1.7 tan (tidak termasuk kami berempat dan barangan yang dibawa) namun kehadiran sistem mild-hybrid tersebut, yang dikatakan dapat membantu pecutan dari keadaan pegun dan ketika bergerak, tidak begitu dirasakan.

Saya juga berasa agak hairan dengan keengganan kotak gear klac berkembar (DCT) menurunkan gear ketika pendikit ditekan kuat semasa mendaki. Setahu saya, DCT sepatutnya boleh memilih gear yang sesuai sama ada untuk mendaki atau menuruni bukit.

Sudah tentu, mod Sport boleh dipilih untuk menyelesaikan masalah ini namun saya secara peribadi tidak  suka beralih dari satu mod ke satu mod lain dengan terlalu kerap ketika sedang memandu.

Tetapi sebaik sahaja memasuki Lebuhraya Pantai Timur, trenkuasa ini tidak lagi bergelut. Tindak balasnya terasa lebih lancar terutamanya pada kelajuan cruising sekitar 110 km/j dengan jarum rpm bermain-main pada takat 2,000.

Ketika ini, saya dapat rasakan dengan jelas yang X90 bukanlah sebuah SUV yang anda ingin pandu secara agresif. Karakternya boleh diibaratkan sebagai seorang yang banyak makan asam garam – tenang, bersahaja dan tidak terburu-buru.

Sistem Smart Glide bantu jimat bahan api?

Satu lagi kelebihan sistem mild-hybrid berkenaan adalah ciri Smart Glide yang bertindak untuk mematikan enjin dan memisahkan transmisi supaya kereta boleh meluncur tanpa menggunakan setitis pun bahan api.

Tidak dinafikan ciri ini memang bagus tetapi ia hanya akan diaktifkan apabila bateri litium-ion mempunyai tenaga yang cukup. Ini boleh dilihat menerusi logo ‘A’ pada panel instrumen. Warna hijau menandakan tenaga yang mencukupi, warna kuning pula sebaliknya.

Saya sempat mengaktifkan sistem ini beberapa kali namun berdasarkan pengalaman, ia hanya aktif dalam tempoh seminit dua sahaja. Tidak pasti berapa banyak penjimatan yang dapat tetapi bagi saya, ciri seperti ini lebih baik ada daripada tiada langsung.

Bercakap tentang penggunaan bahan api, unit yang saya pandu menunjukkan bacaan sekitar 12 liter/100 km. Jauh berbeza dengan angka yang disebut oleh Proton iaitu 6.8 liter/100 km namun gaya pemanduan saya dan media lain pada hari itu agak agresif.

Suspensi terima sentuhan ajaib Proton

Dari aspek keselesaan pula, X90 ada kelebihan dan kekurangannya. Pertama sekali, ingin saya berikan pujian kepada Proton kerana berjaya mendapatkan tuning suspensi yang paling sesuai untuk keadaan permukaan jalan raya di negara kita.

Untuk pengetahuan anda, X90 menggunakan sistem suspensi jenis multi-link pada gandar belakang, berlainan dengan Geely Haoyue dan Okavango yang dilengkapi dengan jenis torsion beam.

Menurut Proton, mereka diberi kepercayaan untuk menggunakan sistem berkenaan serta talaan sendiri untuk X90. Hasil kepakaran orang kita memang boleh dirasakan dengan jelas terutamanya di LPT di mana segala permukaan beralun dan tidak rata diserap dengan begitu baik sekali.

Ya, body roll masih ada ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi manakala tindak balas stereng bukanlah yang terbaik dalam kelasnya namun untuk sebuh kereta keluarga dengan tiga barisan tempat duduk, keselesaannya boleh dikatakan mengagumkan.

Bukan itu sahaja, penumpang pada barisan kedua dan ketiga juga tidak perlu risau kerana setiap barisan tempat duduk mempunyai corong pendingin sendiri dan port pengecas USB.

Kekurangan yang boleh dirasakan

Cuma, apa yang mengecewakan di sini adalah kerusi. Walaupun dibalut material kulit Nappa yang berkualiti, kerusi X90 tidak memberikan sokongan yang secukupnya. Bolster pada penyandar tidak cukup besar, manakala tempat duduknya agak pendek, membuatkan peha sedikit tergantung.

Rungutan ini sebenarnya bukan untuk kerusi pemandu dan penumpang hadapan sahaja, malah juga untuk kerusi barisan kedua, sama ada kerusi jenis bangku pada varian Premium atau kerusi kapten pada varian Flagship.

Tidak perlu diperkatakan lagi, kerusi barisan ketiga hanya sesuai untuk mereka yang bersaiz sederhana dan kecil, dan untuk perjalanan jarak dekat.

Canggih tetapi menjengkelkan

Satu lagi perkara yang bagi saya boleh menjejaskan pengalaman pemanduan adalah sistem ADAS yang agak sensitif, terutamanya Lane Keep Assist yang akan berbunyi walaupun tayar belum lagi menyentuh garisan. Sistem Foward Collision Warning pula mengeluarkan bunyi amaran walaupun kereta di hadapan masih agak jauh. Canggih sangat pun susah juga, kan?

Tetapi saya suka dengan ciri Rear Collision Warning yang bertindak menyalakan lampu hazard sebagai amaran kepada kereta di belakang sekiranya ia mengekori terlalu rapat. Ciri Traffic Sign Information pula boleh mengimbas pelbagai jenis papan tanda dan memaparkannya pada panel instrumen untuk perhatian anda.

Untuk sistem infohibur, ketiadaan Apple CarPlay dan Android Auto memang boleh dianggap sebagai satu kekurangan tetapi sistem Atlas OS yang digunakan oleh X90 tidak kurang hebatnya.

Warna dan fon yang digunakan terang dan mudah dilihat, manakala operasinya boleh dikatakan lancar tanpa lag yang menyakitkan hati. Sistem navigasinya juga mudah digunakan dan mampu menunjuk arah dengan baik.

Seperti X70 dan X50, kualiti kamera undur dan kamera 360 darjah pada model ini sangat-sangat memuaskan. Malah, jauh lebih baik berbanding kenderaan dari dua jenama Jepun tersohor itu.

Konklusi

Secara keseluruhannya, saya boleh katakan yang Proton X90 adalah sebuah MPV keluarga yang cukup bagus dan mampu memenuhi permintaan pelanggan dalam segmennya menerusi ciri-ciri yang ditawarkan.

Ia bukanlah sebuah kenderaan yang sempurna tetapi dengan harga yang lebih murah berbanding pesaing-pesaing terdekatnya iaitu Chery Tiggo 8 Pro dan Mazda CX-8, rasanya ramai pembeli yang boleh ‘tutup mata’ dan terima sahaja kekurangannya.

Spesifikasi Proton X90

Harga: RM123,800-RM152,800
Enjin: 1.5-liter, tiga silinder turbo, mild-hybrid 48V
Kotak gear: DCT tujuh kelajuan
Kuasa: 190 PS
Tork: 300 Nm