Tag Archives: pandu uji

Volvo XC40 Recharge EV: Alkisah pemanduan satu-pedal – Pandu uji

BEBERAPA minggu lepas, Volvo Car Malaysia (VCM) melancarkan SUV terkini mereka yang juga sebuah EV atau kenderaan elektrik sepenuhnya.

Perkenalkan XC40 Recharge Pure Electric P8, ya suatu nama yang agak panjang, ia merupakan EV pertama dari Volvo. XC40 ini juga dipasang di Malaysia, jadi ia juga EV CKD pertama negara ini!

Sehari selepas pelancaran, kami telah dijemput oleh VCM untuk memandu uji SUV bergaya ini. Ia pemanduan ringkas satu hari, jadi saya tidak akan bercerita terlalu menyeluruh.

Sebaliknya saya akan ulas tanggapan pertama memandu EV ini, terutamanya mengenai pemanduan satu-pedal (one-pedal driving) dan kerisauan jarak pemanduan (range anxiety).

Latar belakang Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8

Untuk yang belum tahu, VCM pada awalnya memperkenalkan XC40 T5 iaitu versi enjin petrol biasa. Kemudian varian XC40 Recharge T5 ditambah iaitu versi plug-in hybrid (PHEV) gabungan enjin pembakaran dalaman dan sistem janaan elektrik.

Jadi untuk XC40 Recharge Pure Electric, ia menampilkan pek bateri lithium-ion 78kWh yang menghantar kuasa ke dua motor elektrik (satu di gandar depan, satu lagi di gandar belakang), menjadikan jentera ini sebuah all-wheel drive (AWD).

Kuasa oleh motor elektrik adalah setinggi 402hp (300kW) dan 660Nm tork, membolehkan SUV ini memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 4.9 saat. Kelajuan maksima pula – seperti semua model Volvo terkini – dihadkan pada 180km/j.

Dari segi rekabentuk luaran, XC40 Recharge EV ini nampak hampir serupa dengan versi petrol biasa, kecuali pada beberapa bahagian.

Pertamanya, gril depan rata yang bertutup, kemudian tulisan “RECHARGE” pada tiang-C kiri dan kanan, serta tempat mengecaj pada fender depan kiri.

Bahagian dalaman juga serupa dengan XC40 T5, tetapi Recharge EV ini ‘kehilangan’ butang penghidup enjin. Bukan kerana ia tiada enjin, tetapi anda tidak perlu menghidupkannya, XC40 ini terus dalam keadaan bersedia dan ‘hidup’ sebaik sahaja anda masuk ke dalam dengan kunci bersama.

Untuk spesifikasi lanjut, jemput baca di sini.

Sekarang, kita terus ke bab pemanduan.

Sama tapi berbeza

Masuk ke dalam, walaupun ruang kabin dan segala butang kawalan nampak sama, tetapi tidak 100 peratus serupa. Paling ketara seperti dinyatakan di atas, tiada butang penghidup enjin.

Sebaik anda masuk ke dalam, XC40 ini sedia dipandu. Hanya perlu tunggu tukar gear kepada Drive sahaja. Jadi, tiada istilah ‘panaskan enjin’ di sini. Anda nak terus tekan pedal rapat ke lantai pun tiada masalah.

Semasa mula memandu, saya pada awalnya agak berhati-hati dan sentiasa mengingatkan diri bahawa XC40 ini mempunyai lebih 400hp dan 660Nm tork.

Tetapi selepas mengemudi kesesakan trafik keluar dari The Saujana memasuki NKVE, ternyata kuasa dan outputnya mudah dikawal. Ia terasa lancar dan kita boleh hampir terlupa bahawa ia mempunyai kuasa yang mampu menyaingi kereta sports.

Yang pasti, kuasa memang sepantas kilat; tekan sahaja bila-bila masa, anda dapat daya tujahan maksima. Tidak perlu tunggu turbo boost, tidak perlu tunggu rpm tertentu, tork maksima boleh didapati dari 0 rpm.

Ya, itulah magik sebuah kereta elektrik. Cuma Volvo XC40 setakat ini berjaya menyampaikannya dalam satu pakej praktikal dan mudah dipandu.

Tahukah anda kuasa yang tinggi juga meningkatkan keselamatan? Anda dapat pecut dengan mudah untuk susur masuk lebuhraya tanpa pemandu di lorong utama brek, maka aliran trafik lebih lancar, pemandu di sekeliling juga akan lebih tenteram maka semua orang gembira.

Keyakinan untuk memotong juga meningkat, seperti semasa kami di laluan berliku dan berselekoh di Janda Baik. Tork yang tinggi memudahkan kereta keluar dan memecut, maka proses memotong di jalan sempit mengambil masa kurang 10 saat.

Volvo XC40 pada asalnya sudahpun cukup selesa tetapi dengan versi Recharge EV ini, tiada gegaran enjin maka tahap NVH (noise, vibration dan harshness) adalah lebih rendah. Pemanduan jarak jauh pasti lebih nyaman untuk semua.

Cuma disebabkan XC40 Recharge EV ini kira-kira 440kg lebih berat dari versi petrol, penyelenggaraan komponen getah pasti meningkat seperti bushing pada suspensi dan terutamanya tayar. Kenderaan lebih berat bermakna tayarnya lebih cepat haus.

Ya, sememangmanya penyelenggaraan di bahagian lain terutamanya sistem janaan jauh lebih rendah dalam kenderaan EV kerana kurangnya komponen bergerak seperti dalam enjin.

Pemanduan satu-pedal

Satu perkara menarik dengan kereta elektrik ialah anda boleh melakukan pemanduan satu-pedal. Bergantung kepada tetapan dan mod, kereta elektrik mempunyai fungsi regenerative dimana daya kinetik atau haba boleh ditukar semula kepada tenaga elektrik untuk disimpan ke dalam bateri.

Bila diaktifkan, fungsi regenerative akan membantu memperlahankan kenderaan tanpa perlu menggunakan brek kaki.

Tetapi dengan Volvo XC40 Recharge EV ini, sensasi regenerative padanya adalah paling ketara dan paling kuat paling saya pernah rasa sepanjang pengalaman saya bersama kenderaan elektrik hinggakan hampir tidak perlu langsung menekan pedal brek.

Malah, semasa turun dari Genting Highlands selepas makan tengahari di Janda Baik, rasanya kurang dari lima kali saya menekan pedal brek! Ya benar, untuk memasuki selekoh sambil menuruni bukit, jarang perlu menekan brek.

Bagaimana?

Mod pemanduan satu-pedal ini aktif secara default dalam XC40 (anda boleh padamkannya jika mahu) dan jika pada kelajuan 90km/j misalnya dan anda mahu memperlahankan kenderaan, anda tidak perlu mengangkat kaki sepenuhnya dari pedal ‘minyak’.

Apa yang perlu dilakukan ialah angkat kaki mungkin suku sahaja, dan ia sudah cukup untuk memperlahankan kenderaan secara berkadar, dan lampu brek sudahpun menyala.

Mengangkat kaki kanan sepenuhnya dari pedal pendikit akan menyebabkan XC40 ini seolah-olah membrek dengan agak mengejut, malah cukup kuat untuk membrek susur keluar dari jalan utama dan memasuki simpang.

Jadi anda mengawal daya ‘brek’ Volvo XC40 Recharge EV ini dengan melaras input pada pedal pendikit minyak, masuk akal?

Ianya satu pengalaman dan sensasi unik, ada beberapa rakan media tidak menyukainya. Saya secara peribadi lebih gemar pemanduan satu-pedal ini mungkin kerana saya memandu kereta dengan transmisi manual, saya kurang gemar kereta coasting atau meluncur ‘kosong’ seperti tiada gear.

Jadi dengan pemanduan satu-pedal seolah-olah ada rasa dan kesan brek enjin.

Kerisauan jarak pemanduan?

Baik, satu lagi perkara utama memandu kereta elektrik ialah range anxiety, risau adakah bekalan kuasa cukup hingga sampai ke destinasi.

Jika perjalanan harian ke tempat kerja mungkin tidak menjadi isu, tetapi jika bercuti hujung minggu atau pulang ke kampung, pasti akan timbul perasaan ini.

Volvo XC40 Recharge EV dengan bateri 78kWh menawarkan jarak pemanduan sehingga 418km. Perjalanan kami pada hari itu sebenarnya kira-kira separuh sahaja dari jangkauannya.

Tetapi walaupun memandu dengan tidak berhati-hati dan ada beberapa kali menekan pendikit rapat ke lantai (untuk menguji pecutan dan merasai torknya), saya masih dapat pulang ke the Saujana dengan bateri berbaki lebih 40 peratus.

Dari pemanduan singkat sehari ini, saya boleh simpulkan bahawa XC40 ini cukup cekap penggunaan kuasanya dan saya yakin boleh mendapat lebih 418km dengan cara memandu dan pengurusan tenaga yang betul.

Paling menarik, integrase Google Maps dalam sistem infotainmen XC40 ini membolehkannya memaparkan bukan sahaja lokasi-lokasi pengecaj berdekatan, tetapi juga anggaran peratusan bateri yang tinggal semasa anda sampai ke destinasi.

Ini sememangnya satu fungsi yang sangat berguna dalam pemanduan seharian XC40 Recharge EV ini.

Kesimpulan

Adakah saya akan beli Volvo XC40 Recharge EV ini? Jika saya berada dalam pasaran untuk mencari SUV berharga antara RM250,000 hingga RM300,000, saya akan memilih versi EV ini.

Jika dulu mungkin agak keberatan, setelah merasainya dan menilai praktikaliti XC40 ini, saya rasa SUV EV sesuatu yang sangat dekat dengan kita lebih dari kita menyedarinya. Yang penting kita ada pengecaj pantas DC di rumah.

Oh ya, kenderaan petrol biasa sekarang dengan kecekapan anggaran 12km/liter dan harga semasa RON95 pada RM2.05 seliter akan memerlukan 33.33 liter atau RM68.33 untuk jarak pemanduan 400km.

Tetapi bagi Volvo XC40 Recharge EV ini dengan kadar bil elektrik semasa 37.45 sen untuk setiap 1kWh akan memerlukan hanya RM29.21 untuk ‘isian penuh’ 78kWh dan memperoleh 418km.

Amacam?

Spesifikasi Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8

Harga: RM262,459.75
Kapasiti bateri: 78kWh
Kuasa: 300kW (402hp)
Tork: 660Nm

Toyota Harrier yang terlebih muda, terlebih berani – Pandu uji

JIKA anda membesar sebagai remaja pada awal 2000-an, anda pasti perasan kelibat Toyota Harrier yang biasa dipandu pegawai tinggi kerajaan, guru besar, golongan pencen, dan kontraktor.

Cukup mewah, ibarat Toyota Vellfire atau Mercedes C-Class untuk hari ini. Memang sesuai dengan imej pemilik-pemiliknya pada masa itu.

Tetapi kini, cuba anda lihat rupa Toyota Harrier terbaharu ini, sangat berbeza, bukan? Ya, mirip rupa SUV mewah Eropah.

Selain disebabkan ianya lebih baharu, Harrier ini juga terkena ‘tempias’ Toyota Gazoo Racing iaitu falsafah atau semangat yang menjadikan kenderaan-kenderaan Toyota kini lebih mengujakan untuk dipandu.

Mari kita lihatkan beberapa perkara penting yang penulis pelajari atau alami dengan pandu uji Toyota Harrier ini.

1. Harga premium

Sesuai dengan statusnya, Toyota Harrier ini berharga sedikit sahaja di bawah RM250k, iaitu lebih tepat lagi RM249,707. Ini boleh dikatakan harga paling tinggi untuk SUV Toyota di Malaysia sebelum melangkah ke Lexus.

Cuma untuk sebuah Toyota, mungkin ada yang mempertikai harga ini sedikit ‘keras’, lebih-lebih lagi bila anda sudah boleh mendapat sebuah BMW 3-Series G20 320i atau 330e.

Untuk SUV pula, pada harga ini juga anda boleh melihat kepada Mercedes-Benz GLA atau Volvo XC40, juga pilihan menarik.

Jadi, mengapa kita akan pilih Toyota Harrier? Ini yang kita akan rungkaikan dalam hujah-hujah seterusnya.

2. Gaya berani

Susah untuk menafikan bahawa Toyota Harrier generasi ini nampak begitu berani dan berbeza berbanding kebiasaan.

Malah jika anda pertama kali terlihat Harrier ini tanpa mengetahuinya, pasti anda akan menyangka ia sebuah Porsche atau Jaguar.

Terdapat garisan-garisan dramatik ditarik dari lampu depan, melalui tingkap sisi hingga tiang-C, dan diakhiri di lampu belakang dengan nyalaan memanjang yang berhubung dari kiri hingga ke kanan. Sememangnya memberikan aura berlainan untuk Harrier ini.

Penulis juga sukakan rekaan gril depan bertutup yang mengemaskan lagi gaya luaran Harrier ini.

3. Ciri dan kelengkapan setanding jenama premium Jerman

Toyota Harrier ini dilengkapi dengan pelbagai ciri terkini dan premium sepadan dengan harganya.

Terdapat lampu depan bi-LED matriks yang nipis tetapi berkuasa, tempat duduk kulit cukup mewah dan empuk, bumbung panoramik yang besar, ruang dalaman lapang, dan permukaan yang terasa berkualiti.

Unit infotainmen di tengah papan pemuka ialah skrin melintang bersaiz 8-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, memberikan segala macam fungsi yang anda perlukan dalam sesebuah kenderaan.

Skrin infotainmen ini terletak di atas ruang konsol bersar berbentuk berlian yang menjadi sempadan kedua-dua tempat duduk depan. Rekaan ini cukup kemas dan mewah.

Boleh dikatakan keseluruhan ruang kabin terasa hampir seperti sebuah Lexus. Eh, tapi memang dari segi harga, ia hampir kepada Lexus.

Harrier merupakan SUV Toyota dengan harga paling tinggi, tambah sedikit sahaja dan anda akan terus memasuki ‘wilayah’ Lexus.

Tidak dilupakan, penulis cukup sukakan pendingin hawa Harrier ini yang turut dilengkapi sistem Nanoe X yang akan menapis udara luar, memberikan hanya udara bersih dan nyaman untuk memasuki ruang kabin. Penting untuk situasi pandemik hari ini.

4. Faktor ‘wow’

Dah cukup mewah? Nanti dulu, ada lagi…

Toyota Harrier hadir dengan beberapa ‘party trick’ yang boleh membuatkan rakan anda yang menumpang berkata, “Pergh, boleh tahan…”.

Pertama, terdapat bumbung panoramik kaca yang boleh dimalapkan. Dengan hanya menekan satu butang, cermin elektrokromik ini boleh bertukar daripada cerah jernih kepada kesan ‘tinted’ untuk menapis sinaran matahari.

Ini merupakan ciri yang biasanya ada pada kereta ultra-mewah seperti Rolls-Royce yang berharga jutaan ringgit. Cuma penulis terdetik di dalam hati kos untuk membaiki atau menggantikan cermin ini suatu hari nanti, pasti agak ‘keras’.

Satu lagi ciri ialah cermin pandang belakang digital. Dari cermin biasa, anda boleh tukarkannya menjadi paparan digital yang memaparkan rakaman secara langsung dari kamera di cermin belakang luar kenderaan.

Bila benda ini berguna? Semasa bawa penuh penumpang atau barangan di ruang kargo dan pandangan cermin terhalang, anda boleh guna mod digital ini untuk paparan tanpa gangguan. Ianya tidak terlalu janggal dan agak ‘natural’.

Dan walaupun kadang-kadang ada party trick pada kereta-kereta lain yang lebih kepada gimik, dua teknologi pada Harrier ini nampaknya lebih praktikal dan tidak membosankan untuk digunakan.

5. Pemanduan nyaman selesa

Baik, Toyota Harrier dikuasakan oleh enjin 2.0-liter 4-silinder naturally-aspirated yang mampu menjana 173hp dan 203Nm tork. Tetapi unit M20A-FKS ini sebenarnya satu ‘downgrade’ dari segi kuasa kerana Harrier generasi sebelum ini mendapat enjin turbo dengan output 231hp/350Nm.

Agak banyak berbeza di situ. Tetapi adakah ini benar-benar suatu perkara kurang baik?

Jika angka semata-mata penting untuk anda, maka Toyota Harrier ini mungkin bukan untuk anda.

Tetapi kadang-kala sesuatu kereta – atau apa-apa produk – bukan berkisar mengenai angka semata-mata. Lebih dari itu.

Harus diketahui, Toyota Harrier generasi keempat ini dibina pada pelantar TNGA-K yang juga dikongsi dengan Camry, RAV4, serta Lexus ES dan NX.

Jadi ini memberikan suatu platform cukup teguh bagi memberikan Toyota Harrier ini pemanduan yang mantap dan memuaskan.

Pengalaman pemanduan Harrier ini sangat menyelesakan dengan kabin yang senyap dan mewah, tetapi pada masa yang sama, anda dapat rasakan yang casisnya sebenarnya ‘bersedia’ memberi kestabilan untuk dipandu laju sama ada di jalan lurus atau berselekoh.

Cuma hadnya di sini adalah dari segi ‘powertrain’ iaitu enjin dan kotak gear yang seakan tidak begitu selesa diasak secara agresif.  Enjin dan kotak gearnya seolah-olah lebih selesa apabila anda ‘melayannya’ dengan lembut.

Pandu secara bersahaja, ‘taking our time’ untuk ke tempat kerja atau minum-minum dengan kawan, dan anda akan rasa Toyota Harrier ini cukup sempurna. Di lebuhraya pun sebenarnya boleh dipandu laju, malah selesa meluncur pada 150-160 km/j, cuma kelajuan itu dicapai dengan penuh sabar dan tidak terburu-buru.

Hasilnya bukan sahaja semua orang selesa, malah penggunaan bahan api juga agak baik untuk kenderaan sebesar ini.

6. Ada keburukan?

Ya, ada sedikit. Tiada kereta yang sempurna, bukan?

Pertamanya, but Toyota Harrier ini – pada 396 liter – adalah terlalu kecil untuk SUV sebegini. Sebagai perbandingan, Perodua Bezza yang merupakan sedan segmen-A pun mempunyai but bersaiz 500 liter.

Apa pun, lantai but Harrier ini agak tinggi dan rata, jadi mudah untuk memasukkan atau mengeluarkan barangan berat.

Keduanya, enjin Harrier ini dengan 173hp boleh dikira agak ‘lemau’, tetapi kotak gear CVT Direct Shift ini sekurang-kurangnya menutup kelemahan enjin dengan memberikan output yang optimum setiap masa tanpa perlu enjin bekerja keras.

Lagipun, siapa yang membeli Toyota Harrier untuk dipandu laju, bukan? Jika mahu laju, lebih baik anda pergi ke BMW X3 atau lebih baik lagi, Porsche Macan.

Sebagai kesimpulan, penulis rasakan Toyota Harrier generasi keempat ini masih mempunyai resepi klasik sebuah Harrier yang kita kenali, dengan sedikit elemen sporti dan bergaya.

Spesifikasi Toyota Harrier 2.0 Luxury

Harga: RM249,707
Enjin: 2.0-liter 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: CVT Direct Shift
Kuasa: 173hp @ 6,600rpm
Tork: 203Nm @ 4,400rpm

Suzuki Swift Sport: Hot hatch yang jujur! – Pandu uji

ADA perkara menggembirakan dan mengecewakan dengan Suuzki Swift Sport baharu ini. Yang menggembirakan ialah akhirnya Suzuki kembali ke Malaysia membawakan model-model terkini.

Yang mengecewakan pula ialah Swift Sport ZC33S ini tidak ditawarkan dengan pilihan manual 6-kelajuan, sebaliknya ‘hanya’ automatik 6-kelajuan.

Nanti dulu, sebelum anda semua serang penulis dengan alasan kaki lenguh, ‘traffic jam’ dan lelaki moden, harus diingat kereta sebegini lebih elok dinikmati dengan kotak gear yang betul. Hanya kerana ada pilihan automatik, tidak bermakna kita harus pilih yang itu.

Jika ada menu roti canai dengan sebuk Lotus Biscoff, tidak bermakna itu pilihan yang betul, bukan? Roti canai sedap dimakan dengan dhal dan kari sahaja. Sama lah juga dengan Swift Sport ini…

Baik, cukup merungut. Sekarang kita sudah ada unit pandu uji Swift Sport ZC33S, mari kita lihatkan mantap atau tidak hot hatch terbaharu Jepun ini.

Rupa lebih moden tapi kekalkan elemen SSS

Dapat dilihat bahawa Suzuki Swift Sport baharu mempunyai rupa lebih tajam dan agresif berbanding kereta generasi sebelumnya. Pada sesetengah bahagian seperti tiang-C dan lampu belakang juga nampak lebib premium, hampir seperti MINI Cooper S.

Pada masa yang sama, ia tetap mengekalkan ciri-ciri dan elemen dari Swift generasi sebelumnya, ini yang penulis suka. Sebagai contoh, bentuk lengkungan lampu depan yang naik hampir ke atas hud serta tiang-A yang dicat hitam memberikan kesan rupa ‘bumbung terapung’.

Jika tiada logo Suzuki pun rasanya orang boleh kenal ini sebuah Swift.

Cukup luas dan praktikal

Melihat kepada lengkuk pada ‘bahu’ kereta iaitu dari sisi pintu naik ke cermin, ia memberikan gambaran badan yang lebar tetapi ruang kabin agak kecil.

Sebenarnya, ruang dalam Suzuki Swift Sport ini tetap luas dari yang disangkakan, inilah magik pengeluar kereta Jepun. Mereka pandai mencipta ruang yang lapang tanpa mengorbankan rupa luaran.

Cuma mungkin pandangan untuk penumpang belakang terhalang sedikit oleh tempat duduk depan yang besar dan sporti. Mujurlah siling kereta berwarna cerah, jika berwarna hitam pasti memburukkan keadaan.

Untuk kabin depan, boleh dikatakan masih banyak plastik-plastik berkos rendah, senang cerita bahagian papan pemuka ini biasa-biasa sahaja. Tiada yang terlalu wow atau hebat walaupun kereta ini berharga kira-kira RM140,000.

Tapi harus diingat, anda bukan bayar Suzuki Swift Sport ini untuk ruang dalaman yang premium dan mewah. Jika ini yang anda cari, maka Swift Sport ini bukan untuk anda.

Berkuasa tapi jimat

Suzuki Swift Sport kali ini ditawarkan dengan enjin turbo buat kali pertama, dan sesaran diturunkan dari 1.6-liter sebelum ini kepada 1.4-liter. Enjin 1.4 BoosterJet ini menjana 140hp pada 5,500rpm dan 230Nm tork pada 2,500rpm.

Cukup atau tidak? Harus diketahui bahawa kereta ini hanya seberat 970kg, tidak sampai satu tan. Bayangkan berat sama seperti Myvi, tapi dengan 50 peratus lebih kuasa dan hampir dua kali ganda tork. Dapat bayangkan?

Penulis harus katakan tiada langsung ‘turbo lag’ pada enjin ini, ia cukup responsif. Tekan sahaja bila-bila masa, ada kuasa dan kereta terus melonjak ke depan.

Baik, kotak gear pula. Walaupun bukan manual seperti yang diharapkan, sebenarnya unit torque converter 6-kelajuan ini cukup bagus dan bijak. Ia memberikan gear yang tepat setiap masa sama ada anda memandu santai ke kedai runcit atau melayan selekoh di Ulu Yam pada pagi Ahad.

Penulis berani katakan yang kotak gear ini adalah yang terbaik dalam paras harga bawah RM150,000.

Oh ya, tiada sebarang mod Normal, Comfort atau Sport. Sebaliknya kaki anda jadi penentu. Tekan secara agresif, dia akan berikan prestasi. Tetapi ringankan kaki, dia akan beri anda keselesaan dan penjimatan.

Ya, walaupun sebuah hatchback prestasi, enjin BoosterJet ini cukup menjimatkan. Tangki 37 liter ini dengan mudah memberikan anda 450 hingga 500 kilometer.

Pengendalian jujur

Mengapa penulis kata pengendalian Swift Sport ini jujur? Dua sebab. Pertama, sterengnya begitu tepat dan banyak maklum balas, antara stereng paling responsif pernah penulis rasa dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini.

Sungguh lazat mengambil selekoh dengan stereng Swift Sport ini kerana kita akan rasa mempunyai banyak kawalan ke atasnya. Malah anda pandu kereta ini pada kelajuan 30km/j pun boleh rasa yang stereng ini bukan calang-calang.

Kedua, seperti dinyatakan tadi, tiada sebarang mod pemanduan. Jadi, kereta ini jujur dan patuh sahaja kepada sebarang arahan pemandunya. Dia boleh menjadi kenderaan selesa, dan juga boleh menjadi jentera track day.

Padanan sistem suspensi dan tayar Yokohama Advan A13 juga memberikan keseimbangan untuk semua kegunaan, membolehkan Swift Sport ini mengambil selekoh pada kelajuan tinggi tanpa sebarang drama.

Hanya untuk yang tegar

Untuk siapa Suzuki Swift Sport ini? Hanya untuk yang tegar. Kerana pada harga sekitar RM140,000, anda boleh dapat SUV segmen-B seperti Honda HR-V, Toyota Corolla Cross, malah Proton X70 yang lebih besar.

Tetapi yang memilih Swift Sport ini tidak meletakkan ruang kargo sebagai keutamaan, tetapi menghargai nikmat dan keseronokan pemanduan. Dan pasti juga dia berjaya pujuk orang rumahnya untuk kereta ini.

Dan mungkin juga sesuai untuk mereka yang bujang dan mahukan sesuatu yang seronok dipandu, tidak mahu terlalu sama dengan orang lain. Penulis gerenti Swift Sport ini boleh tapau Honda Civic yang lebih berkuasa.

Tiada kekurangan?

Kekurangan? Mestilah ada, walaupun tak banyak. Baik, selain dari ketiadaan kotak gear manual untuk pasaran Malaysia, Swift Sport ini bagi penulis terlalu senyap bunyinya.

Mungkin Suzuki mahu capai penjimatan atau menepati piawaian-piawaian tertentu, tetapi kalau ekzosnya berbunyi lebih garang dan ada meletup-letup sedikit, kira sempurna dah kereta ni.

Spesifikasi Suzuki Swift Sport

Harga: RM139,900
Enjin: 1.4-liter BoosterJet turbo
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan
Kuasa: 140hp @ 5,500rpm
Tork: 230Nm @ 2,500rpm
Pecutan 0-100km/j: 8.0 saat

Pandu uji: JMC Vigus Pro sebuah trak pikap harga bawah RM100k, berbaloi?

KALAU dilihat di Malaysia, trak pikap paling laris bukanlah yang paling murah. Tapi, bagaimana jika ada satu trak pikap yang mempunyai cukup, dengan harga lebih rendah dari pesaing lain?

Perkenalkan JMC Vigus Pro, sebuah pesaing terbaharu dalam segmen trak pikap. Ia sebuah jenama dari China dan dibawa masuk oleh Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM) yang dilantik oleh JMC (Jiangling Motors Co., Ltd).

JMC Vigus Pro hadir dengan satu varian sahaja iaitu 2.0 TDCi 4×4, berharga RM98,888 untuk Semenanjung Malaysia dan RM100,888 untuk Sabah dan Sarawak.

Tanggapan awal

Jadi kami memandu uji Vigus Pro ini selama dua hari dan dari tanggapan awal, ia nampak okay. Tidak begitu ‘wow’ tetapi tidak pula begitu teruk. Penampilannya nampak cukup rugged dan bergaya, serta ruang kabinnya selesa.

Cuma ada beberapa perkara yang janggal di dalam JMC Vigus Pro ini, iaitu ciri yang dirasakan perlu, tiada di sini. Tetapi ciri yang mungkin tidak begitu penting, ada pula.

Sebagai contoh, Vigus Pro ini masih menggunakan pemulas kunci untuk menghidupkan enjinnya. Ya, kenderaan tahun 2021/2022 masih dengan kunci seperti kereta 90-an. Tiada butang penghidup enjin.

Begitu juga lampu depan, masih menggunakan halogen reflektor. Kami ingatkan Proton Saga sahaja yang masih menggunakan lampu sebegini, rupanya jenama luar negara pun ada. Jika dilihat pesaingnya yang lain semua sudah menggunakan LED sebagai standard, malah ada yang bi-LED.

Tetapi bab lampu ini tidaklah begitu kritikal berbanding kunci tadi.

Kemudian ada pula ciri yang tidak begitu penting pada Vigus Pro ini, contohnya tombol gear elektronik. Ia menggunakan tombol gear sama dengan Peugeot 3008 dan sistem sebegini adalah yang pertama dalam segmen trak pikap di Malaysia.

Tidak begitu penting, bukan?

Pemanduan

Dari segi pemanduan sebenarnya agak bagus. JMC Vigus Pro menggunakan enjin dan kotak gear dari jenama global yang sudah terbukti.

Unit 2.0-liter turbodiesel VGT adalah dari Ford, ia menjana 141hp dan 340Nm tork. Angkanya mungkin tidak seberapa tetapi sebagai balasan, anda dapat penggunaan bahan api terendah.

Menurut JMC, trak ini mempunyai penjimatan bahan api terbaik dalam kelasnya, iaitu pada 7.8 liter setiap 100km atau 12.8km/liter.

Kotak gear juga bukan calang-calang, iaitu automatik 8-kelajuan ZF dan sistem pacuan semua-roda dari BorgWarner lengkap dengan mod 2H, 4H dan 4L.

Misi khas bersama JMC Vigus Pro

Pasukan Engear baru-baru ini menggunakan JMC Vigus Pro untuk menjadi peneman misi khas kami iaitu menghantar sedikit sumbangan kepada golongan gelandangan di sekitar ibu kota.

Jemput saksikan video misi kami sambil review di bawah:

5 pandu uji pilihan Engear sepanjang 2021

JIKA semalam kami ada tulis senarai pelancaran pilihan sepanjang tahun, kali ini Amirul mahu berkongsi lima pandu uji paling bermakna untuk 2021.

Ayat romantik? Bukanlah… Paling bermakna di sini mungkin bermaksud pandu uji itu sangat unik dan istimewa yang mungkin akan diingati untuk satu tempoh yang lama.

Tidak semestinya kereta itu berharga RM1.1 juta atau berkuasa 650hp, pandu kereta biasa pergi adventure bersama kawan pun boleh jadi bermakna.

Tanpa berlengah lagi, jom tengok kereta pertama!

1. Perodua Ativa

Ini bukan sahaja penting untuk Perodua, tetapi Ativa akan diingati kerana ia membawakan satu pakej yang jauh maju ke depan dari model-model lain pengeluar itu.

Dengan enjin turbo pertama, kotak gear D-CVT, padat dengan teknologi dan ciri keselamatan, serta rupa yang cukup moden dan bergaya membuatkan Amirul hampir menyambar satu. Harga pun boleh tahan.

Perodua Ativa juga mengubah persepsi mengenai kemampuan sebenar pengeluar nasional yang berpangkalan di Rawang itu, membuatkan kami tidak sabar menunggu produk mereka yang akan datang.

2. Suzuki Swift Sport

Suzuki Swift Sport ini ada yang menepati jangkaan, ada yang di luar jangkaan penulis. Yang menepati jangkaan ialah betapa luasnya kabin walaupun sebuah hatchback sporti dan betapa menjimatkan minyak jika dipandu secara biasa.

Tetapi yang di luar jangkaan ialah betapa selesa kereta ini walaupun mempunyai pengendalian mantap, serta betapa lazatnya stereng Swift Sport ini. Sterengnya cukup tepat dan responsif lalu menyumbang kepada keseluruhan kepuasan pemanduan.

Bukan kuasa dan pecutan semata-mata, tetapi maklumbalas dan feel stereng juga penting untuk kereta sebegini. Suzuki Swift Sport membuktikan anda tidak semestinya perlu kuasa 300-400hp untuk berseronok.

3. Porsche Taycan

Kereta ketiga ini sedikit istimewa, kerana ianya elektrik sepenuhnya (EV) iaitu Porsche Taycan. Lebih istimewa lagi, kami dapat memandunya di Litar Antarabangsa Sepang, tempat paling sesuai untuk meneroka kebolehan sebenar kereta ini.

Semua varian telah kami uji di Sepang, dari Taycan 4S, Taycan Turbo hingga yang paling berkuasa, Taycan Turbo S. Dengan dua motor elektrik berkuasa tinggi di gandar depan dan belakang, Porsche Taycan menjanjikan pecutan 0 ke 100km/j dengan kepantasan sebuah supercar, kira-kira 3 hingga 4 saat sahaja.

Pemanduannya juga cukup solid seperti sebuah Porsche biasa 911 atau Cayman, dapat menakluki selekoh-selekoh di litar Sepang dengan cukup meyakinkan dan selamba. Kira tak segan lah kalau parkir Porsche Taycan ini di acara track day bersebelahan dengan Mitsubishi Evo, Ferrari 458 atau Mercedes-AMG C63.

Dalam acara sama pemanduan Taycan, Amirul juga diberi peluang memandu 911 GT3 terbaharu. Nikmat enjin NA (naturally-aspirated) tekan hingga 9,000rpm itu lain macam…

4. Land Rover Defender

Amirul tidak pernah memandu Land Rover atau Range Rover terkini sebelum ini. Tetapi pernah memandu Land Rover Defender klasik beberapa tahun lepas.

Jadi, pengalaman pemanduan Land Rover Defender 2021 dikira sangat unik walaupun hanya untuk tempoh masa yang singkat.

Ada yang berkata dengan harga permulaan sekitar RM800,000 dan padat dengan teknologi, ‘sayang’ untuk memandunya di laluan off-road mencabar. Tetapi harus diingat, semua Land Rover direka untuk mampu mengharungi laluan lasak.

Jadi jika diberi peluang, pasukan Engear akan cuba pandu Defender ini masuk jalan kebun!

5. Toyota Harrier

Amirul jarang sukakan SUV tetapi Toyota Harrier dirasakan wajar tersenarai dalam kompilasi ini. Ya, ia tidak lagi mendapat enjin turbo seperti Harrier generasi sebelum ini, tetapi enjin 2.0-liter NA itu dibantu oleh kotak gear Direct Shift CVT yang menjadikan pemanduannya cukup lancar.

Ditambah pula dengan kabin yang begitu senyap dan mewah, penumpang anda pasti gembira balik kampung dengan Harrier 2021 ini.

Oh ya, rupa luarannya pun kini semakin berani dengan lampu belakang dramatik serta beberapa ciri canggih seperti bumbung suria elektrokromik yang boleh dimalapkan. Menarik.

Penghargaan khas

Izinkan Amirul tambah satu lagi kereta, dikira sebagai penghargaan khas dalam artikel ini. Ya, Toyota GR Yaris! Mana boleh lupa kereta paling istimewa yang dipandu sepanjang tahun 2021.

Silap-silap GR Yaris ini boleh jadi kereta paling istimewa dipandu sepanjang masa.

Kenapa? Terlalu banyak sebab. Antaranya, ia direka hasil dari homologasi khas untuk menyertai kejuaraan rali WRC (World Rally Championship), ia mendapat enjin 3-silinder paling berkuasa di dunia, dan banyak komponen unik padanya tidak dikongsi dengan model-model Toyota lain.

GR Yaris juga satu-satunya kereta pandu uji dengan transmisi manual yang dipandu sepanjang 2021. Dan paling Amirul suka, mod pemanduan Normal, Sport dan Track yang bukan melaras respon enjin, sebaliknya mengawal agihan kuasa pada gandar depan dan belakang.

Sekian sahaja beberapa artikel kompilasi hujung tahun, anda boleh baca artikel lain di sini.

Selamat Tahun Baharu 2022 dan jumpa lagi!

Land Rover Defender 2021: Masih berjiwa lasak atau dah jadi mainan mahal? – pandu uji

WALAUPUN Land Rover Defender tidaklah begitu dikenali pada orang kebiasaan, tetapi harus kita sedar kenderaan utiliti ini sebenarnya agak sinonim dengan negara Malaysia.

Selama hampir 70 tahun, Defender telah digunakan secara meluas di Malaysia – pernah dijadikan ambulans, kenderaan tunda, bomba, dan tugas-tugas lain oleh pelbagai agensi. Kereta perisai pun ada!

Buat anda yang nakal-nakal tu mungkin pernah ‘diangkut’ menaiki Defender ke balai polis. Boleh dikatakan Land Rover Defender menjadi tulang belakang untuk pembangunan negara kita.

Tetapi itu dulu. Beberapa bulan lepas, Land Rover Defender serba baharu telah dilancarkan di Malaysia.

Ikon British ini telah dirombak sepenuhnya. Ia mendapat platform baharu, rupa lebih moden, pilihan enjin yang cekap dan pelbagai teknologi terkini.

Baru-baru ini kami berpeluang melihat dengan lebih dekat Defender baharu ini dan berpeluang memandu uji varian 110 P300.

Tanggapan pertama penulis ialah walaupun mendapat rupa moden yang dirombak sepenuhnya, masih terdapat banyak ciri-ciri tradisional sebuah Defender. Contohnya tulisan “DEFENDER” di atas hud depan, tingkap Alpine Lights dan tayar ganti di luar pintu kargo belakang.

Cuma persoalannya adakah Defender baharu ini kekal utiliti untuk kegunaan kerja-kerja seperti dulu, atau sudah menjadi kenderaan ‘gaya hidup’ untuk dibawa minum kopi hujung minggu di Publika?

Dalam masa pandu uji singkat ini, kami ingin ketengahkan tiga teknologi menarik pada Land Rover Defender 110 P300 ini.

1. 3D Surround Camera

Fungsi ini membolehkan anda melihat sekeliling kereta bukan sahaja dari kamera 360-darjah seperti biasa, sebaliknya anda mendapat gambaran kenderaan dari ‘bird’s eye view’ seolah-olah ada kamera dron terbang di luar kereta.

Ya, ciri sama seperti pada Proton X70.

Imej ini dipaparkan jelas pada skrin resolusi tinggi pada unit infotainmen dan pastinya berguna untuk memandu atau memarkir Defender ini di kawasan sempit.

2. Terrain Response – Wade Program

Seterusnya ialah Wade Program. Ini merupakan mod terbaharu dalam fungsi Terrain Response. Seperti pada namanya, Wade Program boleh digunakan untuk meranduk air dengan kedalaman sehingga 900mm.

Dalam mod pertama, suspensi udara pada Defender ini akan menambah ketinggian kenderaan sebanyak 75mm. Kemudian jika anda perlu melalui laluan lebih mencabar, mod kedua akan menaikkan kenderaan sebanyak 70mm lagi.

3. ClearSight Ground View

Akhir sekali ialah ClearSight Ground View yang unik pada kenderaan Land Rover. Menggunakan kamera di bawah ruang enjin, ia akan memaparkan rakaman seolah-olah enjin menjadi lutsinar dengan dua tayar depan kiri dan kanan ‘berdiri sendiri’.

Ini pastinya sangat berguna apabila melalui permukaan tidak rata seperti di atas batu atau tanah. Anda boleh memposisikan kenderaan dengan tepat sekiranya perlu melalui jalan sempit seperti jambatan atau titi.

Jemput tonton video di bawah untuk gambaran dan penerangan lebih jelas.

Spesifikasi Land Rover Defender 110 P300

Harga: Bermula RM798,800
Enjin: 2.0-liter Ingenium turbo petrol
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 300PS @ 5,500rpm
Tork: 400Nm @ 1,500 hingga 4,000rpm
Pecutan 0-100km/j: 8.1 saat

Mitsubishi tawar uji kenderaan tanpa pengiring untuk pelanggan Lembah Klang

PARA pelanggan menetap sekitar Lembah Klang berpeluang menguji kenderaan Mitsubishi tanpa diiringi konsultan jualan.

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) berkata, ini kerana terdapat banyak permintaan daripada pelanggan untuk memandu uji kenderaan terutama model Triton Athlete dan XPander.

Pelanggan berminat memandu uji boleh melayari laman web rasmi MMM dan menghantar permohonan untuk sesi pandu uji.

Kakitangan MMM kemudian akan menghubungi pelanggan terbabit untuk pengesahan dan menghantar kenderaan pandu uji ke lokasi terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif MMM Shinya Ikeda berkata, pandemik Covid-19 telah merubah gaya perniagaan dan pihaknya akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Kami melihat peluang ini untuk meningkatkan pengalaman dan kemudahan para pelanggan.

“Caranya mudah, dengan mengisi borang jadual temujanji dengan pengedar bertauliah malahan, kami akan menguruskan semua proses termasuk penghantaran,” katanya.

Bagaimanapun, para pelanggan boleh memilih sama ada ingin diiringi konsultan jualan atau sebaliknya.

Terdahulu, MMM memberitahu para pelanggan tidak perlu bimbang dengan tahap kebersihan kenderaan kerana proses sanitasi akan dilakukan oleh petugasnya.

Setiap pelanggan hanya diberi masa sejam untuk memandu uji sebelum mengembalikannya ke lokasi asal.