Tag Archives: panggil semula

JPJ umum kempen panggil semula, 41 ribu kenderaan terbabit

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini mengumumkan kempen panggil semula melibatkan 41,688 unit kenderaan.

Dalam siaran media yang diterbitkan, aktiviti ini bertujuan untuk memeriksa kenderaan yang terlibat disebabkan oleh kecacatan pada struktur, peralatan atau sistem pada kenderaan tersebut, selain mengelakkan berlakunya kemalangan.

Menurut JPJ, setiap pemilik yang terlibat akan dihubungi oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing untuk menentukan slot pemeriksaan.

Mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dan kos penggantikan akan ditanggung oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing.

Pihak JPJ juga akan memantau pelaksanaan kempen panggil semula ini untuk memastikan kesemua unit kenderaan yang terlibat disahkan selamat.

Senarai kenderaan yang terlibat boleh dirujuk pada galeri dibawah:

 

Isu stereng: Honda Malaysia panggil semula 36,000 Civic, Civic Type R dan CR-V

Honda Malaysia telah mengumumkan kemas kini produk proaktif membabitkan kira-kira 36,000 unit Honda Civic, Civic Type R dan CR-V.

Menurut syarikat itu, aktiviti ini adalah untuk mengemaskini kotak gear Electric Power Steering (EPS).

Roda kotak gear (worm wheel) EPS boleh membengkak dan mengurangkan ketebalan filem gris, menyebabkan bunyi stereng yang tidak normal atau melekit.

Model yang terlibat termasuk Civic tahun 2022-2024, Civic Type-R tahun 2023-2024, dan CR-V tahun 2024.

Honda Malaysia berkata ia memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa model pengeluaran dan jualan semasa yang lain tidak terjejas dalam kemas kini produk ini.

“Syarikat percaya kemas kini produk proaktif ini perlu kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaan Honda Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan, yang akan menyertakan butiran mengenai kemas kini produk.

Honda Malaysia menggesa semua pelanggan yang terlibat dalam kemas kini ini untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat temu janji setelah menerima pemberitahuan. Ini bagi membolehkan kenderaan mereka diperiksa dan/atau dibaiki jika perlu.

Kos pemeriksaan, pembaikan atau penggantian bahagian yang terjejas akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Stok gantian akan tersedia secara berperingkat bermula Disember 2024.

Masalah perisian, 71,956 unit Volvo EX30 dipanggil semula beberapa hari selepas produksi EX90 bermula

Beberapa hari yang lepas, Volvo baharu sahaja memulakan produksi SUV elektrik Volvo EX90 di kilang Charleston, South Carolina.

Produksi SUV elektrik yang paling besar dalam keluarga Volvo itu berdepan isu kelewatan disebabkan oleh masalah berkaitan perisian yang cuba diselesaikan oleh Volvo setelah dua tahun diperkenalkan di peringkat global.

 

 

Ironinya, masalah yang sama kini menjejaskan lebih 70,000 unit SUV elektrik bersaiz paling kecil syarikat itu, Volvo EX30.

Menurut laporan Bloomberg, sebanyak 71,956 unit Volvo EX30 telah dipanggil semula untuk menyelesaikan masalah berkaitan perisian.

 

 

Difahamkan, terdapat kewujudan pepijat komputer yang mengakibatkan paparan meter kelajuan digital pada skrin infohibur tengah 12.3 inci  bertukar kepada mod ‘ujian’ apabila kereta dihidupkan.

Mujur masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah menerusi kemaskini over-the-air yang tidak memerlukan pemilik membawa kereta mereka ke pusat pengedar untuk diperiksa.

 

 

Volvo EX30 secara standard dibekalkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 268 hp/343 Nm, dengan pek bateri 49 kWh (jarak pemanduan 322 km) atau pek bateri 64 kWh yang membenarkan jarak pemanduan sejauh 443 km.

Versi dua motor elektrik pula menawarkan sistem pacuan semua roda, dengan kuasa setinggi 422 hp/543 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat dan jarak gerak sejauh 426 km.

Di Eropah, Volvo EX30 merupakan EV nombor tiga paling laris terjual di belakang Tesla Model Y dan Tesla Model 3.

 

Masalah pedal tersangkut, kira-kira 17,500 Mario Kart dipanggil semula

JAKKS Pacific, pengeluar go-kart kanak-kanak bertemakan Mario Kart telah memanggil semula kira-kira 17,500 unit model Ride-On Racer Car Toys yang dijual sepanjang tempoh Oktober 2022 hingga Januari 2024.

Difahamkan, sejak model Mario Kart itu mula dijual, pihak tersebut telah menerima sebanyak 65 aduan pedal tersangkut, 15 kes kemalangan dan satu kes kecederaan.

Model go-kart yang dimaksudkan itu menggunakan sistem bateri 24 voltan dan mudah untuk dikenali terima kasih kepada liveri bertemakan Mario Kart.

Menurut pengeluar, masalah pedal tersangkut pada model tersebut akan mengakibatkan go-kart itu terus bergerak ke hadapan walaupun selepas pemandu mengalihkan kaki daripada pedal.

Untuk memudahkan urusan, pihak JAKKS Pacific akan menghantar kit pembaikan yang merangkumi segala komponen yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah tersebut di rumah pemilik masing-masing.

JAKKS Pacific juga turut mengingatkan pemilik go-kart elektrik itu supaya mencabut kabel negatif bateri sebelum proses pembaikan diteruskan.

Mario Kart 24V Ride-On Racer Car Toys itu memiliki berat sekitar 28 kg, dimana ia mampu mencapai kelajuan sehingga 12 km/j dengan tiga mod kelajuan dan satu mod mengundur.

Selain itu, go-kart comel itu juga turut dilengkapi dengan sistem runut bunyi enjin, serta muzik tema permainan Mario Kart 8 Deluxe yang boleh dimainkan semasa ia dipandu.

 

Sistem brek bermasalah, Ferrari berdepan tindakan undang-undang di US

Pengeluar kereta pantas Itali, Ferrari berdepan dengan tindakan undang-undang di Amerika Syarikat berhubung kegagalan syarikat itu menangani isu brek bermasalah melibatkan model popular termasuklah 458 dan 488, menurut laporan Road & Track.

Tuntutan undang-undang tersebut difailkan di mahkamah persekutuan San Diego Isnin lalu.

Pada tahun 2021, Ferrari telah mengumumkan kempen panggil semula melibatkan hampir 10,000 unit kereta termasuklah model 458 yang diproduksikan dari 2010 hingga 2015, serta model 488 (2016-2019).

Masalah kebocoran bendalir brek mampu mengakibatkan kehilangan kuasa membrek, dan ia merupakan satu masalah besar terutama bagi mana-mana Ferrari yang mampu mencapai kelajuan melebihi 300 km/j.

Salah seorang mangsa, Iliya Neschev dari California yang memandu sebuah Ferrari 458 2010 yang dibeli tahun 2020 mendakwa beliau berdepan dengan situasi mencemaskan beberapa kali disebabkan oleh kegagalan sistem brek.

Apabila kereta tersebut dibawa ke pengedar Ferrari untuk diperiksa, beliau hanya diberitahu sistem brek kereta tersebut adalah ‘normal’ dan perlu membiasakan diri dengan keadaan tersebut.

Pembekal komponen brek Bosch yang dikatakan bermasalah turut dinamakan dalam tuntutan tersebut.

 

Hyundai lancar kempen recall terbesar di Korea Selatan, libatkan 170 ribu EV

Hyundai Motor Group baru-baru ini melancarkan kempen panggil semula besar-besaran melibatkan beberapa model kenderaan elektrik dari tiga jenama naungannya, berpunca daripada unit kawalan pengecasan bersepadu (ICCU).

Menurut laporan Business Korea, unit ICCU yang bermasalah itu akan mengakibatkan kenderaan hilang kuasa semasa pemanduan.

Kesemua EV yang terjejas merupakan model yang dibina berdasarkan platform E-GMP, termasuklah Hyundai Ioniq 5, Ioniq 6, Genesis GV60 EV, GV70 EV dan G80 EV, serta Kia EV6.

Difahamkan, kempen panggil semula itu terhad untuk 169,932 EV yang dijual di pasaran Korea Selatan.

 

Ia juga dikatakan merupakan kempen panggil semula terbesar melibatkan platform elektrik E-GMP sejak ia dilancarkan pada tahun 2021.

Sementara itu, agensi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) pada Jun 2023 telah membuka siasatan berasingan berhubung masalah yang sama melibatkan komponen ICCU EV Hyundai.

Laporan awal mencadangkan masalah lebihan arus boleh berlaku pada bahagian tersebut, merosakkan transistor dan menghalang bateri 12V daripada dicas.

 

 

Berdasarkan 30 aduan yang diterima, para pemilik di Amerika Syarikat mendakwa mereka mendengar satu bunyi ‘pop’ yang sangat kuat, diikuti dengan paparan mesej amaran pada papan pemuka.

Tatkala sesetengah pemilik hanya mengalami masalah pengurangan kuasa, ada pemilik yang mendakwa EV mereka hilang kuasa secara keseluruhan.

Sekiranya kempen panggil semula ini diperluaskan ke pasaran lain, angka kenderaan yang perlu dipanggil semula dijangka akan mencecah sehingga 500,000 unit.

Kempen panggil pertama buat Tesla Cybertruck, masalah lampu amaran pada skrin terlalu kecil!

Baru beberapa bulan keluar dari kilang, Tesla Cybertruck kini berdepan dengan kempen panggil semula yang pertama.

Menurut agensi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), hampir 2.2 juta kenderaan Tesla yang dibina antara 2012 hingga 2024 dipanggil semula kerana masalah lampu amaran pada skrin papan pemuka yang terlalu kecil.

 

 

“Lampu amaran Brake, Park dan Antilock Brake System (ABS) dipaparkan dengan saiz fon yang tidak sesuai. Oleh sebab itu, kenderaan yang terjejas gagal untuk memenuhi syarat nombor 105 “Hydraulic and Electric Brake System” dan 135, “Light Vehicle Brake System” yang ditetapkan dalam undang-undang Federal Motor Vehicle Safety Standard.

Difahamkan, kempen panggil semula ini melibatkan kesemua 2,193,869 unit Tesla yang dijual di pasaran Amerika Syarikat.

Disebabkan Tesla menggunakan skrin bagi menggantikan meter analog, pemilik tidak perlu membawa kenderaan mereka ke bengkel Tesla, sebaliknya hanya perlu menunggu kemaskini over-the-air (OTA).

 

Recall bagi Nissan X-Trail 2.0L Hybrid untuk isu kabel elektrik

EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) bersama Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn Bhn (TCEAS) mengumumkan kempen recall (panggil semula) bagi model Nissan X-Trail 2.0L Hybrid. Recall ini bertujuan penukaran Engine Room Harness – Hybrid Power Line.

Unit yang terlibat adalah yang dikilangkan dari Jun 2018 hingga Mei 2021 dan pelanggan berkenaan akan dimaklumkan melalui surat, SMS atau Whatsapp. Mereka akan disarankan untuk ke wakil servis terdekat untuk temujanji.

Kenderaan yang dikeluarkan bermula Jun 2021 tidak terlibat dengan kempen ini. Semua kos dan caj melibatkan komponen dan upah di bawah kempen ini akan ditanggung sepenuhnya oleh TCEAS.

Beberapa cawangan pusat servis TCEAS juga akan melanjutkan oeprasi mereka dan dibuka 365 hari setahun bagi memudahkan pelanggan membuat temujanji hari minggu atau semasa cuti umum.

Untuk maklumat lanjut, hubungi hotline di 1-800-88-3838.