Tag Archives: PDRM

Bilangan kenderaan di lebuhraya meningkat, 3.8 juta sejak Rabu lalu

STATISTIK pasukan Polis Diraja Malaysia mendapati terdapat peningkatan bilangan kenderaan di beberapa lebuhraya utama negara.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, lebih 3.8 juta kenderaan telah dicatatkan sejak Rabu.

Peningkatan itu dipercayai ada kaitan dengan kebenaran rentas negeri berkuatkuasa pada 11 Oktober lalu.

Katanya, pihak polis akan terus memantau aliran trafik dan bersedia melakukan tindakan penguatkuasaan lebih ketat.

“JSPT bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya. Tindakan advokasi dan penguatkuasaan akan dilaksanakan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Untuk rekod, Lebuh raya Utara Selatan mencatatkan kehadiran 1,075,408 kenderaan, Lebuh raya KL-Karak (97,758) serta Lebuh raya Pantai Timur Fasa 1 (34,041).

Plaza Tol Gombak menunjukkan peningkatan kenderaan paling mendadak iaitu sebanyak 108 peratus atau bersamaan 57,719 berbanding 27,204 pada Rabu minggu lalu.

Berikut adalah jumlah kenderaan dicatatkan di beberapa plaza tol lebuhraya utama seluruh negara yang lain:

  • Plaza Tol Jalan Duta – 54,733 kenderaan

  • Plaza Tol Sungai Besi – 35,881 kenderaan

  • Plaza Tol Skudai – 18,336 kenderaan

  • Plaza Tol Juru – 39,068 kenderaan

  • Plaza Tol Bentong – 40,039 kenderaan

  • Plaza Tol Karak – 9,561 kenderaan

BMW M3 tular dengan livery polis, kenderaan pengiring VIP terbaharu?

TULAR pagi ini di media sosial dan aplikasi sembang dengan gambar-gambar sebuah BMW M3 G80 yang ‘memakai’ livery atau pelekat seragam polis.

Unit kereta peronda ini dikatakan akan menjadi ahli baharu dalam Polis High Performance dan disokong oleh beberapa unit BMW X3 dan Volkswagen Tiguan.

Menurut rakan media kami di Funtasticko, ura-ura mengatakan kereta peronda Polis High Performance ini bakal menjadi kenderaan pengiring untuk orang-orang kenamaan (VVIP).

Sementara itu, rakan kami di Autobuzz pula berkongsi dua video yang memaparkan sedan sport M3 dan SUV X3 itu sedang dipandu di kawasan tertutup melakukan drifting dan pemanduan prestasi.

Kami syak anggota polis yang akan memandu jentera-jentera ini sedang menjalani latihan pemanduan lanjutan (advanced driving) bagi membolehkan mereka mengendalikan kenderaan sebaiknya.

 

Jika benar, BMW M3, X3 dan Tiguan ini akan menyertai armada kenderaan pengiring polis yang sebelum ini terdiri dari Mitsubishi Lancer Evo X (Skuad Helang PDRM) dan Honda Civic Type-R.

Pada 2019, Civic Type-R telah dihadiahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah oleh pihak Honda Malaysia sebagai meraikan hari keputeraannya.

BMW M3 generasi G80 dikuasakan oleh enjin 3.0-liter 6-silinder twin-turbo yang mampu menghamburkan 480hp dan 550Nm tork.

Output dihantar ke roda belakang dengan transmisi automatik Steptronic 8-kelajuan. Harga asas bagi model ini adalah sekitar RM664,800.

Bikin kecoh guna kenderaan, lima individu dicekup polis di Seremban

ANGKARA membuat bising menggunakan motosikal dan kereta, lima individu ditahan polis menerusi Operasi Ambang Merdeka pada Isnin.

Penahanan dibuat selepas tular rakaman video menunjukkan sekumpulan remaja berkumpul di kawasan Bandar Seremban Selatan.

Memetik Bernama, individu terbabit ditahan pihak berkuasa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

“Lima lelaki berusia 19 hingga 28 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini,” kata Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim.

Aksi lima individu membuat bising pada Isnin lalu tular di media sosial. – Foto tangkap layar media sosial

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua lelaki tersebut negatif dadah.

Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti sekiranya mereka terlibat dalam jenayah.

Motosikal dan kereta digunakan menerusi video tersebut telah disita di bawah Seksyen 60 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kelima-lima suspek pula ditahan di bawah Seksyen 48 (1) APJ 1987 dan turut dikompaun atas kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Justeru, orang awam diingatkan sentiasa mematuhi SOP Covid-19 serta  peraturan jalan raya demi keselamatan bersama.

Kesalahan trafik: Polis boleh dakwa di mahkamah guna bukti video, foto

POLIS boleh menggunakan pendekatan mengumpul bukti melalui gambar dan video untuk tujuan pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan lalu lintas.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias.

Pada masa sama, Azisman menggesa anggota polis berhati-hati ketika menjalankan operasi banteras lumba haram.

Jelasnya, anggota polis turut dinasihatkan tidak berdepan dengan kumpulan lumba haram kerana ia boleh membahayakan keselamatan diri.

“Walaupun polis tidak dapat membuat penahanan pada hari yang sama tetapi bukti-bukti ini boleh digunakan untuk pihak polis melakukan tahanan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Azisman berkata demikian bagi mengulas insiden dua anggota polis maut ketika menjalankan operasi cegah lumba haram di Kajang, Selangor.

Pada Ahad, dua anggota polis terkorban ketika mengejar pelumba haram di kilometer 24.4 Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK) dari arah Kajang ke Putrajaya.

Sarjan Mohd Arifah Md Yasin, 36, dan Konstable Mohd Muradzi Mohd Nawi, 26, meninggal dunia di tempat kejadian.

Terdahulu, Azisman berharap insiden sama tidak berulang kepada mana-mana anggota polis di masa depan.

Pada masa sama, Azisman mengucapkan takziah kepada keluarga anggota terlibat.

“Bagi kes yang berlaku di Kajang, ia adalah kemalangan yang tidak disengajakan dan kami amat terkilan dengan kejadian itu, ” katanya lagi.

Enam individu bayar ‘tiket’ RM4,000 untuk tonton lumba haram di Pekan

ENAM individu terpaksa membayar harga ‘tiket’ mahal apabila dikompaun RM4,000 kerana menonton perlumbaan haram.

Kompaun dikenakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka yang dikompaun berusia antara 20 hingga 31 tahun.

Pihak polis yang membuat rondaan di jalan Kuantan- Segamat di Pekan sekitar jam 12.15 pagi semalam mendapati kesemua mereka melakukan beberapa kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka.

Individu terlibat juga dikatakan berkumpul di luar kereta dan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Kompaun dikenakan mengikut Peraturan 16 (1) Peraturan- peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (P.U (A) 293_2021).

Polis turut menyita dua buah motosikal dan tiga kereta untuk siasatan lanjut.

PDRM terima 400 Toyota GS Cargo, kontijen Selangor dapat paling banyak

POLIS Selangor menerima 35 unit kenderaan baharu pacuan empat roda model Toyota Hilux Single CAB 2.4 jenis GS Cargo (4WD GS Cargo).

Perolehan kenderaan baharu itu bertujuan melancarkan pergerakan anggota polis dalam menjalankan tugas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kenderaan itu mampu memuatkan 10 anggota untuk sekali penugasan.

Tambahnya, Selangor menerima kenderaan baharu terbanyak berbanding kontijen lain seluruh negara.

“Kita buat (perolehan) 400 pacuan empat roda GS Cargo merangkumi semua kontinjen.

“Untuk kontinjen Selangor kita bekalkan lebih sebanyak 35 buah kerana ia kontinjen yang besar dan mempunyai daerah yang banyak.

“Dalam tempoh dua minggu lagi insya-Allah serahan kenderaan pacuan empat roda GS Cargo ini akan dilakukan di Kontinjen Kuala Lumpur,” katanya.

Datuk Seri Mazlan Lazim ketika dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 25 Jun lalu. – Foto ihsan Malay Mail

Mazlan ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Terdahulu, Mazlan berkata kenderaan baharu itu sesuai bagi pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) dan light strike force (LSF).

Kontinjen Selangor telah menerima agihan 37 kenderaan bagi 2020 dan 2021 untuk kegunaan di IPD serta balai-balai polis.

Antara kenderaan terbabit termasuk 18 lori model Hino, tiga pacuan empat roda Toyota Hilux D/C 2.8 Black EDI dan dua Mitsubishi Triton 2.4 VG Premium.

Pesalah trafik Singapura diburu, berhutang RM30 juta dengan PDRM

JUMLAH hutang saman lalu lintas membabitkan rakyat Singapura di negara ini mencapai satu angka yang amat membimbangkan.

Laporan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan terdapat lebih RM30 juta jumlah saman keseluruhan yang masih tertunggak.

Setakat tahun 2016 sehingga Mac tahun ini, terdapat lebih 108,798 saman dikeluarkan PDRM terhadap pesalah lalu lintas warga Singapura.

Antara kesalahan utama dilakukan warga Singapura adalah memandu melebihi had kelajuan dibenarkan.

Menurut rekod, terdapat lebih 7,371 kesalahan memandu melebihi had laju, bersamaan 5.1 peratus daripada jumlah keseluruhan saman.

Sebanyak 3,950 saman dikeluarkan bagi kesalahan memotong barisan dan diikuti tidak mematuhi papan tanda trafik (1,309 saman).

Selain itu, 1,309 saman juga dicatatkan bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan 761 melanggar lampu isyarat merah.

Peruntukan undang-undang menetapkan PDRM boleh menahan pesalah yang mempunyai saman Pol.170A yang kemudian ditukar kepada Pol.257.

Tindakan ini membolehkan pesalah didakwa di mahkamah.

Sementara itu, rakyat Singapura yang mempunyai saman tidak berbayar juga boleh ditahan daripada meninggalkan negara ini.

Pesalah gagal hadir ke mahkamah akan dikenakan waran tangkap.

Bagaimanapun, PDRM berdepan masalah menjejak pesalah trafik warga Singapura kerana tidak mempunyai akses mengesan mereka.

Justeru, tanpa alamat lengkap pesalah saman Pol.170A tidak dapat dihantar kepada mereka berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangka akan mengaktifkan sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) dan Kad Pendaftaran Kenderaan (RC).

Langkah itu memudahkan pihak berkuasa mengesan pesalah lalu lintas membabitkan warga Singapura.

Berani bantu polis kejar penjenayah, pekerja p-hailing dipuji warga maya

AKSI seorang pekerja p-hailing membantu anggota polis mengejar suspek penjenayah tular di media sosial.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dimuat naik di Twitter,  kelihatan seorang pekerja p-hailing baru menaiki motosikal miliknya sebelum bertindak menghalang suspek yang sedang berlari.

Bagaimanapun, suspek berjaya melepaskan diri dan meneruskan larian.

Enggan berputus asa, pekerja p-hailing tersebut bertindak turun dari motosikal lalu mengejar suspek bersama dua anggota polis.

Menerusi komen di media sosial, rata-rata pengguna media sosial memuji sikap berani ditunjukkan pekerja p-hailing berkenaan.

Pada masa sama, mereka mendoakan agar pekerja p-hailing itu berada dalam keadaan selamat.

Setakat ini, tidak dapat disahkan sama ada suspek berjaya diberkas pihak berkuasa atau sebaliknya.

Dalam perkembangan lain, enam pekerja e-hailing dilaporkan disaman pihak berkuasa pada semalam yang didakwa makan di tepi jalan raya.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mendakwa perkara itu berlaku di dua lokasi.

Bagaimanapun, lokasi tersebut tidak dinyatakan dalam laporan berkenaan.

 

PDRM perketat kawalan di plaza tol, sempadan negeri

SILA batalkan niat jika anda berhajat merentas negeri bagi menyambut perayaan Aidilfitri.

Ini kerana anda tidak mungkin berjaya berbuat demikian memandangkan pihak polis sedang meningkatkan pengawalan di plaza tol serta sempadan negeri.

Memetik laporan Bernama, langkah memperketatkan kawalan dibuat susulan peningkatan semula kes Covid-19.

Semalam, polis memaklumkan pergerakan rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis.

Selain itu, perjalanan rentas negeri turut dibenarkan bagi tujuan kecemasan dan kematian melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak serta adik-beradik.

Pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial pula adalah dilarang.

Pelbagai sektor ekonomi beroperasi semula, polis tingkat rondaan lebuh raya

USAHA pemantauan pihak polis di lebuh raya seluruh negara dipertingkatkan selepas hampir kesemua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula.

Susulan itu, elemen Peronda Lebuh Raya (EMPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan ke semua sektor lebuh raya.

Memetik laporan Bernama, rondaan itu bertujuan memantau keadaan sekaligus membantu menyuraikan kesesakan lalu lintas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya mengesan peningkatan aliran trafik di semua lebuh raya dan jalan utama seluruh negara.

Unit EMPV digerak bagi menguatkuasakan undang-undang dan peraturan jalan raya termasuk rondaan cegah kemalangan serta pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Sebelum ini, kerajaan memansuhkan syarat 30 peratus kehadiran pekerja di pejabat bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Operasi sektor swasta turut dibenarkan 100 peratus bagi bahagian pengurusan, penyelia dan bahagian operasi serta sokongan.

Rentas negeri: PDRM tetap syarat hanya Isnin hingga Khamis

SEBARANG pergerakan rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis sahaja.

Arahan dikeluarkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang kembali serius.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya akan terus memperketatkan kawalan sebagai usaha mengekang penularan pandemik Covid-19, lapor Bernama.

Kes Covid-19 seluruh negara menunjukkan peningkatan sejak beberapa hari lalu.

Semalam, lebih 2,078 kes Covid-19 dicatatkan seluruh negara dengan lapan kematian.

Terdahulu, Acryl Sani berkata rentas negeri hanya dibenarkan bagi individu mempunyai urusan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh.

Bagaimanapun, rentas negeri bagi tujuan kecemasan dan kematian yang dibenarkan hanya melibatkan ahli keluarga terdekat.

PDRM kemas kini aplikasi MyBayar Saman, mudahkan orang ramai

ORANG ramai ingin melunaskan saman trafik boleh menarik nafas lega dengan usaha pihak polis untuk menambah baik platform e-bayaran dan aplikasi MyBayar Saman.

Memetik berita Bernama, langkah diambil Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) adalah bagi meningkatkan keberkesanan kutipan saman.

Pada masa sama, ia juga memudahkan orang ramai untuk membuat bayaran saman hanya menggunakan platform secara dalam talian.

Antara kemas kini dibuat termasuk memperkenalkan kutipan seperti pendaftaran daripada syarikat, warga asing dan had bayaran dikenakan terhadap individu.

Setakat ini, polis merekodkan kutipan kompaun lebih RM89 juta daripada 803,739 saman yang dilunaskan orang ramai menerusi aplikasi MyBayar Saman.

Sehingga semalam, 814,622 pengguna berdaftar direkodkan sejak aplikasi itu diperkenalkan pada 25 Mac lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini mengumukan tawaran diskaun bagi saman trafik sempena sambutan Hari Polis ke-214.

Tawaran bermula 25 Mac hingga semalam.