Sebagai peminat kereta, sudah tentu kita semua sukakan kereta yang cantik, laju dan power. Tetapi kita tidak boleh nafikan yang dunia automotif telah melahirkan banyak kereta pelik yang mempunyai tarikan tersendiri.
Jom kita lihat 10 kereta paling pelik dan ganjil yang pernah dihasilkan:
BMW Isetta
Sebut sahaja BMW, pasti terlintas di fikiran kereta-kereta sedan sport seperti M3 dan M5. Namun tahukah anda pada 1955, BMW pernah menghasilkan kereta berbentuk telur ini? Pintunya terletak pada bahagian depan dan apabila ia dibuka, keseluruhan papan pemuka dan stereng akan turut bergerak bersama pintu itu.
Peel P50
Satu lagi kereta mikro di dalam senarai ini adalah P50, dihasilkan oleh Peel Engineering Company sekitar tahun 1962. Ia mempunyai pintu pada sebelah kiri dan boleh memuatkan seorang penumpang sahaja. Apa yang menarik, ia masih boleh dibeli pada hari ini dalam bentuk yang sudah siap dipasang dari kilang atau kit.
Stout Scarab
Dianggap sebagai minivan pertama di dunia, Stout Scarab merupakan hasil tangan bekas pekerja Ford yang juga pereka pesawat Ford Trimotor iaitu William Bushnell Stout. Enjinnya diletakkan pada bahagian belakang manakala ruang kabinnya boleh memuatkan sehingga enam penumpang.
Polaris Slingshot
Polaris menggelarkan Slingshot sebagai motosikal namun dengan dua tempat duduk dan stereng, tidak hairanlah jika ramai yang menganggapnya sebagai kereta. Ia dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder yang menyalurkan 203 hp kepada roda belakang tunggal.
Amphicar
Seperti yang boleh diteka menerusi namanya, Amphicar adalah kereta amfibia yang bermakna ia boleh digunakan di dua alam iaitu darat dan air. Kereta buatan Jerman ini menggunakan tayar sebagai pengemudi dan boleh bergerak pada kelajuan sehingga 7 knot di dalam air.
Pea Car
Tidak seperti kereta-kereta lain di dalam senarai ini, Pea Car bukanlah model produksi. Sebaliknya, ia direka oleh sebuah syarikat dari London untuk digunakan dalam iklan kacang Pis jenama Birds Eye pada 2005. Ia dikatakan mempunyai enjin Honda yang membolehkan ia memecut sehingga 97 km/j.
Ferrari 512S Modulo
Anda pasti tidak menyangka Ferrari akan masuk dalam senarai kereta pelik, bukan? Kereta yang direka oleh Pininfarina ini diperkenalkan buat pertama kali di Geneva Motor Show 1970. Ia mempunyai bentuk baji, bumbung kanopi dan enjin V12 yang menghasilkan 550 hp.
Fiat Multipla
Mana-mana senarai kereta pelik atau hodoh tidak akan lengkap tanpa Fiat Multipla, yang nampak seperti dua buah kereta yang bertindih antara satu sama lain. Dari luar, ia memang nampak pelik tapi kami pasti ruang dalamannya cukup luas.
Reliant Regal Supervan
Kereta yang tidak asing lagi bagi peminat Mr Bean, Reliant Regal Supervan mendapat reputasinya sebagai antara kereta paling pelik di dunia menerusi konfigurasi tiga tayarnya. Susunan yang luar biasa itu membuatkan ia tidak begitu stabil, seperti yang sering diperlihatkan dalam sitkom British itu.
Tesla Cybertruck
Rasanya tidak perlu dikatakan lagi yang Cybertruck adalah kenderaan yang paling ganjil pernah dihasilkan. Dari segi prestasi dan kelengkapan, kami pasti ia cukup mengagumkan namun reka bentuk luarannya nampak seperti dihasilkan oleh kanak-kanak yang belum mumayyiz.