Tag Archives: pemandu bas

Taktik menyamar JPJ berhasil, 24 pemandu bas ekspres disaman

SERAMAI 24 pemandu bas ekspres dikenakan saman dalam Ops Penyamaran yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sempena sambutan Tahun Baru Cina dari 1 Februari lalu.

Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, sepanjang ops itu berlangsung, pihaknya mengesan pemandu bas ekspres itu melakukan 64 kesalahan.

Beliau berkata, antara kesalahan dilakukan termasuk memandu di lorong kanan (12 saman) dan tiada pemandu kedua atau memandu secara berterusan bagi perjalanan melebihi 300 km atau perjalanan selama empat jam secara berterusan (tujuh saman).

“Selain itu, kesalahan pemandu yang merokok (dua saman), tidak selenggara buku log (sembilan saman), abai isyarat lalu lintas (tujuh sama) dan lain-lain kesalahan (27 saman),” katanya.

Tambah Hanif lagi, menerusi operasi setiap kali musim perayaan, anggota jabatan itu akan menyamar sebagai penumpang bas bagi perjalanan ke seluruh negara untuk mengambil tindakan terhadap pemandu bas eskpres yang meletakkan nyawa penumpang di hujung tanduk.

“Teknik penyamaran sebagai penumpang bas dilihat sangat efektif dalam mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu, selain menasihati mereka tidak mengabaikan keselamatan penumpang, namun masih ada yang berdegil.

“Setiap peraturan yang ditetapkan bertujuan untuk menjaga keselamatan penumpang dan pemandu itu sendiri termasuk penggun jalan raya lain. Pengabaian peraturan ini merisikokam nyawa penumpang,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pemandu dan pemilik bas yang tidak mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Jadi pemandu bas di Singapura boleh dapat gaji RM17k sebulan, bonus RM35k

SEBUAH syarikat bas di Singapura kini sedang mencari pemandu bas dengan gaji permulaan sebanyak S$5,000 (~RM17,513) sebulan berserta bonus penyertaan sebanyak S$10,000 (~RM35,026).

Penawaran gaji yang tinggi itu merupakan sebahagian daripada strategi Westpoint Transit Pte Ltd bagi menarik minat golongan muda untuk menceburi industri bas.

Menurut iklan di laman LinkedIn dan myCareersFuture, tiada syarat kewarganegaraan diletakkan bagi calon yang ingin memohon jawatan tersebut, bermakna ia juga terbuka kepada warganegara asing selain Singapura.

Calon mesti mempunyai pengalaman kerja sekurang-kurangnya satu tahun, lesen memandu Kelas 4 yang sah dan lesen vokasional. Di Singapura, pemegang lesen Kelas 4 dibenarkan untuk memandu kenderaan bermotor berat dan traktor melebihi 2,500 kg.

Menurut Shin Min Daily News, pemohon yang berjaya akan menerima bonus penyertaan sebanyak S$10,000 (~RM35,026) selepas menandatangani kontrak selama tiga tahun.

Selain gaji yang tinggi, pemandu juga dapat menikmati faedah-faedah lain termasuk insurans kumpulan serta snek dan minuman percuma. Mereka juga boleh menyertai kelas senaman percuma bagi meningkatkan tahap kesihatan.

Untuk meningkatkan prestasi mereka semasa memandu, setiap pemandu perlu menjalani latihan pengendalian teknologi terkini pada bas.

Waktu bekerja adalah enam hari atau maksimum 44 jam seminggu, dengan cuti tahunan sebanyak tujuh hari. Mereka yang berminat boleh menghantar permohonan sehingga 15 Januari 2024.

Westpoint Transit mensasarkan untuk mendapatkan seramai 10 pemandu dalam fasa pertama pengambilan, diikuti dengan 20 pemandu lagi dalam fasa kedua menjelang akhir tahun depan.