Tag Archives: pemanduan

Fahami weight transfer, anda boleh jadi pemandu lebih baik, lebih laju, lebih selamat

TOPIK kali ini sedikit teknikal, iaitu weight transfer atau perpindahan berat. Tapi sepanjang artikel ini kita akan gunakan istilah weight transfer kerana ia lebih mudah difahami oleh kaki kereta.

Tetapi apa itu weight transfer? Perpindahan berat dari mana ke mana? Dan bagaimana pula ia boleh beri kesan kepada pemanduan, sehingga boleh membezakan prestasi?

Weight transfer secara ringkasnya ialah agihan berat kenderaan semasa anda memecut, membrek, atau membelok. Ia sentiasa bertindak balas, tidak kira semasa anda memandu laju atau perlahan, sama ada anda memandu kereta prestasi atau kereta harian biasa.

Cuma weight transfer mungkin tidak terlalu kritikal pada pemanduan biasa, tetapi semasa anda memandu kereta sports, pemahaman dan kawalan weight transfer boleh menjadi perbezaan antara pemanduan lancar dan terkawal, dengan pemanduan yang boleh mencemaskan penumpang di sebelah.

Fizik di sebalik weight transfer – pusat graviti

Setiap objek mempunyai titik pusat graviti. Di sini, semua berat tertumpu. Dalam sesebuah kereta, pusat graviti biasanya terletak di sekitar tengah-tengah kereta, tetapi lokasi tepatnya bergantung kepada jenis kereta itu.

Sebagai contoh, Aston Martin DB12. Dengan konfigurasi front mid-engine dan pacuan roda-belakang, pusat gravitinya sedikit ke depan. Tetapi kereta seperti Ferrari F8 Tributo dengan rear mid-engine, pusat gravitinya agak seimbang di tengah.

Kereta-kereta dengan enjin di depan seperti Toyota Vios, Perodua Myvi, Mercedes A-Class dan Audi A5 mempunyai pusat graviti agak ke depan. Tetapi Mazda MX-5 walaupun berenjin depan, mempunyai pusat graviti di tengah kerana menggunakan pacuan roda-belakang.

Semasa anda memecut, membelok atau membrek, daya yang dikenakan membuatkan berat kereta beralih di sekitar pusat graviti. Inilah weight transfer.

Kesan pecutan terhadap weight transfer

Bayangkan anda memandu sebuah kereta sports. Semasa memecut dan pedal kaki ditekan rapat ke lantai, anda akan perasan bahagian belakang kereta ditekan menjadi rendah, dan depan mendongak. Situasi ini ialah squat, disebabkan oleh weight transfer dari depan ke belakang.

Untuk kereta pacuan roda-belakang atau pacuan semua-roda, squat ini akan menambah berat ke roda belakang, membolehkan kereta memecut dengan lebih baik. Berat yang tertumpu ke roda belakang memberikannya lebih cengkaman.

Tetapi untuk kereta pacuan roda-depan, weight transfer semasa memecut ini tidak memberikan terlalu banyak kesan.

Prinsip yang sama diaplikasikan semasa membrek. Weight transfer membuatkan berat tertumpu ke depan, dan ini juga dikenali sebagai dive.

Kemudian semasa membelok, weight transfer memindahkan berat ke sisi luar; sebagai contoh belokan ke kanan akan menyebabkan berat beralih ke bahagian kiri kereta. Weight transfer ini juga menyebabkan body roll atau olengan badan.

Pemahaman konsep ini penting dan akan membantu anda memandu dengan lebih baik, terutamanya semasa pemanduan sporti di litar.

Berikut adalah kesan lebih khusus weight transfer:

Pecutan – Semasa memecut, berat banyak berpindah ke belakang, meningkatkan cengkaman di tayar belakang tetapi ini juga mengurangkan cengkaman tayar depan, dan kereta cenderung untuk oversteer.

Membrek – Bila anda membrek, berat berpindah ke tayar depan, meningkatkan cengkaman dan prestasi brek. Kereta boleh membelok dengan lebih responsif tetapi berat yang kurang di tayar belakang boleh membuatkan kereta lebih cenderung oversteer.

Membelok – Semasa membelok, tayar bahagian luar mempunyai lebih cengkaman. Tetapi kereta masih boleh understeer atau oversteer bergantung kepada konfigurasi kereta, jenis differential, dan input dari pemandu.

Dengan mengetahui dan memahami konsep weight transfer tidak akan membuatkan anda menjadi lebih laju secara automatik.

Sebaliknya, anda harus lebih peka dengan keadaan kereta pada setiap masa. Berikan input yang linear (pecutan, brek, stereng) dan elakkan input mengejut. Input yang agresif boleh membuatkan kereta hilang keseimbangan dan tayar hilang cengkaman.

Semakin tinggi kelajuan kenderaan, anda perlu semakin lancar dan berhati-hati memberi input. Kereta akan bertindak balas dengan baik dalam hadnya, dan hasilnya, anda akan menjadi lebih laju dan lebih selamat.

Tayar kereta pecah tiba-tiba, apa nak buat?

Memandu di atas jalan raya Malaysia yang tercinta ini merupakan satu bentuk perjudian yang sangat berisiko.

Nasib baik, anda mungkin akan sampai ke destinasi dengan selamat. Nasib kurang baik, anda mungkin sangkut di pertengahan jalan/lebuh raya disebabkan oleh tayar pancit atau pecah.

Masalah tersebut boleh terjadi akibat beberapa faktor seperti contoh tercucuk bendasing yang tajam, dinding sisi yang mungkin terkoyak akibat impak pelanggaran jalan kawah bulan atau mungkin sekali masalah kebocoran pada struktur injap itu sendiri.

 

Sekiranya masalah ini terjadi, anda mungkin sekali akan berdepan dengan situasi seperti respons stereng yang semakin berat, kesukaran untuk mula bergerak, serta bunyi tayar yang semakin bising.

Kereta anda juga mungkin cenderung untuk melencong ke kiri atau ke kanan, atau hilang kawalan walaupun sedang melalui jalan yang lurus.

Sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini (seperti tayar pecah), usah panik dan cuba ikuti lima langkah yang perlu anda buat:

 

1. Kawal daya brek

Menekan brek secara mengejut mungkin akan membuatkan kenderaan anda hilang kawalan dan mampu membahayakan bukan sahaja nyawa diri sendiri, malah nyawa pengguna lain atas jalan.

Jadi perkara pertama yang perlu anda buat ialah dengan menekan dan mengepam pedal brek dengan perlahan sehingga kenderaan berada pada kelajuan yang boleh dikawal.

Untuk pemilik kereta non-ABS, masa inilah anda merealisasikan ABS – Aku Brek Sendiri!

 

2. Kawal arah stereng dengan lembut

Dalam situasi kecemasan, anda mungkin dapat rasa kereta cenderung untuk ditarik ke kiri atau ke kanan bergantung kepada kedudukan tayar mana yang pecah.

Sama halnya dengan brek, roda stereng juga perlu dikawal dengan baik dan lembut berlawanan dengan arah kecenderungan kereta, dan paling penting pastikan kereta berada dalam laluan yang sepatutnya.

Memulas roda stereng dengan agresif akan membuatkan kereta anda berpusing dan hilang kawalan.

 

3. Gunakan gear rendah

Salah satu cara yang boleh dibuat untuk memperlahankan pergerakan kereta adalah dengan menggunakan teknik brek enjin (engine braking).

Pemilik kereta bertransmisi manual pasti sudah arif dengan teknik ini – tukar sahaja kepada posisi gear yang lebih rendah.

 

4. Nyalakan lampu kecemasan

Pastikan lampu kecemasan dihidupkan semasa dalam proses mengawal dan memberhentikan kereta bagi memberikan amaran kepada pengguna jalan raya yang lain.

Kereta-kereta moden masa kini sudah pun mempunyai ciri nyalaan lampu kecemasan automatik saat berlakunya situasi yang mencemaskan.

Jika anda tergolong dalam kategori pemilik kereta yang olskool, usah risau dan panik kerana lampu kecemasan kereta anda juga boleh diaktifkan secara manual. Anda hanya perlu tahu di mana letaknya butang lampu kecemasan itu pada kereta anda.

Yang anda perlu risau ialah golongan pemandu yang sengaja menyalakan lampu kecemasan sewaktu memandu dalam hujan.

 

5. Segi tiga amaran – mana nak letak?

Semasa berhenti di lorong kecemasan, pastikan anda meletakkan segi tiga amaran pada jarak 45 meter dari belakang kereta yang rosak.

Kebanyakan kereta baharu kini sudah pun dilengkapi dengan kit kecemasan ini, jadi ia bukanlah satu alasan untuk anda mengabaikan aspek keselamatan sewaktu menunggu bantuan tiba.

 

6 ‘life hack’ memandu musim cuti yang akan kurangkan ‘jem’ dan kemalangan

APAKAH perkara yang sinonim dengan pemanduan semasa musim perayaan atau cuti sekolah? Kesesakan jalan raya (traffic jam) dan kadar kemalangan yang lebih tinggi, bukan?

Ini kerana terdapatnya pertambahan jumlah kenderaan dimana ramai yang mempunyai agenda bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan.

Masalahnya, kebanyakan kesesakan atau ‘jem’ dan kemalangan itu tidak sepatutnya berlaku jika pemandu-pemandu kita lebih berdisiplin dan menggunakan akal semasa memandu. Bukan menggunakan otak semata-mata.

Jadi kali ini kami ingin kongsikan enam (6) ‘life hack’ memandu yang boleh diamalkan bagi mengurangkan risiko berlakunya dua masalah di atas.

Harus diingat, ‘life hack’ ini bukanlah terlalu pelik dan baru, sebaliknya benda biasa yang kita semua sudah tahu dan pelajari. Cuma kami akan terangkan lebih mendalam kenapa amalan ini akan mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan.

1. Jaga jarak dengan kereta depan

Macam biasa dengar, bukan? Sebelum anda menguap kerana mengantuk, mari kami terangkan. Anda rasa anda hebat kerana berjaya ‘cucuk’ kereta di depan dengan agresif?

Sebenarnya amalan ‘cucuk’ rapat ini bukanlah yang paling cerdik untuk diamalkan. Jika ditanya pelumba profesional pun, mereka tidak mengekori dengan rapat semasa di jalan raya.

Ini kerana dengan ‘cucuk’ rapat, anda akan cenderung brek mengejut serta berulang kali, dan ini akan mencetuskan kesan domino untuk aliran trafik terutamanya di lebuh raya.

Pernah anda terhenti di lorong paling kanan di lebuh raya empat lorong? Dan bila bergerak tengok-tengok tiada apa yang berlaku? Ya, ini ialah kesan dari ‘malaun’ selang 15 kereta di depan yang cucuk rapat acah hebat.

2. Jangan pandu santai di lorong tengah

“Eh kenapa tak boleh pandu santai? Awak nak laju-laju pergi mana?” Bang, boleh nak pandu santai, tak ada siapa nak marah, tapi di lorong kiri, ya? Bukan lorong tengah.

Contoh kalau lebuh raya ada tiga lorong, sepatutnya ada TIGA kelajuan berbeza. Tetapi bila anda pandu santai di lorong tengah, sama laju dengan lorong kiri, maka hanya ada dua kelajuan berbeza di lebuh raya itu. Ini punca kesesakan yang tidak sepatutnya berlaku.

Apa guna bina lebuh raya tiga lorong kalau operasinya sama macam dua lorong, bukan?

Lebih teruk lagi kalau lebuh raya empat lorong, tetapi tiga lorong dengan kelajuan sama, hanya lorong kanan sahaja yang laju sedikit. Puncanya? Geng pandu santai di lorong tengah. Tahniah.

3. Jangan malu duduk kiri

Ini lanjutan dari ‘life hack’ tadi, jika kita rasa nak pandu perlahan, chill sahaja, tekan signal kiri, dan beralih ke lorong kiri.

“Lorong kiri bukan untuk bas dan lori je ke?”

Kenderaan berat dilarang berada di lorong paling kanan, tapi kita yang pandu kereta penumpang biasa ni tiada masalah pun untuk berada di lorong kiri. Polis takkan saman punya.

Jika rasa nak pandu santai, nak sembang rancak dengan penumpang, nak suruh orang rumah suapkan keropok, inilah lorongnya. Bukan di lorong tengah.

4. Pecut di laluan susur SEBELUM masuk lorong utama

Ini satu ‘life hack’ penting juga. Tahukah anda lorong susur masuk lebuh raya ini paling kurang dimanfaatkan? Ramai betul yang terburu-buru nak terus ke lorong paling kanan tapi masih dalam kelajuan merangkak, dan menyebabkan kereta di laluan utama terpaksa membrek untuk dia.

Masalah besar dalam kalangan pemandu negara ini. Akibatnya, kesan domino lagi.

Anda boleh lihat contoh di lebuh raya utama di waktu puncak atau permulaan cuti. Trafik sesak berdekatan susur masuk, kemudian lancar semula. Kereta dari lorong susur masuk berebut-rebut untuk ke kanan padahal lorong susur masih panjang. Ada hadiah siapa yang sampai lorong kanan dahulu?

Sepatutnya pecut, signal ke kanan, dan masuk dengan kelajuan sama. Bukannya signal, masuk ala kadar, dan pecut. Penat la nak ajar satu-satu…

5. Pandang jauh ke depan

‘Life hack’ ini sebenarnya salah satu teknik pemanduan defensif. Gunakan apa yang boleh untuk kita lihat jauh ke depan.

Mungkin kita boleh lihat ke depan melalui cermin kereta hadapan, atau jaga jarak kita. Bila kita terlalu rapat dengan kereta hadapan, lebih sukar untuk kita lihat apa yang berada di depannya.

Sebagai contoh, kita boleh bersedia untuk memperlahankan kenderaan sebelum kereta di hadapan menekan breknya. Ini penting untuk kelancaran aliran trafik.

Bayangkan jika semua pemandu menjaga jarak, pandang jauh ke depan, tiada brek mengejut, pasti aliran trafik lancar walaupun banyak kereta.

6. Kelajuan sesuai dengan aliran trafik

Akhir sekali, kunci kepada pemanduan lancar ialah pandu dengan kelajuan sesuai dengan aliran trafik. Tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.

Terlalu laju dalam trafik sesak, pemandu lain akan fikir anda sedang dirasuk, dan percayalah mereka semua sedang memaki anda. Kalau kecemasan tu lain cerita.

Tetapi pandu terlalu perlahan juga bahaya, kerana kereta lain terpaksa banyak bertukar lorong untuk ‘mengelak’ anda. Ibarat seketul batu yang bergolek dalam air longkang yang sedang mengalir deras.

Jangan berada dalam dunia sendiri, pandu ikut suka hati, “asalkan tak lebih had laju” katanya. Ikut aliran trafik, peka dengan keadaan sekeliling.

Amacam enam ‘life hack’ pemanduan yang kami kongsikan ini? Kalau anda kurang yakin, tak apa. Tarik nafas dalam-dalam, dan renungkan semula semasa memandu di musim cuti nanti. Dan cuba perhatikan punca-punca kesesakan yang berlaku.

Selamat memandu!

Had laju: Adakah kita salah faham selama ini? – Suara Engear

BILA kita terdengar atau terbaca kenyataan “had laju ialah 110km/j”, apa yang kita faham? Pandu tidak melebihi 110km/j, bukan? Ya anda tidak salah, tapi kemungkinan kita hanya betul separuh sahaja.

Separuh lagi ialah; pandu pada sekitar 110km/j atau tidak terlalu perlahan. Kurang faham?

Situasi patuh had laju

Bayangkan anda di jalan persekutuan lorong tunggal (satu lorong untuk kedua-dua arah) dengan had laju 90km/j. Banyak kenderaan akan cuba memotong, justeru meningkatkan risiko kemalangan. Berbalik kepada punca, kenapa banyak kenderaan akan cuba memotong?

Kerana ada yang memandu 45km/j sambil cari gerai buah, ada yang pandu 120km/j kerana baru lepas tonton filem Fast and Furious terbaharu, dan ada yang pandu bersahaja 90km/j. Sebenarnya masalah (keperluan memotong) terjadi bila terlalu banyak kelajuan berbeza, mahu pandu ikut kehendak sendiri tanpa fikir kesesuaian.

Bila semua pemandu ingin memotong, tekanan meningkat dan keselamatan untuk semua semakin berkurangan. Malah, penggunaan minyak juga semakin teruk kerana anda banyak menekan pedal secara mengejut dan kemudian membrek semula.

Sepatutnya di zon 90km/j, anda perlu pandu sekitar 90km/j, bukannya tidak melebihi 90km/j. Nampak perbezaan di situ? Kelajuan yang sesuai di zon 90km/j adalah antara 85km/j hingga 95km/j, bukannya 40km/j.

Jadi had laju sebenarnya membawa dua maksud, iaitu kelajuan maksima dan minima.

Bayangkan di jalan persekutuan yang sama, semua pemandu memandu pada kelajuan sekitar 90km/j. Maka semua orang tidak rasa tergesa-gesa, dan semua akan rasa perjalanan lebih tenang. Anda tidak perlu memotong sesiapa, dan tiada sesiapa perlu memotong anda.

Jadi jika seseorang itu disaman disebabkan melanggar had laju kerana dia memandu pada 120km/j di zon 90km/j, sepatutnya orang yang memandu 45km/j di sini juga wajar disaman.

Pandu perlahan tidak bermakna selamat, terlalu laju atau terlalu perlahan kedua-duanya boleh mengundang bahaya. Paling penting adalah ikut aliran trafik.

Konsep dan pemahaman had laju bercanggah dengan apa yang difahami selama ini? Ya, mungkin. Kita cenderung belajar dari sekolah memandu sahaja, itu pun jika masih ingat apa yang dipelajari.

Sebenarnya silibus sekolah memandu tidak semuanya relevan dengan situasi jalan raya hari ini. Betulkah cara pegang stereng di jam 10 dan 2? Siapa yang tunggang motor kemudian angkat tangan bila berhenti? Ada sesiapa amalkan selepas dapat lesen?

Sebelum anda menuduh penulis memandai-mandai dengan konsep yang entah dari mana, harus diketahui banyak negara maju (dengan silibus sekolah memandu yang dikemas kini) mempraktikkan idea had laju sebegini, sebagai contoh, Australia.

Dan anda boleh tonton dalam video di bawah dimana rakan media kami, Uncle YS Khong mendemonstrasi situasi had laju ini semasa beliau memandu di sana. Lompat terus ke minit 3:59 dan anda dengar penerangannya sehingga 4:55.

Praktikal untuk dibuat?

Baik, adakah praktikal untuk kita amalkan konsep sebenar mematuhi had laju ini? Takkanlah baru keluar simpang terus nak pecut ke 90km/j? Sebenarnya memang perlu pecut, apa guna kereta berkuasa tinggi, tapi keluar simpang merangkak macam sedang mencari rumah sewa.

Anda boleh sahaja pecut perlahan-lahan ikut suka anda, hanya jika jalan lengang. Tetapi jika ada kenderaan mendatang dan anda rasa tidak sempat, tak perlu keluar dahulu. Boleh sahaja biarkan kenderaan itu berlalu dahulu sebelum anda keluar.

Jika anda telah membuatkan kenderaan di jalan utama membrek untuk anda, bermakna anda telah tersalah agak, dan telah buat kesilapan. Tapi sudah tentu, ramai pemandu biasa buat dan tidak peduli pun.

Semua ini common sense sahaja, tidak perlu diberitahu, bukan? Tetapi ramai yang kononnya ‘takut’ nak tekan pedal sepenuhnya untuk menyamai kelajuan kenderaan di jalan utama. Tetapi tak takut pula untuk tekan minyak di lebuh raya sehingga dua kali ganda had laju.

Apa kata anda tekan pedal minyak di tempat yang betul.

Bagaimana pula di lebuh raya?

Untuk lebuh raya, mentaliti dan konsep sama diamalkan, jika had kelajuan ialah 110km/j, pandu pada sekitar 110km/j.

Imej oleh: klia2.info

Siapa yang begitu ‘cerdik’ untuk pandu 50km/j di lebuh raya, bukan? Tetapi pandu 110km/j di lorong paling kanan juga salah! Kerana itu lorong memotong, bukan lorong ikut had laju.

Lorong kedua dari kanan sepatutnya untuk sekitar had laju, tetapi biasalah, pemandu kita ramai yang pandu 80km/j di sini. Ini topik lain untuk hari lain.

Apa pun, lorong paling kanan sepatutnya dibiarkan kosong dan digunakan untuk memotong sahaja, bukan beratur panjang macam kereta api.

Dan paling penting, sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

Tahukah anda, jika anda ikut konsep sebenar ini, ia mampu mengurangkan kesesakan dan kemalangan? Kami akan ulaskan di artikel akan datang.