Tag Archives: pengarah urusan

Narushi Yazaki kini Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia

Honda Malaysia mengumumkan pelantikan Narushi Yazaki sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa 1 April 2025.

Narushi Yazaki menggantikan peranan Hironobu Yoshimura yang telah menerajui Honda Malaysia sejak tiga tahun lepas, di mana beliau kini berkhidmat di ibu pejabat Honda di Tokyo.

Menurut Honda Malaysia, Yazaki mempunyai pengalaman lebih 25 tahun, dengan memegang peranan kepimpinan utama di beberapa buah negara termasuklah Amerika Syarikat, Jepun dan Thailand.

Sebelum berkhidmat di Malaysia, Yazaki telah berkhidmat dengan Operasi Pentadbiran Korporat di Honda Motor Co. Ltd, Tokyo, Jepun.

“Saya amat berbesar hati untuk memikul tanggungjawab ini di Honda Malaysia, pasaran yang terkenal dengan pertumbuhan dinamik serta sumbangan yang penting terhadap jenama Honda di rantau Asia dan Oceania.

“Saya berazam untuk meneruskan asas kukuh yang diletakkan oleh pemimpin terdahulu, dan terus memacu pertumbuhan dan kejayaan Honda Malaysia dalam pasaran berkembang pesat ini,” ujarnya.

Di bawah kepimpinan Yoshimura, beliau memainkan peranan penting dalam mengekalkan kedudukan Honda Malaysia di dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional untuk 11 tahun berturut-turut.

Beliau juga bertanggungjawab memimpin Honda Malaysia mengharungi tempoh mencabar pasca pandemik COVID-19.

 

Honda Malaysia Sdn Bhd terima pengarah urusan, ketua pegawai eksekutif wanita pertama

HONDA Malaysia Sdn Bhd mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kali diterajui oleh seorang wanita.

Madako Chujo dilantik sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif selepas bersama Honda selama lebih 23 tahun.

Honda Malaysia Sdn Bhd dalam satu kenyataan menyambut baik pelantikan Chujo sekaligus yakin dengan kemampuannya untuk membawa syarikat itu ke tahap lebih tinggi.

“Honda Malaysia Sdn Bhd menyambut baik pelantikan Chujo yang juga buat julung kali menyaksikan penglibatan wanita di peringkat pengurusan tertinggi syarikat,” memetik kenyataan itu, hari ini.

Sebelum ini, Chujo pernah memegang pelbagai jawatan melibatkan beberapa wilayah dan negara termasuk China, Sepanyol dan Kanada.

Pelantikan Chujo berkuatkuasa pada 1 April lalu menggantikan penyandangnya, Toichi Ishiyama.