Tag Archives: pengecas EV

Mercedes-Benz Malaysia perluas jaringan pengecasan EV di hotel, padang golf, tempat peranginan

Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan kerjasama strategik dengan hotel-hotel berprestij serta pengendali padang golf dan tempat peranginan dalam usaha untuk meluaskan lagi jaringan pengecasan EV di seluruh negara.

Berikut merupakan senarai hotel dan padang golf yang terlibat untuk permulaan:
• Hotel Rasa Sayang oleh Shangri-La (Pulau Pinang)
• Hotel Marriott (Pulau Pinang)
• The RuMa Hotel & Residence (Kuala Lumpur)
• Saujana Golf & Country Club (Kuala Lumpur)
• Anantara Desaru Coast Resort & Villas (Johor)

Para pelanggan Mercedes-Benz kini boleh menikmati pelbagai kelebihan tambahan di lokasi yang disebutkan itu tadi dengan hanya menunjukkan kad atau aplikasi Mercedes-Benz semasa membuat pendaftaran masuk.

Menurut Amanda Zhang, CEO & Presiden Mercedes-Benz Malaysia berkata, “Mercedes-Benz sentiasa berada di hadapan memacu masa depan mobiliti dan kemewahan menerusi kerjasama yang sinergi dan bermakna.

“Dengan mengintegrasikan mobiliti elektrik ke dalam pengalaman gaya hidup mewah, kami mentakrifkan semula erti menjadi pelanggan Mercedes-Benz.

Ujarnya lagi, strategi jangka panjang ini bukan sahaja untuk menjadikan pemilikan kenderaan elektrik yang lebih mudah diakses, tetapi juga untuk meningkatkan setiap titik sentuhan dalam perjalanan pelanggan menerusi penyelesaian yang disesuaikan dan kerjasama bermakna yang menggambarkan komitmen terhadap inovasi dan kelestarian.

Pendekatan tiga cabang yang digunakan oleh Mercedes-Benz dalam usaha untuk mengukuhkan lagi infrastruktur pengecasan EV adalah seperti berikut:
• Charge@Home – pemasangan pengecas dinding di rumah
• Charge@Retail – menyediakan outlet pengecasan EV di pusat pameran/servis Mercedes-Benz
• Charge@Public – fasiliti pengecasan di hotel, kawasan peranginan dan padang golf

Rakan CPO (pengendali titik pengecasan) Mercedes-Benz pada ketika ini ialah EV Connection, ChargEV dan juga Gentari.

Masih banyak pengecas EV belum ada kelulusan SIRIM

MASIH banyak pengecas kenderaan elektrik (EV) di negara ini yang tidak mempunyai kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Menurutnya, banyak syarikat penyedia stesen pengecas EV belum tampil memohon kelulusan daripada SIRIM untuk memastikan peralatan digunakan selamat dan boleh dipercayai.

Menurut Ahmad Sabirin, walaupun bukan mandatori, pihaknya menasihatkan syarikat berkenaan membuat permohonan supaya peralatan yang digunakan untuk stesen pengecas EV diuji terlebih dahulu bagi tujuan keselamatan.

Katanya, untuk menggalakkan lebih ramai tampil memohon, pihaknya memudahkan proses berkaitan, antaranya dengan memendekkan tempoh permohonan apabila syarikat berkenaan boleh memperoleh keputusan dalam masa dua bulan.

“Sebenarnya, SIRIM dalam ekosistem EV mempunyai peranan yang amat penting. Kita akan memberi (kelulusan) sebelum (pembinaan) sebarang infrastruktur EV seperti stesen pengecas EV dan EV yang masuk ke Malaysia.

“Ia mesti mendapatkan satu kelulusan, contohnya dari segi reka bentuk oleh agensi di bawah SIRIM. Selepas itu, ia mesti diuji dan disahkan oleh SIRIM untuk memastikan bateri yang menjadi komponen penting buat kenderaan selamat digunakan.

“Yang penting adalah kita hendak mengharmonikan penggunaan stesen pengecas (EV) itu dari Singapura sampai ke negara Asia Tenggara (yang lain) dengan menggunakan (sistem) pengecasan yang sama.

“Maksudnya, anda boleh memandu EV ke mana-mana saja dan boleh cas EV di mana-mana juga. Maksudnya ada standardlah,” katanya.

Tambah Sabirin, “Memang sekarang ini ada pelbagai EV. Tetapi kita nak pastikan semuanya mempunyai satu standard yang telah ditetapkan oleh badan antarabangsa serta perlu mematuhi standard. Kita juga nak pastikan pengguna di jalan raya selamat menggunakan EV masing-masing.”

Sementara itu, mengikut laporan 20 Mac lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata jumlah pengecas EV di negara ini sudah melebihi 2,000 stesen, setakat Februari lalu.

Tengku Zafrul juga optimis jumlah itu akan bertambah dengan menyasarkan sebanyak 10,000 stesen pengecas EV akan beroperasi di negara ini pada 2025.

EQB terbakar: syarikat pengendali stesen pengecas beroperasi tanpa lesen

SURUHANJAYA Tenaga (ST) dalam satu kenyataan mendedahkan syarikat pengendali stesen pengecas kenderaan elektrik (EVCS) di Johor yang terbakar pada 31 Disember lalu didapati beroperasi tanpa lesen.

Dalam kenyataan itu, ST memaklumkan Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 memperuntukkan bahawa aktiviti pembekalan tenaga daripada mana-mana pepasangan hendaklah dilaksanakan dengan lesen yang sah daripada ST.

Dalam kejadian itu, sebuah Mercedes-Benz EQB hangus terbakar ketika sedang dicas di sebuah bangunan bilik pameran kenderaan di Tampoi.

Selain itu, kira-kira lima peratus daripada premis berkeluasan 256 meter persegi itu terbakar, dengan 20 peratus daripada kemudahan pengecas EV itu turut musnah.

Setakat ini, tiada laporan kecederaan mangsa atau pasukan bomba dan penyelamat dalam kejadian tersebut.

Menurut suruhanjaya itu lagi, pihaknya sedang menyiasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Pihak bertanggungjawab dan syarikat terlibat juga akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Pada 16 Disember 2022, ST dilaporkan menyarankan pengendali titik pengecasan (CPO) yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV) agar segera mendapatkan lesen pengagihan awam yang sah bagi pepasangan EVCS di negara ini termasuk yang telah beroperasi, selewat-selewatnya pada 31 Mac 2023.

Shell dan Porsche bekerjasama untuk buka pengecas EV prestasi tinggi di Genting Highlands

GENTING Highlands merupakan salah satu destinasi percutian tetapi untuk pemandu kereta elektrik (EV) mungkin ada ‘halangan’ kerana perlu mendaki bukit, dan terdapat kerisauan isu pengecasan bateri.

Namun, ini tidak akan menjadi masalah lagi di masa depan kerana Shell Recharge mendedahkan perancangan mereka untuk membina stesen pengecasan prestasi tinggi (HPC) 360kW.

Dengan kerjasama bersama Porsche Malaysia dan Genting Malaysia Berhad, projek itu akan menempatkan 10 ruang pengecasan bagi memudahkan lagi akses kenderaan EV ke pusat percutian tanah tinggi itu.

Ini juga akan menjadi penambahan terbaharu bagi 136 lokasi pengecasan Shell Recharge EV sedia ada di seluruh negara, yang juga menghubungkan Singapura, Malaysia, dan Thailand.

“Tidak lama lagi, pemilik EV seluruh negara dan luar negara boleh memandu naik ke resort ini (Genting Highlands) tanpa kerisauan jarak (range anxiety), mendapatkan pengalaman pemanduan tanpa risau dengan rangkaian Shell Recharge kami,” kata Seow Lee Ming, Pengurus Besar Shell Mobility Malaysia.

Sementara itu, CEO Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter pula berkata: “Kerjasama kami dengan Shell Recharge menunjukkan komitmen kami dalam membolehkan pemanduan jarak jauh dan merentasi sempadan dengan EV, menghubungkan tiga negara – Thailand, Malaysia, dan Singapura.

“Kami teruja untuk memudahkan lagi pengalaman pengecasan bagi pemilik-pemilik Porsche Taycan, serta model-model elektrik Porsche yang lain (akan datang), dengan adanya Shell Recharge 360kW di Resorts World Genting,” tambah Christopher.

Apabila siapnya 10 pengecas itu, pemilik EV mampu mengecas kenderaan mereka dari 5 hingga 80 peratus dalam masa kira-kira 20 minit sahaja.

Dari kesemua 10 stesen pengecas itu, empat darinya adalah terdiri dari pengecas prestasi tinggi 360kW dan baki empat stesen bagi pengecas AC 22kW. Kesemua pengecas bakal didatangkan dengan penghubung jenis CCS Type 2.

Berita lebih baik dan penting juga, Shell Recharge kini dalam fasa peralihan ke arah mekanisma harga mengikut kilowatt-hour (kWh).

Pelanggan pengecas AC mendapat kadar pengecasan baharu ini bermula 1 November lepas manakala pelanggan pengecas pantas DC bakal menikmati kadar baharu bermula 15 Disember.

Shell Recharge mengekalkan bayaran tempahan parkir pengecas yang sama di seluruh negara, dan semua tempahan boleh dibuat menggunakan aplikasi Shell ParkEasy. Untuk maklumat lanjut mengenai Shell Recharge HPC di Genting, layari https://www.shell.com.my/motorists/shell-recharge/shell-recharge-hpc.html.

PLUS Malaysia, Gentari buka stesen pengecas pantas modular mudah alih di Hentian Behrang

PLUS Malaysia dan Gentari, melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu Gentari Green Mobility, telah melancarkan Stesen Pengecas Pantas Kenderaan Elektrik Modular Mudah Alih dengan Sistem Simpanan Kuasa Bateri (BESS), di Hentian Sebelah Behrang (Arah Utara).

Menurut Gentari, pengecas bersepadu untuk kegunaan awam yang dilengkapi dengan BESS serta penggunaan tenaga solar ini merupakan yang pertama di negara ini.

Kemudahan ini akan dilancarkan secara berperingkat pada tahun 2023 dan 2024, bermula dengan projek rintis di empat Hentian Sebelah di sepanjang Lebuhraya PLUS. Setiap lokasi akan mempunyai kuasa pengecasan DC sehingga 200 kW, dan empat poin pengecasan akan disediakan.

Empat lokasi yang dicadangkan ialah Hentian Sebelah Behrang (Arah Utara dan Arah Selatan) di Perak dan Hentian Sebelah Senawang (Arah Utara dan Arah Selatan) di Negeri Sembilan.

Tiga lagi lokasi akan dirancang di Hentian Sebelah Ajil (Arah Utara dan Arah Selatan) dan Kawasan Rehat & Rawat Perasing, yang terletak di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Terengganu.

Di samping itu, beberapa poin pengecas AC di stesen minyak Petronas sedia ada di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah, akan dinaik taraf kepada poin pengecas pantas DC (DCFC).

Gentari juga akan membangunkan poin pengecas DCFC di stesen minyak Petronas sepanjang Lebuhraya PLUS dan lokasi berdekatan. Projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2024.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada perancangan strategik lebuh raya untuk memberikan keyakinan kepada pengguna EV yang melakukan perjalanan rentas negeri.

Sejak diperkenalkan pada Jun 2022 sehingga kini, Gentari telah menyediakan lebih daripada 180 poin pengecasan di Malaysia dan lebih daripada 160 poin pengecasan di India, melalui rakan stategik syarikat.