Tag Archives: pengeluaran

Porsche akan mula operasi CKD di Malaysia tahun depan, pertama di luar Eropah!

BERITA tergempar! Porsche secara rasmi mengumumkan bahawa mereka akan memulakan operasi CKD (pemasangan tempatan) di Malaysia. Kilang ini difahamkan akan menjadi yang pertama di luar Jerman!

Menurut Porsche, langkah ini dalam mengukuhkan kehadiran mereka di pasaran-pasaran membangun di rantau Asia Tenggara yang memperlihatkan perkembangan meyakinkan.

Operasi CKD ini akan dijalankan oleh rakan niaga Porsche di sini iaitu Sime Darby, yang merupakan pengimport dan pengedar rasmi jenama itu di Malaysia (Sime Darby Auto Performance atau SDAP).

Pada masa ini, jenama-jenama CKD di bawah Sime Darby Motors adalah BMW, MINI, Mazda dan Hyundai yang mempunyai kompleks fasiliti di Kulim, Kedah.

Buat masa ini, Porsche tidak mendedahkan secara spesifik model mana dahulu yang akan dipasang di sini, tetapi mereka berkata, “kenderaan itu akan disesuaikan khas dengan piawaian tempatan dan akan didapati di Malaysia sahaja.”

Menurut hemat kami, SUV akan menjadi model pertama untuk operasi CKD ini, mungkin Cayenne atau Macan. Walaubagaimanapun, pasti lebih menarik jika ada pemasangan model sports seperti 911 atau 718 Boxster/Cayman.

“Kami bertuah kerana dengan perancangan yang teliti, kilang-kilang sedia ada kami lebih dari mampu untuk memenuhi kehendak semasa dan masa depan kereta-kereta kami,” kata Albrecht Reimold, ahli lembaga eksekutif pengeluaran dan logistik di Porsche.

Sementara itu, Detlev von Platen, ahli lembaga eksekutif bahagian jualan dan pemasaran Porsche berkata, “Malaysia dan keseluruhan ASEAN ialah satu rantau dengan potensi besar dan kami tidak sabar untuk menyerahkan model CKD pertama kepada pelanggan kami tahun depan.”

Pengeluaran dan servis Toyota, Lexus kembali beroperasi

KERAJAAN telah membenarkan operasi beberapa sektor ekonomi bermula 16 Ogos lalu dan aktiviti pengeluaran, jualan dan pusat servis Toyota serta Lexus kembali dibuka.

Kesemua aktiviti ini dihentikan sejak 1 Jun 2021 dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor berkata: “Kami mengalu-alukan kelonggaran ini dimana sekatan sebelumnya telah memberi cabaran kepada perniagaan kami dua bulan kebelakangan ini.”

Tambahnya, syarikat itu akan menjalankan operasi mereka dengan mematuhi dengan teliti segala garis panduan dan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan serta pekerjanya.

Pemilik kenderaan yang berhasrat membawa kenderaan ke pusat servis perlu membuat temujanji terlebih dahulu.

Ravindran turut berkata untuk bahagian pengeluaran, kelonggaran ini pastinya membantu mereka memenuhi segala tempahan yang telah tertangguh.

Gambar: Malay Mail

Dua kilang pengeluaran UMW Toyota dan fasiliti berkaitan akan mampu beroperasi pada kapasiti tertentu bergantung kepada peratusan pekerja yang telah divaksinasi. Mereka boleh beroperasi sepenuhnya jika vaksinasi mencapai lebih 80 peratus.

Sementara itu, Akio Takeyama, Naib Pengerusi UMW Toyota Motor berkata, “Dengan kelonggaran ini, kami pastinya mempunyai banyak perancangan penting.

“Contohnya, kami telah membuat persediaan pemasangan tempatan (CKD) untuk Toyota Hybrid Electric Vehicle dan kami akan meneruskannya secepat mungkin selepas tertangguh.”