Tag Archives: perjanjian

Proton tandatangan MoA baharu dengan Smart, kaji kemungkinan pemasangan tempatan

PROTON baru-baru ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan smart Automobile di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023.

Perjanjian ini dimeterai tepat 20 bulan selepas kedua-dua pihak menandatangani dokumen yang serupa pada tahun 2022 yang membawa kepada pelantikan Proton sebagai pengedar rasmi smart di Malaysia dan Thailand.

MoA tersebut ditandatangani oleh Roslan Abdulah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, dan Mandy Zhang, Naib Presiden Jualan Global, Pemasaran dan Selepas Jualan, bagi pihak smart Automobile.

Turut hadir di majlis itu ialah Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, Tong Xiangbei, Presiden Global smart Automobile, dan Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif, PRO-NET dan Unny Shankar, Pengarah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai wakil kementerian.

MoA pertama adalah untuk meneroka potensi Proton untuk menjual penawaran EV smart di ASEAN, manakala dokumen baharu ini pula adalah untuk kedua-dua pihak mengkaji kemungkinan untuk memasang kenderaan smart secara tempatan di kilang Proton di Tanjung Malim.

Dr Li Chunrong berkata MoA baharu ini membawa kerjasama Proton dan smart ke tahap baharu denga perbincangan mengenai pemasangan kenderaan smart di negara ini.

“Sebagai pengeluar automotif, Proton sentiasa berhasrat untuk meningkatkan penglibatan kami dengan smart, iaitu bukan sekadar pengedar untuk rantau ASEAN sahaja, kerana terdapat banyak kecekapan untuk dimanfaatkan kerana kedua-dua syarikat adalah ahli Kumpulan Geely,” katanya.

Sejak pemeteraian MoA pertama, Proton telah menghantar kumpulan pekerja ke China untuk menjalani latihan sambil kerja khusus untuk industri EV.

Ia juga telah menguji smart #1 secara meluas di Malaysia untuk mendapatkan pengetahuan tentang prestasinya apabila dipandu dalam iklim yang unik dan keadaan jalan raya di sini.

PRO-NET juga telah menandatangani MoU dengan Gentari, membina hubungan kerja dengan pemegang kepentingan ekosistem EV lain, melantik sepuluh pengedar smart serta memperkenalkan smart #1 kepada orang ramai di pelbagai acara.

Langkah terbaharu ialah pelancaran aplikasi Hello smartApp yang menawarkan empat ciri pertama di Malaysia termasuk penyepaduan 70 peratus peta pengecasan daripada pengendali pengecasan, untuk mengenalpasti ketersediaan, tempahan dan pembayaran untuk pengecas EV dalam negara.

“Melangkah ke hadapan, semua aktiviti pengeluaran kami akan tertumpu di Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, yang juga akan membantu dalam matlamat kami untuk menjadikan Malaysia hab EV serantau,” tambah Dr Li Chunrong.

Malaysia dan Singapura jalin kerjasama untuk stesen pengecasan EV

MALAYSIA dan Singapura telah menjalin tiga perjanjian baharu semalam, termasuk dua darinya merangkumi ekonomi digital dan ekonomi hijau.

Kerjasama ekonomi hijau merupakan yang pertama seumpamanya untuk Malaysia, dan dijangka mengukuhkan lagi kerjasama dikarbonisasi kedua-dua negara, menurut laporan The Straits Times.

Gambar oleh: Facebook Anwar Ibrahim

Salah satu elemen kerjasama ini akan merangkumi penetapan standard dan pemasangan stesen-stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV). Selain itu ia kana meliputi projek-projek solusi karbon rendah, khasnya penapisan hidrogen dan karbon, penggunaan, dan penyimpanan.

Kerjasama itu ditandatangani oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Malaysia dan Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura, dalam rangkuman lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa ini, tiada standard khas di Malaysia mengenai pengecasan EV. Walaubagaimanapun, selain dari model-model awal, kebanyakan pengeluar telah menggunakan sambungan Type 2 (dan CCS bagi DC) untuk kereta-kereta mereka. Jadi, kebanyakan pengecaj EV di Malaysia dilengkapi kabel Type 2.

Dengan adanya standard sebegini, pengeluar EV yang mahu membawa masuk kereta mereka ke Malaysia akan perlu mematuhi piawaian tertentu yang ditetapkan kerajaan untuk melepasi Vehicle Type Approval (VTA).

Hasilnya, ini akan mengurangkan kekeliruan di kalangan pengguna. Pengimport bebas yang membawa masuk EV seperti Tesla juga akan perlu mematuhi piawaian ini apabila ianya dikuatkuasakan nanti.