Acara perlumbaan Autobacs Super GT 2025 yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Jun ini bakal menyajikan sesuatu yang istimewa, khusus buat para peminat budaya Jepun.
Menerusi kerjasama dengan acara tahunan Nihon Matsuri, Autobacs Super GT 2025 di Malaysia bukan sahaja mempamerkan aksi perlumbaan, bahkan menampilkan festival kebudayaan dan makanan Jepun.
Menariknya, hujung minggu tersebut bakal menyaksikan pusingan pertama perlumbaan GR86 Cup Series Malaysia 2025 melibatkan 30 buah jentera lumba GR86.
Menurut Fahrizal Hasan selaku Rakan Pengurusan HARO Sports & Entertainment berkata, “Super GT terus dikenali kerana atmosfera seperti karnival. Ia merupakan salah satu acara antarabangsa yang membolehkan peminat mendekati pelumba, pasukan dan jentera kegemaran.
“Tahun ini, Super GT Malaysia Festival 2025 akan menyaksikan sambutan menarik bertemakan kebudayaan Jepun.”
Pelbagai aktiviti yang telah disusun untuk para pengunjung termasuklah sesi pit terbuka, pit walk, safari litar, serta pameran pelbagai jenis reruai dan jualan cenderahati.
Tiket masuk ke Autobacs Super GT 2025 pusingan Malaysia sudah mula dijual sejak 27 Februari yang lepas.
Untuk tempoh masa terhad, pembeli boleh mendapatkan tiket bernilai RM80 untuk K1 Grandstand, RM200 untuk Main Grandstand, dan RM2,000 untuk lounge GT Club Paddock Hospitality di laman web www.supergtmalaysia.com.
Pusingan pembukaan Super GT 2025 akan berlangsung di Okayama International Circuit pada 13 April lalu, diikuti pusingan kedua di Fuji Speedway (4 Mei), dan pusingan ketiga di Malaysia (27-28 Jun).
Pusingan kelima pula mengambil tempat di Litar Suzuka pada 24 Ogos, diikuti Sportsland Sugo (21 September), Autopolis International Racing Course (19 Oktober) dan pusingan akhir di Mobility Resort Montegi (2 November).
Super GT menampilkan barisan pelumba dan pengeluar dari Jepun (Nissan, Lexus, Toyota, Honda dan Subaru) bertempur di dalam kelas GT500 dan GT300, serta tidak ketinggalan pengeluar jenama Continental seperti Aston Martin, Lamborghini, Mercedes-Benz, Ferrari dan BMW.
Malaysia kekal menjadi satu-satunya lokasi perlumbaan di luar Jepun untuk musim perlumbaan 2025 selepas kali terakhir Super GT dianjurkan di negara Thailand pada tahun 2019.