Tag Archives: permainan video

BMW, EA realisasikan kereta hero BMW M3 GTR dari permainan NFS Most Wanted

Masih ingatkah anda terhadap permainan video Need For Speed: Most Wanted yang diterbitkan pada tahun 2005?

Sedar atau tidak, sudah hampir 20 tahun imej kereta ikonik BMW M3 GTR ‘menghantui’ kita dan kini model tersebut direalisasikan sendiri oleh BMW!

Menerusi kerjasama dengan Electronic Arts, BMW telah menghasilkan semula model ikonik M3 GTR dan akan mempamerkannya di muzium BMW Welt, Munich bermula 27 November 2024 hingga 6 Januari 2025.

Unit M3 GTR NFS: Most Wanted yang dihasilkan ini merupakan jentera lumba sebenar M3 GTR E46 bernombor #42 yang dipandu oleh Jörg Müller dan J.J. Lehto untuk pasukan BMW Motorsport pada tahun 2001 sebelum dilayangkan dengan liveri yang mirip dengan kereta hero permainan video tersebut.

Untuk tujuan perlumbaan, BMW telah membangunkan unit enjin bentangan V8 4.0 liter (kod P60B40) yang mampu menjana kuasa 444 hp.

Undang-undang homologasi perlumbaan yang ditetapkan pada ketika itu menyebabkan BMW menghasilkan pula 10 unit M3 GTR Strassenversion – versi yang halal untuk dipandu atas jalan raya.

Dengan enjin yang sama, BMW M3 GTR Strassenversion hadir dengan kuasa yang telah direndahkan kepada 380 hp, dipadankan dengan kotak gear manual yang lebih konvensional.

Jentera perlumbaan M3 GTR ini kemudian menjadi inspirasi bagi rekaan liveri yang wujud pada BMW GTR NFS: Most Wanted yang menjadi popular di kalangan peminat permainan video pada tahun 2005.

Anda sebenarnya boleh ‘memandu’ jentera ini di rumah masing-masing sekiranya anda mengemaskini permainan Need For Speed: Unbound Vol. 9 yang turut membawakan beberapa model kenderaan baharu termasuklah motosikal BMW S1000RR.

Need For Speed Unbound tiba Disember ini – perlumbaan dengan inspirasi komik dan seni jalanan

SUDAH lama tiada Need For Speed terbaharu dan kini, francais permainan video perlumbaan popular itu akan kembali dengan siri terkini mereka, Unbound, pada Disember ini. Lebih tepat lagi, 2 Disember 2022 nanti.

Perkara pertama yang dapat anda lihat dari imej-imej disiarkan ini adalah seni grafik yang menjadi tema untuk aksi perlumbaan. Benar sekali, Unbound diinspirasikan dari seni jalanan dan buku komik.

Ia mungkin mengundang debat sama ada Need For Speed patut mengambil tema sebegini kerana ia begitu berbeza dengan siri-siri sebelum ini. Mungkin tidak mengapa untuk mengadakan sedikit perubahan, sejajar dengan peredaran masa dan permintaan, bukan?

Jika dilihat sebelum ini Need For Speed juga pernah mengambil langkah lebih kurang serupa dengan Underground dan Undergrond 2, dimana ia mula memasuki scene perlumbaan haram JDM di tengah bandar.

Ini sangat berbeza berbanding di awal francais seperti Hot Pursuit dan High Stakes dengan supercar eksotik Eropah yang dikejar polis di kawasan luar bandar seperti pergunungan dan jalan persekutuan.

Untuk Unbound ini, kami rasa tetap teruja untuk melihat hasilnya dan mungkin mencuba sendiri bermain nanti. Ini kerana penulis sendiri membesar dengan siri Need For Speed seperti NFS3, High Stakes, Most Wanted, Porsche Unleashed, dan Underground.

Kereta-kereta yang dipaparkan setakat ini juga nampak menarik, seperti Mercedes 190E dan sebuah jentera seakan kereta drift (kami tak pasti model apa).

Aksi perlumbaan akan bertempat di sebuah bandar dinamakan Lakeshore, iaitu lokasi fiksyen (rekaan) yang mirip seperti Chicago, Amerika Syarikat. Ia bermula dengan sebuah rompakan kereta berharga di sebuah bengkel.

Apa pendapat anda mengenai Need For Speed baharu ini dan konsepnya? Sementara itu, jemput tonton trailer-nya di bawah.

Grand Theft Auto 6 kini sah dalam pembangunan

MEMANDANGKAN sudah berada dalam pasaran sejak 2013, boleh dikatakan Grand Theft Auto 5 (GTA V) sudah agak lama. Ia masih antara permainan video automotif paling fleksibel dan akan menerima kemaskini hujung tahun ini.

Tetapi yang paling penting, Rockstar Games telah mengumumkan generasi baharu GTA yang dikatakan kini dalam pembangunan.

Malangnya, belum ada tarikh pelancaran diumumkan dan pembangun itu cuma berkata “kami akan kongsikan maklumat lanjut bila bersedia.”

Walaubagaimanapun, mereka ada berkata, “kami berbesar hati ingin mengesahkan bahawa pembangunan kini sedang giat dijalankan.”

Hingga saat itu, Rockstar Games akan terus mengemaskini GTA V dan Grand Theft Auto Online. Pada 15 Mac nanti, mereka akan melancarkan versi kedua-dua permainan video itu untuk PlayStation 5 dan Xbox Series X|S.

Dalam satu kenyataan rasmi, Rockstar Games menjanjikan mod grafik terbaharu sehingga resolusi 4K, 60 frames per second, naik taraf grafik dan tekstur, serta pilihan-pilihan HDR dan ray-tracing.

Tambahan lagi, pemain-pemain akan dapat menikmati masa menunggu yang lebih singkat, audio 3D lebih baik, maklumbalas haptic lebih baik, dan bermacam lagi. Ini pastinya disebabkan komponen yang jauh lebih berkemampuan pada PS5 dan Xbox terkini.

Paling penting, jika anda bermain GTA V dan GTA Online di PS4 atau Xbox One, anda akan boleh memindahkan karakter dan perkembangan anda ke platform baharu nanti.

Akhir sekali, Grand Theft Auto Online akan mendapat versi baharu untuk PS5 dan Xbox Series X|S. Ia akan boleh didapati untuk tiga bulan pertama selepas pelancarannya di PS5.

Antara ciri baharu adalah penceritaan lebih baik, tutorial online baharu, dan kedai Hao’s Special Works dimana anda boleh memodifikasi sesetengah kenderaan.