Tag Archives: persiaran mokhtar dahari

Peruntukan RM3 juta untuk lebarkan Persiaran Mokhtar Dahari

LALUAN Persiaran Mokhtar Dahari yang menghubungkan Puncak Alam dengan kawasan Kampung Melayu Subang mengalami kesesakan teruk selepas pembukaan Lebuh Raya DASH (Damansara-Shah Alam Elevated Expressway) pada Oktober lepas.

Kini, kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi projek pelebaran jalan bagi membendung masalah itu yang semakin kritikal.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata projek langkah jangka pendek itu membabitkan dua lorong sepanjang satu kilometer.

“Projek dijangka siap akhir tahun ini. Namun untuk langkah jangka panjang, kita akan tambah satu lagi lorong di kedua-dua hala memandangkan lokasi ini adalah jalan utama selain bertembung dengan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

“Projek akan dilaksanakan dua tahun lagi dengan anggaran RM20 juta termasuk kos utiliti. Bagaimanapun ia ditanggung Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan syarikat Teguh Mantap yang memajukan kawasan berkenaan,” tambahnya.

Pada 26 Oktober tahun lalu, media melaporkan pihak berwajib dirayu segera melaksanakan pelebaran laluan sedia ada yang sering mengalami kesesakan teruk membabitkan anggaran lebih 100,000 pengguna, terutama pada waktu puncak.

Ia adalah laluan utama penduduk di beberapa kawasan penempatan sekitar, terutama dari Alam Budiman, Kampung Meru, Setia Alam, dan Puncak Alam, yang kini terpaksa menempuh kesesakan hampir sejam berbanding perjalanan hanya lima minit sebelum ini.

Malah, kekurangan lorong untuk menampung peningkatan aliran trafik di laluan terbabit kerap menyaksikan kesesakan berlaku hingga sepanjang lebih tiga kilometer.

Persiaran Mokhtar Dahari sesak teruk selepas pembukaan DASH, lorong akan ditambah dalam dua fasa

LALUAN Persiaran Mokhtar Dahari yang menghubungkan Puncak Alam dengan kawasan Kampung Melayu Subang mengalami kesesakan teruk selepas pembukaan Lebuh Raya DASH (Damansara-Shah Alam Elevated Expressway).

Kesesakan ini terjadi kebiasaannya pada waktu petang apabila penduduk setempat pulang dari tempat kerja berikutan aliran tinggi trafik dari beberapa lebuh raya di luar perlu susur masuk ke Persiaran Mokhtar Dahari yang hanya mempunyai satu lorong untuk kedua-dua arah.

Justeru, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menambah tiga lorong baharu kenderaan bagi mengatasi kesesakan teruk laluan itu sejak dua minggu lalu.

Dua fasa pelebaran jalan sedia ada itu dijangka melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM35 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir. Izham Hashim berkata, JKR akan membuat laporan teknikal secara terperinci mengenai projek penambahan lorong tersebut.

Kata beliau, kos peruntukan projek itu bakal diajukan pihaknya kepada kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.

“Fasa pertama yang perlu disegerakan meliputi tambahan satu lorong di laluan menghala ke Puncak Alam.

Kita menjangkakan projek pertama akan dilaksanakan awal tahun depan sebelum diteruskan dengan fasa kedua,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi itu, petang semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan lebih 100,000 pengguna laluan Persiaran Mokhtar Dahari memohon pihak berwajib melebarkan jalan sedia ada yang sesak teruk pada waktu puncak.

Keadaan itu menyebabkan penduduk terutama di Alam Budiman, Kampung Meru dan Puncak Alam terpaksa menempuh kesesakan hampir sejam berbanding hanya lima minit sebelum ini.

Tambah Izham, laluan itu merupakan jalan rizab kerajaan dan boleh memuatkan enam lorong secara keseluruhannya.

“Laluan berbukit selepas kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana ketika ini hanya mempunyai tiga lorong bagi kedua-dua arah.

“Bagi jangka masa pendek, satu lorong sejauh 800 meter akan dibina terlebih dulu sebelum disambung dengan dua lorong lain,” jelasnya.