Tag Archives: persimpangan

JKR naik taraf Persimpangan FT29/FT32 Kota Warisan atasi masalah banjir

Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia memaklumkan penutupan sementara laluan persimpangan FT29/FT32 (Kota Warisan-Bandar Baru Salak Tinggi-KLIA) bermula 24 Februari hingga 10 Disember 2025.

Penutupan laluan tersebut adalah untuk pembinaan jalan baharu empat lorong sepanjang 1.2 km, menaik taraf persimpangan lampu isyarat, serta menyiapkan baki kerja jambatan merentasi Sungai Labu.

Untuk menangani masalah banjir yang kerap melanda kawasan tersebut, laluan sedia ada sepanjang 250 m dari Persimpangan Persekutuan FT29/FT32 menghala ke BBST dan KLIA, serta laluan 150 m menghala ke Kota Warisan akan dinaik taraf.

 

Menurut JKR, kerja-kerja naik taraf akan dilakukan secara berfasa, di mana laluan membelok ke kanan di Persimpangan Kiwa akan ditutup sepenuhnya sepanjang tempoh tersebut.

Ini bermakna, pengguna dari arah BBST ke Kota Warisan perlu mengikut laluan alternatif di persimpangan lampu isyarat selepas IPD Sepang ke persimpangan Pasaraya KIPMall.

Manakala pengguna dari Putrajaya dan Kota Warisan ke KLIA perlu menggunakan Persimpangan Tol Bandar Serenia.

Para pengguna dinasihatkan supaya mengikut arahan papan tanda keselamatan serta pihak berkuasa dari semasa ke semasa.