Tag Archives: pertahanan

Aermacchi MB-339 TUDM akan diganti dengan pesawat baharu dwi-fungsi

TUJUH pesawat latihan lanjut Aermacchi MB-339 di bawah operasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal diganti dengan platform tunggal baharu dengan keupayaan dwi-fungsi. Pesawat baharu itu bakal memikul tugas latihan lanjutan dan tempur ringan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata pesawat buatan Itali berkenaan yang memasuki perkhidmatan TUDM pada 2009 kini digantung pengoperasiannya sejak 2018. Ia adalah susulan kemalangan di Kuantan, Pahang dan beberapa masalah teknikal berkaitan enjin.

Beliau berkata perolehan pesawat baharu bagi menggantikannya menjadi antara fokus 10 tahun pertama (2021 hingga 2030) di bawah Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

“Berdasarkan tempoh hayat ekonomi pesawat pejuang dan CAP55, pesawat ini (Aermacchi MB-339) dirancang ditamat pengoperasian pada 2028.

“Perolehan pesawat baharu yang berupaya melaksanakan dwifungsi bukan sahaja mampu memberi pulangan penjimatan kepada kewangan kerajaan, malah turut meningkatkan keupayaan pertahanan negara,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai rancangan penamatan operasi Aermacchi MB-339 dan jumlah rekod penerbangan tujuh buah pesawat hingga kini.

Ikmal Hisham berkata hala tuju pesawat itu juga akan ditentukan selepas Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) melaksanakan audit ke atas pihak pengeluar peralatan tulen (OEM) enjin.

Menurut Ikmal Hisham, tujuh pesawat berkenaan melengkapkan sebanyak 5,961 jam penerbangan.

Rusia dedah jet pejuang stealth terbaharu Sukhoi-75 Checkmate

RUSIA secara rasmi telah mendedahkan Sukhoi Checkmate, sebuah jet pejuang generasi kelima yang direka untuk menyokong Su-57. Ia juga akan ditawarkan untuk pasaran antarabangsa.

Prototaip pesawat itu dipersembahkan kepada umum dalam satu majlis semasa hari pembukaan pertunjukan udara MAKS 2021, semalam.

Su-75 Checkmate. Gambar: REUTERS

Menurut Sukhoi, pesawat itu telah sedia untuk ujian, bermakna pengeluaran juga akan bermula tidak lama lagi. Media Rusia melaporkan bahawa ujian pertama akan dibuat pada 2023, manakala penghantaran bermula 2026.

Checkmate ialah pesawat pejuang supersonik berenjin-tunggal generasi kelima yang mempunyai ciri stealth (halimunan), ruang senjata dalaman, serta berkeupayaan berlepas dari landasan pendek.

Kelajuan maksima ialah Mach 1.8, mempunyai jarak operasi 2,800km, serta kapasiti beban 7,400kg.

Pengeluarnya juga mendakwa jet pejuang ini dilengkapi sistem AI (artificial intelligence) maju yang bertindak sebagai “co-pilot” atau pembantu juruterbang. Ia juga boleh dibangunkan menjadi versi berbeza seperti dua tempat duduk atau tanpa juruterbang, bergantung kepada kehendak pelanggan.

Jet ini berkemungkinan dikuasai oleh enjin Izdelye 30 iaitu unit turbofan yang kini sedang dibangunkan oleh Saturn, anak syarikat United Engine Corporation (UEC) Rusia.

Strategi ‘menghantar’ pesawat pejuang lebih berat dengan jumlah lebih kecil dan disokong oleh pesawat berbeza yang lebih ringan menjadi kebiasaan dalam generasi sebelum ini.

F-15. Gambar: Wikipeda

Tentera Soviet mengatur Sukhoi-27 yang disokong oleh MiG-29 manakala Tentera Udara Amerika Syarikat mengatur McDonnel Douglas F-15 yang dibantu General Dynamics F-16 dalam strategi serupa.

F-22 Raptor. Gambar: Lockheed Martin

Pesawat pejuang generasi kelima terbaharu juga mengikuti aturan sama; Lockheed Martin F-35 Lightning II enjin-tunggal menyokong F-22 Raptor, yang biasanya dibandingkan dengan Sukhoi-57.

Menurut Slyusar, jet stealth ini dijangka dibeli oleh tentera udara Asia, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Amerika Latin yang mahu alternatif kepada pesawat generasi kelima satu-enjin sedia ada.