Tag Archives: pesawat terhempas

Pesawat ringan terhempas di Kapar, Klang

SEBUAH pesawat ringan terhempas dan terbakar di sekitar kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar, Klang hari ini.

Kejadian itu disahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.56 tengah hari tadi.

“Kita sampai di lokasi kejadian dan mengesahkan pesawat ringan jenis ‘Air Craft Aviation Safety Technology’ itu terhempas dan terbakar.

Tambah beliau lagi, dua jentera serta empat anggota keluaran Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kapar digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kerja mencari mangsa sedang dijalankan dan jumlah mangsa masih belum diketahui,” katanya.

10 maut dalam nahas pesawat terhempas di Elmina – Polis

POLIS telah mengesahkan 10 orang maut dalam nahas jet peribadi di Bandar Elmina, Shah Alam, lapor MalayMail. Difahamkan, jumlah ini membabitkan lapan penumpang dalam pesawat itu dan dua lagi pengguna jalan raya.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengeluarkan satu kenyataan mengesahkan bahawa sebuah pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV telah terhempas di Elmina, Shah Alam pada Khamis, 17 Ogos 2023.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud, pesawat yang dioperasikan oleh Jetvalet Sdn. Bhd. itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Menurut beliau lagi, hubungan pertama yang dibuat oleh pesawat dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada pukul 2:47 petang dan pelepasan pendaratan diberi pada pukul 2:48 petang.

“Pada pukul 2:51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang memerhatikan asap yang berpunca daripada lokasi nahas tetapi tiada panggilan mayday yang dibuat oleh pesawat itu. Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) telah diaktifkan untuk menyelaraskan misi mencari dan menyelamat,” katanya.

Seramai enam penumpang dan dua kru penerbangan berada di dalam pesawat berkenaan dan keadaan mereka masih belum disahkan pada masa ini.

Siasatan keselamatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Pesawat ringan terhempas di Shah Alam, 3 dilaporkan maut termasuk seorang penunggang motosikal

POLIS mengesahkan sebuah pesawat ringan dari Langkawi ke Subang terhempas di bandar Elmina, Shah Alam, petang ini, lapor Berita Harian.

Berdasarkan video dan gambar yang disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp dan media sosial, kelihatan sebuah bangkai kapal terbang dalam keadaan terbakar telah terhempas di jalan raya.

Dalam rakaman video tersebut juga turut memaparkan sebuah motosikal dalam keadaan terbakar dipercayai akibat dirempuh pesawat itu.

Difahamkan, setakat ini tiga individu terkorban dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan tiga mangsa yang maut adalah juruterbang dan penumpang pesawat, serta penunggang motosikal tersebut.

Difahamkan model pesawat itu adalah jenis Fouga CM-170 Magister dan kejadian berlaku tidak jauh daripada landasan Lapangan Terbang Subang.

Pesawat Hawk 108 terhempas, seorang juruterbang TUDM terkorban [kemas kini]

PESAWAT pejuang jenis Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas kira-kira jam 10.07, malam tadi.

Insiden meragut nyawa seorang juruterbang TUDM sementara, seorang lagi juruterbang mengalami kecederaan.

Perkara itu disahkan Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi laman sosial Twitter.

Jelas Hishammuddin, beliau menerima khabar duka tersebut selepas dimaklumkan oleh Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

“Baru terima panggilan daripada Panglima @tudm_rasmi Jen TS Ackbal memaklumkan insiden pesawat Hawk 108 yang terhempas di Butterworth tadi.

“Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera,” katanya.

Setakat ini, tiada laporan menyeluruh mengenai punca nahas.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata pasukan TUDM diarah melakukan siasatan segera dan memberikan laporan terperinci dengan secepat mungkin.

“TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian,” katanya lagi.

KEMASKINI

Dalam kemas kini terkini oleh laman Instagram @tudm_rasmi, dua juruterbang yang terlibat adalah Mejar Mohd Fareez bin Omar (cedera) dan Kapten Mohamad Affendi bin Bustamy (terkorban).

Menurut kenyataan itu juga, kedua-dua juruterbang telah berkahwin dan TUDM akan memastikan urusan kebajikan keluarga mangsa diutamakan.

Pihak TUDM kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden kemalangan ini, tambah kenyataan itu.