Siapa sangka, crossover sedan yang nampak garang ini sudah pun menjadi sebahagian daripada armada kereta peronda (MPV) pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Namun, usah bergembira terlalu awal, kerana dua unit Peugeot 408 yang diserahkan oleh Peugeot Malaysia ini merupakan unit yang dipinjamkan kepada PDRM untuk tujuan penilaian dalam dunia sebenar.
Berdasarkan gambar yang dibekalkan, unit yang dipinjamkan itu merupakan varian Allure.
Untuk pasaran Malaysia, Peugeot 408 memiliki tanda harga bermula dari RM146,055, dan dikuasakan oleh enjin Puretech 1.6 liter turbo menghasilkan 218 PS dan 300 Nm.
Buat masa ini, pihak PDRM mempunyai armada kereta peronda yang terdiri daripada sedan segmen C Honda Civic generasi FC dan juga FE.
Peugeot Malaysia mengumumkan pembukaan pusat 3S (jualan, servis & alat ganti) Peugeot yang pertama di negeri Sarawak, terletak di bandar Kuching.
Dikendalikan oleh Heng Lian Enterprise Berhad, pusat 3S seluas 4,200 kaki persegi ini mempunyai ruang pameran yang mampu memuatkan empat buah kenderaan, satu tempat penyerahan, selain menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan sokongan jaminan.
Dengan adanya pusat 3S ini, ia dilihat dapat memenuhi keperluan komuniti pemandu Peugeot sekaligus mengukuhkan lagi komitmen jenama itu terhadap aspek kepuasan pelanggan.
Menurut Daniel Gonzales, Ketua Pegawai Operasi ASEAN & Pengedar Am Stellantis berkata, “Strategi kami untuk mengukuhkan kehadiran serta pertumbuhan PEUGEOT di Malaysia melibatkan pertambahan rangkaian pengedar, dan Malaysia Timur memainkan peranan penting dalam usaha pengembangan ini.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Heng Lian dan mengalu-alukan kehadiran mereka ke dalam rangkaian pengedaran kami sebagai Pusat 3S pertama. Kami juga akan terus meluaskan kehadiran ke pasaran Malaysia Timur ini.
“Bagi mengekalkan standard kepakaran paling tinggi, pasukan penyelenggaraan selepas jualan di PEUGEOT Kuching telah menjalani latihan yang komprehensif, sama ada secara dalam talian dan bersemuka dengan kerjasama Stellantis Malaysia. Komitmen ini turut melibatkan semua kakitangan pada masa depan demi memastikan semua pemilik kenderaan PEUGEOT menerima servis dan sokongan yang terbaik.”
Prinsipal Pengedar PEUGEOT Kuching, Sylvia Ng berkata, “PEUGEOT Kuching bukan sekadar sebuah bilik pameran, tetapi ia merupakan komitmen untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang luar biasa kepada para pelanggan kami.
“Pelaburan kami ke atas perkhidmatan selepas jualan, dari penyelenggaraan hinggalah sokongan jaminan memastikan para pelanggan baharu dan sedia ada PEUGEOT akan menerima penjagaan yang terbaik. Dengan pasukan yang terlatih dan lokasi strategik, kami bersedia untuk menetapkan standard baharu dalam aspek khidmat pelanggan dan kecemerlangan automotif.”
Para pelanggan Peugeot boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Stellantis di 1800-18-STLA, atau alternatifnya berhubung secara terus dengan pengedar Peugeot Kuching di talian 016-2171464.
Peugeot Malaysia mengumumkan tiga orang pemenang bertuah kempen Beli dan Menang yang dianjurkan bermula 9 Julai hingga 31 Oktober tahun lalu.
Dalam kempen tersebut, pelanggan yang menempah dan mendaftarkan pembelian Peugeot 408 berpeluang untuk memenangi pakej percutian Kelas Perniagaan ke Paris selama tiga hari dua malam dan menyertai acara berprestij Paris Fashion Week 2025.
Tiga orang pemenang yang dimaksudkan ialah Nurfhatiah Zulkarnaini dari Seremban yang membeli sebuah Peugeot 408 GT, Mohamad Faris bin Harun dari Ipoh yang membeli sebuah 408 Premium dan Muhammad Izzul Aiman bin Zahir dari Pulau Pinang yang membeli 408 Allure.
Ketiga-tiga orang pemenang ini akan terbang ke Paris bersama pasangan masing-masing dari 8 hingga 10 Mac ini.
Kesemua pemenang menzahirkan rasa keterujaan mereka dan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai peluang sekali dalam seumur hidup.
Sebagai sebahagian daripada persediaan ke Paris Fashion Week 2025, kesemua pemenang dan pasangan masing-masing akan menghadiri sesi penggayaan peribadi yang akan dihoskan oleh pengasas KL Fashion Week.
Peugeot Malaysia mengumumkan rebat khas bernilai RM21,500 untuk crossover segmen B Peugeot 2008, menjadikan harga jualan kini serendah RM111,888.
Harga baharu ini turut merangkumi pakej jaminan menyeluruh selama tujuh tahun untuk ketenangan minda pemilik.
Selain itu, pelanggan juga diberikan pilihan untuk mendapatkan pakej servis inklusif lima tahun bernilai RM10,000 yang akan menampung segala kos alat ganti termasuklah kos buruh untuk 10 kali servis.
Peugeot 2008 didatangkan dengan enjin PureTech 1.2 liter turbo berkuasa 130 hp dan 230 Nm, rekaan bergaya lengkap dengan lampu LED dan rim 17 inci, serta sistem i-Cockpit 3D untuk ruang kabin.
Maklumat lanjut berkenaan Peugeot 2008 ini boleh didapati menerusi laman web https://www.peugeot.com.my atau dengan berkunjung ke pusat pameran Peugeot yang berhampiran.
Peugeot Malaysia mengumumkan kempen terbaharu “Peugeot Weekender Experience” di mana para pelanggan boleh menikmati sesi pandu uji sehingga tiga hari.
Kempen yang pertama seumpamanya ini membenarkan pelanggan memilih tiga model berbeza iaitu crossover sedan Peugeot 408, SUV Peugeot 2008 dan trak pikap Landtrek untuk digunakan sepanjang hujung minggu, atau hari biasa.
Pelanggan juga boleh memanfaatkan fungsi ChatGPT yang terbina dalam website mikro untuk mencipta jadual perjalanan yang disesuaikan dengan personaliti dan minat masing-masing.
Menurut Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais berkata, “Sejak bertahun-tahun, kita menggunakan cara tradisional di mana pelanggan melangkah masuk ke pusat pameran dan menghabiskan masa selama beberapa minit memandu di kawasan sekitar. Penggunaan cara ini tidak mempamerkan keupayaan sebenar kereta dan pengalaman pemilikan sebuah Peugeot.
“Menerusi Peugeot Weekender Experience, kami mahu mengubah bagaimana pelanggan kami merasai kenderaan kami. Kami mahu mereka memiliki kebebesan dan fleksibiliti untuk tempoh beberapa hari untuk menikmati pengalaman sebenar, dan melihat bagaimana sebuah Peugeot mampu melengkapkan keperluan gaya hidup dan mobiliti.
Terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah, Peugeot Weekender Experience boleh disertai dengan berkunjung ke mana-mana pusat pameran sah Peugeot dan mengimbas kod QR yang disediakan.
Alternatifnya, anda boleh berkunjung ke laman web mikro peugeotweekenderexperience.com, isi maklumat peribadi dan pilih pusat pameran yang berdekatan.
Peugeot Malaysia melancarkan kempen promosi akhir tahun yang menawarkan penjimatan sehingga RM26 ribu untuk pembelian model-model terbaharu sebelum 31 Disember 2024.
Kempen terbaharu itu merangkumi model-model Peugeot seperti 2008 dengan rebat sehingga RM13,500, 3008 dengan rebat sehingga RM20,388 dan 5008 dengan rebat sehingga RM26,388.
Pembeli yang mahukan penjimatan ekstra boleh mendapatkan Peugeot 3008 model tahun 2023 dengan rebat mencecah RM40,000, atau harga promosi RM129,388 sahaja.
Pelanggan yang memilih untuk membawa pulang Peugeot 408 (varian Premium dan GT) akan mendapat pakej sokongan insurans selama dua tahun bernilai RM10,000.
Setiap pembelian kenderaan Peugeot yang dibuat sepanjang tempoh Year End Extravaganza ini akan didatangkan dengan jaminan selama tujuh tahun atau jarak perbatuan 200,000 km, serta pakej servis 5-tahun percuma.
Rakyat Malaysia dijemput untuk berkunjung ke pusat pameran sah Peugeot untuk mendapatkan info lanjut atau menguji sendiri model-model terbaharu Peugeot.
Peugeot Malaysia juga akan membuka reruai pada acara pameran Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 yang akan berlangsung pada 5-11 Disember.
Stellantis Malaysia mengumumkan promosi pakej penyelenggaraan servis percuma selama lima tahun bermula efektif 1 September 2024.
Promosi terbaharu ini tertakluk kepada semua model dan varian Peugeot, termasuklah model 408, 2008, 3008, 5008 dan trak pikap Landtrek.
Pelanggan yang mendaftarkan kenderaan Peugeot bermula 1 September dan ke atas layak untuk menikmati promosi servis percuma lima-tahun yang merangkumi kos alat ganti untuk 10 kali servis dalam masa lima tahun, berdasarkan selang setiap 10,000 km atau enam bulan, yang mana tiba dahulu.
Pelanggan hanya perlu membayar kos upah sahaja.
Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais berkata, “pelanggan merupakan keutamaan kami, dan kami teruja untuk memperkenalkan promosi servis lima-tahun percuma sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pengalaman pemilikan Peugeot.
“Penjimatan daripada pakej servis lima-tahun percuma berserta jaminan menyeluruh tujuh-tahun sedia ada ini sudah pasti dapat memberikan ketenangan minda kepada para pemilik Peugeot untuk tempoh yang lebih panjang.
Tawaran terhad ini boleh didapati di semua pusat pengedar sah Peugeot di seluruh negara.
Untuk makluman, semua kenderaan Peugeot datang dengan jaminan tujuh-tahun atau jarak perbatuan 200,000 km (yang mana tiba dahulu) sebagai pakej standard.
Ia terdiri daripada jaminan pengeluar 3-tahun dan tambahan perlindungan 4-tahun yang sama seperti jaminan pengeluar.
Peugeot Malaysia menerusi kolaborasi bersama KL Fashion Week 2024 (KLFW 2024) melancarkan dua kempen promosi untuk para peminat dan pelanggan menikmati pemanduan model terbaharu Peugeot 408 yang mengujakan.
Bermula 9 hingga 27 Julai 2024, pelanggan Peugeot yang berkesempatan memandu uji Peugeot 408 di mana-mana pengedar sah berpeluang untuk memenangi sepasang tiket ke acara KL Fashion Week, iaitu Kit Woo Show pada 31 Julai, atau Design to Sustain Finale pada 2 Ogos.
Pelanggan Peugeot hanya perlu mengisi borang yang disediakan dalam talian selepas sesi pandu uji, dan digalakkan untuk mengikut laman Facebook dan Instagram Peugeot Malaysia untuk mengetahui keputusan kempen ini.
Tiga orang pelanggan bertuah pula berpeluang untuk memenangi pakej percutian Kelas Perniagaan selama 3 Hari 2 Malam ke Paris untuk dua orang apabila mereka menempah dan membeli Peugeot 408 antara 29 Julai hingga 31 Oktober 2024.
Selain itu, pemenang bertuah ini akan dibawa ke acara pertunjukan fesyen Paris Fashion Week 2025 yang berprestij, selain berpeluang mengunjungi L’Aventure Peugeot Museum yang ikonik untuk mempelajari sejarah dan warisan automotif jenama Peugeot.
Jamie Francis Morais, Pengarah Urusan Stellantis Malaysia berkata, “Reka bentuk memainkan peranan penting dalam DNA Peugeot, dan kerjasama dengan KLFW ini mewakili penjajaran sempurna dengan visi dan semangat jenama Peugeot.
“Peugeot 408 yang dilancarkan baru-baru ini, pencapaiannyamemenangi Anugerah Rekaan Red Dot pada tahun 2023 telah memainkan peranan penting sebagai ilham pertunjukan pada tahun ini.
“Kami teruja untuk mempersembahkan pengalaman eksklusif, kerana dengan Peugeot anda bukan sahaja mendapat kereta, anda turut menyelami pengalaman ‘allure‘, bahasa daya tarikan, serta peluang keseronokan dan emosi yang tidak terbatas.”